12 November 2017

PESAN DARI MARTIN KEOWN BUAT MOURINHO




Masih ingatkah anda dengan Martin Keown, pertahanan kental dan salah seorang anggota `Fantastic Four’ (selain Tony Adams, Nigel Winterburn dan Lee Dixon) yang pernah membentuk rangkaian tembok kukuh di benteng pertahanan Arsenal suatu ketika dahulu? Meskipun bukan pemain United, Keown antara pertahanan dari kelab `rival’ yang sangat saya kagumi selain John Terry dan Vincent Kompany.

Jika bercakap tentang Keown, tidak sah jika kita tidak menyebut insiden provokasi berlebihan yang dilakukan beliau ke atas Ruud Van Nistelrooy selepas kegagalan penyerang Belanda itu menyempurnakan sepakan penalti ketika kedua-dua kelab bertemu di Old Trafford pada 2003.

Selepas melakukan 310 penampilan liga sebaik kembali semula ke Highbury pada 1993, Keown akhirnya meninggalkan Arsenal pada 2004. Lapan tahun selepas itu beliau mengumumkan persaraannya sebagai pemain dengan Wembley FC menjadi kelab terakhir yang disertainya. Sejak itu, Keown kerap muncul di kaca televisyen mahupun media cetak sebagai `pundit’ bolasepak Inggeris.

Peringatan Buat City...

Menurut Keown, masih terlalu awal untuk menyebut bahawa Manchester City bakal memenangi kejuaraan Liga Perdana musim ini dan menilai bahawa United berpeluang untuk mengejar jiran sekota mereka itu yang kini menghuni tangga teratas liga. Selepas mengharungi 11 perlawanan, City gah mengumpul 31 mata dan mencipta jurang lapan mata di tangga teratas liga selepas kekalahan United di Stamford Bridge minggu lalu.

Di bawah kendalian Pep Guardiola, City antara pasukan yang menghiburkan untuk disaksikan aksi mereka selain Tottenham Hotspurs, seimbang di semua posisi dan masih kekal dengan rekod tanpa kalah. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka diletakkan sebagai pilihan paling hangat untuk merangkul kejuaraan liga musim ini. Meskipun demikian menurut Keown, City di era Guardiola masih belum memenangi sebarang kejuaraan dan sebarang kemungkinan juga boleh berlaku.

Saranan Keown Buat Mourinho...

Meskipun City kelihatan seperti sukar ditewaskan, anggota skuad `The Invincibles’ Arsenal yang berjaya menjulang kejuaraan liga pada musim 2003/04 itu masih percaya bahawa barisan Guardiola boleh kehilangan mata pada baki aksi mereka selepas ini.

Merujuk kepada aksi `Manchester Derby’ yang bakal berlangsung pada 11 Disember ini, Keown mengatakan ini adalah peluang terbaik buat United untuk kembali merapatkan kedudukan dengan syarat Mourinho perlu melupakan corak permainan bertahan dan memaksa pemainnya untuk keluar menyerang.

“Saya pernah berada dalam situasi di mana anda merasakan tidak akan dikalahkan dan semua orang bercakap hal yang bagus tentang pasukan anda. Namun Manchester City di bawah kendalian Guardiola masih belum memenangi sebarang kejuaraan”.

“Mereka sama sekali tidak mengetahui apa yang bakal berlaku sepanjang baki saingan liga musim ini. Mereka juga dibantu oleh faktor pencabar-pencabar mereka mengalahkan satu sama lain. United menewaskan Tottenham tetapi mereka kemudiannya tewas kepada Chelsea dan itu hal yang sempurna buat City”.

“Kita akan menyaksikan `derby’ Manchester bulan hadapan. Saat itu Jose Mourinho tentu berfikir bahawa pasukannya perlukan kemenangan. Seri bukanlah keputusan yang bagus buat United. Faktor itu bakal menjadikan perlawanan ini sengit dan pastinya menarik untuk melihat adakah Mourinho akan mengubah taktiknya” kata Keown dalam satu wawancara dengan The Daily Mail.

Potensi Dari `Manchester Derby’...

Sebelum menuju aksi `Manchester Derby’ ke-152 ini, United perlu berdepan Newcastle United (H), Brighton (H), Watford (A) dan Arsenal (A) terlebih dahulu, manakala City pula perlu berdepan Leicester City (A), Huddersfield Town (A), Southampton (H) dan West Ham (H).

Aksi menentang Newcastle United, Brighton dan Watford merupakan perlawanan yang wajib dimenangi United meskipun musim lalu Mourinho pernah menyaksikan barisan pemainnya tumbang (1-3) di Vicarage Road. Semoga kekalahan musim lalu kepada Watford tidak berulang dan kali ini United mampu meraih tiga mata di sana.

Sudah tentu kunjungan ke Stadium Emirates sentiasa menjadi aksi yang sukar buat United tetapi jika Mourinho memiliki skuad terkuatnya, tiga mata tidak mustahil untuk dikutip ketika berdepan Arsenal nanti. Stadium Emirates bukanlah terlalu kebal sepertimana era `The Invincibles’ mereka, ketika Keown bersama Adams, Dixon dan Winterburn membentuk kombinasi ampuh di benteng pertahanan Arsenal.

Jika jurang mata berjaya dikecilkan sebelum berlakunya pertembungan pada 11 Disember nanti (dengan syarat United meraih 12 mata maksimum dari empat perlawanan mereka manakala City pula keciciran mata), aksi `Manchester Derby’ ke-152 nanti berpotensi menjadi pertembungan yang sengit dan menarik membabitkan dua musuh setempat itu.

Aksi di Old Trafford 11 Disember nanti merupakan potensi paling besar buat United untuk kembali mengejar City dan kembali memberikan tekanan buat mereka selaku pendahulu carta liga. Setakat ini City masih kekal dengan rekod tanpa kalah mereka, namun dengan adanya 5 hingga 6 kelab yang mampu mencabar kejuaraan liga, pencapaian `Invincibles’ Arsenal hampir mustahil untuk diulangi.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Keown bahawa United perlu memenangi perlawanan itu dan jika mereka mahu melakukannya, Mourinho perlu mengubah pendekatan taktikal beliau. Jika mahukan kemenangan United perlu tampil menyerang kerana jika mereka gagal menewaskan City, Pep Guardiola bakal tersenyum lebar di akhir perlawanan. Glory Gory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan