04 November 2017

BENARKAH STAMFORD BRIDGE TIDAK SEKEBAL DAHULU?




Satu lagi kelab dari London bakal dihadapi United minggu ini dalam saingan liga dan sudah tentu misi barisan Jose Mourinho ke Stamford Bridge ialah untuk cuba memadam memori kekalahan besar yang dialami mereka di sini musim lalu. Anda boleh katakan apa sahaja tentang prestasi terkini Chelsea tetapi satu fakta yang kekal ialah mereka masih lagi antara pencabar kejuaraan liga serta lawan yang sukar ditewaskan.

Kekalahan besar kepada AS Roma di Rome dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara mungkin bukanlah persediaan terbaik Chelsea menjelang perlawanan ini tetapi saya yakin Antonio Conte sudah memikirkan strategi yang tepat bagi menghadapi United. Saya antara yang mengagumi strategi permainan Conte jadi saya juga berharap Mourinho sudah memiliki cara terbaik bagi menghalang tragedi musim lalu dari berulang kembali.

Situasi Terkini...

Ketika Conte mengemudi Chelsea menjulang kejuaraan liga musim lalu, mereka sebenarnya turut dibantu dengan rekod yang cukup bagus ketika beraksi di gelanggang sendiri. Dari 19 aksi liga yang berlangsung di gelanggang sendiri musim lalu, Chelsea menang 17 perlawanan. Hanya Liverpool dan Crystal Palace yang berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari kunjungan mereka ke Stamford Bridge.

Musim ini Chelsea memulakan saingan dengan langkah kiri selepas tewas kepada Burnley di gelanggang sendiri pada perlawanan pembukaan liga manakala Manchester City pula muncul pasukan kedua yang berjaya menewaskan mereka di sana. Dari lima perlawanan liga yang berlangsung di Stamford Bridge setakat ini, Chelsea cuma menang dua perlawanan, tewas dua kali dan seri sekali.

Di kem United pula, mereka saya anggap sedang dalam proses untuk mengembalikan semula prestasi baik yang pernah dipamerkan di awal musim. Sejak keputusan seri yang dicatatkan ketika berdepan Liverpool, banyak kritikan yang dilemparkan terhadap corak permainan United terutamanya ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar.

Meskipun berjaya menewaskan Tottenham Hotspurs minggu lalu, strategi permainan Mourinho masih lagi dijadikan tajuk perdebatan para pengkritiknya yang menganggap United tidak bermain sepertimana sepatutnya mereka bermain sejak ditangani warga Portugal itu. Jika jumlah gol yang dijaringkan United mahu diambilkira, kritikan mereka terhadap Mourinho memang ada asasnya kerana sejak aksi di Anfield, United tidak pernah menang dengan margin lebih dari tiga gol.

Bagaimanapun secara peribadi saya menganggap tiada apa yang salahnya dengan United musim ini. Selepas sepuluh perlawanan, mereka berada di tangga kedua liga, hampr pasti melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selain menyaksikan Old Trafford kembali menjadi gelanggang yang ditakuti lawan. Sejak kekalahan kepada Manchester City September tahun lalu, United sudah mengharungi 38 perlawanan tanpa kalah di Old Trafford (dalam semua kejohanan).

Pemain Kunci (Matic & Kante)...

Walaupun cuma menyumbang satu assists dari sepuluh penampilan liga untuk United, Nemanja Matic dianggap sebagai pembelian terbaik yang dilakukan Mourinho musim ini. Peranan yang dimainkan beliau di bahagian tengah bukan sahaja memberikan keseimbangan kepada permainan United ketika bertahan mahupun ketika menyerang malah keberadaan beliau turut menyaksikan rakan-rakan yang lain lebih tenang ketika bermain.

Dengan faktor usia serta masalah kecederaan yang menimpa Michael Carrick, kehadiran Matic menutup segala kekurangan yang ditinggalkan bekas pemain Tottenham Hotspurs itu di bahagian tengah United. Ini merupakan penampilan pertama Matic di Stamford Bridge sejak beliau meninggalkan The Blues dan  sudah tentu perlawanan ini menjadi medan terbaik untuk Matic membuktikan bahawa Chelsea melakukan kesilapan besar membiarkan beliau menyertai United.

Perkhabaran bahawa N’Golo Kante bakal beraksi dalam perlawanan ini berita yang sangat dinantikan penyokong-penyokong Chelsea. Aksi menentang Manchester City 30 September lalu merupakan penampilan terakhir Kante bersama The Blues sebelum beliau diketepikan selama lebih sebulan kerana masalah hamstring. Ketiadaan Kante yang menjadi pelindung kepada trio benteng pertahanan Chelsea menyebabkan kubu mereka mudah ditembusi meskipun Conte memiliki Cecs Fabregas dan Tiemoue Bakayoko sebagai pengganti.

Jika benar bahawa Kante sudah cergas sepenuhnya, saya yakin Conte tidak akan berlengah untuk meletakkan beliau dalam kesebelasan utamanya nanti. Memperjudikan kecergasan Kante itu soal kedua kerana Chelsea memang perlukan khidmat pemain ini ketika berdepan United terutamanya selepas kekalahan besar yang dialami mereka dalam saingan Liga Juara-Juara. Jika Kante gagal diturunkan, Conte perlu memikirkan strategi sesuai bagi menutup kekurangan di bahagian tengah skuadnya kerana Kante seperti tiada penggantinya untuk Chelsea.

Formasi...

Selepas berhasil menewaskan Tottenham Hotspurs minggu lalu, saya jangkakan Mourinho akan mengekalkan sistem tiga pemain pertahanan ketika berdepan Chelsea nanti. Menerusi formasi 3-4-1-2, trio Eric Bailly-Chris Smalling-Phil Jones akan ditugaskan untuk mengawal benteng pertahanan manakala kuartet Antonio Valencia-Nemanja Matic-Ander Herrera-Ashley Young membarisi bahagian tengah. Henrikh Mkhitaryan akan kekal dengan peranan beliau sebagai playmaker dalam membekalkan umpanan-umpanan kepada Marcus Rashford dan Romelu Lukaku.

Mengakui bahawa keputusan memindahkan posisi Gary Cahill di sebelah kanan ketika berdepan Roma merupakan satu kesilapan yang besar, Conte bakal meletakkan kembali pertahanan antarabangsa England itu di posisi asalnya (di sebelah kiri). Menerusi formasi 3-4-3 yang sering digunakan Conte, Gary Cahill-David Luiz-Antonio Rudiger akan berada di garis pertahanan mereka. Cesar Azpilicueta-Bakayoko-Fabregas-Marcos Alonso akan ditugaskan untuk memenangi pertempuran di bahagian tengah manakala Eden Hazard-Alvaro Morata-Pedro Rodriguez bakal ditugaskan untuk menguji keampuhan benteng pertahanan United.

Ramalan...

Bukan Lukaku atau Matic selaku pemain kunci buat United yang perlu diawasi Conte tetapi beliau sebaliknya perlu waspada dengan taktik yang bakal digunakan Mourinho nanti. Skema permainan United yang sering disebut sebagai `pendekatan perlawanan besar Mourinho’ memang kelihatan seperti membosankan kerana menekankan kekuatan ketika bertahan. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa inilah sebenarnya kekuatan United.

Banyak perkara sudah dipelajari Mourinho sejak kekalahan besar yang dialami United di Stamford Bridge musim lalu. Menerusi pendekatan `mirror tactic’, Mourinho memastikan bahawa United adalah barisan yang berbeza ketika Conte membawa skuadnya bertandang ke Old Trafford April lalu. Menerusi taktik yang sama, Spurs juga berjaya dijinakkan minggu lalu meskipun skuad Mauricio Pochettino itu dilabel sebagai pasukan yang memiliki corak menyerang menarik.

Mourinho boleh meneliti kembali rakaman perlawanan di Stadio Olimpico tempohari dan melihat bagaimana Eusebio Di Francesco menggunakan kelajuan Diego Perotti dan Stephen El Shaarawy untuk memporak perandakan benteng pertahanan Chelsea. United memiliki Rashford dan Martial yang mampu menawarkan hal yang sama, jadi sangat menarik untuk melihat siapa di antara mereka yang bakal digunakan Mourinho terlebih dahulu di Stamford Bridge nanti.

Menyaksikan pendekatan yang digunakan Mourinho dalam perlawanan-perlawanan besar, saya jangkakan keputusan di Stamford Bridge nanti cenderung berakhir dengan seri 0-0. Bagaimanapun keputusan boleh berubah jika Chelsea bermain lebih terbuka dan tidak terlalu berhati-hati. Jika ini berlaku, United boleh menggunakan kelajuan yang dimiliki Rashford, Martial atau Valencia ketika melancarkan serang balas pantas ke kubu lawan.

Bagaimana pendekatan yang bakal digunakan Mourinho nanti itu soal kedua kerana secara peribadi saya lebih gemar melihat keputusan di akhir perlawanan. Mungkin kekalahan Real Madrid kepada Spurs tempohari boleh dijadikan sedikit pengajaran. Di Wembley, Real bermain secara terbuka kerana Zinedine Zidane beranggapan beliau memiliki barisan pemain yang lengkap dari semua segi untuk menewaskan Spurs.

Akhirnya Zidane menyaksikan gawang Real dibolosi sebanyak tiga kali dan mereka pulang ke kota Madrid dengan ego tercalar. Di Stamford Bridge nanti saya tidak mengharapkan agar United bermain secara terbuka atau menampilkan corak menyerang yang menarik demi hiburan hujung minggu kepada penyokong tetapi akhirnya pulang dengan tangan kosong. Meskipun ini perlawanan yang sukar, saya optimis United mampu memenangi pertembungan di Stamford Bridge. Anti klimaks atau tidak pertembungan itu nanti, itu soal kedua...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan