Sudah lima hari berlalu sejak kekalahan
kepada Olympiacos dalam saingan kalah mati (pusingan 16 pasukan) Liga
Juara-Juara, namun kekecewaan itu masih saya rasai hingga ke hari ini. Saya tidak tahu apa perasaan anda tetapi kecewa
dan marah adalah dua perkataan paling sesuai untuk menggambarkan apa yang saya
rasakan selepas melihat barisan The Red
Devils kecundang di bumi Greece Rabu lalu. Bukannya saya tidak boleh
menerima hakikat kekalahan, tetapi cara United dikalahkan, permainan yang
ditunjukkan, prestasi keseluruhan serta pemilihan pemain untuk kesebelasan utama
menyebabkan saya berasa cukup kecewa. Ini bukanlah United yang sebenarnya malah
tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pusingan kalah mati (16 pasukan)
seolah-olah 'terlalu besar' buat anak-anak buah David Moyes. Suka atau tidak
kita terpaksa mengakui bahawa ini adalah persembahan terburuk United di pentas
Eropah.
Jika seorang atau dua pemain bermain di bawah
prestasi sebenar itu adalah perkara lumrah dalam bolasepak tetapi jika keseluruhan
pasukan bermain dengan buruk, siapakah yang perlu tampil ke hadapan dan memikul
tanggungjawab ini? Kelompok yang mengakui bahawa mereka adalah penyokong 'sejati'
United masih lantang mengatakan Moyes perlu diberikan peluang dan masa untuk
membuktikan kredibilitinya di samping menjadikan tempoh 'peralihan' sebagai
penyebab kelab berada di kedudukan sekarang. Bagaimanapun saya yakin kelompok
itu semakin mengecil ketika Moyes sendiri terpaksa berdepan tekanan demi
tekanan akibat prestasi buruk yang dipamerkan United musim ini sejak beliau
mengambilalih tugas dari Sir Alex Ferguson Jun lalu. Ada juga khabar angin mengatakan
bahawa kelab sedang mempertimbangkan pemecatan Moyes dengan kemungkinan Ryan
Giggs dan Phil Neville dilantik sebagai pengganti sementara. Adakah bakat serta
keupayaan Moyes selaku pengurus cuma terbatas untuk kelab kelas pertengahan
seperti Everton dan bukannya untuk kelab besar seperti United?
Saya tidak nafikan pencapaian cemerlang Moyes
sepanjang 11 tahun mengemudi Everton walaupun dibekalkan dengan bajet kewangan
terhad tetapi Roberto Martinez selaku pengganti beliau juga apa kurangnya. Pada
musim pertamanya di Goodison Park, Martinez setakat ini boleh diberikan pujian
kerana berjaya mengekalkan prestasi Everton dalam saingan liga malah pada satu
ketika berjaya meletakkan kelab Merseyside itu di kelompok empat teratas. Jika
mahu diambilkira faktor peralihan era, Everton di bawah kendalian Martinez sepatutnya
berada di kedudukan kelompok terbawah bukan seperti sekarang (tangga keenam
liga). Tambahan pula di awal musim mereka kehilangan beberapa tonggak utama
pasukan seperti Marouane Fellaini dan Nikica Jelavic. Ringkasnya prestasi
Everton 'tidak jatuh' biarpun kelab itu ditinggalkan Moyes dan ditangani oleh
pengendali baru yang sudahpun membuktikan kebolehannya apabila mengemudi Wigan
Athletic menjulang Piala FA musim lalu.
Okey tinggalkan dulu cerita Martinez dan
Everton kerana saya ingin melihat sejauh mana penyokong-penyokong mampu
bersabar dengan mutu kerja yang dilakukan Moyes setakat ini. Saya percaya
kelompok penyokong-penyokong yang tidak berpuashati dengan Moyes semakin
membesar dari hari ke hari jika pasukannya terus dengan prestasi hambar seperti
yang mereka pamerkan di Stadio Georgios Karaiskaki Rabu lalu. Saya tidak meminta anda bersetuju dengan saya
tetapi Moyes hingga setakat ini boleh dianggap gagal menguruskan kelab besar
seperti United. Tidak perlu menunggu sehingga musim depan untuk mengukur key performance index (KPI) Moyes kerana
penilaian terhadap beliau sepatutnya sudah bermula sejak hari pertama beliau
memulakan tugasnya sebagai pengurus United. Di atas padang, taktikal dan
pemilihan pemain yang dilakukan Moyes sering dipertikaikan ramai pihak,
manakala di luar padang pula beliau dikatakan gagal meningkatkan moral
pemain-pemainnya yang memang bukan rahsia lagi sedang menjunam saat ini.
Pemain-pemain berpengalaman United seperti
Rio Ferdinand pernah secara terbuka mempertikaikan cara Moyes memilih pemain
dalam satu-satu perlawanan manakala yang terbaru giliran Robin Van Persie pula
mengkritik rakan-rakan sepasukannya bermain sebagai penyebab mengapa beliau
sukar menjaringkan gol. Saya percaya situasi seperti ini tidak akan berlaku di
era Sir Alex, dan jika berlaku sekalipun pemain terbabit sudah tentu tahu apa
yang bakal menanti mereka. Saingan musim ini kian menuju penamatnya dan dengan
baki 11 perlawanan yang ada serta ketinggalan pula 12 mata di belakang kelab
tangga keempat (Manchester City), kelibat skuad The Red Devils hampir pasti tidak akan dapat kita saksikan di Liga
Juara-Juara musim hadapan. United sudah terkeluar dari sebarang perebutan trofi
di peringkat domestik tetapi masih bersaing di Liga Juara-Juara sekaligus
menjadikan misi di Eropah sebagai satu-satunya peluang buat Moyes menutup mulut
pengkritik-pengkritiknya.
Bagaimanapun selepas menyaksikan persembahan
barisan pemain-pemainnya di Athens minggu lalu, apa yang boleh saya katakan adalah
kita tidak sepatutnya memasang angan-angan terlalu tinggi dan hanya keajaiban
besar sahaja mampu membawa United beraksi di Estadio da Luz, 24 Mei nanti. Melihat
prestasi yang dipamerkan Real Madrid, Bayern Munich, Barcelona dan Paris St
Germain menyebabkan United kelihatan begitu 'kerdil' dan sukar digambarkan
bagaimana agaknya nasib anak-anak buah Moyes jika berdepan empat pasukan ini. Saya
berharap apa yang saya sebutkan ini silap dan kata-kata Moyes bahawa keajaiban
yang dilakukan Liverpool pada 2005 turut mampu diulangi pasukannya bukan
sekadar cakap kosong. Kelab sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa tidak
mungkin Sir Alex akan keluar dari persaraan untuk menyelamatkan United tetapi
itu juga tidak bermakna Moyes akan terselamat. Moyes pada pandangan saya cukup
beruntung kerana berada di Old Trafford, bukannya di Stamford Bridge atau
Santiago Bernabeu.
Jika Moyes berada di dua tempat yang saya
sebutkan tadi, saya yakin Chelsea atau Real Madrid tidak akan menunggu hingga liga
sudah berlangsung lebih separuh musim untuk memecat beliau. Prestasi buruk yang
dipamerkan United turut menarik perhatian mantan presiden Real Madrid, Ramon
Calderon. Menurut Calderon yang pernah memegang jawatan presiden kelab dari
penggal 2006 hingga 2009, memecat Moyes akan menjadi perkara utama dilakukannya
jika pengendali itu berada di Madrid. “Saya akan memecat jurulatih jika Real
Madrid menamatkan musim di posisi keenam dan gagal ke Liga Juara-Juara musim
depan. Satu bencana jika kelab tidak layak beraksi di Liga Juara-Juara. Bukan hanya
membabitkan wang yang anda perolehi di sana (Liga Juara-Juara) tetapi juga
membabitkan penaja kelab”, kata Calderon. Nada sama juga turut disampaikan
bekas pemain dan pengurus Chelsea, Gianluca Vialli.
Menurut Vialli beliau hairan melihat Moyes masih
bertahan di kerusi pengurus biarpun United di bawah kendaliannya mempamerkan
prestasi buruk. Bagaimanapun Vialli turut memuji kesabaran pemilik kelab ketika
berdepan situasi seperti ini berbanding apa yang sering berlaku di Serie A.
“David Moyes jika di Itali sudah tentu akan dipecat sebanyak tiga kali. Di Liga
Perdana anda akan mendapati pemilik kelab memberikan tempoh yang lebih panjang
untuk anda menyelesaikan masalah. Apa yang lebih penting pemilik kelab tidak
berfikiran bahawa mereka lebih tahu tentang bolasepak berbanding pengurus”,
kata Vialli. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel-artikel sebelum
ini, membawa United layak ke Liga Juara-Juara musim depan adalah misi yang
wajib disempurnakan oleh Moyes pada tahun pertamanya di Old Trafford manakala
memenangi sebarang trofi adalah bonus tambahan kepada penyokong-penyokong
United.
Agak memedihkan selepas melihat Sir Alex
berjaya memadam dominasi Liverpool dan bertahun-tahun membina semula kelab
hingga muncul kuasa dominan bolasepak Inggeris selama lebih dua dekad, segala
usaha itu musnah dalam tempoh tidak sampai 9 bulan. Sepanjang tempoh 9 bulan
Moyes mengendalikan pasukan, hingga sekarang saya masih tidak faham pemain
jenis mana yang diinginkan beliau untuk membarisi kesebelasan utamanya. Ketika
graf prestasi pemain-pemain seperti Ashley Young dan Tom Cleverley umpamanya
semakin jatuh menjunam, beliau sebaliknya masih terus mahu memberikan
kepercayaan dan meletakkan dua pemain ini dalam kesebelasan utamanya. Di Stadio
Georgios Karaiskaki situasi ini berlaku sekali lagi, di mana Cleverley berjaya
bertahan hingga minit ke-61 sebelum digantikan Shinji Kagawa manakala Young
pula lebih bernasib baik apabila diberi peluang bermain selama 90 minit. Tiada
idea untuk menyerang dari tengah dengan menjadikan bahagian sayap sebagai
pembekal utama hantaran-hantaran ke arah pintu gol lawan.
Cleverley sebelum ini antara pemain yang saya
harapkan akan menjadi aset masa depan kelab namun prestasi yang dipamerkannya
dalam tempoh dua musim terakhir cukup membimbangkan saya. Kemuncaknya apabila
peminat-peminat bolasepak England melancarkan petisyen agar Cleverley tidak
disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke pusingan akhir Piala Dunia 2014
berikutan prestasi buruknya bersama United. Bukan hanya Cleverley, malah
sebahagian besar pemain-pemain utama United sebenarnya tidak bermain
sebagaimana mereka patut bermain, manakala pelaburan musim panas sebanyak £27
juta ke atas Marouane Fellaini pula dilabelkan ramai pihak sedang menuju
kegagalan. Saya tidak pernah bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa prestasi
menjunam United musim ini disebabkan sebahagian besar tonggak utama pasukan
sudah berada di titik akhir karier mereka atau lebih tepatnya Moyes mewarisi
skuad pincang dari Sir Alex. Alasan seperti itu saya anggap digunakan sebagai jalan pintas untuk
menutup kelemahan Moyes.
Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra
dan Michael Carrick pada pandangan saya masih boleh memberikan sumbangan besar
buat pasukan untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi tetapi pengurus perlu bijak
melakukan penggiliran pemain supaya kecergasan veteran seperti mereka sentiasa
berada pada tahap terbaik. Sir Alex sudah membuktikannya ke atas Ryan Giggs dan
Paul Scholes hinggakan kedua-dua lagenda ini masih mampu memberikan aksi
terbaik mereka setiap kali diturunkan pada usia mencecah angka hampir 40 tahun.
Jadi dimanakah silapnya? Benarkah prestasi veteran seperti Vidic, Carrick, Evra
dan Ferdinand menjadi penyebab kepada 'kejatuhan' United, manakala
pelapis-pelapis yang lain seperti Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans, Tom
Cleverley atau Alexander Buttner masih belum mampu memikul tanggungjawab dalam
kesebelasan utama United? Fellaini pula masih belum menunjukkan potensi
sebenarnya walau sudah lapan bulan berada di Old Trafford dan dalam masa yang
sama kita juga tidak boleh mengharapkan apa-apa keajaiban dari Juan Mata
memandangkan pemain Sepanyol itu baru enam minggu menyertai kelab.
Bagaimana pula dengan pengurus? Adakah apa
yang dilakukan Moyes baik ketika di dalam mahupun luar padang sejak Jun lalu
menggambarkan bahawa beliau sedang menguruskan sebuah kelab terbesar di dunia? Persembahan
di Athens adalah satu dari beberapa siri permainan buruk yang dipamerkan United
musim ini. Anda mahu meletakkan kesalahan ini di bahu pemain? Ya, pemain perlu
dipertanggungjawabkan tetapi pengurus/jurulatih adalah individu yang turut
memainkan peranan penting di sebalik jatuh bangunnya sesebuah pasukan. Mana
mungkin 11 pemain boleh beraksi di tengah padang tanpa arahan, panduan dan
taktikal permainan yang di rancang oleh seorang individu bernama pengurus/jurulatih.
Anda boleh katakan supaya kita terus bersabar dan memberikan peluang kepada
Moyes sepertimana layanan yang diterima Sir Alex 28 tahun lalu. Bagaimanapun
kita juga perlu mengakui bahawa dunia bolasepak sudah jauh berubah berbanding
20 atau 30 tahun silam. Maaf jika saya katakan bahawa pemikiran seperti itu
sudah tidak lagi sesuai digunakan ketika Chelsea, Manchester City, Arsenal,
Tottenham Hotspurs dan Liverpool semakin jauh meninggalkan kita.
Adakah kita perlu menunggu selama tiga atau
empat musim sebelum Moyes boleh dihakimi? Saya yakin kita tidak sesabar itu
malah pemilik kelab juga tidak mungkin akan menunggu hingga tiga musim untuk
memecat pengurus jika mereka terbukti gagal melaksanakan tugasnya. Sir Alex
pada perlawanan terakhirnya di Old Trafford berpesan kepada penyokong-penyokong
supaya berdiri teguh menyokong Moyes dari belakang, dan sudah tentu saya tidak
akan pernah melupakan detik tersebut kerana saya juga antara yang menyokong
pemilihan Moyes sebagai pengurus United seterusnya. Bagaimanapun selepas
melihat hasil kerja beliau dari Jun hingga sekarang, saya tertanya-tanya berapa
ramai lagikah yang masih ada di belakang beliau untuk terus memberikan
sokongan? Saya menyokong dan meminati Manchester United, tetapi jika ada
individu yang menyebabkan United 'rosak', beliau harus pergi. Dari skuad juara
yang cukup digeruni The Red Devils kini
semakin rosak dan saya berharap masih belum terlambat untuk kerosakkan ini segera
diperbaiki.
Saya pernah katakan sebelum ini bahawa slot
Liga Juara-Juara musim depan adalah misi paling ideal untuk dilaksanakan Moyes
pada musim pertamanya di Old Trafford dan sepertimana kata Ramon Calderon,
kegagalan beraksi di sana adalah bencana buat kelab. Adakah anda berpuas hati
melihat kelab besar seperti United menamatkan saingan liga musim ini di tangga kelima,
keenam atau ketujuh dan beraksi di Liga Europa musim depan? Ron Atkinson pernah
diberikan tanggungjawab selaku pengendali United selama lima musim (1981-1986)
dan dalam tempoh tersebut beliau hanya mampu menghadiahkan dua trofi utama
(Piala FA 1983, 1985) kepada kelab sebelum digantikan Sir Alex. Adakah tempoh
dan peluang yang sama juga patut diberikan kepada Moyes sebelum penilaian
sebenar boleh dilakukan terhadap beliau? Jika Moyes masih kekal sebagai
pengurus United musim depan, saya berharap beliau membuktikan kepada
pengkritik-pengkritiknya bahawa beliau adalah pengganti paling tepat kepada
kekosongan yang ditinggalkan Sir Alex, bukan Juergen Klopp, Pep Guardiola
ataupun Jose Mourinho. Berharaplah agar kita tidak perlu menerima nasib yang
sama sepertimana yang menimpa penyokong-penyokong Liverpool selama ini dan
berharap jugalah bahawa Sir Alex sudah memilih pengganti yang tepat untuk mengisi
kekosongan yang ditinggalkan beliau. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan