Perjalanan epik lapan kemenangan
berturut-turut (dalam semua kejohanan) Manchester United pasca pemecatan Jose
Mourinho berakhir awal pagi tadi di tangan Burnley, kelab yang kini berada di tangga
ke-15 liga. Meskipun pada mulanya United diramal mampu meneruskan momentum
kemenangan mereka, namun Burnley akhirnya menunjukkan kepada kita bahawa ada
beberapa aspek yang perlu diperbaiki Ole Gunnar Solskjaer dalam skuadnya jika
beliau mahu meletakkan United di kelompok empat teratas akhir musim nanti.
Keputusan ini tidak menepati ramalan kita
tetapi tetap ada sisi positif yang ditunjukkan barisan United walaupun mereka
terpaksa bangkit di penghujung perlawanan. Seri menentang kelab yang memiliki
kelebihan empat mata dari zon penyingkiran bukanlah sesuatu yang ingin kita
lihat terutamanya apabila terpaksa berjaga di awal pagi. Bagaimanapun sangat
menarik juga apabila melihat bagaimana barisan `The Red Devils’ melakukan kebangkitan dalam tempoh sembilan minit
terakhir selepas Chris Wood menjaringkan gol kedua pelawat di minit ke-81.
Kesilapan
Solskjaer?
Berbanding lapan perlawanan sebelum ini,
Solskjaer sebaliknya melakukan pendekatan berbeza dalam aksi yang dilangsungkan
awal pagi tadi. Dalam formasi 4-1-4-1 yang digunakan beliau, Solskjaer
meletakkan Romelu Lukaku selaku penggempur tunggal di bahagian hadapan.
Keputusan Solskjaer menggunakan seorang penyerang menyebabkan United hilang
ketajaman ketika berada di dalam kotak penalti lawan.
Keputusan Solskjaer meletakkan Jesse Lingard
di bangku simpanan ketika Anthony Martial tiada dalam senarai pemain juga
menimbulkan tanda tanya. Berbanding meletakkan Lingard sebagai `starter’, Solskjaer sebaliknya memilih
Andreas Pereira dalam senarai kesebelasan utamanya. United hilang sedikit
kreativiti di bahagian tengah malah kesilapan yang dilakukan Pereira membuka
ruang buat Ashley Barnes menjaringkan gol pertama pelawat di minit ke-51.
Hal
Positif
Bukan mudah untuk mana-mana pasukan bangkit
dari ketinggalan dua gol ketika masa sebenar perlawanan berbaki sembilan minit
sebelum ditamatkan. Sebaik Chris Wood menjaringkan gol kedua pelawat di minit ke-81,
saya menjangkakan tidak banyak yang mampu dilakukan pemain-pemain United dalam
usaha mereka untuk cuba mengelak dari menerima kekalahan pertama di era
Solskjaer.
Bagaimanapun agak luar biasa apabila melihat
bagaimana anak-anak buah Solskjaer bangkit selepas itu terutamanya dalam tempoh
tiga minit terakhir masa sebenar perlawanan. Kekuatan mental, semangat juang
dan cara mereka memadam defisit dua gol lawan ketika tempoh permainan semakin
singkat sangat mengagumkan.
Bermula dari sepakan penalti Paul Pogba di
minit ke-87, tekanan demi tekanan yang dilakukan ke atas benteng lawan akhirnya
memaksa mereka melakukan kesilapan hingga membolehkan Victor Lindelof
menjaringkan gol penyamaan (di minit ke-90+2). Mungkin jika tempoh perlawanan
masih berbaki sekurang-kurangnya lima minit, saya yakin United mampu memburu
gol ketiga.
Mengulas tentang hal tersebut Solskjaer
berkata, “Ketika berjalan ke sini (bilik sidang media) saya terpaksa berhenti
beberapa kali kerana staff kami. Mereka banyak bercakap tentang semangat juang,
mental dan cara kami bangkit. Saya tetap berpuas hati dengan satu mata walaupun
kami sepatutnya menamatkan perlawanan ini dengan tiga mata”.
Sumpahan
`Fergie Time’
Tatkala pasukannya sedang mendahului 2-1 dan
ketika Martin Atkinson mengangkat papan waktu yang menunjukkan tambahan masa
lima minit perlawanan, Sean Dyche merasakan sesuatu yang tidak enak bakal
berlaku. Pengurus berusia 47 tahun itu faham benar bahawa United memiliki
sejarah yang cukup panjang dalam melakukan kebangkitan, terutamanya ketika perlawanan
memasuki fasa tempoh lima minit masa kecederaan.
Ketika kelab di bawah kendalian Sir Alex
Ferguson, United sangat akrab dengan tambahan waktu lima minit. Ketika fasa
inilah mereka kerap melakukan kebangkitan dalam usaha menyelamatkan mata-mata
penting atau menjaringkan gol-gol kemenangan. “Ketika tambahan lima minit
diberikan, suasana mula menjadi luar biasa. Kami tahu sejarahnya iaitu `Fergie Time’. Anda boleh merasakan penyokong-penyokong
mereka mula bangkit”, kata Dyche.
Akhirnya kebimbangan Dyche menjadi kenyataan
kerana selepas dua minit masa tambahan berjalan, Victor Lindelof menjaringkan
gol penyamaan sekaligus menamatkan impian pelawat untuk menamatkan rekod tanpa
kalah United di bawah kendalian Solskjaer. Mujurlah United sudah kehabisan
waktu untuk memburu gol ketiga kerana jika tidak keputusan di akhir perlawanan
awal pagi tadi mungkin berbeza.
Pelajaran
Berguna
United gagal memenangi perlawanan ini tetapi
dalam masa yang sama mereka juga tidak kalah. Secara keseluruhannya, United
tidak bermain dengan baik sepanjang tempoh 60 hingga 70 minit pertama perlawanan.
Tidak sepertimana perlawanan-perlawanan sebelumnya, barisan kendalian Solskjaer
kurang agresif, hilang kreativiti di bahagian tengah serta tumpul ketika berada
dalam petak penalti lawan. Semoga Kesilapan yang dilakukan pemain muda seperti Andreas
Pereira selain kegagalan Marcus Rashford menyudah peluang dalam situasi terbuka
di babak pertama menjadi pengajaran berguna buat mereka.
Secara tepatnya, United perlu memulakan
perlawanan dengan lebih agresif berbanding apa yang mereka tampilkan awal pagi
tadi. Sepanjang babak pertama mereka bermain seolah-olah sedang mendahului
lawan dan hanya mula memberikan `response’
selepas jaringan Ashley Barnes terhasil. Meskipun kemampuan United melakukan
kebangkitan merupakan hal yang positif namun kegagalan mengutip tiga mata dalam
perlawanan yang sepatutnya mereka menangi bukanlah sesuatu yang bagus. Glory
Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan