19 Julai 2014

MENANTI YANG DATANG DAN MELIHAT SIAPA YANG BAKAL PERGI

Selepas diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Manchester United yang baharu Mei lalu, Louis Van Gaal akhirnya tiba di Old Trafford Khamis lalu dan memulakan hari pertamanya dengan melawat padang latihan kelab di Carrington. Ketika kebanyakkan pemain-pemain sedang menghabiskan cuti musim panas mereka dan akan hanya kembali ke kem latihan dalam tempoh beberapa hari lagi, tidak banyak yang mampu dilakukan Van Gaal pada hari pertamanya di kelab. Setiap kali tibanya musim baharu, topik yang paling hangat dibincangkan oleh peminat-peminat bolasepak ialah pemain mana yang bakal ditandatangani dan pemain mana yang bakal dilepaskan oleh kelab. Kehadiran Van Gaal kelmarin menyebabkan perdebatan tentang siapa selepas Ander Herrera dan Luke Shaw yang bakal beliau tandatangani semakin hangat diperkatakan dan sudah tentu sejak akhir-akhir ini nama Arturo Vidal, Mats Hummels, Angel Di Maria dan Thomas Vermaelen tidak lekang dari sebutan penyokong-penyokong United. Hingga setakat ini masih samar pemain baharu mana yang bakal ditandatangani kelab selepas kejayaan mendapatkan Herrera dan Shaw. Kehadiran Herrera dan Shaw serta beberapa lagi nama baharu yang saya yakin bakal ditandatangani nanti akan menyaksikan kelab memiliki limpahan pemain sekaligus menyebabkan kelab juga dibebani dengan kos gaji yang tinggi.

Menjual pemain yang dirasakan sudah tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab dan yang tiada dalam perancangan Van Gaal bagi menghadapi saingan musim hadapan adalah jalan penyelesaian terbaik. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand serta Alexander Buttner sudahpun meninggalkan kelab dan saya yakin senarai penghijrahan ini tidak akan berhenti setakat tiga pemain ini sahaja. Sudah tentu ada beberapa lagi pemain yang akan mengucapkan selamat tinggal dan mereka yang sering disebut-sebut bakal menuju pintu keluar selepas pemergian Vidic, Ferdinand dan Buttner ialah Anderson, Nani, Marouane Fellaini, Bebe, Tom Cleverley, Ashley Young serta Javier Hernandez. Walau apa alasan sekalipun, ada antara pemain ini perlu meninggalkan kelab bagi menyelamatkan karier mereka berikutan peluang tampil bermain setiap minggu semakin terhad dan ada juga antara mereka sudah tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan di atas padang ketika diberikan peluang bermain. Dari senarai yang disebutkan tadi, saya sedikit kagum dengan kemampuan Anderson kekal bersama kelab walaupun saban tahun pemain berasal dari Brazil ini sering kali dispekulasikan bakal meninggalkan Old Trafford. Tidak keterlaluan jika saya katakan hanya keajaiban sahaja mampu mengekalkan Anderson di Old Trafford musim hadapan selepas menyaksikan tidak banyak sumbangan yang mampu beliau berikan kepada kelab sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain daripada kerap dibelenggu kecederaan, Anderson juga terpaksa bergelut dengan prestasi sendiri, tidak konsisten dan masih tercari-cari kreativitinya sebagai seorang midfielder yang semakin hilang. Selepas diangkat sebagai pemain terbaik pada kejohanan Piala Dunia Bawah 17 Tahun edisi 2005, agak mengejutkan melihat prestasi Anderson pada hari ini dan jalan terbaik buat beliau ialah meninggalkan Old Trafford dan mencari angin baharu. Menyertai semula Porto atau setidak-tidaknya pulang sahaja ke Gremio mungkin boleh menyelamatkan karier Anderson berbanding jika beliau terus kekal bersama United. Pengguguran namanya dari skuad yang bakal beraksi diperlawanan-perlawanan pra musim menguatkan lagi andaian bahawa Anderson akan diletakkan dalam senarai pemain yang bakal dijual musim panas ini. Tidak seperti Anderson, Nani pula sebenarnya memiliki beberapa musim yang produktif bersama United sejak beliau ditandatangani dari Sporting Lisbon pada 2007. Nani pada awalnya diharap mampu membentuk gandingan menggerunkan bersama Cristiano Ronaldo di kedua-dua bahagian sayap United berdasarkan kepada bakat serta kemahiran yang dimiliki pemain ini. Bukan itu sahaja, selepas Ronaldo menyertai Real Madrid pada 2009, ramai penyokong-peyokong United mengharapkan agar Nani mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan senegaranya itu.

Tempoh terbaik Nani bersama kelab berlaku pada musim 2010-11 apabila beliau melakukan 33 penampilan liga dan menjaringkan sembilan gol sepanjang musim tersebut. Penampilan cemerlang Nani berbayar apabila di akhir musim, United berjaya memenangi kejuaraan liga buat kali ke-19. Musim berikutnya (2011-12), Nani berjaya mengekalkan rentak konsisten walaupun kelab terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan liga mereka kepada Manchester City pada perlawanan terakhir liga. Prestasi Nani terutamanya pada penggal kedua (musim 2011-12) juga cukup menarik hingga membolehkan beliau tersenarai sebagai antara pemain terbaik United musim tersebut. Walau bagaimanapun, dua musim terakhir menyaksikan karier Nani merudum disebabkan beberapa siri kecederaan yang membelenggunya. Kecederaan jugalah yang menyebabkan sumbangan Nani sepanjang dua musim terakhir semakin terbatas hingga memaksa beliau bergelut dengan masalah kurang konsisten dan menjadi penyebab mengapa kelibatnya di atas padang kadangkala seolah-olah 'tidak kelihatan'. Dengan minat yang ditunjukkan Juventus terhadap Nani sejak beberapa tahun terakhir, Van Gaal boleh 'menyelamatkan' karier Nani jika beliau bersetuju melepaskan pemain antarabangsa Portugal ini beraksi di Serie A selain membantu kelab mengurangkan beban kewangan menanggung kos gaji pemain.

Prestasi Nani sepanjang Piala Dunia yang lalu juga saya kira tidak banyak membantu beliau menambat perhatian Van Gaal bagi menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Jika peluang Nani dan Anderson untuk terus kekal bersama kelab semakin tipis, bagaimana pula dengan nasib Marouane Fellaini? 'Pembelian besar' yang dilakukan David Moyes pada Ogos tahun lalu ini nampaknya tidak berjaya menepati jangkaan awal yang diletakkan ramai pihak pada musim pertamanya di Old Trafford. Masa depan Fellaini bersama kelab juga semakin diragukan selepas pemecatan Moyes dan jika diambilkira dari laporan-laporan media sejak kebelakangan ini, peluang Fellaini untuk melanjutkan kariernya di Old Trafford dan bermain di bawah arahan Van Gaal agak tipis. Walau bagaimanapun jika dibandingkan situasi Anderson dan Nani, saya masih berharap agar Fellaini terus diberikan peluang menyarung jersi kelab, kecualilah jika Van Gaal sudah memiliki pengganti pemain ini dan berpendapat Fellaini tidak sesuai dengan rentak dan taktikal permainan yang ingin beliau gunakan nanti. Jika diambilkira kepada sumbangan Fellaini musim lalu, harga sebanyak £27 juta yang dibelanjakan kelab ke atasnya agak mahal dan tidak berbaloi. Walau bagaimanapun jangan lupakan juga bahawa sepanjang musim lalu Moyes lebih banyak menggunakan Fellaini sebagai pemain tengah bertahan berbanding peranan biasa yang dimainkan beliau sebagai pemain tengah dan pemain tengah menyerang ketika bersama Everton.

Berbanding dengan Anderson dan Nani, saya masih menyimpan harapan untuk melihat 'wajah sebenar' Fellaini yang tenggelam musim lalu biarpun beliau adalah antara watak besar di Goodison Park sejak berpindah dari Standard Liege pada 2008. Dari 141 perlawanan liga yang dimainkan Fellaini ketika bersama The Toffees, beliau menjaringkan 25 gol dan mencipta 20 assist, statistik yang perlu dipertimbangkan juga oleh Van Gaal sebelum beliau mengambil apa-apa keputusan berhubung nasib pemain ini bersama kelab. Andai ada anugerah untuk mengiktiraf dan diberikan kepada pemain United paling gagal sepanjang musim lalu, Ashley Young adalah individu paling tepat untuk menerimanya. Agak malang buat bekas pemain Aston Villa ini, selepas melalui tempoh yang agak sukses pada musim pertamanya di Old Trafford (musim 2011-12) dan berjaya memenangi kejuaraan liga pada musim keduanya bersama kelab, prestasi Young jatuh menjunam musim lalu. Beliau muncul pemain United yang paling teruk dikritik penyokong-penyokong sendiri selain Tom Cleverley dan menjadi bahan ejekkan di laman-laman sosial. Biarpun prestasinya di atas padang sering dipertikaikan penyokong-penyokong, Young masih mampu tampil sebanyak 20 perlawanan liga musim lalu dan dalam hal ini, beliau sepatutnya berterima kasih kepada Moyes atas peluang dan kepercayaan yang diberikan pengendali itu terhadapnya.

Jika Young bernasib baik dan Van Gaal mahukannya terus kekal bersama kelab, beliau perlu bekerja keras meningkatkan semula prestasi sebenarnya atau jika tidak, pemain antarabangsa England ini akan mendapati sebahagian besar musim hadapan akan dihabiskannya di bangku simpanan. Berbekalkan prestasi yang dipamerkan Young sepanjang musim lalu, harapan beliau untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama United musim hadapan sukar tambahan pula dengan kecenderungan Van Gaal yang gemar mengetengahkan pemain-pemain muda dalam skuadnya. Ketika ini kelab memiliki dua pemain muda di bahagian sayap (Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha) yang boleh bermain di sebelah kiri dan kanan, manakala Antonio Valencia pula menambahkan lagi persaingan sengit di posisi sayap kanan. Januzaj sudah membuktikan kemampuannya musim lalu manakala Zaha pula dipinjamkan ke Cardiff City selepas gagal mendapatkan tempatnya dalam skuad utama United di bawah kendalian Moyes. Zaha adalah pembelian yang dilakukan Sir Alex Ferguson pada musim terakhirnya sebelum bersara dan dianggap prospek masa depan bolasepak England. Bagaimanapun nasib Zaha tidak sebagus Januzaj dan di Cardiff City beliau hanya bermain sebanyak 14 perlawanan.

Agak malang, selepas melihat segala potensi yang ada pada dirinya ketika bersama Crystal Palace, Zaha gagal merebut tempat dalam skuad kendalian Moyes hingga memaksa beliau menghabiskan separuh musim sebagai pemain pinjaman. Jika diberikan pilihan saya berharap Zaha kekal bersama United memandangkan faktor umur yang masih menyebelahi bekas pemain Crystal Palace itu selain boleh menjadi alternatif di bahagian sayap sekiranya Van Gaal melepaskan Nani dan Young. Berbanding dengan semua pemain yang saya sebutkan di atas, Javier Hernandez pula sebenarnya berada dalam situasi yang jauh berbeza. Beliau perlu meninggalkan Old Trafford bukan disebabkan prestasi buruknya tetapi kualiti yang ada pada dirinya terlalu bagus untuk sekadar memanaskan bangku simpanan. Setakat ini kita tidak pasti apakah Hernandez ada dalam perancangan Van Gaal tetapi jika beliau masih kekal menyarung jersi United, nasibnya akan sama seperti musim-musim sebelumnya iaitu hanya berperanan sebagai pengganti kepada Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Danny Welbeck. Saya tidak nafikan ketajaman naluri pembunuh Hernandez ketika berada dalam petak penalti lawan bukan sahaja lebih bagus berbanding Welbeck malah beliau juga lebih bagus berbanding beberapa penyerang utama yang beraksi untuk kelab-kelab di Liga Perdana.

Dari 24 penampilan liga musim lalu, Hernandez hanya disenaraikan dalam kesebelasan permulaan sebanyak 6 kali tetapi beliau masih mampu meledak 4 gol untuk United. Hernandez adalah jenis penyerang tradisional yang hanya boleh bermain disatu posisi ketika di atas padang dan itulah kelemahan utamanya. Semasa peringkat awal kehadiran Hernandez di Old Trafford, ramai penyokong-penyokong United membandingkan beliau dengan lagenda sebelumnya iaitu Ole Gunnar Solskjaer. Mereka (penyokong-penyokong) berharap agar Hernandez kekal lama bersama kelab sekaligus mengikut jejak bekas bintang antarabangsa Norway itu.  Bagaimanapun saya tidak yakin Hernandez mampu terus bersabar dengan memainkan peranan selaku supersub hingga menjejaskan peluangnya bersama skuad kebangsaan Mexico. Di Piala Dunia 2014, kegagalan beraksi setiap minggu untuk kelab sudah mula menampakkan kesan kepada karier Hernandez bersama skuad El Tricolor apabila beliau sekadar diletakkan oleh Miguel Herrera selaku pengganti kepada Oribe Peralta. Bagi menyelamatkan kariernya, Hernandez boleh dijual atau meminta supaya dijual agar beliau dapat menikmati aksi perlawanan setiap minggu di tempat lain. Beliau antara pemain United yang cukup disenangi dan saya yakin penyokong-penyokong akan mendoakan kejayaan beliau walaupun tidak lagi menyarung jersi merah The Red Devils.

Sehingga setakat ini United masih kekal dengan Herrera dan Shaw sebagai pemain baharu yang dibawa masuk dan sudah semestinya kita menantikan siapakah pemain seterusnya yang akan ditandatangani kelab bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Ketika kita menanti apakah perpindahan Arturo Vidal, Mats Hummels, Thomas Vermaelen dan beberapa lagi pemain yang digembar-gemburkan berada dalam radar buruan kelab mampu direalisasikan, Van Gaal pula cuba menenangkan penyokong-penyokong dengan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak mahu terburu-buru berbelanja musim panas ini. Van Gaal pengendali berpengalaman jadi sudah tentu beliau tahu pemain mana yang dimahukannya serta sesuai dengan plan permainan yang bakal beliau gunakan nanti. Selaku pengendali berpengalaman dan sudahpun memenangi berbagai trofi kejuaraan sebelum ini, kehadiran beliau di sini sudah tentulah berbekalkan misi untuk memenangi sesuatu. Beliau sudah pun membuktikannya ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar serta Bayern Munich dan kini sama-samalah kita berharap agar sentuhan ajaibnya berterusan di Old Trafford pula. Pemain mana yang bakal datang dan pemain mana yang bakal pergi bukanlah perkara yang terlalu penting kerana saya hanya ingin melihat di manakah kedudukan United sebaik musim 2014-15 berakhir. Adakah musim ini lebih baik berbanding musim lalu? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan