20 Jun 2019

SUKARNYA MENGGANTIKAN FERGIE



Dalam satu wawancara dengan BBC empat tahun lalu, Sandy Busby mengatakan bahawa, “Jika Tuhan turun ke bumi dan duduk disebelahnya, Ferguson akan mengatakan kepada Tuhan apa yang sepatutnya Tuhan lakukan”. Sebagai seorang yang beragama Islam, sudah tentu saya tidak boleh bersetuju dengan apa yang dikatakan anak perempuan Sir Matt Busby itu walaupun saya penyokong Manchester United. Bagaimanapun dari perspektif berbeza, apa yang dikatakan Sandy itu menggambarkan betapa besar dan pentingnya batang tubuh bernama Sir Alexander Chapman Ferguson itu kepada United.

Apa tidaknya kerana selepas enam tahun Fergie mengosongkan pejabatnya di Carrington, ramai diantara kita masih belum mampu move on dan sering membandingkan pencapaian lagenda hidup United itu dengan para penggantinya. Pencapaian Fergie memang mengagumkan meskipun di awal kehadiran beliau selaku pengurus di Old Trafford, Fergie perlukan tempoh selama empat tahun untuk menghadiahkan trofi pertama kepada United. 38 kejuaraan sepanjang tempoh 26 tahun beliau mengemudi United merupakan satu tanda aras yang pastinya `hampir mustahil’ untuk disamai, apatah lagi diatasi oleh mana-mana pengganti beliau.

David Moyes hanya mampu bertahan selama 11 bulan sebelum dipecat manakala Louis Van Gaal pula gagal menghabiskan kontrak tiga tahunnya walaupun berjaya mengemudi kelab memenangi kejuaraan Piala FA buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun. Nasib sama turut menimpa Jose Mourinho walaupun beliau datang ke Old Trafford dengan reputasi selaku pengurus yang pernah memenangi tiga medal kejuaraan Liga Perdana, Liga Juara-Juara selain pernah memenangi kejuaraan liga di Sepanyol, Itali dan Portugal. Gelaran The Special One nampaknya tidak membawa apa-apa makna apabila Mourinho dipecat selepas mengharungi tempoh dua tahun setengah sebagai pengurus United.

Betapa Sukarnya Menggantikan Fergie

Selepas enam tahun Fergie bersara, United terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran serta konflik meskipun di era Mourinho beliau berjaya menambah tiga kejuaraan (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) ke dalam kabinet trofi di Old Trafford. Prestasi buruk yang dipamerkan barisan The Red Devils musim lalu seolah-olah memberikan isyarat jelas kepada penyokong bahawa mereka perlu bersedia untuk melihat Old Trafford dilanda kemarau kejuaraan yang panjang.

Pada 2010, David Gill yang juga merupakan bekas Ketua Eksekutif Manchester United meramalkan bahawa kelab bakal berdepan kesukaran dalam proses transisi mereka jika Fergie bersara. Namun saya yakin ketika itu Gill sendiri tidak pernah terfikir bahawa situasi akan menjadi sebegini buruk. Dalam sebuah wawancara dengan media di Amerika Syarikat, Gill mengatakan bahawa pengganti Fergie nanti tidak boleh membuang begitu sahaja warisan yang ditinggalkan lagenda dari Scotland itu.

Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku pada 2013 apabila David Moyes melakukan `pembersihan’ dengan membawa masuk pasukannya sendiri bagi menggantikan staf kejurulatihan era Fergie. Paling mengejutkan apabila individu seperti Mike Phelan yang sangat berpengalaman dan selama bertahun-tahun memainkan peranan sebagai `tangan kanan’ Fergie turut tersingkir. Akibat dari keangkuhan sendiri, Moyes akhirnya ditunjukkan jalan keluar meskipun kontraknya masih berbaki empat tahun.

Selepas Moyes ditimpa aib, datang pula Louis Van Gaal dalam misinya untuk cuba menyelamatkan United. Berbekalkan reputasi silam serta persembahan terpuji yang dipamerkan skuad kebangsaan Belanda bimbingan beliau di bumi Brazil dalam kejohanan Piala Dunia, Van Gaal diharap mampu meneruskan legasi gemilang yang ditinggalkan Fergie. Van Gaal datang ke Old Trafford  bukan sekadar membawa track record cemerlang beliau selaku pengendali berprofil tinggi tetapi karakter warga Belanda itu turut dikatakan mirip Fergie.

Berpaksikan kepada falsafah possession football yang dianutinya, Van Gaal cuba membentuk gaya permainan United mengikut acuan beliau sendiri. Musim pertamanya di Old Trafford, Van Gaal berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga keempat, lantas membolehkan mereka beraksi semula di saingan Liga Juara-Juara (2015-16). Pada musim kedua Van Gaal pula, United menamatkan saingan liga di posisi kelima manakala misi mereka di Liga Juara-Juara sekadar berakhir di peringkat kumpulan.

Akhirnya sumpahan yang melanda Moyes menimpa pula Van Gaal dan meskipun United menamatkan musim 2016-17 dengan kejayaan menjulang Piala FA, Van Gaal mendapati khidmatnya tidak lagi diperlukan di Old Trafford. Pengganti selepas itu tidak kurang hebatnya kerana Jose Mourinho juga bukanlah calang-calang pengurus. Pencapaian Mourinho tidak perlu diperdebatkan lagi meskipun label `pragmatik’ sangat sinonim dengan dirinya. Selamat tinggal kepada era possession football kerana United kini menuju ke era `park the bus’ pula.

The Special One menamatkan musim pertamanya di Old Trafford dengan cukup indah menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena. Dua lagi trofi yang dimenangi iaitu Perisai Komuniti dan Piala Liga boleh dianggap pelengkap kepada kejayaan `treble kecil’ musim tersebut. Musim ketiga tidak berjalan mulus buat Mourinho apabila `pemberontakan dalaman’ oleh pemain hingga menjejaskan penampilan United di atas padang menyebabkan beliau menjadi korban ketiga pemecatan pasca persaraan Fergie.

Mencari Pengganti Ideal

Hampir mustahil jika anda mengharapkan agar United meletakkan seorang individu seperti Fergie di kerusi pengurus. Dalam hal taktikal permainan di atas padang, Fergie memang sangat berjaya ketika zamannya sebagai pengurus. Bolasepak ketika era perseteruan Fergie/Wenger memuncak tidaklah sekompleks seperti sekarang. Atau dalam erti kata lain, Fergie memang dilahirkan untuk zamannya. Jadi tidak hairanlah mengapa ketika era Fergie anda jarang melihat United bermain dengan corak permainan yang kompleks.

Permainan United ketika itu sangat mudah iaitu mengerahkan segala kekuatan mereka ketika menyerang hingga keminit terakhir atau menghukum kealpaan lawan menerusi taktik serang balas pantas. Di era Fergie beliau berjaya membentuk segerombolan lelaki yang rela `mati’ di atas padang demi sebuah kemenangan. Dalam skuad Fergie tiada istilah tonggak pasukan, yang ada hanyalah mereka yang sanggup bekerja demi kejayaan pasukan. Apakah agaknya nasib pemain seperti Paul Pogba jika Fergie masih duduk di kerusi pengurus United ketika ini?

Apa yang perlu dilakukan United bukanlah mencari sosok seperti Fergie di kerusi pengurus, kerana itu adalah satu tugas yang mustahil kerana Fergie memang tiada duanya. Yang perlu mereka lakukan ialah mencari pengurus yang boleh memberikan kejuaran demi kejuaraan kepada kelab. United pernah melepaskan peluang mendapatkan Pep Guardiola ketika mereka lebih memilih David Moyes sebaik Fergie mengosongkan pejabatnya. Idea bolasepak Pep memang berlawanan dengan Fergie tetapi lihatlah apa yang Manchester City perolehi sekarang.

Tiada Lagi Istilah Jangka Panjang

Dalam era bolasepak moden, tiada lagi istilah jangka panjang untuk seorang pengurus. Mungkin istilah tersebut sesuai digunakan untuk kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga tetapi bukan kelab seperti Manchester United. Hentikan obsesi terhadap pengurus jangka panjang kerana industri bolasepak sekarang menuntut keputusan segera demi keuntungan kelab.

Musim hadapan United bakal kehilangan pendapatan sebanyak £50 juta gara-gara kegagalan mereka layak beraksi di saingan Liga Juara-Juara. Menurut kenyataan Cliff Baty yang juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan United, kelab akan menjana pendapatan sehingga £50 juta jika beraksi di Liga Juara-Juara manakala Liga Europa pula sekadar memberi pulangan sekitar £15 ke £20 juta.

Fergie sangat beruntung kerana beliau dilantik sebagai pengurus United pada 1986, bukan pada 2016. Meskipun berdepan detik sukar sepanjang tempoh empat tahun pertamanya di Old Trafford selain prestasi pasukan bak roller coaster, pihak pengurusan kelab dan penyokong ketika itu masih mampu bersabar. Jika situasi seperti itu berlaku sekarang, saya yakin Fergie akan menerima nasib yang sama seperti dialami Moyes, Van Gaal dan Mourinho.

Nasib Solskjaer

Selepas Moyes, Van Gaal dan Mourinho, kini tiba pula giliran Ole Gunnar Solskjaer untuk mencuba nasib. United menamatkan saingan liga di posisi keenam musim lalu namun tidak adil untuk menilai prestasi beliau selaku pengendali kerana Solskjaer hanya tiba di Old Trafford setelah liga berlangsung selama setengah musim. Jika Solskjaer gagal meletakkan United sebagai antara pesaing serius merebut kejuaraan liga, anda sudah pasti tahu nasib yang bakal menimpa The Baby Faced Assassin itu.

Situasi buruk yang menimpa United ketika ini bukanlah pertama kali berlaku selepas mereka ditinggalkan oleh seorang pengurus jangka panjang. 50 tahun lalu mereka berdepan situasi sama pasca persaraan Sit Matt Busby. Sepertimana Fergie, Busby juga menangani United selama lebih dua dekad (1945-1969). Saat Busby memutuskan untuk berundur, Wilf McGuiness, Frank O Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson silih berganti cuba mengembalikan jejak gemilang yang ditinggalkan beliau.

Namun kemudiannya hanya Fergie yang sukses membangkitkan semula sang gergasi dari lena yang panjang. Itu pun selepas beliau bergelut selama empat tahun sebelum trofi pertama hadir menerusi kejayaan menjulang Piala FA pada 1990. Gol tunggal perlawanan hasil ledakan kaki kanan Lee Martin ke gawang Crystal Palace pada aksi ulangan di Wembley itu akhirnya menjadi pertanda bahawa akan ada banyak lagi trofi yang bakal menyusul ke Old Trafford di era Fergie.

 Tiga pengurus sudah ditendang keluar dalam tempoh enam tahun sejak persaraan Fergie, dan semoga nasib sama tidak menimpa Solskjaer. Untuk musim hadapan, letakkan sahaja segenap kepercayaan kepada Solskjaer, sambil dalam masa yang sama kita perlu menerima hakikat betapa sukarnya mencari pengganti yang ideal untuk seorang yang bernama Fergie. Atau tidak keterlaluankah jika saya katakan bahawa tugas menggantikan Fergie antara tugas paling sukar di dunia? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan