Selepas tujuh minggu diketepikan kerana
masalah `hamstring’, Paul Pogba
akhirnya kembali menyertai rakan-rakan sepasukan beraksi di atas padang. Aksi
menentang Newcastle United merupakan penampilan pertama Pogba dalam saingan
liga sejak 9 September dan sudah tentu sepanjang tempoh tersebut, ketiadaan
bekas pemain termahal dunia itu di bahagian tengah sangat dirasai.
Pogba bukan sekadar pengumpan, bukan juga
sekadar penjaring gol tetapi perlu diakui bahawa beliau merupakan nadi kepada
kelancaran gerakan-gerakan serangan United. Sepanjang ketiadaan beliau, Jose
Mourinho memberikan penampilan kepada Ander Herrera untuk membentuk kombinasi
bersama Nemanja Matic dan Henrikh Mkhitaryan dalam menggerakan jentera tengah pasukannya.
Kita perlu mengakui bahawa Herrera sudah
melakukan tugasnya dengan sebaik mungkin namun kreativiti yang hilang sepanjang
ketiadaan Pogba sukar digantikan. Ketiadaan Pogba bukan sahaja menjejaskan
prestasi keseluruhan pasukan malah mencetuskan rantaian kemerosotan beberapa
pemain tonggak seperti Henrikh Mkhitaryan dan Romelu Lukaku.
Biar
Statistik Berbicara...
Empat aksi pertama liga musim ini ketika
Pogba membarisi kesebelasan United, mereka mencatatkan purata 13.75 kali
kehilangan bola dalam setiap perlawanan. Tanpa Pogba dalam tujuh perlawanan
selepas itu, catatan tersebut menurun kepada 9.85 kali. Adakah itu bermakna
United sebenarnya pasukan yang lebih bagus tanpa kehadiran Pogba?
Jawapannya sudah tentu tidak. Dengan adanya
Pogba, United pasukan yang berbeza kerana mereka lebih berani mengambil risiko
ketika menyerang, lebih banyak melakukan hantaran-hantaran, lebih banyak
melakukan sentuhan di dalam petak penalti lawan malah ketepatan hantaran yang
dilakukan mereka di zon `final third’
lawan juga lebih baik.
Mengikut statistik, United mencipta 59
peluang jaringan gol sepanjang empat aksi awal liga mereka ketika Pogba
bermain. Dari jumlah tersebut mereka mencipta 49 `key passes’ dan 10 `assist’.
Bagaimana pula jumlah peluang jaringan gol yang dicipta United sepanjang
ketiadaan Pogba? Sepanjang tujuh perlawanan tanpa kehadiran Pogba, statistik
tersebut menurun secara drastik.
Dari tujuh perlawanan yang diharungi United
selepas Pogba menjalani rawatan, mereka cuma mencipta 39 peluang jaringan gol dan
dari jumlah tersebut 28 merupakan `key
passes’. Dari segi jumah percubaan yang dilakukan pula, United melepaskan 212
percubaan ke arah pintu gol lawan, manakala tanpa Pogba mereka melepaskan 202
percubaan (dari empat perlawanan).
Mourinho
`Menangis’ Tanpa Pogba...
“Pemain berdepan risiko kecederaan dan
penggantungan perlawanan. Kami tidak akan menangisi kehilangan pemain yang cedera.
Jadi jika Pogba tidak dapat bermain kami masih memiliki Herrera, Carrick dan
Fellaini”. Itu antara kata-kata Mourinho selepas Pogba disahkan tidak akan
turun beraksi selama enam minggu kerana masalah hamstring September lalu.
Sepertimana kata Mourinho, United masih
memiliki pemain yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Pogba dalam stok
simpanan mereka. Bagaimanapun akhirnya Mourinho juga terpaksa mengakui bahawa
tiada seorang pun di antara mereka yang mampu menjadi nadi kepada `fluidity’ gerakan-gerakan serangan
United sepertimana Pogba.
Tanpa Pogba, Mourinho menyaksikan United cuma
mampu mengumpul 13 mata dari tujuh perlawanan liga atau purata 1.86 mata per
perlawanan berbanding sebelumnya (2.5 mata per perlawanan ketika Pogba
bermain). Lebih malang persembahan United ketika mereka mencatat keputusan seri
di Anfield dan kekalahan kepada Huddrsfield Town mengundang kritikan
keras.
Lukaku
Kemarau, Mikhi Menurun...
Antara pemain United yang paling terkesan
dengan ketiadaan Pogba ialah Romelu Lukaku dan Henrikh Mkhitaryan. Lukaku
menjaringkan empat gol dari empat penampilan awal liga bersama United, namun
penyerang antarabangsa Belgium itu cuma mampu menjaringkan tiga gol sepanjang
tujuh perlawanan ketika Pogba tersisih akibat kecederaan.
Kurangnya peluang-peluang yang tercipta serta
hantaran-hantaran yang diterimanya dari rakan-rakan di bahagian tengah
menyaksikan Lukaku kemarau gol dalam empat perlawanan liga berturut-turut (ketika
berdepan Liverpool, Huddersfield, Spurs dan Chelsea). Kemarau gol Lukaku
sebenarnya turut dipengaruhi oleh penurunan prestasi Mikhi selaku `playmaker’ yang membekalkan umpanan-umpanan
kepada beliau.
Lima `assist’
dari tiga perlawanan awal liga serta gerakan-gerakan menarik yang dilakukannya
ketika melancarkan serangan menyaksikan Mikhi muncul antara pemain United paling
menyerlah. Bermain di samping Pogba, Mikhi lebih banyak terlibat dalam
permainan di mana statistik menunjukkan beliau melakukan sentuhan bola setiap
1.2 minit, menerima umpanan setiap 1.7 minit dan mampu mencipta peluang
jaringan gol setiap 22 minit.
Bagaimana pula prestasi Mikhi sepanjang
ketiadaan Pogba? Tanpa Pogba, Mikhi mendapati beban tugasnya semakin bertambah
kerana berbanding sebelumnya, beliau kini perlu kerap turun kebawah bagi
mendapatkan bola. Jadi tidak hairanlah mengapa selepas ketiadaan Pogba, Mikhi
cuma menerima purata satu umpanan setiap 2.1 minit dan melakukan sentuhan bola
setiap 1.4 minit.
Akhirnya faktor ini turut mempengaruhi
kemampuan beliau dalam mencipta peluang kerana sepanjang ketiadaan Pogba, Mikhi
kini cuma mampu mencipta satu peluang jaringan gol setiap 58 minit. Ketika kita
mendapati Mikhi gagal berfungsi sebagaimana biasa sejak ketiadaan Pogba, Lukaku
yang berperanan selaku penggempur pula sering berada dalam keadaan `isolated’ kerana kurang dibekalkan
dengan hantaran-hantaran berkualiti.
Pentingnya
Pogba Dalam Skema Permainan United...
Dari empat perlawanan awal liga musim ini,
Pogba muncul pemain United paling banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol
lawan dengan purata 4.3 percubaan per perlawanan. Satu-satunya pemain di Liga
Perdana yang melakukan percubaan lebih banyak berbanding Pogba ialah Harry Kane
(5.9 percubaan per perlawanan). Selain dari itu Pogba juga muncul pemain United
paling kerap melakukan `dribble’ dalam setiap perlawanan (purata 4 `dribble’), mengatasi Marcus Rashford
yang melakukan 3.9 `dribble’ per
perlawanan.
Apa yang lebih penting ialah nisbah
keberhasilan `dribble’ yang dilakukan
Pogba mencapai 3.3 per perlawanan berbanding Rashford (1.7 per perlawanan).
Menerusi pendekatan serang balas pantas yang menjadi nadi kepada permainan
United, peranan Pogba dilihat sangat penting menerusi kemampuan beliau dalam
melakukan `dribble’ bagi memecah
pertahanan lawan, manakala umpanan-umpanan tepat jarak jauhnya boleh mengubah
dengan pantas transisi dari bertahan kepada menyerang.
Selamat
Kembali Pogboom...
Tujuh minggu tersisih di bilik rawatan, Pogba
akhirnya melakukan kemunculan semula dalam kesebelasan utama United ketika
berdepan Newcastle United awal pagi Ahad lalu. Kali ini United tampil berbeza
dengan adanya Pogba di bahagian tengah kerana pergerakan bola dari bawah ke
hadapan kembali mengalir dengan lancar. Permainan United kembali `hidup’ namun satu
hal yang sangat menarik juga ialah melihat bagaimana mereka bangkit selepas
ketinggalan.
Selain berjaya menjaringkan satu gol dan
menyumbangkan assist yang membolehkan
jaringan penyamaan terhasil menerusi Anthony Martial, kehadiran semula Pogba
juga menyaksikan kemarau gol empat perlawanan berturut-turut Lukaku berakhir.
Pentingnya pengaruh Pogba dalam menggerakkan jentera tengah United turut diakui
Mourinho selepas tamat aksi menentang `The
Magpies’ apabila beliau melabel pemain tengah itu berada dalam `kelas
berbeza’.
Musim lalu beliau dilabel sebagai `tidak
menepati nilai sebenar’ oleh para pengkritiknya tetapi kini Pogba membuktikan
betapa besarnya pengaruh beliau dalam menghidupkan permainan United. Tujuh
perlawanan (liga) tanpa Pogba, bukti betapa United sangat memerlukan pemain ini
dalam menghidupkan jentera tengah mereka. Tujuh perlawanan tanpa Pogba juga
sebenarnya sangat meresahkan meskipun lebih sebulan lalu Mourinho mengatakan
bahawa beliau tidak akan menangisi kehilangan Pogba. “Selamat kembali beraksi
Pogboom”...Glory Glory Manchester United!!!