20 Januari 2019

UNITED KEMBALI `HIDUP’ DI TANGAN OLE




Agak lama saya `bersara’ dari memperkatakan tentang Manchester United dalam ruangan ini. Selain dari kesibukkan tugas seharian yang menyebabkan saya `melupakan’ seketika barisan The Red Devils ini, prestasi tidak bermaya mereka hampir sepanjang separuh musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho juga antara penyebab utama mengapa saya `bersara’ buat seketika.

Okey....lupakan seketika mimpi buruk yang berlaku sepanjang 17 aksi United (dalam saingan liga) di bawah era Mourinho musim ini kerana selepas kekalahan (1-3) yang menyakitkan kepada Liverpool di Anfield 17 Disember lalu, United sudah merakamkan enam kemenangan berturut-turut dalam saingan liga sekaligus menghidupkan kembali misi `top four’ di akhir musim nanti.

Semalam Ole Gunnar Solskjaer merakam sejarah baharu buat kelab selepas kemenangan ke atas Brighton & Hove Albion meletakkan beliau selaku individu pertama yang merakam enam kemenangan berturut-turut pada penampilan pertama selaku pengendali di Old Trafford. 18 mata yang dikutip dari enam kemenangan ini juga menyaksikan United semakin menghampiri Chelsea selaku penghuni tangga keempat liga menerusi perbezaan hanya tiga mata.

Bangkitnya United Di Tangan Ole

Ketika United mencatatkan kemenangan ke atas Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth dan Newcastle United, bukan sedikit di kalangan kita yang masih bersikap `skeptical’ tentang kemampuan Ole mengambilalih kerusi panas yang ditinggalkan Mourinho. Ujian sebenar tentang kemampuan beliau akhirnya hadir minggu lalu ketika Ole membawa skuadnya ke Wembley berdepan Tottenham Hotspurs.

Jika skuad Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth dan Newcastle United dikatakan bukan ukuran sebenar kemampuan Ole selaku pengurus, Spurs di bawah pimpinan Mauricio Pochettino pula adalah cabaran sebaliknya. Dalam beberapa musim terakhir, Spurs di era Pochettino sentiasa muncul secara konsisten selaku pencabar kejuaran liga. Jadi sudah tentu mereka adalah kayu ukur terbaik dalam menilai kemampuan dan idealogi bolasepak Ole.

Sebelum aksi di Wembley itu berlangsung, saya cuma mengharapkan agar United mampu mencuri satu mata dari tangan Spurs berdasarkan reputasi terkini yang dimiliki barisan Pochettino itu. Namun sebaliknya berlaku kerana sebaik sahaja Mike Dean meniup wisel penamat, gol tunggal jaringan Marcus Rashford di minit ke-44 membolehkan United membawa pulang tiga mata berharga dari Wembley.

Sejak kekalahan (1-3) kepada Liverpool Disember lalu dan sejak Mourinho dipecat selepas kekalahan itu, United tiba-tiba berubah di tangan Ole. Daripada corak permainan defensive yang sering diterapkan Mourinho, Ole menjadikan United kepada skuad yang bermain secara terbuka dan menyerang. Di bawah kendalian beliau juga, pemain-pemain seperti Paul Pogba, Anthony Martial, Victor Lindelof, Ander Herrera dan Marcus Rashford kembali menyinar.

Apa Rahsia Ole?

Ketika beliau masih bergelar sebagai pemain, Ole melakukan 366 penampilan sepanjang tempoh 11 tahun kariernya di Old Trafford. Dari jumlah tersebut, 150 perlawanan Ole bermain selaku pemain gantian. Dari penampilan pertamanya bersama United pada 1996 hinggalah yang terakhir pada 2007, Ole berjaya menjaringkan 126 gol dimana dari jumlah tersebut 29 gol dihasilkan beliau ketika masuk sebagai pemain gantian.

Apa yang lebih menariknya, statistik juga menunjukkan bahawa 33 gol yang dijaringkan Ole berlaku dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan, jadi tidak hairanlah mengapa beliau sangat terkenal dengan label `Supersub’. Label `Supersub’ nampaknya masih kekal melekat dalam diri Ole meskipun beliau kita sudah meninggalkan alam sebagai pemain untuk bergelar pengurus.

Sepertimana ketika era beliau sebagai pemain, Ole masih melakukan kebiasaan yang sama iaitu sentiasa menganalisa kelemahan pertahanan lawan dari bangku simpanan. Atas sebab itulah anda dapat melihat mengapa Mike Phelan lebih kerap memberikan arahan dari tepi padang dalam setiap perlawanan manakala Ole pula lebih selesa memerhati dari jauh.

Kembalinya Mike Phelan, sosok penting di belakang tabir disebalik kecemerlang kelab ketika era Sir Alex Ferguson juga antara faktor kebangkitan semula United. Kredit juga patut diberikan kepada Kieran McKenna, Michael Carrick dan Mark Dempsey (selaku pembantu) selain Paul Brand (juru analisis) yang turut memainkan peranan penting di belakang Ole.

Ole Bangkitkan Pogba Dari `Tidur’

Tidak dapat dinafikan bahawa pemain United paling menonjol pasca pemecatan Mourinho ialah Paul Pogba. Ketika berdepan Spurs, hantaran kelas dunia yang dilakukan Pogba membolehkan Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal perlawanan. Mungkin aksi di Wembley itu antara momen terbaik untuk kita bercakap tentang kebangkitan semula Pogba.

Pogba kini mengakui beliau sangat selesa beraksi di bawah arahan Ole kerana falsafah bolasepak moden yang diterapkan lagenda Norway itu berbanding sebelumnya. Menerusi falsafah bolasepak yang lebih bertahan ketika era Mourinho, Pogba gagal menampilkan karakter sebenar permainannya hinggakan prestasi bekas pemain termahal dunia itu sering dijadikan sasaran kritikan.

Ole memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Pogba ketika di atas padang, atau lebih tepatnya bintang Perancis itu kini lebih kerap berada di kotak penalti lawan berbanding melakukan tugas-tugas defensif ketika United di bawah arahan Mourinho. “Sukar untuk bermain dalam taktikal sebelum ini kerana saya lebih gemar menyerang dan kurang bagus ketika bertahan”, kata Pogba selepas tamat perlawanan menentang Spurs.

Angka Melawan Angka

Saya akui bahawa kemenangan ke atas kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga seperti Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth, Newcastle United dan Brighton & Hove Albion bukanlah kayu ukur sebenar jika mahu bercakap tentang kemampuan Ole selaku pengendali. Bagaimanapun bolasepak juga bukan sekadar dinilai dari keputusan di akhir perlawanan atau gol yang dijaringkan tetapi lebih dari itu.

Adakah United di tangan Ole skuad yang lebih baik berbanding ketika era Mourinho? Untuk itu mari kita lihat statistik berikut berdasarkan dari enam perlawanan liga. Di bawah arahan Mourinho, United menguasai purata 53.2% penguasaan bola dalam setiap perlawanan, manakala penguasaan bola mereka di kawasan final third lawan pula mencapai 47.4%.

United di bawah kendalian Ole pula mencatatkan purata 67.9% penguasan bola manakala penguasaan bola mereka di kawasan final third lawan pula mencapai 68.4%. Dari segi ketepatan hantaran pula, peratusan ketepatan hantaran United naik dari 81.9% kepada 86.8% sejak Ole mengambilalih kuasa dan paling menarik peratusan ketepatan hantaran di final third meningkat dari 78.1% kepada 83.5%.

Sudah tentu penguasaan bola yang lebih kerap di kawasan lawan pastinya membolehkan United mencipta lebih banyak peluang jaringan gol. Untuk itu dari lima perlawanan pertama Ole selaku pengendali, United mencipta peluang jaringan gol setiap 6.3 minit berbanding 7.5 minit ketika era Mourinho. Catatan ini juga menyaksikan United muncul selaku barisan paling kerap mencipta peluang jaringan gol berbanding mana-mana pesaing di Liga Perdana.

Dari segi melakukan percubaan ke arah gawang lawan pula, United melakukan 12.7 percubaan per perlawanan ketika dibawah kendalian Mourinho manakala statistik ini meningkat kepada 15 (percubaan) di bawah Ole. Purata ketepatan percubaan yang dilakukan juga meningkat dari 5.8 per perlawanan sebelumnya kepada 8.5.

Penguasaan bola, peluang-peluang jaringan yang dicipta dan ketepatan percubaan ke arah gawang lawan akhirnya turut menyumbang kepada peningkatan ratio gol United dalam setiap perlawanan. Berbanding ketika era Mourinho, United cuma mampu menjaringkan 1.7 gol per perlawanan namun kini ratio tersebut meningkat kepada 3.5 gol per perlawanan.

Ole Individu Yang Tepat?

Kecuali kejayaan beliau mengemudi Molde menjuarai Tippeligaen dan Norway Cup, Ole tidak memiliki `medal kejuaraan besar’ yang boleh beliau banggakan sepanjang karier kejurulatihannya sejak 2011 hingga kini. Bagaimanapun hingga setakat aksi menentang Brighton & Hove Albion semalam, Ole sudah melakukan tugasnya dengan sangat baik malah lebih penting pemain-pemain turut menyenangi beliau.

Baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang, United kini mempamerkan corak permainan jauh lebih menarik berbanding ketika era Mourinho, malah perlawanan pertama Ole selaku pengurus United disudahi dengan kemenangan besar (5-1) ke atas Cardiff City. Siapa sangka lima gol yang membolosi pintu gol Niel Etheridge itu mengulangi pencapaian sama dilakukan barisan Fergie ketika mereka diikat (5-5) saat berdepan West Bromwich Albion pada Mei 2013.

Ole bukanlah pengurus berprofil tinggi sepertimana Mourinho tetapi pendekatan beliau yang memberikan kebebasan kepada para pemainnya ketika beraksi di atas padang menyaksikan United kembali kepada azali mereka iaitu bermain bolasepak menyerang yang seronok untuk ditonton. United kini bermain lebih terbuka, lebih berani ketika menyerang malah lebih menarik mereka juga tidak lagi segan silu memberikan tekanan kepada lawan ketika kehilangan bola.

Ole diberikan tanggungjawab menguruskan United buat sementara hingga penghujung musim, namun apa yang beliau lakukan hingga aksi semalam sangat menakjubkan. Sebelum ketibaan beliau, United ketinggalan 11 mata di belakang kelab tangga keempat liga, namun kini jurang tersebut mengecil kepada tiga mata sahaja.


Satu kejayaan besar jika United mampu menamatkan saingan liga di posisi empat teratas mengambilkira `kerosakan’ yang berlaku dalam pasukan sebelum ini. Malah satu keajaiban besar juga jika United mampu menamatkan saingan musim ini dengan satu trofi kejuaraan dan jika itu berlaku mengapa peluang tidak diberikan sahaja kepada Ole untuk terus menerajui kelab musim depan?...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar 

1 ulasan:

  1. fuh.. lama dh ternanti2 artikel kt sini. akhirnya kembali... terbaik!!

    BalasPadam