Dari pemain buangan kini muncul antara pemain
terpenting, siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan sosok bernama Juan Mata.
Siapa sangka selepas dinobatkan selama dua musim selaku pemain terbaik tahunan Chelsea,
Mata akhirnya ditendang keluar oleh Jose Mourinho selepas beliau mengambilalih
semula kerusi pengurus di Stamford Bridge. Sepertimana yang anda tahu, Mata
merupakan pembelian yang dilakukan Andre Villas Boas pada 2011 sebagai usaha
beliau untuk menambah kreativiti di bahagian tengah The Blues.
Gandingan beliau bersama Frank Lampard di
bahagian tengah Chelsea perlu saya akui antara gandingan midfielder terbaik pernah saya saksikan di Liga Perdana. Mata dan
Lampard, kedua-duanya memiliki attacking
minded yang mengagumkan sambil John Obi Mikel pula memainkan peranan selaku
defensive midfielder di belakang
mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa ketika era Mata, Lampard dan Mikel,
Chelsea memiliki keseimbangan di bahagian tengah yang patut dicemburui oleh
pesaing-pesaing domestik mereka.
Bagaimanapun langit tidak sentiasa cerah buat
karier Mata apabila kedatangan Oscar dan Eden Hazard pada musim panas 2012
menambahkan lagi ketatnya persaingan merebut posisi di bahagian tengah Chelsea.
Secara perlahan-lahan tempatnya dalam kesebelasan utama The Blues mula tersisih manakala kehadiran Mourinho yang
menggantikan posisi Rafa Benitez seolah-olah petanda bahawa karier Mata di
Stamford Bridge bakal berakhir. Mourinho lebih memilih Oscar untuk mengisi
posisi di bahagian tengah kerana beliau mendakwa pemain Brazil itu memiliki
kualiti bertahan yang lebih bagus berbanding Mata.
Mendapati dirinya bukan lagi pilihan di
bahagian tengah Chelsea, Mata memutuskan untuk berhijrah ke Old Trafford ketika
jendela perpindahan pertengahan musim dibuka pada Januari 2014. Kedatangan Mata
memang mengujakan saya, kerana bagi saya beliau merupakan salah seorang dari
sebilangan kecil pemain tengah kreatif yang ada di Liga Perdana. Peringkat awal
karier Mata di Old Trafford sebenarnya tidak berjalan lancar tambahan pula
United di bawah kendalian David Moyes ketika itu berdepan kejatuhan prestasi
paling teruk dalam tempoh dua dekad terakhir.
Kedatangan Louis Van Gaal selepas itu juga
pada mulanya seolah-olah tidak membawa perubahan besar kepada karier Mata di
Old Trafford. Dengan Wayne Rooney kerap digunakan untuk memainkan peranan
sebagai `pemain nombor 10’, Mata pula sering sahaja bertukar-tukar posisi sama
ada digunakan Van Gaal di sebelah kanan (formasi 4-1-4-1), atau ditengah
(formasi 3-5-2). Musim lalu Mata bermain selama 1,903 minit dalam saingan liga,
menjaringkan sembilan gol dan menyumbangkan empat assist, statistik yang pada saya boleh dianggap bagus jika
diambilkira fakta bahawa Mata sendiri sering keluar masuk dalam kesebelasan
utama United.
Melihat situasi Mata sejak beliau tiba di Old
Trafford pada Januari 2014 hinggalah sepanjang musim lalu, saya pada mulanya
tidak yakin beliau akan dikekalkan Van Gaal bagi menghadapi cabaran musim
baharu (2015-16). Sejak penghujung musim lalu lagi, kita sudah dihidangkan
dengan berbagai laporan media tentang kesangsian masa depan Mata di Old
Trafford dengan dakwaan bahawa beliau antara pemain yang bakal diletakkan tanda
`untuk dijual’ oleh Van Gaal. Bagaimanapun segala kesangsian akhirnya berlalu
begitu sahaja dan selepas jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, Mata
masih kekal sebagai pemain United.
Selepas berdepan segala kesukaran terutamanya
dalam tempoh dua tahun terakhir, Mata kini sudah boleh tersenyum lebar hasil
dari penampilannya setakat ini. Empat gol dan empat assist yang beliau sumbangkan dalam semua kejohanan meletakkan Mata
sebagai pemain paling banyak terlibat dengan gol-gol yang dihasilkan United.
Sumbangan Mata bukan sekadar menjaringkan gol dan menyumbangkan assist, tetapi kehadiran beliau diatas
padang turut memberikan pengaruh yang besar kepada gaya permainan United.
Saya begitu tertarik menyaksikan bagaimana
bijaknya Mata mengatur permainan, umpanan-umpanannya sering sahaja memecah
benteng pertahanan lawan, penglibatannya dengan setiap gerakan-gerakan pasukan
ketika melancarkan serangan dan mencipta peluang buat rakan-rakan sepasukan
menjaringkan gol. Jadi bolehlah saya simpulkan bahawa beliaulah sebenarnya yang
memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’ buat United ketika ini meskipun
posisi Mata dalam formasi 4-2-3-1 bukanlah betul-betul berada di tempat di mana
`pemain nombor 10’ sepatutnya berada.
Apa yang menyebabkan Mata begitu berjaya
setakat ini? Jawapan paling tepat saya kira ialah taktik permainan yang
digunakan Van Gaal. Apa yang saya lihat, United sebenarnya lebih banyak
melakukan gerakan-gerakan dari sebelah kiri ketika melancarkan serangan melalui
Memphis Depay sambil dibantu kepantasan Luke Shaw (ketika beliau belum dilanda
kecederaan) ataupun kini menggunakan kelebihan skill
individu Anthony Martial. Kecenderungan United ini sebenarnya membolehkan Mata
bergerak lebih bebas di sebelah kanan sambil bertukar-tukar posisi dengan Wayne
Rooney bagi membolehkan beliau masuk lebih jauh ke dalam kotak penalti lawan.
Selain itu gaya permainan Mata juga
sebenarnya amat sesuai dengan apa yang diterapkan Van Gaal dalam taktik
permainannya musim ini. Apa yang paling ketara selepas sepuluh perlawanan liga dilangsungkan,
Van Gaal kali ini melakukan pendekatan dengan bermain hantaran-hantaran pendek,
taktik yang jauh berbeza berbanding permainan United musim lalu (musim lalu
United lebih kerap bermain dengan taktik serangan balas pantas menerusi
kedua-dua bahagian sayap). Sebagai penyokong United, anda sudah tentu tahu
bukan gaya permainan sebenar Mata?
Beliau memiliki visi yang cukup bagus ketika
bermain hantaran-hantaran pendek selain antara pemain United yang cukup mahir
dalam melakukan thorugh ball. Pendekatan
berbeza yang diamalkan Van Gaal kepada gaya permainan United kali ini pada
pandangan saya menjadi faktor penting mengapa nama Mata secara tiba-tiba muncul
antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama pilihan beliau.
Jangan lupakan juga kemampuan Mata dalam menjaringkan gol kerana hingga setakat
ini bekas lulusan akademi Real Madrid itu sudah menjaringkan empat gol buat
United dalam semua kejohanan, dibelakang Wayne Rooney dan Anthony Martial.
Jika di Stamford Bridge, kualiti bertahan
Mata menyebabkan beliau dipinggirkan Mourinho, kini selepas lebih setahun saya
melihat Mata pemain yang lebih seimbang. Walaupun pada musim pertama pengurusan
Van Gaal di Old Trafford karier Mata tidak berjalan dengan lancar hingga masa
depannya sering diperdebatkan, kini keadaan sudah berputar 360°. Musim lalu,
Mata muncul pemain United paling rajin di atas padang dengan catatan purata
larian 11.3 km setiap perlawanan.
Walaupun tidak sebagus Morgan Schneiderlin
ketika melakukan tackle, Mata kini saya
lihat lebih berdisiplin dalam soal bertahan di mana beliau kerap turun ke bawah
bagi membantu barisan belakang ketika bertahan. Dengan ketinggian hanya 170cm
dan type permainan yang dimiliki
beliau, apa yang perlu Mata lakukan bukanlah terjahan-terjahan keras tetapi
cukup sekadar memberikan sedikit gangguan bagi merencatkan aliran serangan yang
diatur pemain lawan.
Menerusi sistem permainan yang diamalkan
United, Mata tetap mampu memainkan peranannya dalam situasi defensif walaupun
beliau memiliki tubuh yang agak kecil. Dan menerusi sistem permainan yang
diamalkan United juga, Mata tetap mampu memainkan peranannya dengan berkesan
walaupun `ditolak’ ke kanan dari posisi idealnya selaku `pemain nombor 10’.
Sebagai pemain, Mata memang tidak mampu membantah sebarang keputusan yang
dilakukan Van Gaal dan apa yang beliau boleh lakukan ialah cuba menyesuaikan
diri dan bermain sebaik mungkin sebagai seorang winger.
Walaupun beliau kini berjaya memainkan
peranannya dengan berkesan sebagai seorang winger,
saya tetap berharap agar suatu hari nanti posisi `pemain nombor 10’
dikembalikan semula kepada Mata. Walau bagaimanapun itu semua akan hanya
berlaku jika Van Gaal berjaya mendapatkan seorang winger kelas dunia untuk diletakkan di sebelah kanan sebagai rakan
gandingan Matteo Darmian. Sebelum segala kemungkinan itu berlaku, biarkan
sahaja Mata menikmati peranan yang dimainkannya sebagai seorang winger kerana kini beliau bukan lagi
pemain buangan, tetapi antara nadi penting kepada percaturan Van Gaal di atas
padang. Jika ada individu yang sepatutnya berasa menyesal melihat prestasi terkini yang
ditunjukkan Mata, individu itu saya yakin ialah Jose Mourinho…Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan