Menjelang pertembungan Arsenal dan Manchester United esok, ada khabar gembira buat skuad kendalian Sir Alex Ferguson apabila penyerang, Dimitar Berbatov dan pemain tengah, Darren Fletcher disahkan cergas untuk disenaraikan dalam perlawanan ini. Dengan perkhabaran bahawa bintang veteran, Ryan Giggs bakal direhatkan oleh Ferguson, kehadiran semula Fletcher memang tepat pada waktunya. Fletcher yang diketepikan sejak dua bulan lalu kerana serangan virus kini kembali cergas dan dijangka akan diturunkan dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Schalke 04 nanti. Bagi Berbatov pula yang terpaksa diketepikan dalam tiga perlawanan terakhir United kerana kecederaan pangkal paha, kini sudah sedia tampil di The Emirates nanti. Ferguson dijangka melakukan rombakan ke atas skuad yang menang di Gelsenkirchen kelmarin memandangkan jadual padat yang terpaksa diharungi mereka minggu hadapan. United akan menanti kunjungan Schalke 04 dalam perlawanan peringkat kedua, separuh akhir Liga Juara-Juara 5 Mei ini dan pencabar kejuaraan Chelsea di Old Trafford tiga hari kemudian. "Berbatov berlatih dengan baik sepanjang minggu ini. Kami memiliki skuad yang kuat dan saya boleh melakukan beberapa perubahan untuk hari minggu. Saya juga boleh melakukan beberapa perubahan pada hari Rabu nanti", kata Ferguson.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan