Sir Alex Ferguson mengakui bahawa beliau begitu kecewa dengan kegagalan pasukannya mendapatkan sebarang mata dari Stadium Emirates. Gol tunggal Aaron Ramsey memberikan kemenangan berharga buat Arsenal dalam menghidupkan peluang tipis mereka bersaing merebut kejuaraan liga musim ini. Arsenal kini ketinggalan enam mata di belakang United dengan baki tiga perlawanan, manakala United pula gagal melebarkan penguasaan mereka di tangga teratas apabila cuma dibezakan tiga mata dari pencabar terdekat, Chelsea. "Perlawanan ini sepatutnya berakhir dengan keputusan seri, namun mereka berjaya menjaringkan gol melalui satu percubaan terus ke gawang. Itu sungguh mengecewakan," kata Ferguson. "Kami sudah melakukan yang terbaik pada separuh masa kedua. Kami melakukan umpanan-umpanan dan bermain lebih baik berbanding separuh masa pertama. Penjaga gol mereka juga bermain dengan baik menyelamatkan percubaan dari Rooney dan Nani". Kekalahan ini menyaksikan saingan merebut kejuaraan liga semakin sengit dengan United, Chelsea dan Arsenal tampak akan bersaing hingga ke perlawanan terakhir. United mampu menutup terus peluang kedua-dua pasukan pencabar itu sekiranya berjaya menewaskan Chelsea di Old Trafford minggu hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan