Perlawanan yang menarik tapi berakhir dengan
kekecewaan. Itu mungkin rumusan paling tepat bagi menggambarkan apa yang
berlaku sepanjang 90 minit aksi Manchester
Derby di Old Trafford awal pagi tadi (11 Disember). Selepas mengharungi 40
perlawanan di gelanggang sendiri tanpa kalah, rekod kebal United di Old
Trafford akhirnya ditamatkan City selepas barisan Pep Guardiola mengulangi
pencapaian sama yang dilakukan mereka musim lalu menerusi kemenangan 2-1 yang
dilakar mereka.
Seperti diramalkan sebelum perlawanan, United
membiarkan bola dikuasai City sambil sesekali cuba mencari ruang untuk
melakukan serang balas pantas. Menerusi pendekatan tersebut, United cuma mampu
melepaskan percubaan pertama mereka ke arah gawang City menerusi Chris Smalling
di minit ke-44, seminit selepas David Silva meletakkan pelawat di depan. Tiga
minit selepas percubaan Smalling, kesilapan yang dilakukan Fabian Delph
akhirnya memberikan ruang buat Marcus Rashford menyamakan kedudukan.
Tanpa
Pogba United Kalah...
Tiga kekalahan yang dialami United musim ini
(di tangan Huddersfield Town, Chelsea dan City) berlaku semasa ketiadaan Paul
Pogba. Tanpa Pogba, United hilang kreativiti di bahagian tengah dalam melakukan
gerakan kerana Nemanja Matic dan Ander Herrera lebih cenderung melepaskan
umpanan-umpanan terus ke bahagian hadapan atau ke sisi kedua-dua sayap.
Pogba akan terlepas dua lagi perlawanan
selepas ini, jadi penting bagi Jose Mourinho mencari jalan untuk memastikan
United boleh `hidup’ tanpa Pogba ketika mereka berdepan Bournemouth dan West
Bormwich Albion nanti. Kehilangan sentuhan Pogba sangat dirasai sepanjang aksi
menentang City meskipun selaku pengganti Herrera sudah melaksanakan
tanggungjawab beliau dengan sebaik mungkin.
United
Lebih Bagus Ketika Mereka Ketinggalan...
Sepanjang babak pertama, City menguasai 72%
penguasaan bola berbanding United (28%). Statistik ini sudah cukup
menggambarkan betapa barisan Guardiola tampil lebih dominan meskipun mereka
bermain di gelanggang lawan. United akhirnya bermain dengan baik dan mula
tampil menyerang sebaik David Silva menjaringkan gol pembukaan pelawat di minit
ke-43.
Selepas membiarkan City menguasai permainan
selama 43 minit, United akhirnya mula memberikan tekanan kepada lawan sepanjang
tempoh empat minit baki babak pertama (termasuk dua minit tambahan masa) dan
hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan.
Di awal babak kedua, skrip hampir sama
berulang sekali lagi. City masih menguasai permainan dan memegang penguasaan
bola hingga menyaksikan United hanya mampu melepaskan percubaan pertama mereka
14 minit selepas babak kedua di sambung. Itu pun selepas City kembali di depan
menerusi gol jaringan Nicolas Otamendi.
Selepas ketinggalan buat kali kedua, tiada
apa yang mampu dilakukan United kecuali terus memberikan tekanan kepada lawan.
Hasilnya mereka melepaskan lima percubaan ke arah gawang lawan. Peluang terbaik
untuk menyamakan kedudukan hadir di penghujung permainan namun percubaan jarak
dekat Romelu Lukaku diselamatkan Ederson.
Lukaku
Gagal Menyerlah Dalam Perlawanan Besar...
Dalam formasi 4-2-3-1, seperti biasa Lukaku memainkan
peranan sebagai target man sambil
disokong trio Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Anthony Martial di
belakangnya. Sepanjang perlawanan Lukaku antara pemain United yang saya lihat
bekerja cukup keras di atas padang. Bagaimanapun pendekatan permainan yang
digunakan United menyaksikan beliau gagal memberikan impak sekaligus dilihat
agak tenggelam sepanjang permainan.
Sepanjang babak pertama, Lukaku cuma menyentuh
bola sebanyak lima kali manakala sepanjang tempoh 90 minit permainan pula beliau
cuma mampu melepaskan dua percubaan. Fungsi utama Lukaku dalam perlawanan ini
sebenarnya lebih kepada penyambung gerakan-gerakan serang balas United
terutamanya menerusi duel di udara.
Taktik ini tidak berjalan lancar dan tambah malang kesilapan yang dilakukan
beliau mengakibatkan gol kedua City terhasil.
Penampilan Lukaku sepanjang 90 minit
perlawanan mengesahkan lagi reputasi beliau sebagai `kaki buli pasukan kerdil’.
Meskipun beliau sebenarnya memiliki catatan yang baik ketika berdepan City
sebelum ini, Lukaku jelas gagal menyerlah dalam aksi Manchester Derby pertamanya. Gagal menjaringkan sebarang gol serta satu
bantuan gol, itulah catatan beliau ketika berdepan lima kelab besar Liga
Perdana yang lain (Liverpool, Chelsea, Tottenham Hotspurs, Arsenal dan City).
Guardiola
Yang Lebih Unggul...
Kekalahan terbaru yang dialami United kepada
City bukan sahaja menghentikan perjalanan 40 perlawanan tanpa kalah mereka di
gelanggang sendiri tetapi turut memanjangkan rekod buruk Mourinho ketika
berdepan Guardiola. Lebih setahun lalu, City muncul pasukan terakhir yang
berjaya menewaskan United di Old Trafford dan kini mereka juga muncul pasukan
pertama yang berjaya menamatkan rentetan 40 aksi tanpa kalah barisan Mourinho
di gelanggang sendiri.
Bagi Mourinho dan Guardiola, aksi awal pagi
tadi merupakan pertembungan ke-20 membabitkan mereka selaku pengendali. Dari
jumlah tersebut, Mourinho hanya mampu menewaskan skuad bimbingan Guardiola
sebanyak empat kali, seri tujuh dan tewas sembilan kali. Kemenangan City di Old
Trafford awal pagi tadi juga menyaksikan Guardiola muncul individu paling banyak
menewaskan Mourinho di atas padang berbanding mana-mana pengendali.
Bendera
Putih...
Penting buat United untuk memenangi Manchester Derby kali ini kerana
sebarang keputusan akan menyaksikan City selesa di hadapan selaku pendahulu. Kini
hasil kemenangan yang diraih The Cityzens
menyaksikan mereka berjaya melebarkan jurang kepada 11 mata di tangga teratas
liga. Menyaksikan kepada penampilan konsisten barisan Guardiola setakat ini,
sukar buat mana-mana pencabar yang lain untuk mengejar atau sekurang-kurangnya
memberikan tekanan kepada mereka.
Antonio Conte awal-awal lagi sudah
mengibarkan bendera putih selepas kekalahan yang dialami skuadnya kepada West
Ham, jadi wajarkah Mourinho melakukan hal yang sama selepas menyaksikan United
kini ketinggalan 11 mata di belakang City? Sejujurnya masih terlalu awal untuk
meletakkan City selaku juara baharu Liga Perdana kerana masih ada 22 perlawanan
liga yang perlu diharungi kesemua pasukan.
Segala kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh
lima bulan sebelum saingan liga berakhir, jadi berharaplah agar City tidak
terus konsisten seperti sekarang. Jika Guardiola berjaya mengekalkan City
selaku pasukan yang sukar dikalahkan, tugas buat mana-mana pencabar lain mengejar
mereka menjadi tugas yang hampir mustahil dilaksanakan. Mourinho yang sangat terkenal
dengan `aroma’ optimisme dalam diri beliau juga mengakui akan hakikat itu.
Jika Mourinho mendapati City tidak lagi mampu
dikejar, misi untuk mengekalkan kedudukan United ditangga kedua bakal menjadi
misi yang wajib disempurnakan beliau. Selain dari itu masih ada tiga lagi
kejuaraan (Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA) yang boleh dijadikan
sasaran, jadi nasihat saya kepada anda, bawa bertenang dan nikmati sahaja baki
saingan musim ini.
Mungkin buat masa ini City kelihatan seperti
barisan yang hampir sempurna dan mustahil untuk dikejar, tetapi saya masih percaya
bahawa keajaiban boleh berlaku pada bila-bila masa. Jika keajaiban yang kita
harapkan tidak berlaku, pasrah saja bahawa musim ini bukan musimnya untuk
United kembali menjulang kejuaraan liga selepas kemarau selama empat tahun. Jika
Conte sudah mengibar bendera putih, saya berharap Mourinho pula tidak
begitu...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan