Kekalahan kepada Manchester City Isnin lalu
(11 Disember) bukan sahaja menyaksikan United ketinggalan 11 mata di belakang
jiran sekota mereka tetapi turut memberikan isyarat jelas kepada Jose Mourinho
bahawa ada beberapa posisi yang perlu beliau perkuatkan sebaik jendela
perpindahan pemain pertengahan musim dibuka Januari ini. Saya yakin kekalahan
menyakitkan kepada City juga bakal menyaksikan penglibatan secara aktif United
dalam mendapatkan pemain-pemain sasaran mereka sepanjang Januari ini.
Dengan saingan pusingan kalah mati Liga
Juara-Juara akan berlangsung pada Februari ini serta perlumbaan mengejar
kejuaraan liga yang pada pandangan saya masih lagi terbuka walaupun City
mencipta jurang yang cukup luas, saya fikir Mourinho tidak akan berdiam diri
dalam usaha mendapatkan beberapa pemain baharu bagi memperkasakan skuadnya. Untuk
itu Mourinho diramalkan meletakkan posisi bek kiri, attacking midfielder dan central
midfielder sebagai fokus utama untuk beliau perkuatkan.
Bek
Kiri...
Dalam tempoh dua hingga tiga musim terakhir,
Ashley Young, Matteo Darmian, Daley Blind, Marcos Rojo dan Luke Shaw antara
nama yang pernah dan sering digunakan untuk mengisi posisi sebagai pertahanan kiri.
Namun tiada satu pun di antara mereka mampu menguasai posisi tersebut secara
dominan sebagaimana Antonio Valencia yang berada di posisi berlawanan.
Sepanjang tempoh tersebut juga, Louis Van
Gaal dan kini Mourinho belum menemukan pemain yang layak untuk diletakkan di
posisi pertahanan kiri secara tetap. Dari nama-nama yang disebutkan di atas,
hanya Shaw sahaja boleh dianggap sebagai pertahanan kiri tulen, namun masa
depan beliau sering diperdebatkan kerana kurangnya minit bermain sejak ketibaan
Mourinho.
Rojo juga boleh memainkan peranan sebagai
pertahanan kiri di mana posisi tersebut bukanlah asing buat beliau ketika
menyarung jersi skuad kebangsaan. Bagaimanapun di Old Trafford, Rojo kini lebih
selesa dan dikenali kerana aksi ampuhnya di posisi pertahanan tengah ketika dipasangkan
sama ada bersama Chris Smalling, Eric Bailly, Phil Jones atau Victor Lindelof.
Bagi Blind dan Darmian pula, mereka antara
pemain yang kini sedang menghitung hari-hari terakhir bersama kelab. Blind
merupakan pemain serba boleh kerana kemampuan beliau beraksi sebagai pertahanan
kiri, tengah dan juga pemain tengah bertahan namun sering berdepan isu stamina
selain kekuatan fizikalnya turut diragui, begitu juga Darmian yang berdepan isu
sama.
Untuk segala masalah di atas, Mourinho
melihat kelibat Danny Rose sebagai kunci yang membuka kepada jalan
penyelesaian. Jika Rose dijadikan sasaran, United juga diberitakan sanggup
melepaskan Shaw kepada Spurs sebagai pertukaran. Keinginan tinggi Rose untuk menjulang
trofi kejuaraan tampak sukar disekat Spurs dan Old Trafford merupakan antara
destinasi terbaik untuk beliau tuju bagi menenuhi impiannya.
Attacking Midfielder...
Ketika Henrikh Mkhitryan mahu bersemuka
dengan Mourinho bagi membincangkan masa depan beliau bersama kelab, apakah akan
ada sebarang kemungkinan untuk kita menyaksikan seorang perancang baharu di
bawa masuk Januari ini? Saya tidak pernah meragui kualiti yang dimiliki Mikhi
tapi kita juga perlu mengakui bahawa bintang Armenia ini nampaknya masih belum
mampu menyesuaikan dirinya dengan gaya bolasepak Inggeris sejak tiba di Old
Trafford Julai tahun lalu.
Di awal musim, Mikhi muncul antara pemain
United paling menyerlah ketika beliau diberikan peranan sebagai playmaker oleh Mourinho menerusi
bantuan-bantuan gol serta peluang-peluang jaringan yang diciptanya. Dari
seorang pemain yang memiliki kreativiti tinggi serta visi permainan menarik,
prestasi Mikhi kemudiannya turun secara mendadak. Ketiadaan Pogba yang terpaksa
berehat panjang kerana masalah hamstring
antara faktor yang menyumbang kepada bungkamnya prestasi Mikhi.
Kurangnya sokongan dari bahagian tengah
(terutamanya sepanjang ketiadaan Pogba) menyebabkan kreativiti dan visi
permainan Mikhi terbantut. Ketika lawan berjaya mematikan setiap pergerakan
Mikhi, bekalan hantaran-hantaran berkualiti untuk Romelu Lukaku juga semakin
berkurangan lantas menjejaskan produktiviti warga Belgium itu selaku pembekal
gol buat United. Untuk rekod, kali terakhir Mikhi mencipta bantuan gol ialah
pada 26 Ogos lalu ketika berdepan Leicester City di Old Trafford.
Jika Mourinho mahu mengekalkan Mikhi,
meletakkan pemain ini kembali ke posisinya sebagai penyerang sayap adalah
opsyen terbaik. Jika itu berlaku siapa yang bakal dibawa masuk untuk bertindak
selaku pemain tengah menyerang? Mesut Ozil ialah calon paling hangat dan
menjadi buah mulut penyokong-penyokong United sejak kebelakangan ini. Malah
pada Oktober lalu Mourinho sendiri tampak yakin mampu menjalinkan semula
kerjasamanya dengan playmaker Jerman
itu.
Melepaskan Ozil ketika jendela perpindahan
musim sejuk dibuka adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan Arsenal
berbanding hilang khidmat pemain ini secara percuma musim panas nanti. Faktor
Mourinho menyaksikan United antara kelab yang memiliki potensi paling besar
dalam mendapatkan tandatangan Ozil memandangkan sejarah kerjasama yang pernah
terjalin antara mereka ketika di Santiago Bernabeu dari 2010 hingga 2013.
Central Midfielder...
Masih wajar diberikan perhatian meskipun
posisi ini bukan keutamaan paling atas untuk Mourinho perbaiki memandangkan
beliau sudah memiliki pemain sekaliber Paul Pogba. Mourinho berjaya menemui
gandingan ideal buat Pogba menerusi kehadiran Nemanja Matic tetapi United jelas
bergelut di bahagian tengah ketika bekas pemain termahal dunia itu tersisih
akibat kecederaan.
Meskipun Mourinho memiliki nama-nama lain
seperti Ander Herrera, Marouane Fellaini serta potensi besar yang dimiliki
Scott McTominay sebagai pengganti, kreativiti serta visi permainan Pogba ketika
merancang gerakan sukar ditebus. Hal ini bukan andaian kerana kesemua kekalahan
yang dialami United dalam saingan liga setakat ini berlaku ketika Pogba tidak
bermain.
United sebenarnya tidak perlu menandatangani
pemain baharu di posisi ini kerana mereka memiliki pilihan untuk memanggil
Andreas Pereira pulang dari Stadium Mestalla. Pemain muda yang memiliki potensi
besar ini sangat dikenali kerana kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran
jauh yang tepat, bijak menyusun gerakan manakala kelajuan yang dimilikinya membolehkan
United mengubah transisi bertahan kepada menyerang dengan pantas.
Kemungkinan
Yang Bakal Berlaku...
Saya yakin terdapat potensi yang sangat besar
untuk kita melihat United `terjun’ dalam pasaran perpindahan pemain Januari
ini. Kekalahan kepada City merupakan isyarat paling jelas kepada Mourinho
bahawa beliau perlu memperkasakan beberapa posisi dalam skuadnya jika mahu
melihat United kekal dalam misi menghambat pendahulu carta liga itu pada baki
aksi saingan musim ini.
Mesut Ozil dan Danny Rose antara nama yang sering
disebut-sebut punya potensi besar untuk di bawa ke Old Trafford Januari ini,
namun dalam masa sama sebarang kemungkinan lain juga boleh berlaku. Joao Mario
antara pemain yang dikatakan mampu memberi dimensi baharu di bahagian tengah
United hingga Mourinho diberitakan sanggup meletakkan Mikhi sebagai pertukaran
dalam misinya membawa pemain ini keluar dari San Siro.
Ozil, Rose dan Joao Mario antara pemain yang
disasarkan Mourinho tetapi tidak mungkin untuk United membawa masuk tiga pemain
baharu di pertengahan musim. Ketika kedudukan City masih berpotensi untuk
dikejar, pusingan kalah mati Liga Juara-Juara yang bakal menanti serta trofi
domestik (Piala FA dan Piala Liga) yang boleh dimenangi, tiada apa yang lebih
menggembirakan Mourinho selain berjaya mendapatkan salah seorang pemain
sasarannya Januari ini...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan