Bercakap tentang pertembungan Manchester
United dan Arsenal tidak akan lengkap sekiranya anda tidak menyebut perseteruan
epik antara Roy Keane dan Patrick Vieira dalam topik perbualan anda. Sebaik
berakhirnya era penguasaan Liverpool sebagai kuasa dominan di England, United
dan Arsenal muncul memberikan warna kepada bolasepak Inggeris menerusi
perseteruan hebat mereka bermula di penghujung era 90’an hinggalah awal dekad
millennium.
Sebelum Chelsea datang `kacau daun’ menerusi
pelaburan besar yang dilakukan Roman Abramovich pada 2003, saban musim
pertembungan United dan Arsenal merupakan acara blockbuster yang dinantikan penuh teruja oleh penyokong kedua-dua
kelab. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan pertembungan United/Arsenal
ketika itu akan hilang serinya tanpa kelibat Keano dan Vieira di atas padang,
dua individu yang memainkan pengaruh besar sepanjang karier mereka di Old
Trafford dan Highbury.
Walaupun di awal era 90’an, Leeds United,
Blackburn Rovers dan kemudiannya Newcastle United silih berganti memberikan
cabaran kepada United dalam perebutan kejuaraan liga, Arsenal akhirnya muncul
kelab yang memberikan makna sebenar `permusuhan abadi’ kepada barisan Sir Alex
Ferguson. Semuanya bermula selepas kehadiran Arsene Wenger dari Nagoya Grampus
Eight pada 1996 yang mengubah keseluruhan lanskap di Highbury.
Prestasi Arsenal sedikit demi sedikit mula
meledak di bawah kendalian Wenger namun The
Gunners perlu berdepan United yang sedang mengharungi tempoh cemerlang
mereka dalam saingan domestik. Meskipun dekad-dekad sebelum itu sudah ada
beberapa insiden yang membabitkan perseteruan United dan Arsenal, namun
tidaklah sehebat ketika era di mana Keano dan Viera mengetuai sepuluh lagi
rakan mereka di atas padang.
Daripada percakaran antara Keano dan Vieira
hinggalah kepada insiden pizza gate,
kesemuanya masih meninggalkan bekas mendalam yang diingati hingga kini setiap
kali United dan Arsenal bertemu. Menjelang pertembungan antara kedua-dua
pasukan Ahad ini, apa kata kita imbas kembali insiden-insiden paling terkenal
yang membabitkan United dan Arsenal sepanjang era kemuncak perseteruan mereka.
Kening
Berdarah Beckham
Permusuhan antara Roy Keane dan Ptrick Vieira
sebenarnya turut membuatkan api perseteruan antara United dan Arsenal semakin
marak. Entah buat keberapa kalinya Keano dan Vieira sekali lagi bertembung di
atas padang apabila kedua-dua kelab bertemu di pusingan keempat Piala FA pada 15
Februari 2003. `Panasnya’ perlawanan ini mula dirasakan apabila seawal minit
ketujuh permainan lagi, pemain kedua-dua pasukan sudah terlibat dengan
pertelingkahan di atas padang.
Suasana `panas’ di atas padang turut
terbawa-bawa hingga ke bilik persalinan dan ketika inilah tercetusnya insiden `boot melayang’ yang menyebabkan kening
David Beckham berdarah. Kemarahan yang meluap-luap menyaksikan barisan
hadapannya gagal menyudahkan banyak peluang terhidang dihamburkan Sir Alex
terhadap pemain-pemainnya di bilik persalinan. Si `Hairdryer Treatment’ ini tanpa sengaja melepaskan rembatan padu
pada boot pemain yang kemudiannya
melayang mengenai Beckham.
Keesokan harinya imej Beckham dengan kening
bertampal mendapat liputan utama akhbar berbanding kekalahan 0-2 United kepada
seteru domestik mereka itu. Insiden ini juga rupa-rupanya petanda bahawa karier
Beckham sebagai `budak emas’ di Old Trafford bakal menuju penamatnya. Diakhir
musim Arsenal muncul juara Piala FA selepas mereka menewaskan Southampton di final manakala Beckham pula menamatkan
kariernya bersama United dengan menyertai Real Madrid.
Battle of Old Trafford
Satu lagi perlawanan `panas’ membabitkan
United dan Arsenal berlaku pada 21 September 2003. Sejak dari awal hinggalah
ketiupan wisel terakhir, aksi selama 90 minit di Old Trafford ini berlangsung
dengan cukup tegang. Malanglah buat Steve Bennet yang ditugaskan mengadili perlawanan
itu kerana beliau terpaksa bekerja keras mengawal permainan agar berjalan lancar
sejak dari minit pertama lagi.
Bintang yang menjadi sorotan dalam perlawanan
ini siapa lagi jika bukan Ruud Van Nistelrooy dan Martin Keown. `Drama’
sebenarnya bermula diminit ke-80, apabila berlakunya insiden antara Patrick
Vieira dan Van Nistelrooy yang hampir mencetuskan pergaduhan hingga mengundang layangkan kad kuning kedua
buat kapten Arsenal itu. Sepuluh minit kemudian kekasaran yang dilakukan Keown
ke atas Diego Forlan pula menyebabkan Bennet menghadiahkan sepakan penalti
kepada United.
Disinilah kemuncaknya `drama’ perlawanan ini terjadi.
Ketika United sudah berkira-kira meraih tiga mata penuh jika Van Nistelrooy
berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut, apa yang berlaku adalah
sebaliknya. Sepakan penalti yang diambil Van Nistelrooy mengenai palang gol dan
sebaik Bennet meniup wisel penamat, Keown dan beberapa pemain Arsenal mengerumuni
penyerang Belanda itu dan mula melakukan provokasi berlebihan.
Akibatnya berlaku sekali lagi kekecohan di
atas padang hingga menyebabkan FA kemudiannya mengenakan hukuman denda sebanyak
£175 ribu (yang tertinggi dalam sejarah hukuman FA) kepada semua pemain yang
terlibat. Sepanjang 90 minit perlawanan, Bennet terpaksa melayangkan lapan kad
kuning dan satu kad merah hasil dari 31 kekasaran yang dilakukan oleh pemain
kedua-dua pasukan. Di akhir musim, Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana
sebagai skuad The Invincibles dengan
rekod tanpa kalah sepanjang musim.
Battle of the Buffet
Ada yang menamakan insiden ini sebagai Battle of the Buffet dan ada juga yang
menamakan ia sebagai Pizzagate.
Berikan apa sahaja nama yang anda fikirkan sesuai tetapi satu perkara yang
tidak akan berubah sampai bila-bila ialah betapa insiden yang berlaku pada 24
Oktober 2004 itu merupakan momen paling terkenal membabitkan perseteruan antara
dua kelab bolasepak.
Insiden ini sebenarnya cukup signifikan
kerana pada tarikh inilah rekod invincibles
49 perlawanan tanpa kalah milik Arsenal berakhir. Jadi sudah tentu ada
ketegangan serta kekecewaan semasa dan selepas perlawanan terutamanya di
kalangan pemain-pemain The Gunners
apabila perjalanan epik yang dimulakan mereka sejak 7 Mei 2003 berakhir di
tangan musuh domestik seperti United.
Menurut Ashley Cole dalam autobiografinya,
insiden tersebut bukanlah berpunca dari pemain Arsenal tetapi sebaliknya
dimulakan oleh seorang penonton hingga akhirnya mencetuskan suasana kelam kabut
dikalangan pemain kedua-dua pasukan. Selepas sebelas tahun dan pada dekad-dekad
seterusnya, saya yakin Pizzagate akan
sentiasa diingati sebagai simbol perseteruan paling mencuri tumpuan dalam sejarah
bolasepak Inggeris khasnya dan dunia amnya.
Permusuhan
Keano dan Vieira
Tidak dapat dinafikan bahawa Roy Keane
merupakan kapten United paling kontroversi pernah kita saksikan. Ketepikan
segala kontroversi yang pernah beliau cetuskan kerana sebagai pemain, Keano
memang benar-benar mengagumkan. Kerja kerasnya, semangat meluap-luapnya dan
keinginan cukup tinggi untuk menang setiap kali mengetuai rakan-rakan
sepasukan, faktor mengapa beliau begitu digeruni kawan dan lawan.
Insiden paling terkenal sepanjang permusuhan
Keano dan Vieira berlaku pada 2005 di Highbury. Percakaran lisan antara dua
kapten berpengaruh itu dalam terowong pemain yang dirakamkan kamera kekal
sebagai momen paling diingati jika kita bercakap tentang perseteruan United dan
Arsenal. Semuanya bermula dari `perang kecil’ yang berlaku antara Vieira dan
Gary Neville kemudiannya merebak sebaik Keano turut campur tangan.
Akhirnya insiden di terowong itu memancing
emosi pemain dari kedua-dua pasukan hingga mencetuskan beberapa ketegangan sepanjang
aksi 90 minit di atas padang. Bagaimanapun di sebalik ketegangan yang beliau
cetuskan, Keano tetap mampu tersenyum sinis sambil memandang Vieira selepas
tamat perlawanan apabila United (menang 4-2) hasil dua jaringan Cristiano
Ronaldo, Ryan Giggs dan John O’Shea.
Walaupun selepas bersara sebagai pemain,
Keano dan Vieira nampaknya masih sukar bertentang mata hinggalah satu pertemuan
diatur sebuah saluran televisyen pada Disember 2013. Bagaimanapun, tempoh dua
bulan diperlukan penerbit bagi menyakinkan Keano untuk bertemu Vieira buat
pertama kali selepas masing-masing menamatkan kerjaya mereka di Old Trafford
dan Highbury pada 2005. Bezanya kali ini pertembungan antara dua lagenda itu
bukan berlaku di atas padang tetapi dihadapan kamera.
Berakhirnya
Era Keano dan Vieira
Selepas berakhirnya era Keano dan Vieira di
Old Trafford dan Highbury, ketegangan antara dua kelab ini juga nampaknya
sedikit demi sedkit semakin kendur. Ketika posisi pemain-pemain seperti Keano,
Rio Ferdinand, Ruud Van Nistelrooy, Gary Neville, Ryan Giggs, Paul Scholes, Ray
Parlour, Thierry Henry, Lauren, Patrick Vieira, Ashley Cole, Martin Keown dan
Dennis Bergkamp digantikan dengan generasi pemain baharu, api dendam dan
kemarahan yang menghangatkan pertembungan United/Arsenal pada penghujung dekad
90’an dan awal era millennium turut semakin malap.
Adakalanya saya merindui kelibat
pemain-pemain `rebel’ seperti Keano,
Ferdinand, Vieira dan Keown kerana merekalah sebenarnya yang menyebabkan
pertembungan United/Arsenal 10 atau 15 tahun dahulu begitu ditunggu-tunggu.
Sejak berakhirnya era Keano dan Vieira juga, Arsenal nampaknya masih bergelut
mencari kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 11 tahun. Kemunculan Chelsea
dan kemudiannya Manchester City sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris
disamping polisi pembelian pemain yang diamalkan Arsene Wenger penyumbang utama
mengapa Arsenal kian terpinggir walaupun saban musim mereka konsisten
menempatkan diri di kedudukan empat teratas.
Berbanding 10 atau 15 tahun yang lalu,
pertembungan United/Arsenal kini bukan lagi dianggap sebagai perlawanan blockbuster Liga Perdana. Di sebalik
segala api kemarahan, dendam dan permusuhan yang kian malap, aksi menentang
Arsenal tetap satu perlawanan penting yang perlu dimenangi United. Meskipun aksi
di Stadium Emirates Ahad ini tidak sepanas ketika era Keano dan Vieira sebagai
pemain, saya masih percaya bahawa pertembungan kali ini tetap ada daya
penariknya. Perlawanan yang saya percaya mampu memaksa saya terpaku di hadapan
televisyen selama dua jam…Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan