Penampilan Daniel James
mengingatkan Marco Rossi yang juga merupakan pengendali skuad kebangsaan
Hungary kepada kelibat jaguh 100 meter dunia, Usain Bolt. Kenyataan Rossi itu
dibuat beliau sebelum aksi kelayakan Euro 2020 menentang Wales di Budapest yang
menyaksikan skuad bimbingan beliau menang 1-0. “Kelajuan James mengingatkan
saya kepada Usain Bolt. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, saya
tidak ingat seorang pun pemain yang mampu membuatkan saya merasakan sensasi
ini. Kepantasannya sangat istimewa. Maka atas sebab itulah mengapa Manchester
United menandatanganinya”, kata pengendali berusia 54 tahun itu.
Bagi Ryan Giggs pula, beliau
antara individu yang sangat teruja selepas James secara rasmi menandatangani
kontrak selama lima tahun bersama Manchester United. Keputusan United
menandatangani pemain berusia 21 tahun itu dari Swansea City mengingatkan Giggs
pada detik awal kariernya di Old Trafford. “Kelajuan merupakan aset utamanya.
Saya tidak pernah melihat pemain yang memiliki kelajuan sepertinya”, kata
Giggs. Meletakkan pemain yang memiliki kelajuan sama ada di sisi kiri ataupun
kanan bukan asing buat United. Andrei Kanchelskis, Cristiano Ronaldo, Antonio
Valencia dan Giggs sendiri pernah menghadirkan mimpi ngeri kepada mana-mana bek
sisi lawan menerusi kepantasan yang dimiliki mereka.
Sesuai
Dalam Taktikal Solskjaer?
Kelajuan James bakal menjadi
aset penting kepada corak permainan menyerang United di bawah Solskjaer.
Solskjaer perlukan pemain yang memiliki kelajuan bagi melaksanakan transisi
bertahan kepada menyerang dengan pantas. Maka atas sebab itulah mengapa beliau
menjadikan James sebagai sasaran pertama untuk ditandatanganinya. Dengan adanya
pemain-pemain seperti Anthony Martial dan Marcus Rashford, kehadiran James
bakal menambahkan lagi variasi kepada serangan United di sebelah sisi tambahan
pula pemain ini memiliki kekuatan pada kedua-dua belah kakinya bagi membolehkan
beliau bergerak di sektor kiri mahupun kanan.
Mampukah
James Memenuhi Harapan?
Jika anda mengharapkan agar
United menandatangani pemain bintang sebagai rekrut pertama mereka musim panas
ini, anda pastinya akan kecewa. Ya, James memang bukan pemain bintang yang
mampu memaksa United `pecah tabung’ demi mendapatkan khidmatnya. Beliau
hanyalah salah seorang bakat muda yang diharap mampu membina kariernya dan
menjadi sehebat Ryan Giggs suatu hari nanti.
Meskipun ada segelintir pihak
yang bersikap sinis terhadap keputusan Solskjaer menandatangani James, saya yakin
ia dilakukan kerana beliau percaya pemain ini mampu memainkan peranan dalam
plan taktikal yang bakal diterapkan dalam corak permainan United nanti. Atau
adakah pembelian James ini menandakan bahawa pendekatan United di pasaran
perpindahan pemain sudah berubah?
Situasi sekarang sebenarnya
mengingatkan saya kepada pendekatan Sir Alex Ferguson ketika eranya selaku
pengendali United. Menerusi sentuhan magis beliau, Fergie berjaya menjadikan
pemain `biasa-biasa’ seperti Patrice Evra, Park Ji Sung, Nemanja Vidic,
Cristiano Ronaldo, Nani, Dennis Irwin, Peter Schmeichel, Michael Carrick dan
Solskjaer sendiri sebagai nama besar yang akhirnya muncul tonggak pasukan.
Pendekatan United ini
sebenarnya mula diikuti Liverpool dalam tempoh beberapa musim terakhir. Roberto
Firmino, Mo Salah, Sadio Mane, Georginio Wijnaldum, Naby Keita, Xherdan Shaqiri
dan Alisson Becker antara contoh terbaik. Mereka bukanlah dari kategori pemain
kelas bintang tetapi potensi besar mereka digunakan sepenuhnya hingga
menyaksikan kebangkitan semula kelab dari Merseyside itu.
Sumpahan
Liga Bawahan
Sepertimana yang anda tahu,
James direkrut United dari Swansea City, kelab yang kini beraksi di Liga
Kejuaraan atau lebih tepatnya liga yang berada di kasta kedua dalam hierarki
bolasepak Inggeris. Untuk rekod, pada 2001, United pernah menandatangani Roy
Carroll dari Wigan Athletic yang ketika itu bermain di Football League Second Division (Divisyen 3).
Empat tahun selepas itu
United sekali lagi merekrut pemain yang beraksi di liga bawahan dan kali ini
Fergie memilih Ben Foster pula dari Stoke City (yang ketika itu beraksi di Liga
Kejuaraan). Kehadiran Carroll diharap mampu menghadirkan saingan kepada Fabien
Barthez selaku pilihan utama mengawal gawang, manakala Foster pula sebagai
pengganti jangka panjang kepada Edwin Van der Sar.
Bagaimanapun aksi Carroll di
pintu gol United gagal menambat hati Fergie manakala Foster pula lebih banyak
memanaskan bangku simpanan. Selain daripada itu, jangan lupakan juga kelibat
Nick Powell yang ditandatangani Fergie dari Crewe Alexandra pada 2012. Meskipun
pada awalnya dilabel sebagai jelmaan Paul Scholes, Powell akhirnya hanya mampu
melakukan tiga penampilan untuk skuad utama United.
Kegagalan Carroll, Foster dan
Powell memenuhi harapan bagaikan satu sumpahan untuk pemain yang datang ke Old
Trafford dari liga bawahan. Sangat menarik untuk melihat adakah James bakal
senasib dengan Carroll, Foster dan Powell, atau beliau mampu keluar dari
bayang-bayang hitam tersebut lantas membuktikan bahawa pembelian yang dilakukan
United ke atasnya satu pelaburan yang berbaloi.
Contohi
Denis Irwin
Jika Carroll, Foster dan
Powell kurang bernasib baik, lain pula halnya dengan Denis Irwin. Irwin
ditandatangani Fergie dari Oldham Athletic pada musim panas 1990 ketika skuad Latics itu beraksi di Liga Divisyen 2.
Irwin tidak menunggu lama untuk mencetuskan impak apabila beliau melakukan 34
penampilan untuk United dalam saingan liga pada musim pertamanya di Old
Trafford.
Irwin kemudiannya mendominasi
sektor kiri pertahanan United selama bertahun-tahun menerusi lebih 500
penampilan bersama skuad kendalian Fergie dan antara anggota dari skuad yang
menjulang kejuaraan Treble pada 1999.
Sepanjang karier beliau di Old Trafford, Irwin menjaringkan 33 gol untuk United
dan dua kali disenaraikan dalam Premier
League Team of the Year.
Semoga
Berjaya James
Dalam wawancara beliau
bersama Telegraph, James tanpa
berselindung menamakan Raheem Sterling sebagai pemain idolanya. Menurut James,
beliau ingin bermain seperti Sterling menerusi peranan yang dimainkan pemain
antarabangsa England itu sebagai penyerang sayap. “Dia (Sterling) sangat pantas
dan menggunakan kepantasannya dengan cara berbeza. Dia sangat hebat ketika
berada di belakang (lawan) dan hal itulah yang ingin saya kembangkan dalam
permainan saya”, kata James.
James mungkin sahaja boleh
menjadi `Sterling’ untuk United atau suatu hari nanti menjadi sehebat Ryan
Giggs yang juga merupakan idola kesayangan penyokong di Old Trafford. Tidak
ramai yang mengenali James, jadi tidak hairan jugalah mengapa penyokong United
agak `senyap’ saat kelab mengumumkan bahawa mereka sudah menandatangani anak
muda ini berbanding ketika kedatangan Angel Di Maria, Bastian Schweinsteiger,
Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Alexis Sanchez atau Romelu Lukaku.
Ketika kelibat James
mengingatkan Marco Rossi kepada Usain Bolt, Graham Potter (pengurus Swansea
City) pula menggambarkan ada jelmaan Gareth Bale dalam diri beliau manakala
Solskjaer pula melabelkan James sebagai pemain muda yang mengghairahkan
menerusi visi permainan dan kepantasan yang dimilikinya, berharaplah agar
pemain muda ini mampu menjelma sebagai `Ryan
Giggs’ seterusnya. Semoga berjaya Daniel James dengan jersi merah The Red Devils...Glory Glory Manchester
United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan