Manchester United akhirnya mara ke pusingan
kalah mati (16 pasukan) Liga Juara-Juara selepas jaringan Romelu Lukaku dan
Marcus Rashford menyaksikan mereka memadam kelebihan awal CSKA Moscow untuk
menang (2-1) di Old Trafford awal pagi semalam (6 Disember). Kemenangan ini juga menyaksikan
United mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan A selepas memungut
15 mata manakala wakil Switzerland (FC Basel) di posisi kedua.
Kemenangan yang diraih ke atas CSKA Moscow
itu juga menyaksikan United berjaya melebarkan catatan rekod tanpa kalah mereka
ketika beraksi di Old Trafford. Sejak kekalahan kepada Manchester City dalam
saingan liga 10 September 2016 yang lalu, United sudah mengharungi 40
perlawanan (dalam semua kejohanan) di Old Trafford tanpa sebarang kekalahan.
Jumlah ini juga sebenarnya melangkaui catatan
37 perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri yang pernah dilakar barisan Sir
Alex Ferguson pada 2011. Bagaimanapun 40 perlawanan tanpa kalah di Old Trafford
bukanlah catatan peribadi terbaik Jose Mourinho kerana semasa di Stamford
Bridge, beliau berjaya membawa Chelsea mengharungi 60 perlawanan tanpa kalah ketika
mereka beraksi di gelanggang sendiri.
United
Dengan Sistem Tiga Pertahanan...
Meletakkan tiga pemain pertahanan bukanlah
pendekatan yang asing untuk United kerana di era Louis Van Gaal, beliau sering
menggunakan formasi 3-5-2 sebagai pilihan utama. Dalam tiga perlawanan
terakhir, Mourinho memilih untuk meletakkan tiga pemain pertahanan menerusi
formasi 3-4-3 atau 3-4-1-2 pilihan beliau. Menerusi pendekatan menggunakan
sistem tiga pemain pertahanan, United menang tiga perlawanan terakhir mereka
(menewaskan Watford, Arsenal dan CSKA Moscow).
Pendekatan menggunakan tiga pemain pertahanan
sebenarnya bukanlah asing juga buat Mourinho kerana ketika masih di Bernabeu,
skema tiga pemain pertahanan sering digunakan beliau terutamanya ketika
berdepan lawan yang meletakkan dua pemain di barisan hadapan. Taktik ini
berhasil dan sesuai dengan falsafah bolasepak Mourinho yang mengutamakan serang
balas pantas kerana ia sangat efisien dalam menghasilkan gol dan solid ketika
bertahan.
Tiga
Aksi Tanpa Pogba dan Kembalinya Shaw...
Berdepan CSKA Moscow merupakan aksi terakhir
Paul Pogba untuk United sebelum beliau mula menjalani penggantungan tiga
perlawanan akibat layangan kad merah yang diterimanya ketika berdepan Arsenal
Ahad lalu. Sudah tentu ketiadaan Pogba sebagai penggerak jentera tengah akan
dirindui saat United menerima kunjungan Manchester City hujung minggu ini.
United akan merindui visi permainan tinggi Pogba
yang setakat ini sudah menyumbang enam bantuan gol hanya menerusi 12 penampilan
(dalam semua kejohanan). Catatan ini juga menyamai pencapaian yang dilakukan
beliau sepanjang musim lalu dari keseluruhan 51 penampilan untuk United. Selain
Pogba, Luke Shaw juga antara pemain yang menonjol di sebalik kemenangan United
ke atas CSKA Moscow.
Selepas berehat panjang, Shaw seolah-olah
mahu membuktikan kemampuan sebenarnya kepada Mourinho menerusi prestasi
cemerlang yang ditampilkan bek kiri itu. Mengikut statistik sepanjang babak
pertama, Shaw muncul pemain United paling banyak menyentuh bola di kawasan
lawan (4 kali), dan jumlah ini dua kali ganda mengatasi catatan yang dilakukan
Romelu Lukaku.
Mengulas tentang prestasi Shaw, Mourinho
berkata: “Kerja-kerja yang dilakukan Shaw dalam situasi offensif sangat-sangat
bagus. Dia menunggu waktu yang begitu lama untuk kembali bermain. Tidak mudah
untuk memberikan peluang kepada pemain yang tidak bermain selama
berbulan-bulan. Sejujurnya saya berpuashati dengan prestasi Shaw”.
Meneka
Lawan United Di Pusingan Kalah Mati...
Antara kriteria utama undian yang bakal
dilangsungkan Isnin ini (11 Disember) mensyaratkan tiada sebarang pertembungan
sesama kelab senegara di pusingan kalah mati nanti. Ini bermakna kita sudah
boleh mengeluarkan Liverpool, Manchester City, Spurs dan Chelsea dari senarai
selain FC Basel (yang berada sekumpulan dengan United dalam saingan peringkat
kumpulan).
Selaku juara Kumpulan A, United juga berjaya
mengelak dari diundi bertemu dengan juara kumpulan yang lain (Paris St Germain,
Roma, Barcelona dan Besiktas). Jadi kelab mana yang bakal berdepan United di
pusingan kalah mati nanti? Jawapannya ialah sama ada Real Madrid, FC Porto,
Shakhtar Donetsk, Sevilla, Juventus atau Bayern Munich (selaku runner up di peringkat kumpulan).
Jika boleh memilih sudah pasti kita mahu
menyaksikan United berdepan Shakhtar Donetsk atau Sevilla terlebih dahulu,
namun kemungkinan untuk United diundi berdepan gergasi Eropah seperti Real
Madrid, Juventus atau Bayern Munich juga sangat besar. Dalam situasi sekarang,
tiada apa yang mampu dilakukan Mourinho selain menanti hasil keputusan undian
sebelum mengetahui siapa lawan sebenar barisan kendaliannya nanti.
Siapapun
Tidak Gembira Bertemu United...
Ketika takdir United bakal ditentukan Isnin
ini, Mourinho tampak seperti `tidak kisah’ dengan lawan mana yang bakal
dihadapi barisan pemainnya di pusingan kalah mati (16 pasukan) nanti. Selepas
kembali semula ke saingan tertinggi kelab-kelab Eropah dan mara ke pusingan
kalah mati selaku juara kumpulan, United perlu bersedia dengan sebarang
kemungkinan untuk kembali bertempur dengan barisan elit Eropah yang lain.
Sepertimana Mourinho, saya yakin Zinedine
Zidane, Jupp Heynckes dan Massimiliano Allegri juga waspada dengan sebarang
kemungkinan barisan kendalian mereka diundi berdepan United. Saya sangat
tertarik dengan kata-kata Mourinho dalam satu sidang media bahawa sesiapa pun
tidak akan gembira jika mereka terpaksa bertemu United.
Ya....selaku antara kelab elit Eropah, United
juga wajar dihormati serta ditakuti. Untuk itu barisan The Red Devils juga sewajarnya bersedia berdepan sebarang
kemungkinan untuk dipertemukan dengan Real Madrid, Bayern Munich atau Juventus.
Percayalah bahawa Zidane, Heynckes atau Allegri pasti tidak akan gembira sekiranya
takdir menentukan bahawa barisan kendalian mereka terpaksa bertemu United...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan