17 Oktober 2015

MEMPHIS YANG `OVERRATED'?

Musim lalu beliau muncul penjaring terbanyak Eredivisie, antara tonggak utama di sebalik kejayaan Belanda mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014 manakala bakat yang diperagakannya mula menggamit perhatian kelab-kelab utama sekitar Eropah. Baru berusia 21 tahun, tetapi beliau sudah menikmati hidup sebagai seorang bintang bolasepak, sesuatu yang mungkin tidak pernah beliau impikan ketika mula menendang bola di lorong-lorong kejiranan sekitar Moordrecht.

Ketika kelibat Zakaria Bakkali, penjaring hatrik termuda dalam sejarah Eredivisie lebih mencuri tumpuan dan dikategorikan sebagai bintang muda Eindhoven yang bakal menyinar suatu hari nanti, Memphis Depay pula muncul dengan aksi lebih konsisten hingga menyebabkan nama Bakkali sedikit demi sedikit mula dilupakan. Meskipun Eindhoven gagal menjulang kejuaraan Eredivisie musim 2013/14, kelibat Memphis mula menerbitkan rasa kagum kepada warga bolasepak Belanda selepas beliau menghasilkan 12 gol dari 32 penampilan liga.

Penampilan cemerlangnya di pentas liga turut membuka laluan buat Memphis disenaraikan dalam skuad kebangsaan Belanda di bawah kendalian Louis Van Gaal. Debut Memphis bersama De Oranje ialah ketika berdepan Turki dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014 pada 15 Oktober 2013. Reputasinya sebagai bintang dalam pembikinan menyebabkan kelibatnya mula diperhatikan pencari bakat kelab-kelab besar Eropah terutamanya selepas berakhir kempen Piala Dunia 2014.

Disebalik segala perhatian yang mula diberikan kepada beliau, Memphis bagaimanapun memilih untuk bertahan di Phillips Stadion selama semusim lagi. Keputusan yang diambilnya untuk terus menyarung jersi Eindhoven nyata berbaloi apabila beliau berjaya membantu Boeren memecah dominasi Ajax dengan menjulang kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh enam tahun. Lebih manis, 22 gol yang dijaringkan Memphis membolehkan beliau muncul penjaring terbanyak Eredivisie (musim 2014/15) dan dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan.

Kejayaan membantu Eindhoven menjulang landskampioen juga menandakan berakhirnya ikatan antara Memphis bersama juara Eredivisie itu. Tawaran sebanyak £22 juta yang dilakukan United membolehkan Van Gaal membawa pemain ini ke Old Trafford meskipun sebelumnya PSG, Liverpool dan Chelsea turut menunjukkan minat untuk mendapatkan tandatangan beliau. Semakin besar reputasi yang dimiliki seseorang pemain, semakin terdedahlah mereka dengan kritikan, dan Memphis juga tidak terkecuali.

Ketika skuad kebangsaan Belanda tewas kepada Iceland dan Turki dalam kempen kelayakan Euro 2016, Memphis antara pemain yang paling teruk dijadikan sasaran kritikan. Lagenda Belanda, Willem Van Hanegem menyamakan Memphis seperti `orang Amish’ kerana gaya fesyennya dan antara pemain dalam skuad Oranje yang hanya mementingkan diri sendiri. “Budak itu kelihatan seperti orang Amish. Ada beberapa pemain yang hanya mementingkan diri sendiri, contohnya Memphis. Dia seperti `goldfinger’ dengan kasut emasnya. Apa manfaatnya itu untuk Belanda?” tulis Van Hanegem dalam kolumnya di Algemeen Dagblad.

Selepas Hanegem, Youri Mulder dan Pierre Van Hooijdonk pula mengambilalih posisi dengan melancarkan serangan ke atas Memphis sebaik saja Belanda gagal layak ke kejohanan Euro 2016 buat pertama kali sejak 1988. Menurut Mulder, gaya permainan Memphis yang `arrogant’ menjejaskan rentak permainan Belanda manakala Van Hooijdonk pula melabelkan pemain berusia 21 tahun ini sebagai `overrated’. Dalam nada yang lebih keras, Hooijdonk turut mengatakan bahawa Memphis bukanlah pemain yang diperlukan Belanda jika Arjen Robben tidak tersisih akibat kecederaan.

Di Old Trafford, gaya hidup luar padang Memphis turut mendapat sorotan dari sang lagenda The Red Devils, Ryan Giggs. Jika fesyen Memphis dijadikan sasaran kritikan Hanegem, Giggsy pula nampaknya kurang senang dengan perhatian keterlaluan yang diberikan media terhadap gaya hidup pemain ini dan mahu beliau lebih fokus ketika sesi latihan. Saya akui, sejak tiba di Old Trafford musim panas lalu, Memphis lebih menonjol berbanding mana-mana pemain United menerusi lensa kamera diluar padang berbanding aksinya di atas padang. Lebih parah, beliau dilaporkan masih sempat keluar berhibur selepas United tewas 0-3 kepada Arsenal 4 Oktober lalu.

Berbeza dengan Hanegem, Mulder dan Van Hooijdonk yang seperti sudah hilang sabar dengan penampilan Memphis bersama skuad kebangsaan Belanda, penyokong-penyokong United pula saya kira lebih `cool’ tatkala beliau masih tercari-cari rentak yang pernah menjulang namanya sebagai pemain terbaik di Eredivisie. Setakat ini satu-satunya penampilan `kelas A’ yang ditunjukkan Memphis sejak berpindah ke Old Trafford ialah ketika menentang Club Brugge 15 Ogos lalu.

Paling mengecewakan melihat aksinya ketika berdepan Newcastle United, manakala penampilannya yang serba tidak menjadi ketika United melayan kunjungan Liverpool menyebabkan beliau terpaksa ditarik keluar di babak kedua. Prestasi buruk Memphis berterusan hingga menyaksikan beliau hanya bermain selama 45 minit sebelum beliau digantikan Marouane Fellaini ketika United tewas 0-3 kepada Arsenal. Apa sebenarnya yang sedang dihadapai Memphis hingga menjejaskan aksinya di tengah padang?

Jawapan paling tepat ialah konsistensi. Memang lumrah buat pemain muda seperti beliau berdepan masalah mengekalkan konsistensi dalam permainan mereka dan Memphis tidak terkecuali. Tidak mustahil sekiranya selepas ini anda akan saksikan pula Anthony Martial mengalamai nasib yang sama seperti Memphis sekiranya pemain yang sudah menyumbangkan tiga gol untuk United dalam saingan liga ini hilang fokus secara tiba-tiba. Selain masalah konsistensi yang sering dihadapi pemain-pemain muda, perubahan taktikal juga antara penyumbang utama mengapa Memphis masih terkial-kial menyesuaikan diri dengan rentak permainan bersama kelab baharunya.

Berbeza dengan pendekatan yang digunakan Van Gaal untuk United, Eindhoven di bawah kendalian Phillip Cocu pula lebih gemar mengamalkan corak permainan serang balas pantas. Falsafah Cocu sebenarnya cukup mudah, bola yang dirampas dari kaki lawan perlu segera dihantar kepada Memphis atau Luciano Narsingh. Taktik seperti itu sebenarnya memberikan kelebihan kepada pemain sayap yang memiliki kebolehan teknikal seperti Memphis kerana beliau memiliki ruang yang cukup luas ketika melancarkan serangan.

Bersama Eindhoven, Memphis membina reputasinya sebagai seorang dribbler di mana peratus kejayaan gelecekannya mencapai hingga 54% dalam setiap perlawanan di Eredivisie. Berbanding Angel Di Maria yang beraksi untuk United musim lalu, Memphis memiliki fizikal yang lebih kuat untuk menangani corak permainan keras di Liga Perdana. Menentang Tottenham Hotspurs dalam aksi pertama liga, Memphis mencatatkan 67% kejayaan dalam perebutan bola dengan pemain lawan menerusi peranan yang beliau mainkan di belakang Wayne Rooney.

Walau bagaimanapun, perlu kita akui bahawa posisi selaku penyerang tengah bukanlah posisi ideal buat Memphis. Beliau dilahirkan dengan bakat semulajadi sebagai pemain sayap berbekalkan kemahiran teknikal yang bagus. Di Phillips Stadion, Phillip Cocu memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Memphis untuk bergerak di sebelah kiri dengan peranan sebagai free role kerana kemampuan menyerang yang dimilikinya.

Cuba anda bayangkan kualiti yang dimiliki Memphis digabungkan dengan kemampuan Luke Shaw ketika melakukan overlapping. Bagaimanapun agak malang, terjahan keras Hector Moreno akhirnya menyebabkan Shaw terpaksa melupakan baki saingan musim ini. Kita sebenarnya boleh menyaksikan kombinasi sebelah kiri United antara yang paling dicemburui lawan sekiranya Memphis berada diprestasi terbaiknya sambil Shaw memberikan sokongan dari belakang ketika United dalam mode menyerang.

Dengan sokongan Shaw di belakangnya sepertimana yang dilakukan Jetro Willems di Eindhoven, Memphis boleh membelah pertahanan lawan dengan bergerak masuk ke tengah dan kemudiannya melakukan umpanan, ataupun United boleh memanfaatkan kemampuan Shaw dengan hantaran silang kaki kiri ketika melakukan overlapping. Saya percaya situasi inilah yang anda bayangkan ketika mula-mula Memphis menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United.

Untuk melihat semua ini berlaku, Memphis sendiri perlu mengubah corak permainannya dan menurunkan sedikit tahap keegoannya. Kecenderungan beliau untuk menyimpan bola terlalu lama menyebabkan beliau juga kerap hilang kawalan. Satu hakikat penting yang Memphis perlu sedar ialah corak permainan United tidak berpusat kepadanya, situasi yang jelas jauh berbeza berbanding ketika beliau masih bergelar pemain Eindhoven.

Sejak ditinggalkan Cristiano Ronaldo pada 2009, penyokong-penyokong United hingga sekarang dahagakan aksi dari seorang winger yang memiliki kepantasan, bijak, punya sepasang kaki memukau dan handal dalam menjaringkan gol. Dan sejak ditinggalkan Ronaldo juga, deretan nama-nama seperti Gabriel Obertan, Nani, Antonio Valencia, Ashley Young dan Wilfired Zaha dibawa masuk, namun semuanya masih jauh dari tahap yang pernah Ronaldo berikan sepanjang enam musim beliau menyarung jersi United.

Adakah Memphis mampu mengikut jejak yang pernah ditinggalkan George Best, Steve Coppel, Ryan Giggs, David Beckham dan Cristiano Ronaldo sebagai antara winger terbaik yang pernah disaksikan dalam sejarah kelab? Ya, saya tidak pernah meragui potensi dan kualiti beliau untuk muncul antara pemain terbaik United suatu hari nanti, tetapi dengan syarat beliau perlu bekerja lebih keras dan fokus sepertimana yang disarankan Giggsy.

Pada usia 21 tahun, masa memang masih berpihak kepada Memphis dan dengan adanya Shaw (yang baru berusia 20 tahun) di belakang beliau, saya yakin gandingan ini bakal mendominasi bahagian kiri United untuk tempoh satu dekad kehadapan. Semoga harapan tinggi yang diletakkan dibahunya, nombor ikon 7 yang tertera dibelakang jersinya dan kehidupan luar padang bak superstar tidak membunuh potensi yang dimiliki anak muda ini. Untuk bersikap adil, berikan beliau masa dan biarkan beliau lakukan apa yang sepatutnya beliau perlu lakukan sebagai seorang pemain bolasepak. Ayuh Memphis, buktikan bahawa anda adalah lagenda nombor 7 seterusnya….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan