10 September 2015

NORTH WEST DERBY...SENGKETA YANG TIDAK AKAN ADA PENAMATNYA


Apabila kita bercakap tentang Liga Perdana atau lebih tepatnya bolasepak England, tidak lengkap rasanya jika tidak menyebut tentang perseteruan panjang yang membabitkan Manchester United dan Liverpool. Saya akui, Liverpool sekarang bukanlah Liverpool yang begitu gah ketika mereka di bawah era kendalian Bill Shankly, Bob Paisley, Joe Fagan ataupun Kenny Dalglish, tetapi itu tidak bermakna bahawa North West Derby juga sudah hilang serinya.

Meskipun Shankly boleh dianggap sebagai `Bapa Bolasepak’ Liverpool, pengunduran beliau dari kerusi pengurus pada musim panas 1974 langsung tidak menjejaskan empayar yang beliau bina di Anfield selepas meninggalkan Huddersfield Town pada 1959. Di bawah era Paisley, Fagan dan Dalglish, Liverpool mendominasi pentas bolasepak Inggeris dan Eropah selama 15 tahun (1975 hingga 1990).

Ketika Liverpool sukses menakluk pentas domestik dan Eropah, United pula masih tercari-cari sosok pengurus yang mampu meletakkan kembali The Red Devils di tempat sepatutnya sejak kali terakhir Sir Matt Busby dan skuadnya membawa pulang trofi liga pada musim 1966/67. Paling malang, saat Liverpool menikmati kegemilangan mereka dengan muncul kelab Inggeris paling di cemburui ketika itu, United pula sekadar beraksi di Divisyen 2 liga England sepanjang musim 1974/75.

Itu cerita dulu kerana keadaan kini sudah berputar 360° darjah. Di mana pun kedudukan United dan Liverpool dalam carta liga, satu hakikat yang anda tidak boleh nafikan ialah betapa dua kelab ini merupakan ikon bolasepak England, meskipun Chelsea serta Manchester City tiba-tiba muncul sebagai pencabar kejuaraan liga dalam tempoh sepuluh tahun terakhir menerusi pelaburan besar yang dilakukan Roman Abramovich dan Sheikh Mansour Al-Nahyan.

Dan tidak boleh dinafikan juga bahawa saban tahun penyokong-penyokong United serta Liverpool menjadikan pertembungan dua musuh tradisi ini sebagai `acara tahunan’ paling dinanti-nanti berbanding jika United atau Liverpool bertemu pencabar domestik yang lain. Hujung minggu ini, kedua-dua kelab sekali lagi bakal berdepan buat kali ke-166 dalam sejarah pertembungan mereka (dalam saingan liga).

Sepertimana pertembungan yang membabitkan United dan Liverpool sebelum ini sejak kali pertama mereka bertemu pada 28 April 1894, saya yakin atmosphere North West Derby kali ini akan tetap panas. Tidak dapat dipastikan secara tepat sejak bila kedua-dua kelab ini saling bemusuhan, namun ada pendapat yang mengatakan bahawa bibit-bibit kebencian mula timbul selepas terbinanya sebuah terusan yang dinamakan Manchester Ship Canal pada 1 Januari 1894.

Dengan terbinanya terusan sepanjang 58 km ini, kebergantungan kepada Pelabuhan Liverpool untuk membawa masuk bahan mentah kepada industri kapas di Manchester (ketika kemuncak zaman revolusi perindustrian) turut berakhir, sekaligus menjejaskan mata pencarian ribuan warga Liverpool yang menjadikan pekerjaan di pelabuhan sebagai sumber mata pencarian. Jadi memang ada logiknya bahawa perseteruan dua kota ini sudah bermula sebaik terusan Manchester ini memulakan operasinya secara rasmi kira-kira 121 tahun yang lalu.

Setahun selepas siapnya Terusan Manchester, Newton Heath (nama asal United) dan Liverpool akhirnya bertembung sesama sendiri pada aksi yang diadakan di Anfield pada 12 Oktober 1895. Kemenangan 7-1 yang dilakar Liverpool dalam perlawanan itu kekal sebagai rekod jaringan terbesar membabitkan perseteruan 117 tahun antara kedua-dua kelab.

Jika kewujudan Terusan Manchester menyebabkan bibit kebencian mula timbul antara dua kota yang dipisahkan dengan jarak tidak sampai 50 km ini, kehadiran Bill Shankly sebagai pengurus di Anfield pula adalah permulaan kepada maraknya permusuhan antara United dan Liverpool. Shankly sendiri sebenarnya mengagumi pencapaian skuad kendalian Sir Matt Busby tetapi dalam masa yang sama beliau meletakkan misi besar mahu menyingkirkan United sebagai penguasa bolasepak Inggeris ketika itu.

Situasi Shankly ketika peringkat awal karier pengurusannya di Anfield sebenarnya mirip dengan apa yang dihadapi Sir Alex Ferguson di Old Trafford selepas beliau dilantik menggantikan Ron Atkinson. Hanya dalam tempoh lima tahun, Shankly berjaya mengangkat Liverpool dari kelab yang pernah beraksi di Divisyen 2 kepada juara Divisyen 1 (musim 1963-64), sekaligus memecah dominasi United dan Everton yang berada pada puncak prestasi mereka ketika itu.

Dua tahun kemudian (musim 1965-66), Shankly sekali lagi berjaya mengemudi Liverpool menjulang trofi liga selain kejayaan memenangi kejuaraan Piala FA buat pertama kalinya dalam sejarah kelab Merseyside itu. Bermula pertengahan era 60’an pula, persaingan antara United dan Liverpool bertambah sengit dimana pertembungan antara kedua-dua kelab ini dianggap sebagai `acara tahunan’ terbesar dalam kalendar bolasepak Inggeris.

Selepas kejayaan berganda musim 1965-66, Shankly gagal menghadiahkan sebarang trofi dalam kabinet kejuaraan di Anfield. Bagaimanapun sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya menanamkan kepercayaan bukan sahaja dalam diri pemain-pemainnya tetapi juga penyokong-penyokong The Reds bahawa mereka adalah kelab terbesar di England.

Lebih daripada itu, Shankly meletakkan United yang sedang merajai bolasepak Inggeris ketika itu sebagai sasaran yang harus mereka atasi. Sebagai kota paling hampir dan dengan sejarah permusuhan sebelum ini, mengalahkan United di atas padang merupakan motivasi paling utama yang ditanamkan Shankly dalam diri barisan pemain-pemainnya.

Jika era sebelumnya United begitu sukses mendominasi bolasepak Inggeris, dekad 70’an pula menyaksikan tampuk penguasaan bertukar tangan. Apa yang paling dibimbangi penyokong-penyokong United akhirnya menjadi kenyataan apabila kelab tersingkir ke Divisyen 2 pada musim 1974-75, sambil kuasa dominan kini berada ditangan Liverpool pula yang menang lima kejuaraan liga sepanjang dekad tersebut.

Kejayaan United pimpinan Tommy Docherty mengatasi Liverpool di pentas final Piala FA 1977 sedikit sebanyak mencetus sedikit sinar ketika gemilang ciptaan The Busby Babes hanya tinggal sejarah untuk dikenang. Walaupun kemenangan 2-1 yang dilakar United ke atas skuad bimbingan Bob Paisley menerusi jaringan Stuart Pearson dan Jimmy Greenhoff tidak mampu menamatkan dominasi Liverpool, kejayaan itu tetap satu kemenangan psikologi ke atas The Reds ketika mereka mula meniti zaman keemasan mereka.

Dekad 80’an pula menyaksikan tidak banyak perubahan besar berlaku dengan Liverpool terus menguasai pentas bolasepak England apabila mereka menang enam kejuaraan liga sepanjang tempoh sepuluh tahun. Berbanding United yang ditinggalkan Sir Matt Busby, Liverpool pula masih mampu mengekalkan penguasaan mereka meskipun diterajui oleh tiga individu berbeza (Bob Paisley, Joe Fagan dan Kenny Dalglish) selepas berakhirnya era Bill Shankly di Anfield.

Ketika kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Liverpool terus dicemburui, United di bawah kendalian Ron Atkinson pula berjaya memenangi kejuaraan Piala FA sebanyak dua kali (musim 1982-83 dan 1984-85). Sir Alex Ferguson yang dibawa masuk pihak pengurusan United bagi menggantikan tempat Atkinson pula muncul arkitek di sebalik kejayaan kelab menjulang kejuaraan Piala FA (musim 1989-90).

Siapa sangka kejayaan Sir Alex menghadiahkan trofi sulungnya (Piala FA) sebagai pengurus di Old Trafford rupa-rupanya petanda bahawa era keemasan Liverpool selama dua dekad sebagai penguasa bolasepak Inggeris bakal berakhir. Resah penyokong-penyokong United menanti bilakah tamatnya kemarau 26 tahun kejuaraan liga menemui titik nokhtah apabila Steve Bruce dan Bryan Robson menjulang trofi tersebut di penghujung musim 1992-93.

Lebih manis kejayaan itu juga menandakan bahawa United merupakan kelab pertama yang menjulang kejuaraan Liga Perdana selepas format baharu saingan liga diperkenalkan oleh FA England. Tiga tahun selepas kejayaan United merangkul kejuaraan liga, dua musuh tradisi ini kembali dipertemukan di pentas final Piala FA buat kali kedua sejak kejayaan anak-anak buah Tommy Docherty ke atas The Reds pada edisi 1976-77.

Sepertimana pertembungan pertama di Wembley 19 tahun yang lalu, United sekali lagi muncul pemenang menerusi jaringan tunggal Eric Cantona. Hingga sekarang saya masih tidak dapat melupakan detik dimana maestro dari Perancis ini melepaskan voli menarik yang melepasi celah-celah pertahanan Liverpool sebelum menerjah gawang David James ketika masa sebenar permainan berbaki lima minit untuk ditamatkan.

Hingga sekarang rakan-rakan saya dari kalangan penyokong Liverpool masih bercakap tentang perlawanan ini jika sesekali kami bertemu. Jadi fahamlah saya betapa dalamnya luka yang masih berbekas akibat dari kekalahan ini walaupun sepuluh tahun selepas itu Liverpool berjaya menewaskan United di pentas final Piala Worthington (Piala Liga) menerusi jaringan Steven Gerrard dan Michael Owen.

Sejak kali terakhir The Reds menjulang kejuaraan liga pada musim 1989-90, kini tiba pula giliran mereka menyaksikan kembalinya United sebagai raja bolasepak England. Sepertimana yang pernah beliau janjikan, bahawa kehadirannya di Old Trafford berbekalkan misi mahu menamatkan dominasi Liverpool, Sir Alex memacu kejayaan United dengan memenangi kejuaraan demi kejuaraan sepanjang dekad 90’an.

Dalam tempoh sepuluh tahun, Sir Alex memacu kejayaan United di peringkat domestik menerusi enam kejuaraan liga, tiga kejuaraan Piala FA, satu kejuaraan Piala Liga dan lima kejuaraan Perisai Komuniti. Gemilang paling besar ciptaan Sir Alex sepanjang dekad tersebut (90’an) pastinya saat United menundukkan Bayern Munich secara dramatik di pentas final Liga Juara-Juara `99 menerusi dua gol lewat permainan sumbangan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer.

Kejayaan gemilang di Nou Camp itu melengkapkan kejuaraan treble The Red Devils sekaligus menandakan musim paling gemilang sepanjang karier pengurusan Sir Alex di Old Trafford. Hingga kini tiada mana-mana kelab Inggeris yang mampu menyamai pencapaian United dengan memenangi tiga kejuaraan sekaligus (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) dalam semusim. Dengan begitu ketatnya persaingan di Liga Perdana, saya yakin pencapaian yang dilakar skuad Treble `99 United sukar dihampiri apatah lagi diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris.

Selepas dekad 90’an yang penuh gemilang ditinggalkan, United nampaknya masih lagi kekal sebagai barisan paling dicemburui di Liga Perdana. Meskipun Chelsea tiba-tiba muncul sebagai kelab besar bolasepak Inggeris diikuti Manchester City menerusi kuasa wang yang dicurahkan pemilik kelab, United masih mampu menambah lima lagi koleksi kejuaraan liga dalam kabinet trofi mereka.

Sepanjang sepuluh tahun dekad millennium, United, Chelsea dan Arsenal silih berganti menjulang trofi Liga Perdana, manakala Liverpool pula terus memerhati dari jauh. Paling hampir The Reds mendekati United ialah pada musim 2008-09, tetapi kegagalan mengekalkan momentum di penghujung musim menyebabkan barisan kendalian Rafa Benitez terpaksa berputih mata.

Musim 2008-09 saya anggap antara musim paling sengit membabitkan perlumbaan mengejar kejuaraan liga, apatah lagi ia melibatkan dua kelab yang saling bermusuhan seperti United dan Liverpool. Kecundangnya Liverpool dalam perebutan kejuaraan liga ketika itu bukan hanya disebabkan faktor konsistensi tetapi juga kegagalan Rafa Benitez mengawal emosi hasil dari beberapa siri perang psikologi yang dilancarkan Sir Alex.

Ternyata, Sir Alex memang seorang pakar strategi bukan sahaja di dalam tetapi juga diluar padang. Siri-siri perang psikologi yang lancarkan Sir Alex terhadap Benitez berhasil menyentap emosi warga Sepanyol itu. Benitez ketika itu lebih sibuk menangkis serangan-serangan yang dilancarkan Sir Alex di hadapan media berbanding memikirkan strategi paling sesuai untuk diterapkan kepada barisan pemainnya. Hasilnya di akhir musim, United menang kejuaraan liga buat kali ke-18 sekaligus menyamai pencapaian sepanjang zaman Liverpool sebelum ini.

Satu-satunya faktor yang boleh membuatkan penyokong-penyokong Liverpool tersenyum di sebalik kegagalan kelab kesayangan mereka mengekang United dari menjulang kejuaraan Liga Perdana ialah kemenangan 4-1 yang dilakar The Reds pada aksi liga yang berlangsung di Old Trafford pada Mac 2009. Kekalahan itu merupakan kekalahan terbesar Sir Alex di gelanggang sendiri sepanjang kariernya sebagai pengurus United.

Menyaksikan rekod 18 kejuaraan liga mereka disamakan United bukanlah sesuatu yang ingin dilihat penyokong-penyokong Liverpool, apatah lagi generasi sebelumnya pernah mempersendakan kemampuan United menyamai catatan tersebut. Kini segalanya sudah berubah, selepas kejayaan pada musim 2008-09, United di bawah kendalian Sir Alex menambah dua lagi koleksi kejuaraan liga sekaligus muncul kelab paling berjaya di England.

Suksesnya United ketika di bawah era Sir Alex menyebabkan mereka semakin dicemburui dan mungkin juga punca mengapa api perseteruan antara kedua-dua kelab bertambah marak hinggakan kita yang berada jauh di sini turut terbawa-bawa dengan sentimen yang berlaku di sana. Dalam beberapa tahun terakhir, beberapa insiden tercetus di atas padang, sekaligus menggambarkan tahap sebenar kebencian yang ada dalam diri pemain dari kedua-dua pasukan.

Pada 2006, tindakan Gary Neville yang berlari dihadapan penyokong-penyokong Liverpool kerana merayakan kemenangan United ke atas seteru tradisi mereka itu menyebabkan beliau didenda FA England. Insiden itu rupa-rupanya meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada Neville kerana kelibatnya terus dijadikan sasaran kemarahan penyokong-penyokong Liverpool walaupun ketika beliau menyarung jersi kebangsaan England. Hingga ke hari ini pun, nama Gary Neville masih kekal sebagai nama yang paling dibenci oleh penyokong-penyokong Liverpool.

Insiden paling terkenal sudah tentu membabitkan Patrice Evra dan Luis Suarez pada Oktober 2011 hingga mengakibatkan penyerang Uruguay itu digantung lapan perlawanan kerana didapati bersalah atas tuduhan menghamburkan kata-kata berbaur perkauman. Empat bulan selepas itu, Suarez melanjutkan persengketaannya dengan Evra apabila enggan berjabat tangan ketika kedua-dua kelab bertembung dalam aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford.

Reaksi yang ditunjukkan pemain seperti Gary Neville, Wayne Rooney, Jamie Carragher, Patrice Evra, Steven Gerrard atau Luis Suarez memang mudah difahami kerana pertembungan United dan Liverpool bukan sekadar aksi bolasepak di atas padang. Di hadapan kaca televisyen pun anda boleh rasakan semangat bolasepak sejati, kebanggaan dan keghairahan yang dipamerkan pemain kedua-dua pasukan ketika di atas padang.

Atas sebab itulah mengapa perlawanan United/Liverpool sentiasa dianggap sebagai `acara tahunan terbesar’ oleh penyokong kedua-dua kelab. Bagaimanapun di sebalik semua kebencian, permusuhan dan persaingan yang membabitkan kedua-dua kelab ini, tetap ada rasa hormat yang tinggi ditunjukkan dari kem kedua-dua belah pihak. Ikon di Anfield, Jamie Carragher pernah menegaskan bahawa perseteruan di antara kedua-dua kelab sepatutnya tidak memudarkan rasa dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Saya selalu menghormati mereka. Mereka kelab yang besar, sama seperti kami dan mereka juga menghormati kami. Di United tidak ada pemain yang patut anda benci”, kata Carra. Senada dengan Carra, Ryan Giggs turut menegaskan bahawa beliau sentiasa menghormati Liverpool kerana sejarah yang dimiliki kelab berkenaan. “Saya amat menghormati Liverpool kerana sejarahnya. Bagaimanapun saya juga terpaksa mengakui bahawa pasukan inilah yang membuatkan saya gembira jika berjaya mengalahkan mereka”, kata Giggsy.

Tidak kira di pihak mana pun anda berada, selepas melihat sejarah panjang perseteruan membabitkan kedua-dua kelab ini, anda akhirnya terpaksa mengakui bahawa United dan Liverpool merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris. Dengan himpunan 121 kejuaraan berprestij dalam kabinet trofi masing-masing, tidak sukar untuk memahami mengapa dua kelab dengan jersi merah ini tidak pernah berhenti dari bermusuhan.

“Clash of the Titans”, “The Battle of Reds”, “Battle of the North West Derby” antara gelaran yang diberikan warga bolasepak bagi menggambarkan betapa penting dan besarnya setiap perlawanan yang membabitkan United dan Liverpool. Ketika generasi pengurus, pemain dan penyokong kedua-dua pasukan silih berganti, hanya satu perkara yang tidak akan berubah sampai bila-bila…iaitu permusuhan antara United dan Liverpool tidak akan pernah ada nokhtahnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

1 ulasan: