25 Jun 2019

BUKAN SENANG NAK GANTIKAN POGBA



Aksi menentang Paris St Germain dalam saingan Liga Juara-Juara yang dilangsungkan di Old Trafford pada 13 Februari lalu menyaksikan rekod 11 perlawanan tanpa kalah United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer berakhir. Barisan The Red Devils ketika itu turun dengan keyakinan cukup tinggi selepas mereka mencatatkan sepuluh kemenangan dan satu keputusan seri sejak Solskjaer mengambilalih posisi pengendali dari Jose Mourinho pada pertengahan Disember 2018.

Strategi yang digunakan Thomas Tuchel ketika itu cukup mudah, iaitu mengarahkan Marquinhos membayangi setiap pergerakan Paul Pogba. Akhirnya menerusi formasi 3-4-2-1 dan disempurnakan pula menerusi peranan berkesan yang dimainkan Marquinhos di bahagian tengah selaku `pembayang’ Pogba, PSG menamatkan rekod 11 perlawanan tanpa kalah United dan membawa pulang bekalan dua gol ke Parc des Princes. Bagaimanapun mereka gagal melangkah ke pusingan suku akhir selepas tewas 1-3 kepada United pada perlawanan kedua.

Sebelum aksi menentang PSG itu, Pogba mencatatkan purata empat percubaan tepat serta melakukan purata 1.9 key passes dalam setiap perlawanan. Jadi sudah tentu Tuchel sangat sedar bahawa Pogba adalah pemain kunci buat United dan perlu dihentikan pergerakannya. Bagaimanapun sepanjang 90 minit aksi di Old Trafford itu, Pogba hanya mampu melepaskan satu percubaan ke arah gawang lawan. Kawalan ketat yang dilakukan Marquinhos ke atas Pogba menyaksikan United hilang kreativiti serta visi di bahagian tengah sepanjang perlawanan.

Dua Sisi Pogba

Keberkesanan strategi yang digunakan Tuchel menerusi keberadaan Marquinhos (selaku pembayang Pogba) membuktikan betapa pentingnya kelibat Pogba selaku penggerak jentera tengah United. Sejak pulang semula ke Old Trafford tiga tahun lalu, Pogba memiliki dua sisi berbeza ketika beliau menyarung seragam merah United dan biru skuad kebangsaan Perancis. Menyertai semula United selepas empat tahun beliau meninggalkan kelab sambil menyandang status selaku pemain termahal dunia, kehadiran Pogba diharap mampu memberikan nafas baharu kepada jentera tengah The Red Devils pimpinan Mourinho.

Dengan adanya Zlatan Ibrahimovic di hadapan serta ditambah pula dengan kreativiti Henrikh Mkhitaryan di sisinya, Pogba berjaya membantu United menjulang tiga kejuaraan (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) pada musim pertama kepulangan semulanya ke Old Trafford. `Treble kecil’ yang berjaya beliau menangi itu satu permulaan bagus buat Pogba sebelum beliau meneruskan hari-hari seterusnya sebagai tonggak United. Bagaimanapun perjalanan karier Pogba selepas itu umpama drama sinetron. Penuh dengan konflik sambil disulami adegan tawa dan tangis.

Penyokong-penyokong mula mengharapkan akan ada banyak lagi trofi yang singgah di Old Trafford selepas kejayaan `treble kecil’ 2016 itu. United menamatkan musim 2017-18 tanpa sebarang kejuaraan, tetapi berada di tangga kedua carta liga serta mara ke pentas final Piala FA bukanlah sesuatu yang terlalu buruk. Ketika kita mengharapkan United yang lebih berbisa pada musim ketiga gandingan Pogba/Mourinho, hal sebaliknya pula berlaku. Kejayaan membantu Perancis menjulang Piala Dunia buat kali kedua nampaknya gagal memotivasikan Pogba dalam menghadapi musim baharu.

Dari prestasi umpama yoyo di atas padang hinggalah kepada konflik yang tercetus membabitkan dirinya dengan Mourinho, cerita tentang Pogba sentiasa menghiasi paparan utama akhbar. Konflik Pogba/Mourinho akhirnya menyaksikan pengendali dari Portugal itu terpaksa dikorbankan selepas prestasi buruk yang diharungi kelab sepanjang tempoh fasa pertama saingan liga berlangsung. Kehadiran Solskjaer seolah-olah membawa sinar baharu buat kelab dan Pogba antara pemain yang menerima impak paling kuat dari kehadiran The Baby Faced Assassin.

United kembali bermain dengan baik manakala penyokong pula terhibur dengan corak permainan menyerang yang diterapkan Solskjaer. Di bahagian tengah, Pogba kembali memainkan peranannya dengan berkesan selaku penggerak serangan United hingga menyaksikan barisan Solskjaer merakamkan sebelas aksi tanpa kalah. Selaku pemenang medal Piala Dunia, inilah sisi Pogba yang ingin dilihat penyokong-penyokong United tetapi hal tersebut tidak kekal lama. Selepas membantu United mengharungi sebelas aksi tanpa kalah, Pogba kembali menyajikan prestasi `yoyo’nya di atas padang.

Ketika menyarung jersi Les Bleus, Pogba adalah watak yang sangat berbeza. Di bumi Russia, beliau antara senjata utama yang dipertaruhkan Didier Deschamps hingga menyaksikan Perancis berjaya menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali pertama selepas tempoh 20 tahun. Prestasi konsisten  yang dipamerkan Pogba setiap kali beliau menyarung jersi skuad kebangsaan itulah sebenarnya yang ingin dilihat penyokong-penyokong United berbanding tarian-tarian pelik di tepi padang yang dipertontonkannya setiap kali selepas beliau menjaringkan gol.

Isyarat Ingin Pergi

Di Tokyo minggu lalu, Pogba telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin mencari cabaran baharu musim hadapan. Kenyataan itu boleh dianggap satu isyarat kuat bahawa Pogba tidak lagi berminat menyarung jersi United. Sejak itu khabar angin juga semakin kuat bertiup kencang tentang minat tinggi yang ditunjukkan Real Madrid bagi mendapatkan tandatangan Pogba. Begitu juga tentang kemungkinan untuk Pogba kembali beraksi di Serie A menerusi kepulangan semula ke pangkuan Juventus.

Selain Real dan Juve, satu lagi destinasi yang mungkin bakal dituju Pogba ialah Parc des Princes. Bagaimanapun peraturan Financial Fair Play  bakal menjadi penghalang utama buat PSG berikutan tanda harga Pogba yang melebihi £100 juta. Di Santiago Bernabeu, Pogba boleh menyertai skuad Galacticos versi 3 yang sedang dibina Florentino Perez manakala kepulangan semula ke Juventus bakal membantu ambisi Maurizio Sarri menjadikan skuad The Old Lady pencabar utama saingan Liga Juara-Juara. Jadi yang mana satu pilihan Pogba?

Siapa Pengganti Pogba?

Ketepikan sementara tentang tanda harga sebenar yang bakal diletakkan United kepada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan  tandatangan Pogba, kerana persoalan paling besar ialah siapa pengganti paling sesuai untuk mengisi posisi yang bakal ditinggalkan beliau. Melihat betapa perlahannya maneuver kelab dalam jendela perpindahan kali ini, jangan berharap akan ada pemain setaraf yang mampu di bawa masuk sebagai pengganti Pogba.

Sepanjang tiga musim beliau di Old Trafford, Pogba memang pemain yang tidak konsisten. Di atas padang beliau kadangkala lebih banyak berjalan selain kerap melakukan trick yang tidak perlu. Bagaimanapun statistik Pogba lain pula ceritanya kerana di sebalik prestasi naik turun yang dipamerkannya, beliau masih lagi salah seorang pemain terbaik yang ada dalam kesebelasan Solskjaer. 13 gol yang dijaringkan beliau dalam saingan liga menyaksikan Pogba muncul penjaring terbanyak United.

Tidak cukup dengan itu, Pogba juga muncul pemain United paling banyak melakukan assist  (9 assist), percubaan tepat (50 percubaan), dribble success (60 kali), paling kerap dikasari lawan (69 kali), paling kerap mencipta peluang (55 kali), paling banyak memenangi perebutan bola (218 kali) dan paling banyak melakukan umpanan di kawasan final third lawan (321 kali). Dengan segala catatan di atas, maka tidak hairanlah mengapa beliau tersenarai dalam PFA Team of the Season di sebalik dominasi pemain Manchester City dan Liverpool.

Di sebalik musim suram yang dialami United, Pogba pula nampaknya masih mampu meletakkan dirinya dalam kelompok antara pemain terbaik di Liga Perdana. Jadi bukan mudah untuk kelab mencari pengganti setaraf jika Pogba akhirnya memilih jalan keluar nanti. Manchester Evening News dalam laporannya menyenaraikan sepuluh pemain sebagai opsyen pengganti Pogba. Mereka ialah Youri Tielemens, Wilfried Ndidi, Bruno Fernandes, Tanguy Ndombele, Christian Eriksen, Adrien Rabiot, Donny van de Beek, Idrissa Gueye, Ivan Rakitic dan Sean Logstaff.

Tielemens, Ndombele, Fernandes dan Rabiot antara prospek menarik tetapi pastinya tanda harga yang bakal diletakkan ke atas mereka juga bukanlah murah. Jika Solskjaer mahukan pemain yang sudah biasa dengan sepak terajang Liga Perdana, beliau boleh mengarahkan radar buruannya kepada Eriksen, Gueye dan Longstaff, manakala van de Beek pula ialah pelaburan jangka panjang yang bagus menerusi prestasi terpuji dipamerkan pemain berusia 21 tahun ini bersama Ajax Amsterdam musim lalu.

Kesimpulan

Mencari pemain kelas dunia seperti Pogba sebagai pengganti bakal menjadi cabaran paling besar buat Solskjaer musim panas ini. Meskipun pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau, satu hakikat yang perlu kita akui ialah Pogba antara pemain terbaik dimiliki United selain David De Gea. Namun sebagus manapun Pogba, sebarang cubaan untuk mengekalkan beliau di Old Trafford tetap satu perjudian yang besar.

Aksi yang dipamerkan Pogba dalam beberapa perlawanan terakhir liga seolah-olah menunjukkan bahawa beliau memang tidak lagi berminat menyarung jersi United. Kenyataan secara terbuka yang dibuat beliau di Tokyo pula mengesahkan lagi bahawa Old Trafford sudah tiada lagi di dalam hatinya. Apa yang perlu dilakukan United? Jawapannya mudah...iaitu biarkan sahaja Pogba pergi kerana ini bukanlah kali pertama beliau melakukannya.

Pada 2012, Pogba menandatangani kontrak bersama Juventus tanpa pengetahuan kelab lantas menimbulkan kemarahan Sir Alex Ferguson. “Pogba menandatangani kontrak bersama Juventus tanpa pengetahuan kami. Perkara itu sangat mengecewakan kerana dia tidak menunjukkan sedikit pun rasa hormat kepada kami. Saya senang kerana mereka (Juventus) membawanya jauh dari kami”, kata Fergie dalam bukunya “Leading”.

Berbanding 2012, Pogba kini antara nama besar dalam dunia bolasepak. Jadi sudah tentu pemergian beliau kali ini (jika berlaku) bakal memberikan impak kepada perancangan Solskjaer. United perlukan pemain berjiwa besar seperti Keano ataupun Scholesy, bukan `pemain besar’ yang merasakan dirinya lebih besar berbanding kelab. Kali ini saya ingin melihat kelab mana yang bakal membawa Pogba `pergi jauh dari kita’. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

20 Jun 2019

SUKARNYA MENGGANTIKAN FERGIE



Dalam satu wawancara dengan BBC empat tahun lalu, Sandy Busby mengatakan bahawa, “Jika Tuhan turun ke bumi dan duduk disebelahnya, Ferguson akan mengatakan kepada Tuhan apa yang sepatutnya Tuhan lakukan”. Sebagai seorang yang beragama Islam, sudah tentu saya tidak boleh bersetuju dengan apa yang dikatakan anak perempuan Sir Matt Busby itu walaupun saya penyokong Manchester United. Bagaimanapun dari perspektif berbeza, apa yang dikatakan Sandy itu menggambarkan betapa besar dan pentingnya batang tubuh bernama Sir Alexander Chapman Ferguson itu kepada United.

Apa tidaknya kerana selepas enam tahun Fergie mengosongkan pejabatnya di Carrington, ramai diantara kita masih belum mampu move on dan sering membandingkan pencapaian lagenda hidup United itu dengan para penggantinya. Pencapaian Fergie memang mengagumkan meskipun di awal kehadiran beliau selaku pengurus di Old Trafford, Fergie perlukan tempoh selama empat tahun untuk menghadiahkan trofi pertama kepada United. 38 kejuaraan sepanjang tempoh 26 tahun beliau mengemudi United merupakan satu tanda aras yang pastinya `hampir mustahil’ untuk disamai, apatah lagi diatasi oleh mana-mana pengganti beliau.

David Moyes hanya mampu bertahan selama 11 bulan sebelum dipecat manakala Louis Van Gaal pula gagal menghabiskan kontrak tiga tahunnya walaupun berjaya mengemudi kelab memenangi kejuaraan Piala FA buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun. Nasib sama turut menimpa Jose Mourinho walaupun beliau datang ke Old Trafford dengan reputasi selaku pengurus yang pernah memenangi tiga medal kejuaraan Liga Perdana, Liga Juara-Juara selain pernah memenangi kejuaraan liga di Sepanyol, Itali dan Portugal. Gelaran The Special One nampaknya tidak membawa apa-apa makna apabila Mourinho dipecat selepas mengharungi tempoh dua tahun setengah sebagai pengurus United.

Betapa Sukarnya Menggantikan Fergie

Selepas enam tahun Fergie bersara, United terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran serta konflik meskipun di era Mourinho beliau berjaya menambah tiga kejuaraan (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) ke dalam kabinet trofi di Old Trafford. Prestasi buruk yang dipamerkan barisan The Red Devils musim lalu seolah-olah memberikan isyarat jelas kepada penyokong bahawa mereka perlu bersedia untuk melihat Old Trafford dilanda kemarau kejuaraan yang panjang.

Pada 2010, David Gill yang juga merupakan bekas Ketua Eksekutif Manchester United meramalkan bahawa kelab bakal berdepan kesukaran dalam proses transisi mereka jika Fergie bersara. Namun saya yakin ketika itu Gill sendiri tidak pernah terfikir bahawa situasi akan menjadi sebegini buruk. Dalam sebuah wawancara dengan media di Amerika Syarikat, Gill mengatakan bahawa pengganti Fergie nanti tidak boleh membuang begitu sahaja warisan yang ditinggalkan lagenda dari Scotland itu.

Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku pada 2013 apabila David Moyes melakukan `pembersihan’ dengan membawa masuk pasukannya sendiri bagi menggantikan staf kejurulatihan era Fergie. Paling mengejutkan apabila individu seperti Mike Phelan yang sangat berpengalaman dan selama bertahun-tahun memainkan peranan sebagai `tangan kanan’ Fergie turut tersingkir. Akibat dari keangkuhan sendiri, Moyes akhirnya ditunjukkan jalan keluar meskipun kontraknya masih berbaki empat tahun.

Selepas Moyes ditimpa aib, datang pula Louis Van Gaal dalam misinya untuk cuba menyelamatkan United. Berbekalkan reputasi silam serta persembahan terpuji yang dipamerkan skuad kebangsaan Belanda bimbingan beliau di bumi Brazil dalam kejohanan Piala Dunia, Van Gaal diharap mampu meneruskan legasi gemilang yang ditinggalkan Fergie. Van Gaal datang ke Old Trafford  bukan sekadar membawa track record cemerlang beliau selaku pengendali berprofil tinggi tetapi karakter warga Belanda itu turut dikatakan mirip Fergie.

Berpaksikan kepada falsafah possession football yang dianutinya, Van Gaal cuba membentuk gaya permainan United mengikut acuan beliau sendiri. Musim pertamanya di Old Trafford, Van Gaal berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga keempat, lantas membolehkan mereka beraksi semula di saingan Liga Juara-Juara (2015-16). Pada musim kedua Van Gaal pula, United menamatkan saingan liga di posisi kelima manakala misi mereka di Liga Juara-Juara sekadar berakhir di peringkat kumpulan.

Akhirnya sumpahan yang melanda Moyes menimpa pula Van Gaal dan meskipun United menamatkan musim 2016-17 dengan kejayaan menjulang Piala FA, Van Gaal mendapati khidmatnya tidak lagi diperlukan di Old Trafford. Pengganti selepas itu tidak kurang hebatnya kerana Jose Mourinho juga bukanlah calang-calang pengurus. Pencapaian Mourinho tidak perlu diperdebatkan lagi meskipun label `pragmatik’ sangat sinonim dengan dirinya. Selamat tinggal kepada era possession football kerana United kini menuju ke era `park the bus’ pula.

The Special One menamatkan musim pertamanya di Old Trafford dengan cukup indah menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena. Dua lagi trofi yang dimenangi iaitu Perisai Komuniti dan Piala Liga boleh dianggap pelengkap kepada kejayaan `treble kecil’ musim tersebut. Musim ketiga tidak berjalan mulus buat Mourinho apabila `pemberontakan dalaman’ oleh pemain hingga menjejaskan penampilan United di atas padang menyebabkan beliau menjadi korban ketiga pemecatan pasca persaraan Fergie.

Mencari Pengganti Ideal

Hampir mustahil jika anda mengharapkan agar United meletakkan seorang individu seperti Fergie di kerusi pengurus. Dalam hal taktikal permainan di atas padang, Fergie memang sangat berjaya ketika zamannya sebagai pengurus. Bolasepak ketika era perseteruan Fergie/Wenger memuncak tidaklah sekompleks seperti sekarang. Atau dalam erti kata lain, Fergie memang dilahirkan untuk zamannya. Jadi tidak hairanlah mengapa ketika era Fergie anda jarang melihat United bermain dengan corak permainan yang kompleks.

Permainan United ketika itu sangat mudah iaitu mengerahkan segala kekuatan mereka ketika menyerang hingga keminit terakhir atau menghukum kealpaan lawan menerusi taktik serang balas pantas. Di era Fergie beliau berjaya membentuk segerombolan lelaki yang rela `mati’ di atas padang demi sebuah kemenangan. Dalam skuad Fergie tiada istilah tonggak pasukan, yang ada hanyalah mereka yang sanggup bekerja demi kejayaan pasukan. Apakah agaknya nasib pemain seperti Paul Pogba jika Fergie masih duduk di kerusi pengurus United ketika ini?

Apa yang perlu dilakukan United bukanlah mencari sosok seperti Fergie di kerusi pengurus, kerana itu adalah satu tugas yang mustahil kerana Fergie memang tiada duanya. Yang perlu mereka lakukan ialah mencari pengurus yang boleh memberikan kejuaran demi kejuaraan kepada kelab. United pernah melepaskan peluang mendapatkan Pep Guardiola ketika mereka lebih memilih David Moyes sebaik Fergie mengosongkan pejabatnya. Idea bolasepak Pep memang berlawanan dengan Fergie tetapi lihatlah apa yang Manchester City perolehi sekarang.

Tiada Lagi Istilah Jangka Panjang

Dalam era bolasepak moden, tiada lagi istilah jangka panjang untuk seorang pengurus. Mungkin istilah tersebut sesuai digunakan untuk kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga tetapi bukan kelab seperti Manchester United. Hentikan obsesi terhadap pengurus jangka panjang kerana industri bolasepak sekarang menuntut keputusan segera demi keuntungan kelab.

Musim hadapan United bakal kehilangan pendapatan sebanyak £50 juta gara-gara kegagalan mereka layak beraksi di saingan Liga Juara-Juara. Menurut kenyataan Cliff Baty yang juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan United, kelab akan menjana pendapatan sehingga £50 juta jika beraksi di Liga Juara-Juara manakala Liga Europa pula sekadar memberi pulangan sekitar £15 ke £20 juta.

Fergie sangat beruntung kerana beliau dilantik sebagai pengurus United pada 1986, bukan pada 2016. Meskipun berdepan detik sukar sepanjang tempoh empat tahun pertamanya di Old Trafford selain prestasi pasukan bak roller coaster, pihak pengurusan kelab dan penyokong ketika itu masih mampu bersabar. Jika situasi seperti itu berlaku sekarang, saya yakin Fergie akan menerima nasib yang sama seperti dialami Moyes, Van Gaal dan Mourinho.

Nasib Solskjaer

Selepas Moyes, Van Gaal dan Mourinho, kini tiba pula giliran Ole Gunnar Solskjaer untuk mencuba nasib. United menamatkan saingan liga di posisi keenam musim lalu namun tidak adil untuk menilai prestasi beliau selaku pengendali kerana Solskjaer hanya tiba di Old Trafford setelah liga berlangsung selama setengah musim. Jika Solskjaer gagal meletakkan United sebagai antara pesaing serius merebut kejuaraan liga, anda sudah pasti tahu nasib yang bakal menimpa The Baby Faced Assassin itu.

Situasi buruk yang menimpa United ketika ini bukanlah pertama kali berlaku selepas mereka ditinggalkan oleh seorang pengurus jangka panjang. 50 tahun lalu mereka berdepan situasi sama pasca persaraan Sit Matt Busby. Sepertimana Fergie, Busby juga menangani United selama lebih dua dekad (1945-1969). Saat Busby memutuskan untuk berundur, Wilf McGuiness, Frank O Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson silih berganti cuba mengembalikan jejak gemilang yang ditinggalkan beliau.

Namun kemudiannya hanya Fergie yang sukses membangkitkan semula sang gergasi dari lena yang panjang. Itu pun selepas beliau bergelut selama empat tahun sebelum trofi pertama hadir menerusi kejayaan menjulang Piala FA pada 1990. Gol tunggal perlawanan hasil ledakan kaki kanan Lee Martin ke gawang Crystal Palace pada aksi ulangan di Wembley itu akhirnya menjadi pertanda bahawa akan ada banyak lagi trofi yang bakal menyusul ke Old Trafford di era Fergie.

 Tiga pengurus sudah ditendang keluar dalam tempoh enam tahun sejak persaraan Fergie, dan semoga nasib sama tidak menimpa Solskjaer. Untuk musim hadapan, letakkan sahaja segenap kepercayaan kepada Solskjaer, sambil dalam masa yang sama kita perlu menerima hakikat betapa sukarnya mencari pengganti yang ideal untuk seorang yang bernama Fergie. Atau tidak keterlaluankah jika saya katakan bahawa tugas menggantikan Fergie antara tugas paling sukar di dunia? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

15 Jun 2019

SEHEBAT GIGGS ATAU SENASIB DENGAN CARROLL, FOSTER DAN POWELL



Penampilan Daniel James mengingatkan Marco Rossi yang juga merupakan pengendali skuad kebangsaan Hungary kepada kelibat jaguh 100 meter dunia, Usain Bolt. Kenyataan Rossi itu dibuat beliau sebelum aksi kelayakan Euro 2020 menentang Wales di Budapest yang menyaksikan skuad bimbingan beliau menang 1-0. “Kelajuan James mengingatkan saya kepada Usain Bolt. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak ingat seorang pun pemain yang mampu membuatkan saya merasakan sensasi ini. Kepantasannya sangat istimewa. Maka atas sebab itulah mengapa Manchester United menandatanganinya”, kata pengendali berusia 54 tahun itu.

Bagi Ryan Giggs pula, beliau antara individu yang sangat teruja selepas James secara rasmi menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Manchester United. Keputusan United menandatangani pemain berusia 21 tahun itu dari Swansea City mengingatkan Giggs pada detik awal kariernya di Old Trafford. “Kelajuan merupakan aset utamanya. Saya tidak pernah melihat pemain yang memiliki kelajuan sepertinya”, kata Giggs. Meletakkan pemain yang memiliki kelajuan sama ada di sisi kiri ataupun kanan bukan asing buat United. Andrei Kanchelskis, Cristiano Ronaldo, Antonio Valencia dan Giggs sendiri pernah menghadirkan mimpi ngeri kepada mana-mana bek sisi lawan menerusi kepantasan yang dimiliki mereka.

Sesuai Dalam Taktikal Solskjaer?

Kelajuan James bakal menjadi aset penting kepada corak permainan menyerang United di bawah Solskjaer. Solskjaer perlukan pemain yang memiliki kelajuan bagi melaksanakan transisi bertahan kepada menyerang dengan pantas. Maka atas sebab itulah mengapa beliau menjadikan James sebagai sasaran pertama untuk ditandatanganinya. Dengan adanya pemain-pemain seperti Anthony Martial dan Marcus Rashford, kehadiran James bakal menambahkan lagi variasi kepada serangan United di sebelah sisi tambahan pula pemain ini memiliki kekuatan pada kedua-dua belah kakinya bagi membolehkan beliau bergerak di sektor kiri mahupun kanan.

Mampukah James Memenuhi Harapan?

Jika anda mengharapkan agar United menandatangani pemain bintang sebagai rekrut pertama mereka musim panas ini, anda pastinya akan kecewa. Ya, James memang bukan pemain bintang yang mampu memaksa United `pecah tabung’ demi mendapatkan khidmatnya. Beliau hanyalah salah seorang bakat muda yang diharap mampu membina kariernya dan menjadi sehebat Ryan Giggs suatu hari nanti.

Meskipun ada segelintir pihak yang bersikap sinis terhadap keputusan Solskjaer menandatangani James, saya yakin ia dilakukan kerana beliau percaya pemain ini mampu memainkan peranan dalam plan taktikal yang bakal diterapkan dalam corak permainan United nanti. Atau adakah pembelian James ini menandakan bahawa pendekatan United di pasaran perpindahan pemain sudah berubah?

Situasi sekarang sebenarnya mengingatkan saya kepada pendekatan Sir Alex Ferguson ketika eranya selaku pengendali United. Menerusi sentuhan magis beliau, Fergie berjaya menjadikan pemain `biasa-biasa’ seperti Patrice Evra, Park Ji Sung, Nemanja Vidic, Cristiano Ronaldo, Nani, Dennis Irwin, Peter Schmeichel, Michael Carrick dan Solskjaer sendiri sebagai nama besar yang akhirnya muncul tonggak pasukan.

Pendekatan United ini sebenarnya mula diikuti Liverpool dalam tempoh beberapa musim terakhir. Roberto Firmino, Mo Salah, Sadio Mane, Georginio Wijnaldum, Naby Keita, Xherdan Shaqiri dan Alisson Becker antara contoh terbaik. Mereka bukanlah dari kategori pemain kelas bintang tetapi potensi besar mereka digunakan sepenuhnya hingga menyaksikan kebangkitan semula kelab dari Merseyside itu.

Sumpahan Liga Bawahan

Sepertimana yang anda tahu, James direkrut United dari Swansea City, kelab yang kini beraksi di Liga Kejuaraan atau lebih tepatnya liga yang berada di kasta kedua dalam hierarki bolasepak Inggeris. Untuk rekod, pada 2001, United pernah menandatangani Roy Carroll dari Wigan Athletic yang ketika itu bermain di Football League Second Division (Divisyen 3).

Empat tahun selepas itu United sekali lagi merekrut pemain yang beraksi di liga bawahan dan kali ini Fergie memilih Ben Foster pula dari Stoke City (yang ketika itu beraksi di Liga Kejuaraan). Kehadiran Carroll diharap mampu menghadirkan saingan kepada Fabien Barthez selaku pilihan utama mengawal gawang, manakala Foster pula sebagai pengganti jangka panjang kepada Edwin Van der Sar.

Bagaimanapun aksi Carroll di pintu gol United gagal menambat hati Fergie manakala Foster pula lebih banyak memanaskan bangku simpanan. Selain daripada itu, jangan lupakan juga kelibat Nick Powell yang ditandatangani Fergie dari Crewe Alexandra pada 2012. Meskipun pada awalnya dilabel sebagai jelmaan Paul Scholes, Powell akhirnya hanya mampu melakukan tiga penampilan untuk skuad utama United.

Kegagalan Carroll, Foster dan Powell memenuhi harapan bagaikan satu sumpahan untuk pemain yang datang ke Old Trafford dari liga bawahan. Sangat menarik untuk melihat adakah James bakal senasib dengan Carroll, Foster dan Powell, atau beliau mampu keluar dari bayang-bayang hitam tersebut lantas membuktikan bahawa pembelian yang dilakukan United ke atasnya satu pelaburan yang berbaloi.

Contohi Denis Irwin

Jika Carroll, Foster dan Powell kurang bernasib baik, lain pula halnya dengan Denis Irwin. Irwin ditandatangani Fergie dari Oldham Athletic pada musim panas 1990 ketika skuad Latics itu beraksi di Liga Divisyen 2. Irwin tidak menunggu lama untuk mencetuskan impak apabila beliau melakukan 34 penampilan untuk United dalam saingan liga pada musim pertamanya di Old Trafford.

Irwin kemudiannya mendominasi sektor kiri pertahanan United selama bertahun-tahun menerusi lebih 500 penampilan bersama skuad kendalian Fergie dan antara anggota dari skuad yang menjulang kejuaraan Treble pada 1999. Sepanjang karier beliau di Old Trafford, Irwin menjaringkan 33 gol untuk United dan dua kali disenaraikan dalam Premier League Team of the Year.

Semoga Berjaya James

Dalam wawancara beliau bersama Telegraph, James tanpa berselindung menamakan Raheem Sterling sebagai pemain idolanya. Menurut James, beliau ingin bermain seperti Sterling menerusi peranan yang dimainkan pemain antarabangsa England itu sebagai penyerang sayap. “Dia (Sterling) sangat pantas dan menggunakan kepantasannya dengan cara berbeza. Dia sangat hebat ketika berada di belakang (lawan) dan hal itulah yang ingin saya kembangkan dalam permainan saya”, kata James.

James mungkin sahaja boleh menjadi `Sterling’ untuk United atau suatu hari nanti menjadi sehebat Ryan Giggs yang juga merupakan idola kesayangan penyokong di Old Trafford. Tidak ramai yang mengenali James, jadi tidak hairan jugalah mengapa penyokong United agak `senyap’ saat kelab mengumumkan bahawa mereka sudah menandatangani anak muda ini berbanding ketika kedatangan Angel Di Maria, Bastian Schweinsteiger, Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Alexis Sanchez atau Romelu Lukaku.

Ketika kelibat James mengingatkan Marco Rossi kepada Usain Bolt, Graham Potter (pengurus Swansea City) pula menggambarkan ada jelmaan Gareth Bale dalam diri beliau manakala Solskjaer pula melabelkan James sebagai pemain muda yang mengghairahkan menerusi visi permainan dan kepantasan yang dimilikinya, berharaplah agar pemain muda ini mampu menjelma sebagai `Ryan Giggs’ seterusnya. Semoga berjaya Daniel James dengan jersi merah The Red Devils...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

11 Jun 2019

CONTOHI DAN BELAJARLAH DARI KEBANGKITAN LIVERPOOL



Sebagai penyokong Manchester United saya tidak akan pernah `menyukai’ Liverpool. Jadi terus terang saya katakan bahawa selepas melihat skuad The Reds itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam, saya sangat-sangat kecewa. Secara peribadi, saya memang mengharapkan agar Tottenham Hotspurs keluar sebagai pemenang dalam aksi final yang dilangsungkan di Stadium Wanda Metropolitano itu, tetapi takdir sudah menentukan bahawa Liverpool adalah raja pentas Eropah musim ini.

Ketepikan tentang `kemandulan’ 29 tahun mereka dalam menjulang trofi Liga Perdana, kerana pada awal pagi 2 Jun lalu mereka melunaskannya dengan kejuaraan keenam trofi Liga Juara-Juara dalam sejarah kelab dari Merseyside itu. Kejayaan mereka menewaskan Spurs dalam aksi final itu bagaikan tamparan hebat ke muka saya, apatah lagi selepas melihat pencapaian United yang sekadar berada di posisi keenam liga sekaligus gagal beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Sangat menyedihkan apabila kota Manchester kini sudah dikuasai oleh warna biru berikutan kejayaan Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana buat musim kedua berturut-turut. Dan luka penyokong-penyokong United bertambah parah apabila mereka menyaksikan pula bagaimana Jordan Henderson menyamai pencapaian Emlyn Hughes, Phil Thompson, Graeme Souness dan Steven Gerrard selaku kapten The Reds yang pernah merasai nikmat menjulang trofi saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.

United Yang Jauh Ketinggalan

Saya pasti tiada seorang pun di antara kita (penyokong-penyokong United) yang mahu melihat `rival abadi’ seperti Liverpool berada di hadapan kita dan melihat bagaimana girangnya Henderson menjulang trofi Liga Juara-Juara adalah satu kelukaan yang dahsyat. Sir Matt Busby sentiasa memiliki cara bagaimana beliau mahu mengatasi cabaran yang dilontarkan Bill Shankly dan skuad bimbingannya. Begitu juga bagaimana perkasanya Sir Alex Ferguson memacu barisan pemainnya ketika menidakkan `ngauman’ Gerard Houllier serta Rafa Benitez.

Namun ketika ini United seolah-olah sekadar melihat pesaing-pesaing yang lain seperti Liverpool mengorak langkah lebih jauh meninggalkan mereka. Jika Ole Gunnar Solskjaer berhasrat mahu menjadikan United sebagai pencabar yang jauh lebih serius berbanding musim lalu, beliau sepatutnya menjadikan apa yang dilakukan oleh Jurgen Klopp sepanjang empat musim beliau di Anfield sebagai model pelajaran terbaik. Atau lebih tepatnya, pencapaian Liverpool musim ini bukan sekadar patut dicemburui tetapi boleh dijadikan motivasi untuk Solskjaer mengemudi kebangkitan semula United.

Perlukan Kesabaran

Untuk melihat United kembali bangkit ke zaman kegemilangan mereka perlukan proses yang panjang serta kesabaran tinggi baik dari pihak pengurusan mahupun penyokong. Itulah yang berlaku di Anfield hinggakan musim ini Liverpool hampir sahaja menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga serta menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam. Kuasa penyokong juga menyaksikan regim George Gillet dan Tom Hicks akhirnya berjaya diruntuhkan hingga memaksa mereka menjual semua kepentingan kepada Fenway Sports Group yang diketuai John W Henry.

Di tangan Henry, Liverpool secara perlahan-lahan mula bangkit dari lena yang panjang. Tidak seperti sebelumnya, mereka mula merekrut pemain yang difikirkan memiliki kemampuan untuk beradaptasi dengan plan taktikal pasukan. Dan paling penting mereka juga akhirnya berjaya memilih seorang individu yang tepat untuk diletakkan di kerusi panas selaku pengurus menerusi kehadiran Jurgen Klopp. Klopp secara perlahan-lahan mula mencetuskan impak kehadirannya di Anfield menerusi kejayaan mengemudi The Reds mara ke pentas akhir Liga Europa pada 2016 (mereka tewas 1-3 kepada Sevilla).

Pada tahun yang sama juga (2016), Liverpool mara ke pentas akhir Piala Liga namun hajat Klopp menjulang trofi pertamanya selaku pengurus Liverpool dinafikan Manchester City yang menang menerusi penentuan sepakan penalti. Pada musim 2017/18, Klopp sekali lagi berjaya mengemudi Liverpool mara ke pentas akhir, kali ini dalam saingan yang lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara. Kecederaan yang dialami Mohammad Salah diminit ke-31 selain kesilapan persis pemain amatur yang dilakukan Loris Karius di gawang mereka menyaksikan Liverpool sekali lagi kempunan selepas tewas 1-3 kepada Real Madrid.

Percaturan Tepat

Siapa sangka pemain seperti Sadio Mane, Mohammad Salah, Georginio Wijnaldum dan Roberto Firmino kini muncul antara tonggak penting di Anfield meskipun mereka direkrut dari kelab-kelab kelas pertengahan. Paling mencuri tumpuan ialah melihat bagaimana Klopp berjaya menggilap potensi Mo Salah hinggakan bintang antarabangsa Mesir itu muncul pemain yang jauh lebih bagus selepas beliau kembali semula ke kancah saingan Liga Perdana pada 2016.

Selepas Mane, Firmino, Wijnaldum dan Salah, Liverpool sekali lagi melakukan pembelian bijak menerusi pelaburan yang dilakukan mereka ke atas Virgil Van Dijk musim lalu. £75 juta yang dibelanjakan mereka demi mendapatkan tandatangan bekas pertahanan Southampton itu nyata berbaloi apabila Van Dijk memainkan peranan penting di benteng pertahanan The Reds hingga menyaksikan mereka muncul pasukan paling kurang dibolosi dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

Jangan lupakan juga keberadaan Alisson Becker di gawang The Reds yang akhirnya melengkapkan `puzzle’ di sektor barisan belakang mereka. Sepanjang empat musim Klopp di Anfield, hanya sembilan pemain dari era Kenny Dalglish dan Brendan Rodgers yang masih kekal dalam pasukan. Bandingkan pula situasi Jose Mourinho pada musim terakhirnya di Old Trafford di mana beliau memiliki 13 pemain yang direkrut ketika era Sir Alex Ferguson, David Moyes dan Louis Van Gaal.

Visi Yang Hilang

Kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam pastinya bakal menjadikan mereka lebih bernafsu dalam misi menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga di Anfield. Klopp sudah memiliki aset yang lengkap dalam skuadnya, bermula dari benteng pertahanan hinggalah ke barisan hadapan. Saya yakin musim hadapan mereka bakal lebih digeruni selaku pencabar kejuaraan Liga Perdana.

Di Old Trafford pula situasi sebaliknya terpaksa dihadapi Solskjaer bilamana beliau terpaksa bekerja keras membina semula United `yang sudah runtuh’. Dalam tempoh lima tahun terakhir, United seolah-olah sudah kehilangan visi dan falsafah mereka. Meskipun memiliki sokongan kewangan yang kuat, United tidak memiliki asas kukuh dalam skuad mereka sepertimana yang dimiliki Tottenham Hotspurs, Manchester City dan Liverpool.

Yang dimiliki Solskjaer cumalah pemain-pemain usang seperti Phil Jones, Chris Smalling dan Ashley Young peninggalan dari era Fergie manakala nama-nama seperti Paul Pogba, Marcus Rashford, Jesse Lingard, Romelu Lukaku, Fred dan Anthony Martial masih gagal menyerlah. Musim panas ini bakal menjadi tempoh yang sangat kritikal buat United kerana penyokong mahu melihat maneuver mereka dalam usaha mendapatkan pemain-pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.

Misi Membangkitkan`Setan Merah’ Yang Masih Tidur

Tatkala United berdepan musim serba suram, hati penyokong-penyokong mereka diubati dengan aksi Treble Reunion yang dilangsungkan pada 27 Mei lalu. Aksi membabitkan skuad musim 1998/99 United menentang kesebelasan pilihan Bayern Munich itu diadakan bagi memperingati tempoh 20 tahun kejayaan gemilang kelab menjulang kejuaraan treble.

Menyaksikan lagenda-lagenda United seperti David Beckham, Jaap Stam, Gary Neville, Peter Schmeichel, Paul Scholes, Dwight Yorke dan Andy Cole kembali beraksi di atas padang memang mengasyikkan. Terus terang saya katakan bahawa meskipun ia cuma perlawanan pertunjukkan, semangat menyaksikan lagenda-lagenda United itu kembali menendang bola meresap hingga ke tulang sum-sum berbanding melihat Jesse Lingard atau Marcus Rashford bermain.

Aksi Treble Reunion itu memang mengundang seribu nostalgia tetapi dalam masa yang sama juga menimbulkan persoalan adakah United mampu bangkit mengulangi pencapaian gemilang yang dilakukan oleh skuad Treble 99  itu di masa hadapan? Tatkala `Sang Burung’ sudah terbang tinggi, si `Setan Merah’ pula nampaknya masih terlena sambil dibuai nostalgia kegemilangan silam. Kejayaan Liverpool bukan sahaja wajar dicemburui tetapi perlu juga dicontohi meskipun pahit untuk ditelan. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

02 Jun 2019

AXEL TUANZEBE...ALTERNATIF TERBAIK DALAM MISI MEMPERBAIKI KEROSAKAN BENTENG PERTAHANAN UNITED?



Benteng pertahanan antara masalah paling besar yang perlu diselesaikan Ole Gunnar Solskjaer jika beliau tidak mahu mimpi buruk musim lalu berulang kembali tatkala beliau bakal menikmati musim penuhnya sebagai pengendali United musim hadapan (2019/20). Melihat kepada penampilan Chris Smalling dan Phil Jones sepanjang musim lalu, United jelas perlukan suntikan tenaga baharu di benteng pertahanan mereka jika mahu memberikan cabaran secara serius Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspurs, Chelsea ataupun Arsenal.

Ketika ini ada beberapa nama pertahanan tengah handalan yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dan sudah tentu Matthijs de Ligt berada di kedudukan teratas pilihan penyokong-penyokong United. Pesona de Ligt menerusi penampian gemilang yang dipamerkan beliau di benteng pertahanan Ajax Amsterdam meletakkan anak muda ini rebutan kelab-kelab gergasi Eropah. Dengan segala kemelut yang melanda United, saya tidak fikir de Ligt akan memilih Old Trafford sebagai destinasi pilihan sebaik beliau meninggalkan Johan Cryuff Arena nanti.

Setakat ini de Ligt masih belum membuat sebarang keputusan kelab mana yang bakal beliau wakili musim hadapan tetapi menerusi laporan-laporan media yang diterbitkan, Camp Nou nampaknya bakal menjadi destinasi pilihan beliau. Selain de Ligt, ada beberapa nama lagi yang dikaitkan bakal memperkuatkan benteng pertahanan United musim hadapan seperti Kalidou Koulibaly, Harry Maguire dan Milan Skrniar. Bagaimanapun setakat ini masih belum ada tanda-tanda jelas`maneuver’ yang dilakukan United untuk mendapatkan khidmat mereka.

Perlukah Kita Panik?

Jika rencana tidak berjalan seperti yang diharapkan dan jika pemain-pemain yang disasarkan enggan menyertai United, apakah pilihan lain yang boleh diambil Solskjaer dalam usaha beliau menampung kebocoran yang berlaku di benteng pertahanan skuadnya? Jawapannya ialah berikan peluang kepada bakat-bakat muda lulusan akademi United. Di benteng pertahanan, satu nama yang pada pandangan saya paling memukau musim lalu ialah Axel Tuanzebe.

Selain Dean Henderson yang cemerlang mengawal gawang Sheffield United, Tuanzebe pula mengharungi musim penuh memberangsangkan sebagai pemain pinjaman di benteng pertahanan Aston Villa. Persembahan terpuji yang dipamerkan pemain muda ini berjaya membantu The Villans kembali beraksi di pentas Liga Perdana selepas mereka menewaskan Derby County dalam aksi play off yang dilangsungkan di Wembley, 27 Mei lalu.

Dalam aksi selama 90 minit ketika berdepan Derby, Tuanzebe tampil solid di benteng pertahanan Villa menerusi catatan 100% tackle bersih manakala peratusan ketepatan hantaran yang dilakukan beliau mencapai 78%. Selain daripada itu, sepanjang perlawanan beliau juga melakukan lima kali recoveries ball dan satu intercept. Catatan ini pada pandangan saya merupakan satu catatan yang sangat impresif buat seorang pemain muda yang baru berusia 20 tahun seperti beliau.

Tonggak Penting

Perjalanan karier Tuanzebe di Villa Park selaku pemain pinjaman pada awalnya tidak berjalan seperti yang diharapkan. Menyertai Villa pada separuh musim 2017/18, Tuanzebe terpaksa dipulangkan kembali ke Old Trafford selepas beliau mengalami kecederaan yang menyaksikan pemain berdarah Congo ini hanya tampil dalam lima aksi bersama skuad kendalian Steve Bruce.

Selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan, Tuanzebe kembali semula ke Villa Park untuk meneruskan proses pembelajaran beliau sebagai pemain pinjaman. Kali ini beliau mendapati teraju pengendali berubah tangan dari Steve Bruce kepada Dean Smith. Di bawah kendalian Smith, posisi Tuanzebe berubah dari bek kanan kepada pertahanan tengah di mana beliau digandingkan bersama Tyrone Mings.

Keputusan Smith mengubah posisi Tuanzebe sebagai pertahanan tengah berhasil apabila pemain itu berjaya membentuk gandingan ampuh bersama Tyrone Mings di benteng pertahanan Villa. Akhirnya seperti yang anda dapat saksikan, Villa berjaya kembali semula `ke pangkuan’ Liga Perdana selepas tersingkir pada 2016. Jika tidak kerana kecederaan metatarsal yang dialaminya musim ini, Tuanzebe mungkin mampu melakukan lebih 30 penampilan untuk The Villans.

Kekuatan Tuanzebe

Dean Smith melabelkan Tuanzebe sebagai seorang prospek bintang masa depan. Menurut Smith, pemain ini memiliki teknik yang bagus, kelajuan, tenang ketika menguasai bola serta sangat berdisiplin dalam menyerap taktikal pasukan. Jadi tidak hairanlah mengapa dalam tempoh semusim setengah di Villa Park, beliau disayangi penyokong-penyokong Villa.

Ketika sektor pertahanan tengah United menjadi sasaran kritikan, memanggil pulang pemain ini saya fikir adalah alternatif terbaik yang boleh dilakukan Solskjaer bagi memperkasakan benteng pertahanannya. Tuanzebe adalah prospek masa depan United dan beliau memang sudah dipersiapkan ke arah itu sejak era Jose Mourinho lagi.

Sepanjang dua musim beliau beraksi untuk skuad utama (sebelum dipinjamkan ke Aston Villa), Tuanzebe sempat bermain sebanyak lapan perlawanan, di mana lima daripadanya menyaksikan pintu gol United gagal ditembusi lawan. Selain memiliki skill yang bagus sebagai pemain pertahanan, Tuanzebe juga memiliki gaya kepimpinan ketika di atas padang. Mungkin juga statusnya sebagai kapten pasukan di akademi membantu beliau menangani sebarang tekanan ketika bermain.

Hal ini sebenarnya turut diakui oleh Paul McGuiness yang juga merupakan jurulatih skuad U-18 United. Menurut McGuiness, gaya kepimpinan Tuanzebe mirip kepada Gary Neville, jadi tidak hairanlah mengapa beliau dijadikan role model oleh para juniornya di akademi. Untuk rekod, kontrak Tuanzebe bersama United akan berakhir pada Jun 2020, jadi saya berharap Solakjaer sudah memiliki perancangan terhadap masa depan pemain muda ini.

Percaya Kepada Bakat Muda

Melihat kepada perkembangan terkini, saya fikir sudah tiba masanya untuk Solskjaer berani melakukan percaturan dengan menyandarkan kepada generasi muda sebagai teras kekuatan skuadnya. 23 tahun lalu, United berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana (musim 1995/96) selepas Fergie melakukan pembersihan dalam skuadnya dan kini Solskjaer mungkin boleh meniru pendekatan yang sama.

Solskjaer mungkin tidak mampu mengikut jejak gemilang skuad muda 1995/96 United yang berjaya menjulang trofi Liga Perdana, tetapi bukanlah satu dosa yang terlalu besar jika beliau percaya bahawa bakat muda seperti Tuanzebe sepatutnya sudah mula diberikan peluang memperagakan aksi bersama skuad utama.

Saya percaya sepertimana Fergie pada musim 1995/96, Solskjaer juga perlukan dorongan dari bakat-bakat muda United bagi membolehkan beliau melakukan perubahan yang signifikan. Dalam proses itu sangat menarik juga untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran penyokong-penyokong kerana saya percaya dalam tempoh dua tahun dari sekarang United tidak akan memenangi sebarang trofi...kecuali jika ada keajaiban besar berlaku. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar