Sebagai penyokong Manchester
United saya tidak akan pernah `menyukai’ Liverpool. Jadi terus terang saya
katakan bahawa selepas melihat skuad The
Reds itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam, saya
sangat-sangat kecewa. Secara peribadi, saya memang mengharapkan agar Tottenham
Hotspurs keluar sebagai pemenang dalam aksi final yang dilangsungkan di Stadium
Wanda Metropolitano itu, tetapi takdir sudah menentukan bahawa Liverpool adalah
raja pentas Eropah musim ini.
Ketepikan tentang
`kemandulan’ 29 tahun mereka dalam menjulang trofi Liga Perdana, kerana pada
awal pagi 2 Jun lalu mereka melunaskannya dengan kejuaraan keenam trofi Liga
Juara-Juara dalam sejarah kelab dari Merseyside itu. Kejayaan mereka menewaskan
Spurs dalam aksi final itu bagaikan tamparan hebat ke muka saya, apatah lagi
selepas melihat pencapaian United yang sekadar berada di posisi keenam liga
sekaligus gagal beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.
Sangat menyedihkan apabila
kota Manchester kini sudah dikuasai oleh warna biru berikutan kejayaan
Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana buat musim kedua
berturut-turut. Dan luka penyokong-penyokong United bertambah parah apabila
mereka menyaksikan pula bagaimana Jordan Henderson menyamai pencapaian Emlyn
Hughes, Phil Thompson, Graeme Souness dan Steven Gerrard selaku kapten The Reds yang pernah merasai nikmat
menjulang trofi saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.
United
Yang Jauh Ketinggalan
Saya pasti tiada seorang pun
di antara kita (penyokong-penyokong United) yang mahu melihat `rival abadi’ seperti Liverpool berada di
hadapan kita dan melihat bagaimana girangnya Henderson menjulang trofi Liga
Juara-Juara adalah satu kelukaan yang dahsyat. Sir Matt Busby sentiasa memiliki
cara bagaimana beliau mahu mengatasi cabaran yang dilontarkan Bill Shankly dan
skuad bimbingannya. Begitu juga bagaimana perkasanya Sir Alex Ferguson memacu
barisan pemainnya ketika menidakkan `ngauman’ Gerard Houllier serta Rafa
Benitez.
Namun ketika ini United
seolah-olah sekadar melihat pesaing-pesaing yang lain seperti Liverpool
mengorak langkah lebih jauh meninggalkan mereka. Jika Ole Gunnar Solskjaer
berhasrat mahu menjadikan United sebagai pencabar yang jauh lebih serius
berbanding musim lalu, beliau sepatutnya menjadikan apa yang dilakukan oleh
Jurgen Klopp sepanjang empat musim beliau di Anfield sebagai model pelajaran terbaik.
Atau lebih tepatnya, pencapaian Liverpool musim ini bukan sekadar patut dicemburui
tetapi boleh dijadikan motivasi untuk Solskjaer mengemudi kebangkitan semula
United.
Perlukan
Kesabaran
Untuk melihat United kembali
bangkit ke zaman kegemilangan mereka perlukan proses yang panjang serta
kesabaran tinggi baik dari pihak pengurusan mahupun penyokong. Itulah yang
berlaku di Anfield hinggakan musim ini Liverpool hampir sahaja menamatkan
kemarau 29 tahun kejuaraan liga serta menjulang trofi Liga Juara-Juara buat
kali keenam. Kuasa penyokong juga menyaksikan regim George Gillet dan Tom Hicks
akhirnya berjaya diruntuhkan hingga memaksa mereka menjual semua kepentingan
kepada Fenway Sports Group yang diketuai John W Henry.
Di tangan Henry, Liverpool
secara perlahan-lahan mula bangkit dari lena yang panjang. Tidak seperti
sebelumnya, mereka mula merekrut pemain yang difikirkan memiliki kemampuan
untuk beradaptasi dengan plan taktikal pasukan. Dan paling penting mereka juga akhirnya
berjaya memilih seorang individu yang tepat untuk diletakkan di kerusi panas
selaku pengurus menerusi kehadiran Jurgen Klopp. Klopp secara perlahan-lahan
mula mencetuskan impak kehadirannya di Anfield menerusi kejayaan mengemudi The Reds mara ke pentas akhir Liga Europa
pada 2016 (mereka tewas 1-3 kepada Sevilla).
Pada tahun yang sama juga
(2016), Liverpool mara ke pentas akhir Piala Liga namun hajat Klopp menjulang
trofi pertamanya selaku pengurus Liverpool dinafikan Manchester City yang
menang menerusi penentuan sepakan penalti. Pada musim 2017/18, Klopp sekali
lagi berjaya mengemudi Liverpool mara ke pentas akhir, kali ini dalam saingan
yang lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara. Kecederaan yang dialami Mohammad
Salah diminit ke-31 selain kesilapan persis pemain amatur yang dilakukan Loris
Karius di gawang mereka menyaksikan Liverpool sekali lagi kempunan selepas
tewas 1-3 kepada Real Madrid.
Percaturan
Tepat
Siapa sangka pemain seperti
Sadio Mane, Mohammad Salah, Georginio Wijnaldum dan Roberto Firmino kini muncul
antara tonggak penting di Anfield meskipun mereka direkrut dari kelab-kelab
kelas pertengahan. Paling mencuri tumpuan ialah melihat bagaimana Klopp berjaya
menggilap potensi Mo Salah hinggakan bintang antarabangsa Mesir itu muncul
pemain yang jauh lebih bagus selepas beliau kembali semula ke kancah saingan
Liga Perdana pada 2016.
Selepas Mane, Firmino,
Wijnaldum dan Salah, Liverpool sekali lagi melakukan pembelian bijak menerusi
pelaburan yang dilakukan mereka ke atas Virgil Van Dijk musim lalu. £75 juta
yang dibelanjakan mereka demi mendapatkan tandatangan bekas pertahanan
Southampton itu nyata berbaloi apabila Van Dijk memainkan peranan penting di
benteng pertahanan The Reds hingga
menyaksikan mereka muncul pasukan paling kurang dibolosi dalam saingan Liga
Perdana musim lalu.
Jangan lupakan juga
keberadaan Alisson Becker di gawang The
Reds yang akhirnya melengkapkan `puzzle’
di sektor barisan belakang mereka. Sepanjang empat musim Klopp di Anfield,
hanya sembilan pemain dari era Kenny Dalglish dan Brendan Rodgers yang masih
kekal dalam pasukan. Bandingkan pula situasi Jose Mourinho pada musim terakhirnya
di Old Trafford di mana beliau memiliki 13 pemain yang direkrut ketika era Sir
Alex Ferguson, David Moyes dan Louis Van Gaal.
Visi
Yang Hilang
Kejayaan Liverpool menjulang
trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam pastinya bakal menjadikan mereka lebih
bernafsu dalam misi menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga di Anfield.
Klopp sudah memiliki aset yang lengkap dalam skuadnya, bermula dari benteng
pertahanan hinggalah ke barisan hadapan. Saya yakin musim hadapan mereka bakal
lebih digeruni selaku pencabar kejuaraan Liga Perdana.
Di Old Trafford pula situasi
sebaliknya terpaksa dihadapi Solskjaer bilamana beliau terpaksa bekerja keras
membina semula United `yang sudah runtuh’. Dalam tempoh lima tahun terakhir,
United seolah-olah sudah kehilangan visi dan falsafah mereka. Meskipun memiliki
sokongan kewangan yang kuat, United tidak memiliki asas kukuh dalam skuad
mereka sepertimana yang dimiliki Tottenham Hotspurs, Manchester City dan
Liverpool.
Yang dimiliki Solskjaer
cumalah pemain-pemain usang seperti Phil Jones, Chris Smalling dan Ashley Young
peninggalan dari era Fergie manakala nama-nama seperti Paul Pogba, Marcus
Rashford, Jesse Lingard, Romelu Lukaku, Fred dan Anthony Martial masih gagal
menyerlah. Musim panas ini bakal menjadi tempoh yang sangat kritikal buat United
kerana penyokong mahu melihat maneuver
mereka dalam usaha mendapatkan pemain-pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.
Misi
Membangkitkan`Setan Merah’ Yang Masih
Tidur
Tatkala United berdepan musim
serba suram, hati penyokong-penyokong mereka diubati dengan aksi Treble Reunion yang dilangsungkan pada 27
Mei lalu. Aksi membabitkan skuad musim 1998/99 United menentang kesebelasan
pilihan Bayern Munich itu diadakan bagi memperingati tempoh 20 tahun kejayaan gemilang
kelab menjulang kejuaraan treble.
Menyaksikan lagenda-lagenda
United seperti David Beckham, Jaap Stam, Gary Neville, Peter Schmeichel, Paul
Scholes, Dwight Yorke dan Andy Cole kembali beraksi di atas padang memang
mengasyikkan. Terus terang saya katakan bahawa meskipun ia cuma perlawanan
pertunjukkan, semangat menyaksikan lagenda-lagenda United itu kembali menendang
bola meresap hingga ke tulang sum-sum berbanding melihat Jesse Lingard atau
Marcus Rashford bermain.
Aksi Treble Reunion itu memang mengundang seribu nostalgia tetapi dalam
masa yang sama juga menimbulkan persoalan adakah United mampu bangkit
mengulangi pencapaian gemilang yang dilakukan oleh skuad Treble 99 itu di masa
hadapan? Tatkala `Sang Burung’ sudah terbang tinggi, si `Setan Merah’ pula nampaknya
masih terlena sambil dibuai nostalgia kegemilangan silam. Kejayaan Liverpool bukan
sahaja wajar dicemburui tetapi perlu juga dicontohi meskipun pahit untuk
ditelan. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar
Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan