Ketika perdebatan tentang betapa tingginya
nilai harga yang terpaksa dibayar Manchester City bagi membawa keluar Raheem
Sterling dari Anfield baru sahaja reda, kini tiba pula giliran United melakukan
kejutan dalam dunia bolasepak England menerusi yuran perpindahan yang mereka
terpaksa bayar kepada AS Monaco untuk seorang pemain muda bernama Anthony
Martial. Berbagai reaksi dari penyokong-penyokong Manchester United yang saya
baca di media-media sosial tentang keputusan Van Gaal menandatangan Martial, hanya
beberapa jam sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup.
Saya faham, ketika kita mengharapkan agar rumour perpindahan Neymar Jr, Thomas
Muller atau Gareth Bale yang dimainkan media sebelum ini menjadi kenyataan,
kehadiran pemain kurang dikenali seperti Martial pastinya menyebabkan ramai di
kalangan kita yang kecewa. Saya akui Martial bukanlah signing impian penyokong-penyokong United sepertimana mereka
impikan kedatangan Neymar, Muller ataupun Bale, tetapi ini bukanlah masa yang
sesuai untuk pemain muda ini dihakimi.
Martial belum lagi menyentuh bola pertamanya
sebagai pemain United, jadi biarkan sahaja beliau membuktikan dahulu
kemampuannya di atas padang sebelum sebarang label negatif diletakkan di atas
bahunya. £36 juta yang dilaburkan untuk pemain yang baru berusia 19 tahun saya
anggap agak `gila’ tetapi jika benar beliau memang memiliki bakat besar
hinggakan dilabel sebagai `Thierry Henry Baharu’, United khususnya Van Gaal saya
anggap sudah memilih jalan yang betul.
Lihat pelaburan yang dilakukan Manchester
City ke atas Raheem Sterling kali ini. Walaupun pada mulanya dianggap `gila’
oleh ramai pihak tetapi hasilnya mereka begitu sukses di atas padang meskipun
Manuel Pellegrini tidak melakukan pembelian besar-besaran sepertimana lazim yang
dilakukan City dalam tempoh beberapa musim terakhir. Ramai berpendapat prestasi
bagus yang dipamerkan City di awal musim berpunca daripada bagaimana bijaknya
Pellegrini menggunakan kelebihan milik Sterling dalam taktikal permainannya.
Sudah tentu, melihat apa yang telah dilakukan
Sterling bersama City setakat ini, saya berharap Martial juga mampu melakukan
impak yang sama di Old Trafford. Tetapi jangan terlalu mengharapkan impak
segera dari anak muda ini walaupun beliau muncul pemain remaja yang mencatatkan
jumlah jaringan tertinggi berbanding rakan-rakan seangkatannya yang beraksi
dalam lima liga utama di Eropah.
Buat masa ini terima sahaja hakikat bahawa
perpindahan pemain dalam era bolasepak moden bukan sahaja mengejutkan tapi
kadangkala sedikit gila. Sebelum ini saya tidak pernah menyangka bahawa Real
Madrid akan memecahkan rekod dunia yang mereka pegang ketika menandatangani
Gareth Bale dan saya masih agak terkejut melihat nilai yang terpaksa dibayar
City untuk mendapatkan seorang pemain muda seperti Raheem Sterling.
Ketika saya merasakan nilai yang dibayar City
kepada Liverpool untuk Sterling terlalu mahal, Van Gaal pula membuatkan saya tertanya-tanya
apa istimewanya Anthony Martial hinggakan beliau sanggup membelanjakan hingga
£36 juta bagi membawa keluar pemuda ini dari Stade Louis II? Ramai yang
mengatakan bahawa ini adalah `pembelian panik’ saat akhir terutamanya selepas Van
Gaal menyaksikan anak-anak buahnya pulang dengan tangan kosong dari Stadium
Liberty hujung minggu lalu. Benarkah begitu?
Sebenarnya saya agak keliru dengan keputusan
Van Gaal membayar harga yang begitu mahal untuk seorang pemain muda seperti
Martial sedangkan sebelumnya beliau begitu `berkira’ ketika peluang mendapatkan
pemain yang lebih berpengalaman dan sudah terbukti kemampuannya seperti Pedro
Rodriguez terbentang luas. Pedro menyertai Chelsea bukan kerana beliau tidak
mahu ke Old Trafford, tetapi kerana United tidak bersetuju dengan tandaharga
sebanyak €30 juta yang diletakkan Barcelona ke atas pemain itu.
Jika dibandingkan dengan Pedro yang jauh
lebih berpengalaman dan sudah memenangi banyak pingat kejuaraan sepanjang
kariernya di Nou Camp, pencapaian dan perjalanan Martial masih terlalu jauh.
Bagaimanapun Martial memiliki kepantasan berbanding Pedro dan atas sebab itulah
mengapa kelibatnya di atas padang sering dibandingkan dengan lagenda Arsenal
dan Perancis, Thierry Henry.
Paling penting bukan sahaja kerana bakat yang
dimilikinya tetapi Martial juga merupakan pemain hadapan yang serba boleh. Di Monaco, Leonardo Jardim beruntung kerana
beliau memiliki pemain versatile
seperti Martial dalam skuadnya. Pemain ini boleh bertindak sebagai centre forward, left wing attacker atau right wing attacker. Jenis pemain
seperti ini sebenarnya memang cocok dengan formasi 4-3-3.
Bagi seorang bakat muda seperti Martial,
beliau memang diletakkan sebagai antara pemain yang bakal menyinar suatu hari
nanti dan aset masa depan bolasepak Perancis. Penampilannya pada saingan Ligue
1 musim lalu membuka mata ramai pihak menerusi sembilan gol yang dijaringkannya
dari 35 penampilan. Aksinya di Liga Juara-Juara pula saya yakin tidak akan
pernah dilupakan oleh penyokong-penyokong Arsenal.
Statistiknya di atas padang sepanjang kempen
AS Monaco di Ligue 1 pula menunjukkan Martial menjaringkan 9 gol dari 23
percubaan yang dilepaskan ke arah gawang lawan, manakala peratus hantaran
sempurna yang dilakukannya pula ialah 69.6% (345 hantaran tepat dari 482
percubaan). Melihat kepada potensi yang ada dalam diri pemain ini dan prestasi
bagusnya sepanjang musim lalu, Van Gaal mungkin melihat bahawa Martial adalah
opsyen terbaik dalam menyelesaikan masalah yang beliau hadapi di bahagian
hadapan pasukannya.
Sepertimana kata Didier Deschamps, Martial
memiliki kombinasi kekuatan dan kepantasan dalam permainannya, jadi saya
berharap beliau tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan corak permainan
Liga Perdana yang lebih fizikal. Buat pertama kalinya, Martial berpeluang
merakamkan caps pertamanya bersama
skuad kebangsaan Perancis selepas beliau disenaraikan Deschamps untuk aksi
kelayakan Euro 2016 berdepan Portugal dan Serbia.
Akhirnya saya sedikit bersetuju bahawa
Anthony Martial mungkin `pembelian panik’ saat akhir yang dilakukan Van Gaal
selepas beliau gagal mendapatkan nama-nama besar untuk diletakkan di bahagian
hadapan skuad The Red Devils.
Bagaimanapun dalam masa yang sama saya juga tidak boleh menidakkan potensi
besar yang dimiliki Martial selain kemampuan Van Gaal dalam membentuk pemain
muda. Cuma seperti yang saya katakan di awal tadi, harga yang terpaksa dibayar
United kepada AS Monaco sedikit gila.
Siapa tahu suatu hari nanti pemain yang namanya
Wayne Rooney sendiri tidak pernah dengar ini bakal menepati ramalan sebagai
`Thierry Henry Baharu’? Ketika itu pastinya tanpa ragu kita akan katakan bahawa
inilah pembelian terbaik yang pernah dilakukan Van Gaal. Sebelum segala
kemungkinan itu berlaku, apa kata jika saya cadangkan supaya anda saksikan
dahulu aksi Martial bersama skuad kebangsaan Perancis (jika beliau
diturunkan Deschamps) ketika menentang Portugal dan Serbia nanti. Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan