06 November 2017

KALAH DI STAMFORD BRIDGE BUKAN PENGAKHIRAN BUAT UNITED




Musim lalu kunjungan ke Stamford Bridge berakhir dengan tragedi selepas United diaibkan barisan Antonio Conte menerusi kekalahan besar 0-4. Kekalahan itu juga merupakan kekalahan terbesar United kepada Chelsea sepanjang tempoh 11 tahun sejak William Gallas, Joe Cole dan Ricardo Carvalho masing-masing meledak satu gol ke gawang Edwin Van der Sar dalam pertemuan yang berlangsung pada 29 April 2006 di markas `The Blues’ itu.

Di gelanggang yang sama awal pagi tadi, United sekali lagi pulang dengan tangan kosong selepas gol tunggal perlawanan jaringan Alvaro Morata diminit ke-55 memberikan skuad Antonio Conte tiga mata berharga. Kekalahan ini juga menyaksikan United ketinggalan lapan mata di belakang Manchester City selaku pendahulu carta liga manakala Chelsea pula kembali merapatkan kedudukan selepas mengumpul 22 mata untuk menduduki posisi tangga keempat.

Faktor Kante...

Kepulangan N’Golo Kante selepas berehat lebih sebulan kerana masalah `hamstring’ tepat pada waktunya. Kehadiran Kante menyaksikan barisan tengah Chelsea tampil lebih solid sekaligus memudahkan Tiemoue Bakayoko dalam melakukan tugasnya untuk memutuskan aliran bola dari bahagian tengah United. Kegagalan trio Nemanja Matic-Ander Herrera-Henrikh Mkhitaryan menguasai bahagian tengah antara punca utama gagalnya misi United di Stamford Bridge.

Sepanjang perlawanan Kante melakukan dua `tackle’ bersih, dua `intercept’, dua `clearance’, satu `block’ dan satu percubaan, manakala peratus ketepatan hantaran yang beliau lakukan mencapai 90%. Seorang lagi pemain tengah Chelsea yang memainkan peranan besar di atas padang awal pagi ialah Cecs Fabregas. Bersama Eden Hazard, `Si Pelempar Pizza’ ini cukup berbahaya ketika melancarkan gerakan dan sentiasa ada di bawah membantu pertahanan dalam situasi defensif.

Pogba Yang Dirindui...

Bukan rahsia lagi bahawa United sangat terjejas sepanjang ketiadaan Paul Pogba, malah ketiadaan bekas pemain termahal dunia itu turut dikatakan punca penurunan prestasi Mkhitaryan dan kemarau gol Romelu Lukaku. Tugas Pogba selama ini bukan sekadar mencipta `assist’ untuk disudahkan rakan di barisan hadapan tetapi lebih daripada itu beliau ialah nadi yang melancarkan pengaliran bola di bahagian tengah United.

Sepanjang ketiadaan Pogba kemampuan United untuk mencipta peluang bukan sahaja menurun malah turut memberikan kesan kepada purata gol yang mereka jaringan di setiap perlawanan. Menurut statistik yang dikeluarkan Sky Sports, ketika Pogba bermain, barisan tengah United mencipta 14.8 peluang jaringan gol per perlawanan namun catatan tersebut menurun kepada 7.0 per perlawanan semasa ketiadaan beliau.

Sudah tentu penurunan ini juga memberikan kesan kepada kemampuan jentera serangan yang diterajui Lukaku untuk menghasilkan gol. Berbanding purata 3 gol yang berjaya dijaringkan semasa Pogba menggerakan jentera tengah, United kini cuma mampu menjaringkan 1.6 gol per perlawanan. Ketika kita berteka-teki bila tarikh sebenar pemain ini akan kembali turun beraksi, prestasi bahagian tengah United di Stamford Bridge mengukuhkan lagi alasan mengapa Pogba begitu dirindui sepanjang ketiadaanya.

Tempo Permainan Yang Tinggi...

Sebelum perlawanan, ramai menjangkakan bahawa corak permainan berhati-hati bakal dipamerkan Chelsea dan United di Stamford Bridge. Bagaimanapun hal itu tidak berlaku apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan terutamanya sepanjang tempoh 20 minit pertama. Tidak sepertimana aksi United di Anfield, kali ini mereka bermain secara terbuka, cuba mencipta gerakan-gerakan malah Eric Bailly, Phil Jones dan Chris Smalling tidak bermain terlalu ke dalam.

Apa Dah Jadi Mikhi?...

Di awal musim Mikhi antara pemain paling menonjol dalam skuad Mourinho menerusi kemampuan beliau mencipta gerakan-gerakan berbahaya serta umpanan-umpanan yang mampu diterjemahkan sebagai gol oleh barisan hadapan United. Lima `assist’ dari tiga perlawanan serta satu gol yang beliau jaringkan ketika berdepan Everton menyaksikan Mikhi muncul antara `playmaker’ paling kreatif di Liga Perdana di awal musim.

Bagaimanapun secara perlahan-lahan, prestasi Mikhi mula menurun hingga menimbulkan tandatanya apa sebenarnya yang berlaku terhadap kapten Armenia ini. Agak janggal menyaksikan bagaimana seorang pemain yang pada mulanya muncul pembekal utama hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan oleh rakan penggempur di barisan hadapan kini seperti hilang punca di atas padang.

Secara peribadi saya berpendapat tiada salahnya dengan peranan selaku pemain nombor 10 yang dipegang Mikhi musim ini kerana dari posisi tersebut beliau masih boleh bergerak bebas, menunjukkan kreativiti ketika melakukan gerakan serta visi permainan tingginya. Namun seperti yang saya sebutkan di atas ketiadaan Pogba menganggu tempo dan fungsi Mikhi hingga menyaksikan produktiviti beliau juga semakin menurun.

Tanpa `box to box midfielder’ seperti Pogba, Mikhi berdepan kesukaran mendapatkan hantaran-hantaran hingga kadangkala memaksa beliau untuk turun ke bawah bagi mendapatkan bola. Dan itu juga bermakna Mikhi kini semakin kerap bermain di luar kawasan sepatutnya, lantas menjejaskan fungsi beliau selaku pemain nombor 10. Kita masih tidak tahu bila Pogba akan beraksi semula tetapi kembalinya Marouane Fellani diharap mampu memberikan impak positif kepada permainan Mikhi.

Masih Terlalu Awal Untuk Panik?...

Menyaksikan bagaimana mudahnya Alvaro Morata menjaringkan gol kemenangan Chelsea memang sangat menyakitkan. Bagaimanapun dalam masa yagn sama, kita perlu mengakui bahawa Chelsea pasukan yang sedikit lebih baik berbanding United di Stamford Bridge. Bermain tanpa beberapa tonggak utama dalam beberapa perlawanan terakhir memang menyukarkan tetapi saya percaya United secara beransur-ansur sudah mula keluar dari fasa yang sukar selepas menyaksikan kelibat Marcos Rojo dan Fellaini menyertai rombongan ke Stamford Bridge.

Masih terlalu awal untuk kita panik meskipun City mula mencipta jurang yang semakin luas selaku pendahulu manakala pencabar-pencabar kejuaraan yang lain semakin hebat memberikan tekanan di belakang. United tewas pusingan pertama kepada Chelsea dalam saingan liga musim ini tetapi mereka juga perlu datang ke Old Trafford nanti untuk perhitungan kedua dan ketika itu situasi mungkin sudah jauh berbeza.

Mourinho tewas kepada Conte dalam pertempuran taktikal awal pagi tadi, tapi saya percaya kekalahan itu tidak akan menjadikan beliau ketandusan idea untuk meletakkan United sebagai pesaing utama perebutan kejuaraan liga musim ini. Dua aksi di gelanggang sendiri menentang Newcastle United serta Brighton perlu digunakan sepenuhnya untuk mengumpul enam mata maksimum dan sambil itu berharaplah agar United kembali dibarisi kesebelasan terbaik mereka menjelang aksi-aksi lebih penting selepas ini. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan