“Pahit”…hanya itulah perkataan yang mampu
diberikan selepas menyaksikan kekalahan Manchester United pada perlawanan
pertama mereka di pentas Liga Juara-Juara musim ini. Menguasai segenap pelusuk
padang tidak bermakna anda akan keluar sebagai pemenang selepas 90 minit
permainan dan itulah yang berlaku tempohari. Dari segi statistik, United memang
jauh berada di hadapan berbanding Eindhoven, tetapi dua jaringan lawan yang
dihasilkan menerusi Hector Moreno dan Luciano Narsingh menyebabkan rekod buruk
Van Gaal setiap kali bertandang ke Phillips Stadion terus berpanjangan.
Untuk rekod, sepanjang karier
kejurulatihannya, Van Gaal hanya mampu menang dua kali di Phillips Stadion.
Kemenangan pertama Van Gaal di gelanggang Eindhoven itu berlaku pada aksi
saingan Eredivisie 1994/95 ketika beliau membawa barisan Ajax Amsterdam menang
4-1 di sana. Kemenangan kedua pula hadir ketika beliau mengendalikan AZ
Alkmaar, manakala sepanjang 26 perlawanan menentang Eindhoven, Van Gaal hanya
mampu membawa pasukannya menang lapan kali, enam perlawanan berakhir dengan
keputusan seri dan 13 kekalahan.
Awal pagi Rabu lalu, sumpahan Phillips
Stadion nampaknya masih menghantui karier kejurulatihan Van Gaal apabila kali
ini United di bawah kendalian beliau pula menjadi mangsa. Saya akui track record Van Gaal setiap kali
pasukannya berdepan Eindhoven memang buruk, tetapi dalam masa yang sama saya
juga perlu mengakui bahawa United masih lagi belum menunjukkan kemampuan
sebenar sesuai dengan nilai yang telah dibelanjakan Van Gaal sejak beliau
dilantik selaku pengurus di Old Trafford.
Aksi di Phillips Stadion tempohari sekali
lagi mendedahkan kekurangan sebenar United, iaitu ketumpulan di jentera
serangan. Ketika penguasaan bola menjadi milik mutlak mereka, barisan serangan
pula seperti tiada ilham dalam usaha mereka membocori gawang lawan. Melihat
kepada situasi terkini, saya mula terfikir apa rasionalnya Van Gaal dengan
mudah melepaskan Robin Van Persie ke Fenerbahce sedangkan dalam masa yang sama
beliau tidak membawa pengganti setaraf untuk mengisi kekosongan yang
ditinggalkan penggempur handalan dari Belanda itu.
Melihat `stok’ penyerang yang dimiliki kelab
semakin berkurangan selepas penghijrahan Van Persie dan Radamel Falcao, Van
Gaal membuatkan kita sekali lagi bingung apabila bertindak menjual Javier
Hernandez kepada Bayern Levekusen dan meletakkan Adnan Januzaj di Signal Iduna
Park sebagai pemain pinjaman. Kurangnya pilihan pemain di jentera serangan
menyebabkan Van Gaal pernah melakukan percubaan dengan meletakkan Memphis Depay
sebagai penyerang tengah di belakang Wayne Rooney tetapi tidak berhasil.
Ketika perlawanan menentang Liverpool Sabtu
lalu, Van Gaal menggunakan Marouane Fellaini sebagai `targetman’ berikutan ketiadaan Rooney yang mengalami kecederaan.
Walaupun berjaya menewaskan musuh tradisi mereka itu, Fellaini bukanlah pilihan
yang tepat untuk diletakkan sebagai `pemburu gol’. Sepanjang separuh masa
pertama, pergerakkan Fellaini mudah dibaca pertahanan Liverpool tetapi
perubahan taktikal di babak kedua apabila Van Gaal memasukkan Ashley Young dan
Anthony Martial berjaya mengubah situasi.
Apa yang sedang dihadapi United ketika ini
membuatkan saya mula terfikir alangkah baiknya jika kelibat Robin Van Persie
masih ada dalam pasukan. Saya akui Van Persie tidak sepantas dua atau tiga
tahun yang lalu tetapi ketajaman naluri pembunuhnya serta pengalaman luas yang
dimiliki bekas kapten skuad kebangsaan Belanda itu tidak dimiliki Anthony
Martial ataupun James Wilson. Saya akui Martial merupakan satu pembelian yang
bagus untuk jangkamasa panjang tetapi dengan usia yang masih muda dan cetek
pengalaman, beliau perlukan beberapa tahun lagi sebelum muncul pemain yang
lebih bagus.
Akhirnya suka atau tidak, kita terpaksa
mengakui bahawa keputusan Van Gaal melepaskan Robin Van Persie bukanlah satu
keputusan yang bijak. Saya masih mengingati gol menakjubkan yang dihasilkannya
ke gawang Aston Villa dalam aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford pada
23 April 2013. Gol sehebat itu perlukan kemahiran teknikal yang hebat dari
seorang pemain yang hebat dan itulah kualiti yang sering diperagakan Van Persie
kepada kita selama bertahun-tahun beliau mengerah keringatnya di Liga Perdana.
Selepas berakhir perlawanan tersebut, Van
Persie ketika ditanya wartawan mengatakan bahawa gol seperti itu memang sukar
dihasilkan. “Jika anda lihat situasinya dan betapa pentingnya gol tersebut,
maka itu adalah salah satu gol terbaik pernah saya jaringkan. Umpanan Wayne
Rooney sungguh luarbiasa. Dia perlu membaca pergerakkan saya kerana ketika itu
saya berlari melepasi Ron Vlaar. Bola betul-betul jatuh dihadapan saya dan anda
perlukan sedikit tuah kerana tendangan seperti itu boleh sahaja melambung
tinggi atau tersasar”, kata Van Persie.
Gol jaringan Van Persie itu diiktiraf sebagai
antara `goal of the decade’ dan di
akhir musim dicalonkan untuk Puskas Award 2013 serta penghargaan tahunan untuk
kategori gol terbaik. Sebelum meninggalkan Stadium Emirates pun, Van Persie
masih sempat meninggalkan momen untuk dikenang penyokong-penyokong Arsenal
menerusi gol cantiknya ke gawang Everton. Memang Van Persie sudah sinonim
dengan gol-gol indahnya baik ketika bersama Arsenal mahupun skuad kebangsaan
Belanda terutamanya menerusi sepakan-sepakan kencang serta voli dari kaki
kirinya.
Jika anda masih ingat, kemenangan ke atas
Aston Villa pada 23 April 2013 itu juga sebenarnya mengesahkan kedudukan United
selaku juara liga musim 2012/13. Selepas tewas dalam perlumbaan merebut
kejuaraan liga musim sebelumnya kepada Manchester Cty menerusi perbezaan gol,
musim 2012/13 dianggap musim paling penting buat United untuk bangkit kembali.
Bagi seluruh pasukan, terlepas kejuaraan liga pada perlawanan terakhir hanya
menerusi perbezaan jaringan selepas seluruh musim berhempas pulas merupakan
satu pukulan psikologi yang bukan sedikit kesannya.
Untuk menewaskan City, Sir Alex Ferguson
sedar bahawa beliau perlu mendapatkan `senjata baharu’ untuk diletakkan dalam
skuadnya. Beliau beruntung ketika itu kerana di Stadium Emirates ada seorang pemain
yang tidak gembira kerana misi peribadinya mahu memenangi medal kejuaraan
sulung Liga Perdana sebelum bersara masih tidak kesampaian walaupun sudah lapan
musim di England.
Berbekalkan kebolehan teknikal yang cukup
bagus sebagai seorang penyerang dan keinginan meluap-luap untuk menjulang trofi
Liga Perdana buat pertama kali dalam kariernya, Robin Van Persie adalah `faktor
penentu’ yang dicari-cari Sir Alex untuk memberikan kelebihan kepada
pasukannya. Musim panas 2012, Van Persie akhirnya menamatkan ikatannya bersama
Arsenal selepas lapan musim memperagakan ketajamannya selaku `penembak tepat’ The Gunners.
Tawaran United untuk mendapatkan penyerang
handalannya tidak dapat ditolak Arsene Wenger, manakala Van Persie pula percaya
dengan menyertai United medal kejuaraan Liga Perdana akan dikalungkan di
lehernya di akhir musim nanti. Akhirnya berbekalkan ketajaman Van Persie di
jentera serangan di samping bantuan yang diberikan Wayne Rooney dari belakang,
kejuaraan Liga Perdana berjaya dirampas dari Stadium Etihad.
Sepanjang musim 2012/13, jentera serangan
United menghasilkan 86 gol di mana 41 daripadanya adalah dari sumbangan Van
Persie menerusi 26 gol yang dijaringkannya dan 15 assist yang diciptanya. Atau lebih tepatnya 47.67% dari gol yang
dihasilkan United sepanjang musim tersebut adalah menerusi penglibatan Van
Persie. Kejuaraan liga musim tersebut merupakan kejuaraan liga ke-20 buat
United tetapi yang terakhir untuk Van Persie dan Sir Alex.
Pengumuman pengunduran Sir Alex dari kerusi
pengurus rupa-rupanya memberikan kesan bukan sedikit kepada Van Persie. Beliau
pemain United paling kecewa sebaik mendengar pengumuman itu dan apa yang beliau
rasakan sebenarnya cukup mudah difahami. Selain mahu memburu kejuaraan sulung
Liga Perdana, faktor Sir Alex juga antara penyebab yang mempengaruhi keputusan beliau
memilih Old Trafford sebagai destinasinya selepas meninggalkan Stadium Emirates.
Bukan hanya medal kejuaraan Liga Perdana jadi buruan, tetapi Van Persie
sebenarnya memasang impian mahu bermain di bawah kendalian Sir Alex untuk
beberapa musim lagi.
Musim 2013/14 di bawah kendalian David Moyes
merupakan musim paling mengerikan terutamanya buat generasi baharu penyokong
United yang sudah terbiasa dengan kejuaraan demi kejuaraan yang dihadiahkan Sir
Alex sepanjang eranya. Bukan hanya United yang menerima kesannya malah Van
Persie juga begitu. Sepanjang musim tersebut Van Persie hanya mampu
menyumbangkan 12 gol dari 21 penampilan. Kecederaan yang membataskan penampilan
beliau juga antara penyebab mengapa statistik jaringannya jatuh mendadak.
Kedatangan Van Gaal sebagai pengganti Moyes
pada mulanya dilihat ramai pihak mampu melonjakkan semula prestasi Van Persie,
namun hal itu tidak berlaku. Statistik jaringan Van Pesie terus menjunam di
mana beliau hanya mampu menjaringkan 10 gol dari 27 penampilan liga. Beberapa
siri kecederaan sekali lagi menganggu penampilannya di atas padang selain aksi
di Piala Dunia turut memberikan kesan kepada kudrat pemain yang sudah berusia
seperti beliau.
Akhirnya karier Van Persie di Old Trafford
hanya bertahan selama tiga musim sebelum beliau akhirnya di lepaskan ke
Fenerbahce. Musim pertama dilalui beliau dengan penuh gemilang dan dua musim
selepas itu dipenuhi dengan ketidaktentuan. Apapun yang berlaku disebalik
penghijrahan Van Persie, saya hingga sekarang masih menganggap keputusan Van
Gaal menjual pemain ini adalah satu kesilapan yang besar.
Ketumpulan jentera serangan di Phillips
Stadion tempohari bukanlah yang pertama berlaku ke atas United setakat ini. Tiga
aksi awal liga menyaksikan United hanya mampu menjaringkan dua gol dan
melepaskan tiga percubaan tepat ke arah gawang lawan walaupun menang dua dari
tiga perlawanan mereka. Dua dari tiga gol yang dijaringkan United ketika
berdepan Liverpool pula dijaringkan oleh pemain tengah (Ander Herrera menerusi
sepakan penalti) dan pertahanan (Daley Blind).
Saya sedikit resah menyaksikan statistik jaringan
United setakat ini terutamanya dalam saingan liga apabila mereka hanya mampu
menghasilkan enam gol dari lima perlawanan. Itu pun tiga daripadanya
disumbangkan pemain tengah manakala satu gol sendiri dari pemain lawan (Kyle
Walker). Menyaksikan apa yang sudah berlaku di Phillips Stadion tempohari, saya
hanya mampu berharap Wayne Rooney segera kembali beraksi untuk memberikan
sedikit nafas kepada jentera serangan United.
Buat masa sekarang pemain paling sesuai untuk
memikul tanggungjawab sebagai penyerang tengah ialah Anthony Martial. Martial
memiliki kekuatan dan kepantasan, cuma tekniknya perlu dipertajamkan sebelum
beliau boleh menghadirkan gentar kepada barisan pertahanan lawan. Dengan
sokongan Rooney di belakangnya, saya yakin kombinasi Rooney/Martial boleh
diharap untuk memburu gol. Inilah sahaja pilihan yang Van Gaal ada selain
percubaan meletakkan Ashley Young selaku penyerang tengah seperti yang
diwar-warkan sebelum ini.
Jika prestasi sama ketika berdepan Liverpool
mampu diulangi Martial, saya percaya anak muda ini boleh diharap untuk
bertindak selaku penggempur, cuma masalahnya pemain muda seperti beliau sering
berdepan masalah konsistensi. Kini saya ingin melihat apa percaturan seterusnya
yang bakal dilakukan Van Gaal selepas skuadnya ditewaskan Eindhoven. Akan berlaku
lagikah perubahan kepada barisan serangan United pada aksi di Stadium St Mary
nanti? Jika itu berlaku, giliran pemain manakah kali ini yang bakal digunakan
Van Gaal selaku penggempur?
Melihat kepada situasi terkini, tidakkah anda
pernah terfikir alangkah baiknya jika penyerang berpengalaman dan sebagus Van
Persie masih ada dalam pasukan? Walaupun beliau sudah berusia, saya masih
merasakan penyerang berpengalaman serta punya ketajaman seperti Van Persie masih
mampu memberikan sumbangan besar dan menghadirkan `fear factor’ kepada mana-mana pertahanan lawan. Menyaksikan aksi
United di Phillips Stadion tempohari, hati saya tiba-tiba terdetik dan berkata…”Ohhh
alangkah bagusnya jika ketika ini ada Robin”.. Glory Glory Manchester
United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan