Kemenangan yang diraih Manchester United ke
atas Arsenal di gelanggang lawan awal pagi Ahad lalu bukan sahaja dibantu
ketepatan strategi yang digunakan Jose Mourinho tetapi juga kerana ketangkasan
David De Gea melalui penyelamatan-penyelamatan hebat yang dilakukannya
sepanjang tempoh 90 minit perlawanan. Saya akui keputusan Mourinho meletakkan
dua pemain (Romelu Lukaku dan Anthony Martial) di barisan hadapan menyebabkan
barisan pertahanan Arsenal bergelut hingga menghasilkan dua gol pantas di awal
babak pertama.
Jesse Lingard menjaringkan dua gol di Stadium
Emirates untuk memberikan United tiga mata berharga tetapi wira sebenar dan
pengiktirafan selaku pemain terbaik perlawanan sudah tentu milik De Gea. Sebaik
ketinggalan dua gol, Arsenal mula bermain secara `ultra offensive’ dalam usaha mereka untuk sekurang-kurangnya
mendapatkan satu gol sebelum berakhirnya babak pertama. Tekanan kepada benteng
pertahanan United semakin bertambah sebaik Alexandre Lacazette merapatkan
kedudukan hanya empat minit sebaik babak kedua disambung.
Arsene Wenger mengakui kesilapan mudah yang
dilakukan benteng pertahanannya menjadi penyebab utama kegagalan mereka
menyekat United dari meraih tiga mata penuh di Stadium Emirates. Namun
satu-satunya hal yang tidak dinafikan Wenger selepas kegagalan Arsenal
mempertahankan rekod tujuh kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri
dalam saingan liga musim ini ialah ketangkasan De Gea di hadapan gawang United.
Sepanjang perlawanan De Gea melakukan 14 penyelamatan dan sudah tentu aksi paling
hebat dari lelaki Sepanyol ini ialah ketika melakukan `double saves’ diminit ke-55.
3
Tahun Lalu...
Aksi gemilang yang ditampilkan De Gea awal
pagi Ahad lalu bukanlah yang pertama dipamerkan beliau ketika ditugaskan
mengawal gawang United. 14 penyelamatan yang dilakukan beliau sepanjang 90
minit menunjukkan kelas sebenar De Gea selaku penjaga gol terbaik dunia dewasa
ini. Sejak ketibaan beliau di Old Trafford pada 2011, De Gea merupakan sosok
penting di hadapan pintu gol bahkan beberapa penyelamatan yang dilakukannya
memberikan mata atau sekurang-kurangnya mengelakkan United dari mengalami
kekalahan.
Pada 2014, tiga penyelamatan hebat yang
dilakukan De Gea ketika berdepan Everton di Old Trafford memberikan United tiga
mata penuh. Aksi hebat beliau pada tanggal 5 Oktober 2014 itu bermula dengan kejayaan
menafikan sepakan penalti Leighton Baines. Kejayaan itu juga menyaksikan rekod
bersih Baines selaku pakar sepakan penalti di Liga Perdana berakhir. Seterusnya
giliran Leon Osman pula menyaksikan percubaan jarak dekatnya dinafikan De Gea.
Namun aksi paling gemilang sebenarnya berlaku di penghujung permainan.
Refleks pantasnya ketika menyelamatkan
percubaan Bryan Oveido dengan menggunakan kaedah `opposite hand’ saya letakkan sebagai antara momen terhebat pernah
ditampilkan De Gea di hadapan gawang United. Di luar padang pula, riak wajah
Roberto Martinez seakan terpukau menyaksikan keajaiban yang dilakukan De Gea
walaupun pada mulanya beliau tampak seperti sudah bersedia untuk meraikan
`jaringan penyamaan’ tersebut. United akhirnya menang perlawanan itu menerusi
gol jaringan Angel Di Maria dan Radamel Falcao manakala Steven Naismith muncul
penjaring tunggal Everton.
Arsenal
Yang Bungkam...
Kembali kepada aksi yang berlangsung di
Stadium Emirates awal pagi Ahad lalu, kita terpaksa mengakui bahawa Arsenal
pasukan yang lebih dominan berdasarkan statistik sepanjang 90 minit permainan
(kecuali jaringan gol). Bagaimanapun akhirnya kita juga terpaksa mengakui
bahawa dalam bolasepak pemenang perlawanan ditentukan oleh pasukan mana yang
lebih banyak menjaringkan gol.
Menguasai permainan, hantaran, percubaan atau
mencipta lebih banyak peluang tidak menjamin untuk anda keluar sebagai pemenang
dan itulah yang berlaku kepada barisan Wenger tempohari. Sepanjang perlawanan
Arsenal menguasai 75% penguasaan bola selain melakukan 33 percubaan ke arah
gawang United. Jadi mengapa mereka cuma mampu menjaringkan satu gol sahaja?
Jawapannya ialah United memiliki David De
Gea. Mengulas kegagalan barisan penyerangnya menembusi gawang United, Wenger
berkata: “Ini merupakan satu misteri kerana kami tidak mampu menjaringkan banyak
gol. Tapi De Gea ialah pemain terbaik dan itu sangat jelas”. Sejak statistik
perlawanan mula direkodkan di Liga Perdana, tiada mana-mana penjaga gol yang
melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selain De Gea.
Pertahanan
United Diselamatkan De Gea...
Bukan rahsia bahawa sejak dari awal lagi
Mourinho memang merancang untuk menerapkan strategi serang balas pantas di
Stadium Emirates dan bukan rahsia juga bahawa Arsenal sering berdepan masalah
dalam menangani corak permainan seperti itu. “Rancangannya ialah ketika mereka
menguasai bola kami semua akan bertahan. Ketika mereka hilang bola, kami akan
cuba melakukan serang balas pantas untuk mendapatkan gol dan itulah yang kami
lakukan”, kata Mourinho.
Di sebalik kejayaan di Stadium Emirates itu,
kita juga terpaksa mengakui bahawa benteng pertahanan United sebenarnya tidak
bermain dengan begitu baik. 14 penyelamatan yang dilakukan De Gea dari 33
percubaan yang dilakukan Arsenal jelas menunjukkan bahawa sistem pertahanan
United tidak bekerja dengan lancar. Bagaimanapun akhirnya ketangkasan De Gea serta
aksi-aksi heroiknya sepanjang perlawanan menutup segala kekurangan rakan-rakan
di bahagian belakang dan memberikan United tiga mata berharga.
Penghargaan
Dari Mourinho...
Arsenal menampilkan permainan menyerang yang
menarik tetapi cara barisan United menangani corak `ultra offensive’ lawan juga wajar diberikan pujian. Ketika ditanya
tentang penampilan De Gea, Mourinho berkata: “Saya mengatakan kepadanya selepas
perlawanan bahawa apa yang saya lihat pada malam ini ialah seorang penjaga gol
terbaik dunia. Mereka memiliki peluang tetapi kami terus berjuang dan memiliki
penjaga gol yang hebat”.
Tugas
Berat United...
Dalam tempoh beberapa tahun terakhir, De Gea
membuktikan bahawa beliau antara pemain terpenting dalam kesebelasan United. Tindak
balas refleks yang tinggi dan penyelamatan-penyelamatan indah yang dilakukannya
mengesahkan lagi reputasi beliau sebagai antara penjaga gol terbaik pernah
disaksikan mengawal gawang United.
Selepas persaraan Edwin Van der Sar, De Gea
direkut Sir Alex Ferguson sebagai pengganti legenda Belanda itu untuk mengawal
gawang United. Meskipun sedikit bergelut pada peringkat awal kariernya di
England, De Gea akhirnya membuktikan bahawa beliau merupakan pilihan tepat
selaku pengganti jangka panjang Van der Sar.
Melihat kepada satu lagi prestasi gemilang
yang dipamerkan De Gea, saya yakin Real Madrid tidak akan mudah memadam hasrat
mereka untuk membawa beliau kembali beraksi di La Liga. Selepas bertahun-tahun
dikaitkan dengan perpindahan ke Bernabeu, satu tugas berat terpaksa dipikul
pihak pengurusan United dalam usaha mengekalkan antara pemain terbaik mereka
itu di Old Trafford.
Ketika anak-anak kecil lebih mudah menyebut
nama Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar, Paul Pogba atau Zlatan
Ibrahimovic sebagai idola mereka, De Gea pula berjaya mengubah persepsi ramai
pihak tentang tugas seorang penjaga gol menerusi ketangkasan dan
penyelamatan-penyelamatan gemilang yang dilakukannya. Untuk musim hadapan
berharaplah agar `Super Dave’ terus kekal dan menjadi penyelamat di pintu gol United. Adakah beliau kini penjaga gol terbaik dunia? Terserah kepada anda untuk melakukan penilaian. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan