15 September 2015

`THIERRY HENRY BAHARU' ATAU `JELMAAN PAOLO ROSSI' YANG GAGAL

Sama seperti penyokong Manchester United yang lain, saya juga nampaknya tidak dapat menahan diri dari bercakap tentang pemuda bernama Anthony Martial ini. Ketika keputusan United membayar £36 juta dipersoalkan Arsene Wenger, Martial pula tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan betapa beliau memang layak memegang status sebagai pemain remaja termahal dunia. Gol jaringan Martial ke gawang Liverpool pada pertemuan North West Derby kelmarin dianggap ramai pihak persis apa yang pernah dilakukan Thierry Henry semasa zaman gemilangnya di Highbury.

Dimasukkan Van Gaal sebagai pengganti Juan Mata ketika masa sebenar permainan masih berbaki 25 minit untuk ditamatkan, Martial hanya memerlukan 20 minit untuk merakamkan gol sulungnya pada penampilan pertama dengan jersi merah United. Ini bukan tentang gol pertama dari seorang anak muda yang hanya berusia 19 tahun pada saingan tertinggi bolasepak Inggeris, tetapi bagaimana cara gol itu dihasilkan. Menerima hantaran Ashley Young, Martial melarikan bola dari sebelah kiri, membelah tiga pertahanan Liverpool dan kemudiannya mudah menolak bola masuk dengan kaki kanan ke gawang Simon Mignolet.

Cara Martial menjaringkan gol tersebut langsung tidak menggambarkan bahawa inilah aksi pertamanya dalam saingan bolasepak Inggeris, liga yang digambarkan paling sukar di dunia oleh kebanyakkan warga bolasepak. Masih sukar untuk saya percaya bagaimana mudahnya Martial melepasi kekangan Martin Skrtel, seorang defender yang memang kita kenal memiliki reputasi tidak punya belas ikhsan kepada mana-mana penyerang lawan di Liga Perdana. Gol itu juga menyebabkan Christian Benteke `tidak diingati’, walaupun bekas penyerang Aston Villa itu menjaringkan gol tercantik dalam saingan liga setakat ini, dua minit sebelum Martial meledak gol sulungnya untuk United.

Saya yakin sebelum ini tidak ramai penyokong-penyokong United ambil tahu siapa sebenarnya sosok anak muda yang dilahirkan pada 5 Disember 1995 ini, walaupun di negara asalnya beliau diletakkan sebagai antara bintang masa depan bolasepak Perancis. Bagaimanapun segalanya berubah dengan begitu pantas, apabila timbulnya laporan bahawa United sudah pun membentangkan tawaran kepada AS Monaco untuk membawa beliau keluar dari Stade Louis II. Belumpun kejutan kegagalan kelab mendapatkan Pedro Rodriguez reda, kita disentak pula dengan perkhabaran bahawa kelab terpaksa membayar sebanyak £36 untuk khidmat seorang pemain yang masih belum terbukti kemampuannya.

Siapakah sebenarnya anak muda bernama Anthony Martial ini dan apa keistimewaan yang beliau miliki sebagai pemain bolasepak hingga memaksa United menobatkan beliau sebagai pemain remaja termahal dunia? Seperti yang saya sebutkan tadi, Martial dilahirkan pada 5 Disember 1995, sebelas bulan selepas Eric Cantona melepaskan tendangan kung fu tepat ke arah Matthew Simmons. Ketika zaman remajanya, Martial memulakan karier bolasepak bersama kelab CO Les Ulis yang beraksi di Division Superieure Regionale (divisyen ketujuh bolasepak Perancis), kelab sama yang pernah disertai Thierry Henry dan Patrice Evra.

Bakat dan potensi Martial berjaya dikesan pencari bakat Olympique Lyon pada 2009 dan beliau kemudiannya menyertai akademi Les Gones pada usia 14 tahun. Keputusan Martial berpindah ke Stade de Gerland mendatangkan hasil apabila beliau mula mencipta nama bersama skuad remaja Lyon. Pada musim keduanya bersama Lyon, Martial menjaringkan 32 gol dari 21 penampilan di peringkat junior sekaligus membolehkan beliau dipanggil menyertai skuad U-17 Perancis kekejohanan Piala Eropah 2012.

Walaupun gagal membantu Les Blues mara lebih jauh pada kejohanan yang dilangsungkan di Slovenia itu, potensi yang dimiliki Martial membolehkan beliau diberikan peluang tampil dalam skuad kedua Lyon. Musim 2012/13, Martial meledak lima gol dari sebelas penampilan bersama skuad kedua Lyon hingga menarik minat Remi Garde untuk diserapkan ke dalam barisan senior pimpinannya. Bersama skuad senior Lyon, Martial hanya sempat beraksi selama 57 minit di pentas Ligue 1 sebelum AS Monaco hadir dengan tawaran €5 juta untuk membawanya ke Stade Louis II pada musim panas 2013.

Di Monaco, meskipun Martial terpaksa bersaing dengan penyerang lebih senior dan punya nama besar seperti Dimitar Berbatov, Radamel Falcao dan Valerie Germain, beliau masih mampu melakukan 15 penampilan di pentas Ligue 1 dan menjaringkan dua gol. Claudio Ranieri ketika itu yakin, Martial punya potensi besar untuk muncul pemain disegani suatu hari nanti tetapi perlu bekerja keras untuk lebih konsisten dan mengasah ketajaman penyudahnya. Peluang berlatih dan bermain bersama-sama bintang besar seperti Falcao dan Berbatov digunakan sepenuhnya oleh Martial untuk belajar dan memperbaiki kemahirannya di atas padang.

Penghijrahan Radamel Falcao dan James Rodriguez pada musim panas 2014 menyebabkan Leonardo Jardim mengubah pendekatan dengan mengetengahkan pemain-pemain muda dalam pasukannya. Sepanjang musim lalu, Martial melakukan 35 penampilan liga di mana 19 daripadanya bermula dalam kesebelasan utama. Sembilan gol yang dihasilkannya sepanjang musim lalu juga menyaksikan Martial muncul pemain remaja yang mencatatkan jaringan tertinggi berbanding rakan-rakan seangkatannya yang beraksi di lima liga utama Eropah.

Melihat kepada statistik dan perjalanan karier `setahun jagungnya’, Martial mungkin bukanlah `pemain idaman’ penyokong-penyokong United untuk ditandatangani sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka. Saya yakin ada sebabnya mengapa United sanggup membayar harga yang begitu tinggi kepada AS Monaco hanya semata-mata mahu mendapatkan seorang pemain mentah seperti Martial ketika kelab sendiri berpeluang mendapatkan pemain yang jauh lebih berpengalaman dan punya nama besar.

Louis Van Gaal menegaskan kelibat Martial sudah dipantau selama berbulan-bulan oleh pasukan pencari bakat United, maka atas sebab itulah mengapa beliau begitu yakin dengan potensi milik pemain muda ini dan sanggup melabur besar untuk seorang pemain yang masih mentah serba serbi. Jika apa yang dipamerkan Martial pada aksi North West Derby tempohari, saya yakin sedikit sebanyak anda tentu faham mengapa Van Gaal tiba-tiba mengalihkan tumpuannya dari pemain yang lebih berpengalaman di Nou Camp kepada seorang pemain mentah di Stade Louis II.

Martial masih muda, ada jalan yang masih panjang perlu diharunginya dan sehingga aksi di Old Trafford tempohari, beliau baru bermain sebanyak 53 perlawanan dalam liga kompetitif di peringkat senior. Dengan hanya 53 perlawanan yang sudah diharunginya, Martial tidak akan menjadi pemain yang bagus tetapi saya percaya anak muda ini akan muncul pemain yang jauh lebih bagus berbanding sekarang selepas 100 atau 150 perlawanan.

Bukan tugas mudah buat Martial menyamai rekod Thierry Henry yang menjaringkan 226 gol dari 369 penampilan bersama Arsenal dari 1999 hingga 2007 tetapi saya yakin beliau ada kebolehan untuk melakukannya. Bukan sahaja memiliki teknik permainan yang hampir sama dengan lagenda Arsenal itu, Martial juga boleh berfungsi sebagai penyerang tengah dan juga sayap. Jenis pemain seperti ini memang sukar dikawal pertahanan lawan kerana kelibat mereka boleh `hilang’ secara tiba-tiba dari posisi asal.

Mungkinkah tiga atau empat tahun dari sekarang kita berpeluang menyaksikan kelibat seorang lagi `Thierry Henry’ tetapi dengan jersi merah United memporak-perandakan pertahanan lawan di Liga Perdana? Berharaplah semoga ianya menjadi kenyataan kerana kita tidak mahu menyaksikan seorang `Thierry Henry Baharu’ gagal mencapai potensi sebagaimana gagalnya Federico Macheda yang pernah dilabel sebagai `Jelmaan Paolo Rossi’. Pentas sudah tersedia dan bola kini berada dikakinya, terpulang kepada Martial untuk memilih sama ada mahu menjadi `Thierry Henry’ atau `Jelmaan Paolo Rossi’ yang gagal sepertimana Macheda…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan