Aksi menentang Paris St
Germain dalam saingan Liga Juara-Juara yang dilangsungkan di Old Trafford pada
13 Februari lalu menyaksikan rekod 11 perlawanan tanpa kalah United di bawah
kendalian Ole Gunnar Solskjaer berakhir. Barisan The Red Devils ketika itu turun dengan keyakinan cukup tinggi
selepas mereka mencatatkan sepuluh kemenangan dan satu keputusan seri sejak
Solskjaer mengambilalih posisi pengendali dari Jose Mourinho pada pertengahan
Disember 2018.
Strategi yang digunakan
Thomas Tuchel ketika itu cukup mudah, iaitu mengarahkan Marquinhos membayangi
setiap pergerakan Paul Pogba. Akhirnya menerusi formasi 3-4-2-1 dan
disempurnakan pula menerusi peranan berkesan yang dimainkan Marquinhos di
bahagian tengah selaku `pembayang’ Pogba, PSG menamatkan rekod 11 perlawanan
tanpa kalah United dan membawa pulang bekalan dua gol ke Parc des Princes.
Bagaimanapun mereka gagal melangkah ke pusingan suku akhir selepas tewas 1-3
kepada United pada perlawanan kedua.
Sebelum aksi menentang PSG
itu, Pogba mencatatkan purata empat percubaan tepat serta melakukan purata 1.9 key passes dalam setiap perlawanan. Jadi
sudah tentu Tuchel sangat sedar bahawa Pogba adalah pemain kunci buat United
dan perlu dihentikan pergerakannya. Bagaimanapun sepanjang 90 minit aksi di Old
Trafford itu, Pogba hanya mampu melepaskan satu percubaan ke arah gawang lawan.
Kawalan ketat yang dilakukan Marquinhos ke atas Pogba menyaksikan United hilang
kreativiti serta visi di bahagian tengah sepanjang perlawanan.
Dua
Sisi Pogba
Keberkesanan strategi yang
digunakan Tuchel menerusi keberadaan Marquinhos (selaku pembayang Pogba)
membuktikan betapa pentingnya kelibat Pogba selaku penggerak jentera tengah
United. Sejak pulang semula ke Old Trafford tiga tahun lalu, Pogba memiliki dua
sisi berbeza ketika beliau menyarung seragam merah United dan biru skuad
kebangsaan Perancis. Menyertai semula United selepas empat tahun beliau
meninggalkan kelab sambil menyandang status selaku pemain termahal dunia, kehadiran
Pogba diharap mampu memberikan nafas baharu kepada jentera tengah The Red Devils pimpinan Mourinho.
Dengan adanya Zlatan
Ibrahimovic di hadapan serta ditambah pula dengan kreativiti Henrikh Mkhitaryan
di sisinya, Pogba berjaya membantu United menjulang tiga kejuaraan (Perisai
Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) pada musim pertama kepulangan semulanya
ke Old Trafford. `Treble kecil’ yang
berjaya beliau menangi itu satu permulaan bagus buat Pogba sebelum beliau
meneruskan hari-hari seterusnya sebagai tonggak United. Bagaimanapun perjalanan
karier Pogba selepas itu umpama drama sinetron. Penuh dengan konflik sambil
disulami adegan tawa dan tangis.
Penyokong-penyokong mula mengharapkan
akan ada banyak lagi trofi yang singgah di Old Trafford selepas kejayaan `treble kecil’ 2016 itu. United
menamatkan musim 2017-18 tanpa sebarang kejuaraan, tetapi berada di tangga
kedua carta liga serta mara ke pentas final Piala FA bukanlah sesuatu yang
terlalu buruk. Ketika kita mengharapkan United yang lebih berbisa pada musim
ketiga gandingan Pogba/Mourinho, hal sebaliknya pula berlaku. Kejayaan membantu
Perancis menjulang Piala Dunia buat kali kedua nampaknya gagal memotivasikan
Pogba dalam menghadapi musim baharu.
Dari prestasi umpama yoyo di
atas padang hinggalah kepada konflik yang tercetus membabitkan dirinya dengan
Mourinho, cerita tentang Pogba sentiasa menghiasi paparan utama akhbar. Konflik
Pogba/Mourinho akhirnya menyaksikan pengendali dari Portugal itu terpaksa
dikorbankan selepas prestasi buruk yang diharungi kelab sepanjang tempoh fasa
pertama saingan liga berlangsung. Kehadiran Solskjaer seolah-olah membawa sinar
baharu buat kelab dan Pogba antara pemain yang menerima impak paling kuat dari kehadiran
The Baby Faced Assassin.
United kembali bermain dengan
baik manakala penyokong pula terhibur dengan corak permainan menyerang yang
diterapkan Solskjaer. Di bahagian tengah, Pogba kembali memainkan peranannya
dengan berkesan selaku penggerak serangan United hingga menyaksikan barisan
Solskjaer merakamkan sebelas aksi tanpa kalah. Selaku pemenang medal Piala Dunia,
inilah sisi Pogba yang ingin dilihat penyokong-penyokong United tetapi hal tersebut
tidak kekal lama. Selepas membantu United mengharungi sebelas aksi tanpa kalah,
Pogba kembali menyajikan prestasi `yoyo’nya di atas padang.
Ketika menyarung jersi Les Bleus, Pogba adalah watak yang
sangat berbeza. Di bumi Russia, beliau antara senjata utama yang dipertaruhkan
Didier Deschamps hingga menyaksikan Perancis berjaya menjulang kejuaraan Piala
Dunia buat kali pertama selepas tempoh 20 tahun. Prestasi konsisten yang dipamerkan Pogba setiap kali beliau
menyarung jersi skuad kebangsaan itulah sebenarnya yang ingin dilihat
penyokong-penyokong United berbanding tarian-tarian pelik di tepi padang yang
dipertontonkannya setiap kali selepas beliau menjaringkan gol.
Isyarat
Ingin Pergi
Di Tokyo minggu lalu, Pogba
telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin mencari cabaran baharu musim
hadapan. Kenyataan itu boleh dianggap satu isyarat kuat bahawa Pogba tidak lagi
berminat menyarung jersi United. Sejak itu khabar angin juga semakin kuat
bertiup kencang tentang minat tinggi yang ditunjukkan Real Madrid bagi
mendapatkan tandatangan Pogba. Begitu juga tentang kemungkinan untuk Pogba
kembali beraksi di Serie A menerusi kepulangan semula ke pangkuan Juventus.
Selain Real dan Juve, satu
lagi destinasi yang mungkin bakal dituju Pogba ialah Parc des Princes.
Bagaimanapun peraturan Financial Fair
Play bakal menjadi penghalang utama
buat PSG berikutan tanda harga Pogba yang melebihi £100 juta. Di Santiago
Bernabeu, Pogba boleh menyertai skuad Galacticos
versi 3 yang sedang dibina Florentino Perez manakala kepulangan semula ke
Juventus bakal membantu ambisi Maurizio Sarri menjadikan skuad The Old Lady pencabar utama saingan Liga
Juara-Juara. Jadi yang mana satu pilihan Pogba?
Siapa
Pengganti Pogba?
Ketepikan sementara tentang
tanda harga sebenar yang bakal diletakkan United kepada mana-mana kelab yang
mahu mendapatkan tandatangan Pogba,
kerana persoalan paling besar ialah siapa pengganti paling sesuai untuk mengisi
posisi yang bakal ditinggalkan beliau. Melihat betapa perlahannya maneuver kelab dalam jendela perpindahan
kali ini, jangan berharap akan ada pemain setaraf yang mampu di bawa masuk
sebagai pengganti Pogba.
Sepanjang tiga musim beliau
di Old Trafford, Pogba memang pemain yang tidak konsisten. Di atas padang
beliau kadangkala lebih banyak berjalan selain kerap melakukan trick yang tidak perlu. Bagaimanapun
statistik Pogba lain pula ceritanya kerana di sebalik prestasi naik turun yang
dipamerkannya, beliau masih lagi salah seorang pemain terbaik yang ada dalam
kesebelasan Solskjaer. 13 gol yang dijaringkan beliau dalam saingan liga
menyaksikan Pogba muncul penjaring terbanyak United.
Tidak cukup dengan itu, Pogba
juga muncul pemain United paling banyak melakukan assist (9 assist), percubaan tepat (50 percubaan),
dribble success (60 kali), paling
kerap dikasari lawan (69 kali), paling kerap mencipta peluang (55 kali), paling
banyak memenangi perebutan bola (218 kali) dan paling banyak melakukan umpanan
di kawasan final third lawan (321
kali). Dengan segala catatan di atas, maka tidak hairanlah mengapa beliau
tersenarai dalam PFA Team of the Season
di sebalik dominasi pemain Manchester City dan Liverpool.
Di sebalik musim suram yang
dialami United, Pogba pula nampaknya masih mampu meletakkan dirinya dalam
kelompok antara pemain terbaik di Liga Perdana. Jadi bukan mudah untuk kelab
mencari pengganti setaraf jika Pogba akhirnya memilih jalan keluar nanti. Manchester Evening News dalam laporannya
menyenaraikan sepuluh pemain sebagai opsyen pengganti Pogba. Mereka ialah Youri
Tielemens, Wilfried Ndidi, Bruno Fernandes, Tanguy Ndombele, Christian Eriksen,
Adrien Rabiot, Donny van de Beek, Idrissa Gueye, Ivan Rakitic dan Sean
Logstaff.
Tielemens, Ndombele, Fernandes
dan Rabiot antara prospek menarik tetapi pastinya tanda harga yang bakal
diletakkan ke atas mereka juga bukanlah murah. Jika Solskjaer mahukan pemain
yang sudah biasa dengan sepak terajang Liga Perdana, beliau boleh mengarahkan
radar buruannya kepada Eriksen, Gueye dan Longstaff, manakala van de Beek pula
ialah pelaburan jangka panjang yang bagus menerusi prestasi terpuji dipamerkan
pemain berusia 21 tahun ini bersama Ajax Amsterdam musim lalu.
Kesimpulan
Mencari pemain kelas dunia
seperti Pogba sebagai pengganti bakal menjadi cabaran paling besar buat
Solskjaer musim panas ini. Meskipun pelbagai kritikan dilemparkan kepada
beliau, satu hakikat yang perlu kita akui ialah Pogba antara pemain terbaik
dimiliki United selain David De Gea. Namun sebagus manapun Pogba, sebarang
cubaan untuk mengekalkan beliau di Old Trafford tetap satu perjudian yang
besar.
Aksi yang dipamerkan Pogba
dalam beberapa perlawanan terakhir liga seolah-olah menunjukkan bahawa beliau
memang tidak lagi berminat menyarung jersi United. Kenyataan secara terbuka
yang dibuat beliau di Tokyo pula mengesahkan lagi bahawa Old Trafford sudah
tiada lagi di dalam hatinya. Apa yang perlu dilakukan United? Jawapannya
mudah...iaitu biarkan sahaja Pogba pergi kerana ini bukanlah kali pertama
beliau melakukannya.
Pada 2012, Pogba
menandatangani kontrak bersama Juventus tanpa pengetahuan kelab lantas menimbulkan
kemarahan Sir Alex Ferguson. “Pogba menandatangani kontrak bersama Juventus
tanpa pengetahuan kami. Perkara itu sangat mengecewakan kerana dia tidak
menunjukkan sedikit pun rasa hormat kepada kami. Saya senang kerana mereka
(Juventus) membawanya jauh dari kami”, kata Fergie dalam bukunya “Leading”.
Berbanding 2012, Pogba kini
antara nama besar dalam dunia bolasepak. Jadi sudah tentu pemergian beliau kali
ini (jika berlaku) bakal memberikan impak kepada perancangan Solskjaer. United
perlukan pemain berjiwa besar seperti Keano ataupun Scholesy, bukan `pemain
besar’ yang merasakan dirinya lebih besar berbanding kelab. Kali ini saya ingin
melihat kelab mana yang bakal membawa Pogba `pergi jauh dari kita’. Glory Glory
Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan