25 Julai 2014

MUSIM BAHARU...HARAPAN BAHARU

Menang terutamanya dengan jaringan 7-0 tetap satu keputusan yang bagus walaupun ini hanyalah perlawanan pemanas badan sebelum bermula musim kompetitif yang panjang. Musim 2013-14 adalah musim yang suram buat kelab apabila sekadar menduduki tangga ketujuh liga dan paling perit kedudukan tersebut menyebabkan The Red Devils terlepas aksi di pentas Eropah baik di Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa. Jika musim lalu kita teruja menanti perlawanan-perlawanan pra musim kelab kerana ingin menyaksikan bagaimanakah corak permainan United di bawah kendalian David Moyes selepas tamatnya era 27 tahun Sir Alex Ferguson, begitulah juga halnya dengan musim panas kali ini. Selepas kegagalan Moyes musim lalu.  kelab kini dibimbing pula oleh Louis Van Gaal dan keterujaan sama (mahu melihat bagaimanakah corak permainan United di bawah pengurus baharu) berulang kembali. Kita semua gembira melihat persembahan yang dipamerkan anak-anak buat Van Gaal ketika berdepan LA Galaxy dan sambil itu berharaplah agar kemenangan 7-0 ini merupakan satu isyarat bahawa United akan kembali muncul pencabar yang digeruni musim ini (2014-15). Selain dari kejayaan membolosi gawang skuad bimbingan Bruce Arena itu sebanyak tujuh kali, saya juga tertarik dengan formasi yang digunakan Van Gaal semalam.

Van Gaal menggunakan formasi 3-5-2 dengan meletakkan Luis Antonio Valencia dan Luke Shaw sebagai wing back yang menyokong serangan United dari sebelah kiri dan kanan manakala Jonny Evans, Chris Smalling dan Phil Jones pula membentuk tiga pemain pertahanan tengah. Kita sudah tentu tidak terkejut dengan formasi yang digunakan Van Gaal kerana di Piala Dunia 2014, formasi serupa digunakan beliau ke atas skuad kebangsaan Belanda menerusi kombinasi Ron Vlaar, Bruno Martins Indi dan Stefan De Vrij di benteng pertahanan. Formasi ini sebenarnya hanya baru dua kali dipraktikkan pemain-pemain United dalam sesi latihan, jadi tidak hairanlah mengapa Van Gaal gembira dengan keputusan yang dicapai pemain-pemainnya semalam. Apapun masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa formasi 3-5-2 ini sesuai dengan permainan United  tambahan pula Van Gaal sendiri melakukan perubahan besar di separuh masa kedua dengan melakukan banyak pertukaran pemain. Berjaya membolosi gawang lawan sebanyak tujuh kali sudah tentu sesuatu yang bagus tetapi paling menarik selain dari tujuh gol yang dihasilkan jentera serangan United ialah persembahan Ander Herrera di bahagian tengah. Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, bekas pemain Athletic Bilbao itu menyumbang tiga assist pada aksi pertamanya bersama kelab.

Dalam perlawanan semalam, Herrera bermain didua posisi berbeza. Di separuh masa pertama, beliau bersama-sama Darren Fletcher membentuk gandingan dua pemain di bahagian tengah, manakala di separuh masa kedua pula beliau mengambil alih posisi Juan Mata dengan memainkan peranan selaku pemain nombor 10. Walaupun ini bukanlah perlawanan kompetitif tetapi saya cukup tertarik dengan kebolehan Herrera melakukan hantaran-hantaran jauh tepat yang ditujukan kepada pemain sayap, through pass menarik yang dibekalkannya untuk untuk Wayne Rooney, Danny Welbeck, Nani dan Ashley Young serta sentuhan-sentuhan satu dua mudah yang dilakukannya menyaksikan bola dari bahagian tengah begitu lancar 'mengalir' ke bahagian hadapan. Paling menarik apabila menyaksikan percubaan jarak jauh tepat yang dilakukannya di awal permainan, sesuatu yang sudah begitu lama tidak kita lihat dilakukan pemain-pemain tengah United sejak persaraan Paul Scholes. Jadi tidak hairanlah selepas perlawanan penyokong-penyokong memilih beliau sebagai pemain terbaik perlawanan semalam dalam undian yang dibuat di Twitter kelab. Persembahan beberapa pemain senior yang lain seperti Antonio Valencia dan Ashley Young juga wajar diberikan pujian tetapi LA Galaxy bukanlah lawan tepat untuk mengukur sejauh mana Young mampu bangkit dari prestasi hambar yang dipamerkannya musim lalu.

Di bahagian belakang pula, Evans, Smalling dan Jones nampaknya tidak banyak diuji oleh barisan hadapan Galaxy, jadi sukar untuk menilai kemampuan sebenar mereka dan keberkesanan strategi tiga pemain pertahanan yang digunakan Van Gaal. Saya akui bahawa Evans, Smalling dan Jones adalah pemain pertahanan tengah yang bagus tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa selepas pemergian Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic, kelab sebenarnya hampir kehabisan 'stok' pemain centre back tulen. Di separuh masa kedua, Van Gaal melakukan eksperimen dengan mengubah posisi Fletcher dari bahagian tengah ke benteng pertahanan bergandingan dengan dua pemain muda iaitu Tyler Blackett dan Michael Keane. Bagaimanapun selepas perlawanan Van Gaal mengakui bahawa Fletcher tidak sesuai diletakkan di posisi tersebut (pertahanan tengah) manakala sukar untuk menilai kemampuan sebenar Blackett dan Keane dalam perlawanan bukan kompetitif seperti ini. Untuk itu, kita semua percaya dan berharap bahawa Van Gaal akan berjaya membawa masuk satu atau dua lagi pemain pertahanan yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Vidic dan Ferdinand. Saya berharap apa yang dikatakan Ed Woodward bahawa kelab akan melakukan 'pembelian besar' musim panas ini bukan sekadar cakap-cakap kosong dan pembelian 'besar' yang beliau maksudkan ialah seorang pemain pertahanan tengah.

Di bahagian hadapan pula, gandingan Wayne Rooney dan Danny Welbeck lulus ujian pertama mereka manakala Juan Mata yang berada di belakang dua penyerang ini memain peranan selaku pemain nombor 10 dengan cemerlang. Walaupun Welbeck bermain dengan baik dalam perlawanan semalam, kembalinya Robin Van Persie nanti bakal menyebabkan pemain ini kembali semula sebagai pilihan kedua. Jika Van Gaal mahukan meletakkan Rooney, Van Persie dan Welbeck dalam barisan yang sama, beliau mungkin akan beralih kepada formasi 3-4-3, dan perlawanan-perlawanan pra musim seperti ini adalah medan terbaik untuk beliau menguji sistem permainan mana yang sesuai dengan kebolehan pemain-pemain yang dimilikinya. Selain dari perlawanan pemanas badan sebelum bermulanya musim kompetitif, perlawanan-perlawanan pra musim juga adalah pentas untuk kita melihat kebolehan pemain-pemain muda. Mana-mana kelab pun akan melakukan perkara yang sama seperti apa yang dilakukan United semalam dengan memberikan peluang buat pemain-pemain muda mereka beraksi bersama skuad utama di perlawanan-perlawanan pemanas badan. Semalam kita sudah menyaksikan beberapa pemain dari skuad remaja diberikan peluang bermain bersama-sama rakan senior mereka dan antara yang bertuah kerana diberikan kesempatan tersebut ialah Tyler Blackett, Michael Keane dan Reece James.

Jika Blackett dan Keane berjaya mengekalkan benteng pertahanan daripada dibolosi selepas mereka diberikan peluang beraksi di separuh masa kedua, James pula antara pemain United yang mencuri tumpuan apabila berjaya meledak dua gol dalam perlawanan semalam. Itu bukan sekadar dua gol yang dijaringkan oleh seorang pemain muda tetapi lebih daripada itu dan yang menariknya ialah apabila melihat ketenangan beliau ketika menjaringkan gol-gol tersebut. Mana-mana pemain muda pastinya memasang impian mahu menjaringkan gol untuk skuad senior, dan James sudahpun berjaya memenuhi impiannya semalam. Dua gol yang dihasilkan James juga sebenarnya memberikan kita harapan bahawa selepas kemunculan sensasi Adnan Januzaj musim lalu, kita mungkin menyaksikan seorang lagi pemain muda United mencetuskan impak musim ini. Kita semua tahu bahawa Sir Alex Ferguson sepanjang era 27 tahunnya mengendalikan kelab berjaya mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi hingga menjadi bintang dalam skuad senior. Dari era Ryan Giggs hinggalah ke era Danny Welbeck, akademi kelab tidak pernah ketandusan bakat-bakat muda terbaik untuk dibekalkan kepada skuad utama United. Siapa tahu selepas ini giliran anak muda bernama Reece James, Tyler Blackett atau Michael Keane pula mencipta nama bersama skuad senior. Jika itu berlaku, kita tidak perlu merasa hairan kerana anak-anak muda ini sebenarnya sudah berada di bawah jagaan orang yang tepat. Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Van Gaal. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan