Beliau diiktiraf antara pemain tengah terbaik
generasinya malah individu sehebat Zinedine Zidane tanpa berselindung pernah
mengakui bahawa antara kekesalan beliau sepanjang kariernya ialah tidak
berkesempatan bermain bersama Paul Scholes dalam satu pasukan. Scholes
merupakan salah seorang dari anggota generasi emas `Class of 92’, namun berbanding David Beckham, Gary Neville atau
Ryan Giggs, cerita tentang Scholes jarang dijadikan tajuk utama laporan akhbar.
Wajah tampan Beckham dan Giggs menjadikan
mereka begitu digilai peminat wanita serta dengan mudah menjadikan mereka
bintang iklan manakala (Gary) Neville pula sangat terkenal dengan keceluparan
mulutnya malah boleh dikategorikan sebagai `pemidato’ yang hebat. Sir Alex
Ferguson turut mengakui bahawa Gary memang dianugerahkan dengan bakat untuk
bercakap, jadi tidak hairanlah mengapa beliau berjaya meletakkan dirinya
sebagai antara `pundit’ yang cukup
terkenal dewasa ini.
Berbanding Beckham, Giggs dan Gary, Scholes pula
dikatakan seorang individu yang pendiam dan pemalu. Maka atas sebab itulah
mengapa cerita-cerita luar padangnya jarang dapat anda ikuti sepanjang beliau
bergelar pemain. Sama ada mitos atau benar, terdapat juga cerita yang
mengatakan bahawa sepanjang kariernya, hanya empat kali Scholes memberikan
wawancara kepada wartawan. Jika di luar padang beliau lebih gemar menyendiri,
lain pula halnya ketika di atas padang.
Di atas padang Scholes ialah individu yang
sangat berbeza wataknya hingga Fergie melabelkan beliau sebagai `otak kepada
permainan United’. Jika di luar padang beliau gemar mengasingkan diri, perilaku
Scholes akan berubah 360º sebaik beliau melangkah masuk ke dalam padang.
Bidikkan beliau ketika melakukan hantaran-hantaran jauh kepada rakan jarang
tersasar, visi permainannya umpama magis yang memukau lawan, manakala percubaan-percubaan
jarak jauhnya sering menghadirkan mimpi ngeri kepada mana-mana penjaga gol
lawan.
Pentingnya
Scholes Dimata McClaren Dan Capello...
Scholes mengumumkan persaraan dari skuad
kebangsaan pada 2004 ketika usianya mencecah 30 tahun. Pada usia seperti itu
serta bakat yang dimilikinya, Scholes sebenarnya masih mampu bermain untuk
skuad `Three Lions’
sekurang-kurangnya selama dua atau tiga tahun lagi. Apa yang menyebabkan
Scholes berundur dari skuad kebangsaan sedangkan sumbangannya masih lagi diperlukan
England?
Isu yang berlegar ketika itu ialah tentang
rasa tidak puashati Scholes terhadap corak permainan yang diterapkan Sven
Goran-Eriksson serta keputusan pengendali itu yang meletakkan beliau di luar
posisi kegemarannya. England gagal menyerlah di bawah kendalian Eriksson hingga
menyaksikan beliau akhirnya dipecat dan digantikan dengan Steve McClaren.
Antara langkah permulaan yang dilakukan
McClaren sebaik beliau dilantik sebagai pengurus England ialah memujuk Scholes
agar kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, namun hasrat pengendali itu ditolak
beliau. Pentingnya peranan Scholes turut diakui Fabio Capello yang menggantikan
posisi McClaren pada 2008 apabila pengendali Itali cuba memujuk beliau untuk
keluar dari persaraan dengan menawarkan slot dalam skuad kebangsaan ke Afrika
Selatan (Piala Dunia 2010).
Mudah buat Capello menyisihkan Beckham yang
juga rakan seangkatan Scholes dari skuad kebangsaan atas alasan Becks terlalu
tua dan sudah melepasi zaman keemasannya. Bagaimanapun untuk Scholes ada
pengecualian. Sentimen Capello terhadap pemain berusia seperti Scholes turut
dikongsi Arsene Wenger. Pada 2010 Wenger pernah mengeluarkan kenyataan bahawa
Scholes adalah pemain pertama yang beliau akan letakkan dalam senarainya jika
diberikan peluang memilih kesebelasan terbaik Liga Perdana.
Ketika
Socrates Mengagumi Scholes...
Saat pertama kali menyaksikan Scholes
bermain, mendiang Socrates yang juga merupakan antara pemain tengah paling
elegan dalam sejarah bolasepak Brazil memuji penampilan beliau. “Bakat yang
dimilikinya sudah lebih dari cukup untuk membolehkan dia bermain bersama skuad
kebangsaan Brazil. Saya suka melihat penampilan budak berambut perang itu
dengan jersi merah”, kata Socrates.
Jika Socrates meletakkan Scholes sebagai
pemain yang layak menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil kerana bakat
dimilikinya, Edgar Davids pula mengatakan bahawa mana-mana pemain wajar meniru
gaya permainan Scholes manakala Xavi Hernandez melabelkan `Ginger Ninja’ itu sebagai pemain tengah terbaik pernah disaksikan
dalam dunia bolasepak.
Fergie
Pernah Meragui Kemampuan Scholes...
Melihat kepada semua kata-kata pujian dan
kekaguman yang dilemparkan legenda, warga bolasepak dan peminat terhadap bakat
dan kemampuan Scholes, tentu tiada siapa pernah menyangka bahawa suatu ketika
dahulu Sir Alex Ferguson pernah meragui kemampuan beliau untuk muncul bintang
besar suatu hari nanti. Saat Scholes diperkenalkan Brian Kidd kepada Fergie
ketika beliau berusia 13 tahun, pengendali legenda itu kurang yakin bahawa
Scholes mampu bermain bolasepak.
Menurut Fergie, postur tubuh Scholes yang
agak kecil tidak memungkinkan untuk beliau `pergi lebih jauh’ selain kurang
memiliki kelajuan. Bagaimanapun ketika Fergie memikirkan bahawa beliau `tahu
segalanya tentang bolasepak’, takdir pula bercerita sebaliknya. Sepanjang lima
tahun, Scholes mengalami perubahan mendadak baik dari segi penampilan diri
mahupun permainannya. Pada penampilan pertamanya untuk United, Fergie akhirnya
sedar bahawa beliau melakukan kesilapan kerana pernah memperlekehkan potensi
Scholes.
Penampilan
Pertama Yang Membuka Mata...
21 September 1994, Scholes melakukan
penampilan pertamanya untuk United ketika berdepan Port Vale dalam kejohanan
Piala Liga pada usia 19 tahun. Perlawanan pertama (Pusingan Kedua) yang
dilangsungkan di Vale Park itu menyaksikan United sempat ketinggalan apabila Bradley
Sandeman meletakkan `The Valiant’ di
hadapan sebelum mereka bangkit menerusi dua gol jaringan Scholes.
Gol pertama jaringan Scholes di Vale Park itu
sebenarnya sangat istimewa di mata Fergie, bukan kerana ia penampilan
pertamanya bersama United tetapi kerana `instinct’
yang dimiliki beliau dalam permainannya. Scholes seolah-olah sudah dapat
membaca hantaran yang bakal dilakukan oleh salah seorang pertahanan Port Vale sebelum beliau memintasnya, melepasi seorang
lagi pertahanan lawan sebelum melakukan `chip’
yang menewaskan Paul Musselwhite.
Menjaringkan dua gol pada penampilan pertama
bersama skuad senior merupakan impian buat mana-mana pemain muda dan Scholes
memilih tempat serta masa yang tepat untuk membuktikan potensinya kepada
Fergie. Meskipun beliau bukanlah pemain tengah yang memiliki kelajuan
sepertimana penilaian awal Fergie, kepantasan berfikir Scholes ketika di atas
padang sentiasa meletakkan beliau selangkah di hadapan berbanding lawan.
Aset
Permainan Scholes...
Apa sebenarnya aset permainan yang dimiliki
Scholes hingga meletakkan beliau sebagai antara pemain tengah terbaik pernah
disaksikan di Liga Perdana? Jika di Itali, pemain yang mampu memainkan peranan
sebagai `regista’ atau `trequartista’ akan sangat di hormati, di
Liga Perdana pula kita sebenarnya sangat bertuah kerana berpeluang menyaksikan
seorang pemain tengah yang mampu memainkan tiga peranan dalam satu masa dan
beliau yang saya maksudkan sudah tentu Scholes.
Scholes sering membuatkan lawan terpaku
menerusi kawalan bola menarik yang dimilikinya ketika beliau melepasi kekangan
mereka, hantaran-hantaran jarak jauh yang dilakukan beliau kepada rakan dari
garis pertahanan pasukan sendiri jarang tersasar dan sudah tentu
umpanan-umpanan bijak menerusi visi permainan tinggi yang dimiliki beliau
melengkap pakej Scholes sebagai seorang `regista’,
`trequartista’ dan `fantasista’ bolasepak Inggeris.
Gambaran paling tepat tentang kehebatan
Scholes lahir dari mulut Marcelo Lippi, legenda Itali yang berjaya mengemudi
skuad `Gli Azzurri’ menjulang Piala
Dunia di bumi Jerman pada 2006. “Paul Scholes akan sentiasa menjadi pilihan
pertama saya jika diberikan peluang membentuk skuad yang hebat. Itu adalah cara
terbaik bagaimana tingginya penilaian saya terhadap beliau. Scholes pemain
tengah serba boleh, berkarakter dan dianugerahkan bakat yang melimpah ruah”,
kata Lippi.
Gol
Terbaik...
Dari puluhan gol cantik yang pernah
dijaringkan Scholes, saya memilih jaringan yang dilakukan beliau ke gawang
Barcelona ketika United dan kelab Catalan itu bertemu di peringkat separuh
akhir kedua Liga Juara-Juara musim 2007/08 sebagai gol terbaik yang pernah
dijaringkan beliau.
Selepas terikat 0-0 pada perlawanan pertama di
Nou Camp, misi utama Barca ketika mereka datang ke Old Trafford ialah mengasak
dari awal bagi mencari kelebihan gol di gelanggang lawan. Di sebalik keghairahan
Barca melakukan asakan, barisan kendalian Frank Riijkaard itu akhirnya
dikejutkan menerusi ledakan jarak jauh dari kaki kanan Scholes yang sama sekali
gagal diselamatkan Victor Valdes.
Berpunca dari `clearance’ lemah dilakukan Gianluca Zambrotta, Scholes yang mara
jauh dari kawasan sendiri menyambar bola tersebut, melihat seketika kedudukan
Valdes sebelum melepaskan rembatan padu dari jarak 24 meter yang menuju tepat ke
penjuru kiri gawang lawan.
Satu kesilapan besar juga dilakukan
pertahanan Barca kerana memberikan pemain dengan visi serta fokus tinggi
seperti Scholes ruang yang terlalu selesa dan masa yang lebih daripada mencukupi
sebelum beliau melepaskan rembatan hingga terhasilnya jaringan spektakular
tersebut.
Barca memiliki baki 76 minit tempoh permainan
sebenar selepas jaringan itu dihasilkan namun segala usaha, asakan demi asakan
dan percubaan demi percubaan yang dilakukan mereka tetap gagal memadam
kelebihan satu gol yang dimiliki United. Gol tunggal Scholes pada 29 April 2008
itu akhirnya menghantar United ke aksi final yang dilangsungkan di Moscow.
Kejayaan United mara ke Moscow dan kemudiannya
memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab menebus
kehampaan Scholes yang terlepas aksi final menentang Bayern Munich di Nou Camp sembilan
tahun sebelumnya kerana penggantungan. Atas sebab itulah mengapa saya memilih
gol ini sebagai gol terbaik pernah dihasilkan dari kaki beliau.
Visi
Luarbiasa...
Sir Alex Ferguson meletakkan visi permainan
yang dimiliki Scholes mengatasi `standard’
Eric Cantona, David Beckham, Juan Sebastian Veron malah Paul Gascoigne juga.
Dalam apa juga situasi, Scholes menurut Fergie sentiasa tahu di mana sepatutnya
hantaran dilakukan dan ke mana rakan sepasukan akan melakukan pergerakan. Maka
tidak hairan jugalah jika Fergie mengatakan bahawa Scholes seolah-olah memiliki
sepasang lagi mata di belakang kepalanya.
Visi permainan luarbiasa yang dimiliki
Scholes menyaksikan legenda ini masih mampu tampil memukau dan bermain di tahap
tertinggi walaupun sudah berada di penghujung kariernya. Ketika beliau
mengumumkan persaraannya selepas membantu kelab menjulang kejuaraan liga pada
musim 2010/11, Fergie seperti kebingungan dan mengatakan bahawa Scholes
terburu-buru dalam mengambil keputusan tersebut.
Persaraan `sementara’ beliau jelas ditangisi
barisan United yang hilang sentuhan seorang `maestro’ di bahagian tengah meskipun Fergie masih memiliki Michael
Carrick, Anderson dan Darren Fletcher di posisi tersebut. Ketika perlumbaan
merebut kejuaraan liga semakin sengit membabitkan United dan (Manchester) City
pada musim 2011/12, Fergie membuat `panggilan S.O.S’ yang akhirnya menyaksikan
Scholes keluar dari persaraan pada Januari 2012.
Terima
Kasih Legenda...
Musim 2012/13 merupakan musim terakhir buat
Scholes bergelar sebagai pemain. Selepas kembali dari persaraan dan kemudiannya
berjaya pula membantu kelab memenangi semula kejuaraan liga, Scholes memilih
waktu yang tepat untuk mengumumkan persaraan beliau buat kali kedua. Kali ini
tiada lagi `pusingan U’ yang dilakukan beliau kerana Scholes menyedari bahawa
sudah tiba masanya untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada karier
profesionalnya selepas 20 tahun menabur bakti untuk United.
Malam 12 Mei 2013 selepas aksi menentang
Swansea City, Scholes melambaikan tangan kepada penyokong-penyokong United di
Old Trafford tanda perpisahan. Juga sebagai tanda bahawa itulah penampilan
terakhir beliau sebagai pemain di `Theatre
of Dreams’, pentas yang selama 20 tahun menjadi saksi kehebatan `Si
Pendiam’ ini memperagakan bakat serta magisnya selaku `maestro’ di bahagian tengah United yang tiada galang gantinya.
Dengan medal kejuaraan peribadi Liga Perdana
ke-11 yang tergantung di lehernya, `Ginger
Ninja’ akhirnya memilih detik paling indah dan sempurna sebagai pemain untuk
mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong United. Untuk 20 tahun
yang penuh gemilang, suka dan duka, 718 penampilan, 155 gol dan 25 kejuaraan
yang anda menangi, terima kasih `Sang Legenda’ kerana tidak pernah henti-henti
mengagumkan kami...hingga ke akhirnya. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan