26 Januari 2019

REKOD SEMPURNA UNITED DI BAWAH SOLSKJAER BERTERUSAN




Arsenal menguasai bola tetapi Manchester United muncul pemenang di akhir perlawanan. Itulah senario yang berlaku di Stadium Emirates awal pagi tadi. Kekalahan ini juga menyaksikan hanya Liga Europa merupakan satu-satunya sasaran realistik buat Arsenal untuk mereka menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada musim pertama Unai Emery di Stadium Emirates.

Bagi United pula, ini merupakan kemenangan kelapan berturut-turut mereka dalam semua kejohanan pasca pemecatan Jose Mourinho sekaligus membolehkan barisan Ole Gunnar Solskjaer melangkah ke pusingan kelima. Kesabaran menanti peluang ketika lawan menguasai bola adalah kunci kemenangan United di mana hasilnya mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Alexis Sanchez (minit ke-31) dan Jesse Lingard (minit ke-33).

Bagaimanapun di penghujung babak pertama perlawanan, Arsenal berjaya mengecilkan defisit jaringan gol menerusi sentuhan penyudah Pierre Emerick Aubamenyang di minit ke-43. Di babak kedua perlawanan, meskipun Arsenal meneruskan penguasaan bola mereka, gol jaringan Anthony Martial (diminit ke-82) akhirnya menamatkan sebarang usaha `The Gunners’ cuba menyelamatkan kempen mereka dalam saingan Piala FA musim ini.

Taktikal

Tiada keputusan lain selain kemenangan tambahan pula mereka beraksi di gelanggang sendiri. Itulah misi utama Arsenal awal pagi tadi. Bersandarkan kepada kekuatan di bahagian serangan menerusi ketajaman Pierre Emerick Aubamenyang dan Alexandre Lacazette, Unai Emery menggunakan formasi 4-3-1-2 dengan meletakkan dua pemain itu di bahagian hadapan. Sebagai sokongan, Emery menggunakan trio Aaron Ramsey, Alex Iwobi dan Lucas Torreira di belakang ketika mereka menyerang.

Di kem United pula, Ole Gunnar Solskjaer melakukan perubahan dengan meletakkan Marcus Rashford dan Anthony Martial di bangku simpanan. Untuk perlawanan ini beliau meletakkan gandingan Jesse Lingard, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez selaku trio di jentera serangan menerusi formasi 4-3-3. Di bahagian tengah, Solskjaer sekali lagi menjadikan Paul Pogba sebagai titik transisi permainan United daripada bertahan kepada menyerang.

Arsenal Dihukum Dengan Cara Klasik United

Sejak dari dahulu lagi kita mengenali United sebagai sebuah pasukan yang sangat berbahaya dengan corak permainan `counter attack’ mereka. United dan `counter attack’ memang sangat sinonim dan itulah yang membunuh Arsenal awal pagi tadi. Meskipun Arsenal memiliki 63% penguasaan bola tetapi United menunjukkan bahawa mereka pasukan yang lebih efektif ketika menyerang.

Sepanjang perlawanan, United melepaskan lapan percubaan di mana empat daripadanya merupakan percubaan tepat manakala Arsenal pula melepaskan lima percubaan tepat ke arah Sergio Romero dari 13 tembakan yang mereka lakukan. Melihat kepada tiga gol yang dijaringkan United awal pagi tadi mengingatkan saya kepada tipikal gaya permainan mereka selama bertahun-tahun di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.

Maaf buat penyokong-penyokong Arsenal jika saya katakan bahawa permainan United lebih tersusun biarpun barisan kendalian Unai Emery mencatatkan peratus penguasaan bola yang lebih tinggi. Sangat menarik kerana anda bukan sahaja dapat menyaksikan bagaimana United sangat berbahaya dalam `counter attack’ tetapi juga kerja keras yang mereka lakukan ketika bertahan.

Pemain Terbaik

Ada beberapa pemain United yang layak diberikan pujian di sebalik kemenangan ke atas Arsenal awal pagi tadi. Victor Lindelof, Ander Herrera, Paul Pogba dan Jesse Lingard antara yang menyinar tetapi secara peribadi saya memilih Romelu Lukaku sebagai pemain terbaik perlawanan. Meskipun kemampuan beliau sebagai penggempur sering dipertikaikan namun awal pagi tadi sumbangan Lukaku menerusi dua `assist’ yang dilakukannya membolehkan United menyingkirkan Arsenal.

Sepanjang perlawanan, Lukaku lebih kerap bergerak di sebelah kanan bagi membolehkan Jesse Lingard memainkan peranan sebagai penyerang tengah. Mengulas tentang tindakan beliau mengarahkan Lukaku bergerak di sebelah kanan, Solskjaer berkata, “Peranan selaku penyerang sayap bukanlah asing buat Lukaku. Saya pernah menyaksikan beliau melakukannya di Everton. Kami tahu beliau sangat kuat dalam `duel’ di udara tapi kami kurang mendapat peluang melakukan hantaran-hantaran silang. Beliau melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam menarik pertahanan lawan dan memberikan dua `assist’.

Gaya Berbeza

Perlawanan ini berlaku dalam masa yang kurang tepat buat Arsenal. Meskipun pada awalnya barisan `The Gunners’ diramalkan mampu menamatkan rentetan tujuh kemenangan United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dalam semua kejohanan, hal sebaliknya berlaku di Stadium Emirates awal pagi tadi. Pasca pemecatan Jose Mourinho, United berubah secara drastik dari segi corak permainan dan juga penampilan pemain-pemain di atas padang.

Petr Cech yang pintu golnya dibolosi tiga kali mengakui bahawa aspek paling paling berbeza ketika beliau melihat penampilan terkini United ialah keyakinan tinggi dimiliki pemain-pemainnya. Selain daripada itu beliau juga menilai United sebagai sebuah barisan yang sangat berbahaya ketika menyerang dan kental saat bertahan. “Satu hal yang jelas mereka kini lebih bebas bermain dan memiliki keyakinan diri yang tinggi ketika menyerang. Jadi tidak hairanlah jika mereka menang perlawanan demi perlawanan”, kata Cech.

Ada benarnya apa yang dikatakan Cech itu kerana sejak United ditangani Solskjaer, mereka sudah merakamkan lapan kemenangan berturut-turut, menjaringkan 22 gol, manakala pintu gol mereka pula cuma dibolosi lima kali. Arsenal menanti kunjungan United dalam motivasi yang tinggi berikutan kejayaan mereka membenam Chelsea (2-0) minggu lalu. Bagaimanapun United kini bukanlah barisan yang sama ketika mereka berjaya mencuri satu mata pada aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford 6 Disember lalu. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan