11 Oktober 2015

DUNIA BELUM KIAMAT

Sudah genap seminggu berlalu tetapi masih ada di kalangan rakan-rakan saya yang masih belum pulih dari kejutan kekalahan 0-3 kepada Arsenal Ahad lalu. Ya, saya faham apa yang anda rasakan selepas berakhirnya perlawanan itu dan sepertimana anda saya juga berasa kecewa, kesal dan sedikit marah melihat bagaimana mudahnya Arsenal menjaringkan tiga gol dalam tempoh hanya 20 minit. Saya anggap perlawanan sudahpun `berakhir’ sebaik Mesut Ozil mejaringkan gol kedua Arsenal manakala gol ketiga tuan rumah memadamkan semua sisa harapan yang tinggal untuk melihat United melakukan kebangkitan.

Mujurlah tiada perlawanan liga dilangsungkan minggu ini kerana memberi ruang buat perlawanan antarabangsa seperti Kelayakan Euro, Kelayakan Piala Dunia dan perlawanan-perlawanan persahabatan dijalankan. Jadi saya berharap tempoh `rehat’ seminggu ini membolehkan anda kembali `relaks’, santai dihadapan kaca TV sambil melayan perlawanan-perlawanan antarabangsa dan dalam masa yang sama memujuk hati yang masih kecewa.

Selepas seminggu berlalu, saya berharap kekecewaan yang anda alami semakin reda dan kepada rakan-rakan saya yang dahulunya `murung’, saya berharap anda kini kembali menjalani hidup seperti biasa. Perjalanan musim ini masih panjang dan kekalahan kepada Arsenal tempohari bukanlah penamat kepada segala-galanya. Tewas besar kepada salah sebuah kelab yang dianggap antara pencabar kejuaraan sudah tentu sukar untuk diterima tetapi saya berharap kekalahan itu akan menjadikan anak-anak buah Louis Van Gaal pasukan yang jauh lebih baik selepas ini.

Jika diimbas sejarah lampau, kekalahan ini sepatutnya tidak perlu kita risaukan. Kekalahan 0-3 kepada Arsenal di Stadium Emirates Ahad lalu bukanlah kekalahan besar pertama yang dialami United kepada skuad kendalian Arsene Wenger itu. 17 tahun lalu atau lebih tepatnya pada 20 September 1998, skrip hampir sama berlaku di Highbury apabila jaringan Tony Adams, Nicolas Anelka dan Fredrik Ljungberg menyaksikan United terpaksa menelan antara kekalahan terbesar mereka musim tersebut (1998-99).

Saya masih ingat, kekalahan 0-3 di Highbury itu mencetuskan perdebatan di kalangan penyokong-penyokong United sendiri tentang kemampuan kelab merampas semula kejuaraan liga yang dimenangi Arsenal pada musim sebelumnya (1997-98). Kekalahan itu umpama `bencana’ buat penyokong-penyokong United, malah bukan sedikit juga yang menidakkan kemampuan kelab menyaingi penguasaan Arsenal, tetapi lapan bulan selepas itu, lihatlah dimana kedudukan barisan pimpinan Sir Alex Ferguson?

Siapa sangka pada 26 Mei 1999 di Nou Camp, lapan bulan selepas kekalahan `memalukan’ di Highbury, barisan The Red Devils berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara sekaligus melengkapkan kejuaraan Treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) musim 1998-99, pencapaian yang hingga sekarang masih gagal dilakukan oleh mana-mana kelab Inggeris. Saya tidak berharap atau memasang impian keajaiban musim 1998-99 mampu diulangi anak-anak buah Van Gaal, tetapi saya percaya akan ada kebangkitan yang bakal dipamerkan mereka selepas ini berkat dari kekalahan minggu lalu.

Selepas lapan perlawanan liga, tiada satupun kelab yang mampu mendabik dada dengan mengatakan bahawa merekalah yang bakal merajai saingan musim ini. Chelsea selaku juara liga musim lalu terus bergelut dengan prestasi sendiri hingga menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-16 liga. Jose Mourinho yang memang terkenal dengan falsafah defensive football beliau hingga kini masih tercari-cari jalan penyelesaian bagaimana mahu menghalang lawan dari terus membocori gawang pasukannya yang sudah dibolosi sebanyak 17 kali setakat ini.

Apa yang menyebabkan prestasi Chelsea begitu buruk selepas lapan perlawanan? Pada pendapat saya, jawapan kepada persoalan ini ada dalam diri John Terry, pemain yang bukan sahaja dianggap sebagai pemimpin tetapi lambang kepada kukuhnya barisan belakang The Blues selama ini. Pada usia 34 tahun, Terry sudah hilang kelajuan dan kini bukan lagi pertahanan kental yang pernah kita kenali selama bertahun-tahun beliau mengetuai benteng Chelsea, atau lebih tepatnya era JT#26 di Stamford Bridge sudah berada dipenghujungnya.

Kurt Zouma menjadi pilihan utama Mourinho untuk diletakkan sebagai gandingan Gary Cahill, tetapi pada usia 20 tahun, remaja Perancis ini perlukan dua atau tiga tahun lagi sebelum muncul pemain yang lebih bagus bagi meneruskan kesinambungan dinasti Terry sebagai jantung pertahanan Chelsea. Merosotnya prestasi Chelsea selain ketidaktentuan yang masih menyelubungi Anfield menyebabkan senarai pencabar kejuaraan musim ini saya anggap semakin pendek.

Jika diambilkira prestasi semasa, hanya Manchester City dan Arsenal sahaja pasukan yang perlu dirisaukan Van Gaal, tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu memastikan United tidak kehilangan mata ketika berdepan kelab-kelab pertengahan. Atau lebih tepatnya, United pimpinan Van Gaal perlu lebih konsisten. Meskipun tewas besar kepada Arsenal tempohari, satu hakikat yang perlu kita akui ialah bahawa United masih berada di kedudukan empat teratas, hanya dua mata di belakang Manchester City selaku pendahulu liga.

Ini juga bermakna United masih berada di landasan untuk memburu kejuaraan terutamanya selepas revolusi besar-besaran yang dilakukan Van Gaal dalam tempoh dua tahun terakhir. Kelebihan dua mata yang dimiliki City bukanlah jarak yang terlalu besar untuk dikejar apatah lagi dengan baki musim yang masih panjang perlu diharungi setiap pasukan. Bercakap tentang jurang mata yang dimiliki City, saya teringat antara comeback menakjubkan pernah dirakamkan United dalam saingan domestik.

Ia berlaku pada musim 1995/96, musim dimana Newcastle United pimpinan Kevin Keegan muncul pencabar serius dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga. Melihat kepada beberapa pemain kelas dunia dalam lineup mereka seperti David Ginola, Les Ferdinand, Peter Beardsley, Phillipe Albert, David Batty dan Faustino Asprilla, tidak hairanlah mengapa Magpies muncul antara kelab yang perlu ditewaskan ketika itu. Mereka mencipta jurang 10 mata di hadapan United menjelang saingan liga memasuki fasa kedua.

Ketika Magpies dilihat begitu selesa dengan kelebihan besar yang mereka miliki, manakala tidak banyak harapan yang diletakkan ke atas barisan Sir Alex Ferguson untuk menghampiri mereka, prestasi United tiba-tiba meledak menjelang bermulanya tahun baharu. Sedikit demi sedikit jurang besar ciptaan anak-anak buah Kevin Keegan terhakis, hinggalah kemuncaknya apabila Eric Cantona menjulang kejuaraan liga ketiganya bersama Unted di akhir musim.

Melihat kepada sejarah kebangkitan United sebelum ini, saya yakin generasi pemain baru di bawah era Van Gaal juga mampu mengulangi perkara yang sama. Skuad yang ada sekarang tidak kurang dari segi kualiti jika dibandingkan ketika era Unted dibarisi pemain-pemain seperti Roy Keane, Eric Cantona, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy, Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary Neville, Andy Cole, Dwight Yorke, Jaap Stam dan ramai lagi.

Cuma apa yang mereka perlukan sekarang ialah masa selain faktor bagaimana bijaknya Van Gaal merangka strategi permainan berdasarkan kebolehan dan potensi pemain yang beliau miliki. Jika segalanya berjalan lancar, percayalah United bakal kembali muncul sebagai kuasa dominan di England dan kembali ke era kegemilangan mereka, era dimana Steve Bruce, Eric Cantona, Roy Keane, Gary Neville dan Nemanja Vidic muncul kapten yang pernah menjulang trofi Liga Perdana.

Apakah selepas ini akan tiba pula giliran Wayne Rooney? Jika soalan ini ditanyakan kepada saya, saya yakin Rooney berpeluang cerah meletakkan dirinya di atas podium kejuaraan sambil menjulang trofi Liga Perdana, sama seperti apa yang pernah dilakukan Bruce, Cantona, Keane, Neville dan Vidic. Apa pula yang boleh anda lakukan sekarang? Jawapannya ialah `bersabar’, kerana penyokong-penyokong United memang terkenal punya tahap kesabaran yang cukup tinggi.

Andainya anda masih lagi marah, kecewa dan kesal dengan kekalahan besar minggu lalu, sambil-sambil itu cuba bertanya kepada generasi penyokong United era 70an dan 80an, mengapa mereka meminati Manchester United biarpun dekad tersebut The Red Devils tidak punya apa-apa seperti ketika era kegemilangan ciptaan Sir Alex Ferguson. Atau paling bagus anda tanyakan kepada rakan-rakan Liverpool anda, mengapa disebalik segala kemarahan yang sudah lama terpendam, mereka masih kekal dan bersemangat melaungkan kata-kata keramat `You’ll never walk alone!!!’ kepada kelab kesayangan mereka. Pesan terakhir saya, `Bawa bertenang kerana dunia belum kiamat'...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan