Anda
boleh labelkan ia sebagai `pembelian panik’, atau mungkin juga sebagai satu
lagi gambaran betapa teruknya perancangan United di pasaran perpindahan pemain.
Ketika ramai penyokong-penyokong United mendambakan ada penyerang berprofil
tinggi yang bakal dibawa masuk bagi menampung ketiadaan Marcus Rashford, kelab
pula sebaliknya memilih Odion Ighalo, penyerang berusia 30 tahun yang kali
terakhir beraksi di Liga Perdana untuk Watford pada 2017.
Saya
percaya, Ighalo sendiri mungkin tidak percaya bahawa United melakukan pencarian
jauh hingga ke Asia Timur bagi mencari pengganti sementara Rashford di barisan
hadapan mereka. Dan saya juga percaya bahawa Ighalo juga mungkin tidak pernah
terfikir bahawa beliau akan kembali ke Liga Perdana, serta diberikan pula
peluang untuk beraksi bersama kelab seperti Manchester United selepas lebih dua
tahun membawa diri ke China.
Meskipun
hanya diberikan kontrak singkat, perpindahan sementara Ighalo dari Shanghai ke
Old Trafford memang benar-benar mengejutkan ramai pihak. Bukan sahaja
penyokong-penyokong kehairanan dengan keputusan yang sangat mengejutkan itu, malah
ia turut mengundang kritikan tajam dan pedas dari Gary Neville yang melabelkan
keputusan itu sebagai gambaran “betapa teruknya perancangan United” di bursa
perpindahan kali ini.
Tanpa
memperkecilkan kebolehan Ighalo, Gary sebaliknya mengatakan bahawa United
seolah-olah tidak pernah merancang mencari pengganti Romelu Lukaku meskipun
mereka tahu bahawa penyerang antarabangsa Belgium itu sudah meluahkan
keinginannya untuk berhijrah sejak bulan Februari tahun lalu lagi. Menurut
Gary, United memiliki tempoh masa selama sembilan bulan untuk mencari dan
membawa masuk seorang penyerang dengan kontrak tetap, bukan melakukan tindakan
terdesak seperti ini.
Selamat
Kembali
Walaupun
ramai pihak yang sedikit sinikal dengan keputusan kelab mendapatkan khidmat
Ighalo, saya pula sebagai penyokong United cuma berharap agar penyerang
antarabangsa Nigeria ini mampu `memberikan sesuatu’ sepanjang khidmat jangka
pendeknya di Old Trafford nanti. Kedatangan Ighalo diharap mampu memberikan
suntikan tambahan kepada jentera serangan United tatkala kritikan bertali arus
terus ditujukan kepada prestasi semasa yang dipamerkan Anthony Martial.
Melihat
kepada beberapa penampilan terakhir Martial selaku pengempur utama berikutan
ketiadaan Rashford, Solskjaer jelas perlukan seorang penyerang yang mampu
membuatkan barisan pertahanan lawan bekerja lebih keras. Jadi atas sebab itulah
mengapa beliau memilih Ighalo. Bagi Ighalo pula, kesempatan ini tidak boleh
dipersiakan begitu sahaja kerana beliau sebenarnya sudah menunggu hampir hampir
empat tahun untuk merealisasikan impiannya menyarung jersi United.
Pada
2016, United dikatakan berminat mendapatkan khidmat Ighalo dari Watford.
Menurut laporan The Sunday Times ketika itu, United sudah menyediakan
dana sebanyak £35 juta untuk membolehkan mereka mendaratkan pemain itu ke Old
Trafford. Bagi seorang pemain yang berjaya menjaringkan 13 gol untuk Watford
sepanjang fasa pertama liga berlangsung (musim 2015/16), Ighalo dilihat sebagai
calon penyerang yang berpotensi untuk memberikan nafas baharu kepada jentera
serangan United ketika itu.
Musim
2015/16 merupakan antara musim paling sukar buat United yang ketika itu dibawah
kendalian Louis Van Gaal. Meskipun memiliki beberapa pemain berbakat besar di
barisan hadapan seperti Memphis Depay, James Wilson, Anthony Martial dan
dibantu pula dengan keberadaan pemain penuh pengalaman seperti Wayne Rooney,
United sebaliknya berdepan isu produktiviti di barisan hadapan. Betapa
tumpulnya jentera serangan mereka diperlihatkan menerusi jumlah 22 gol yang
dihasilkan sepanjang setengah musim liga berlangsung.
Tambah
memeningkan kepala Van Gaal, United juga mencatatkan rekod kelab apabila mereka
gagal menjaringkan sebarang gol di babak pertama dalam tujuh aksi
berturut-turut yang dilangsungkan di gelanggang sendiri. Atas sebab inilah
mengapa Louis Van Gaal memerlukan tambahan penyerang baharu ketika jendela
perpindahan pertengahan musim dibuka. Di Vicarage Road pula, Ighalo sedang
menikmati bulan terbaiknya bersama Watford apabila beliau menjaringkan liga gol
dari lima penampilan liga sepanjang bulan Disember 2015.
Bagaimanapun
impian Van Gaal tidak tercapai apabila Watford enggan melepaskan antara pemain
terbaik mereka ketika itu. Bukanlah satu tugas yang mudah untuk United memaksa
Quique Sanchez Flores melepaskan penyerang handalannya itu, tatkala Watford
sendiri sedang berjuang untuk berada di posisi tujuh teratas bagi membolehkan
mereka beraksi di pentas Eropah. “Sukar untuk Ighalo meninggalkan kelab di
pertengahan musim. Dia merupakan pemain penting dan satu kebanggaan bila ada
kelab besar yang mahukan khidmatnya”, kata Sanchez Flores.
Jalan
Buat Rashford
Kegagalan
Van Gaal mendapatkan Ighalo akhirnya membuka jalan buat Marcus Rashford
memperagakan bakatnya. Ketumpulan jentera serangan dan kegagalan mendapatkan
penyerang baharu memaksa Van Gaal meninjau bakat yang ada di dalam akademi
kelab. Akhirnya peluang diberikan Van Gaal untuk Rashford tampil bersama skuad
senior. Perjudian Van Gaal berhasil apabila sepertimana yang anda lihat,
Rashford akhirnya berkembang dari tahun ke tahun untuk muncul sebagai penyerang
unggul di Old Trafford.
Di
Vicarage Road pula, prestasi Igahlo tiba-tiba merosot sebaik tibanya tahun
baharu 2016. Selepas meledak gawang
Newcastle United pada 23 Januari, Ighalo gagal meletakkan namanya selaku
penjaring gol dalam 12 perlawanan berturut-turut. Sepanjang tempoh dari 23 Januari 2016 hingga
23 Januari 2017 pula, beliau cuma mampu menjaringkan tiga gol dari 33
penampilannya di Liga Perdana. Akhirnya pada 31 Januari 2017, Ighalo menyertai
kelab Liga Super China, Changchun Yatai menerusi nilai perpindahan sebanyak £20
juta.
Ancaman
Buat Martial
Siapakah
pemain yang bakal terancam posisinya dalam skuad Solskjaer selepas kedatangan
Ighalo? Jawapannya siapa lagi jika bukan Anthony Martial. Prestasi buruk yang
dipamerkan warga Perancis itu sejak kebelakangan ini, hinggakan beliau dilabel
Paul Ince umpama `pemain air tin’ sangat meresahkan penyokong-penyokong. Aksi
menentang Wolverhampton Wanderers minggu lalu sekali lagi mendedahkan
kepincangan Martial tatkala harapan tinggi diletakkan dibahunya selaku
penyerang utama United sepanjang ketiadaan Rashford.
Gaya
permainan Ighalo yang berani melakukan duel secara terbuka dengan
mana-mana pemain pertahanan lawan bakal menjadi nilai tambah untuk Solskjaer
mempertimbangkan posisinya selaku penggempur utama. Berbanding Martial yang
lebih gemar bergerak dari sebelah sisi, United pula sememangnya perlukan
seorang penyerang yang mampu mengawal bola di posisi lebih central.
Itulah sebenarnya yang mampu ditawarkan Ighalo kerana selain memiliki kekuatan
fizikal, beliau juga dianugerahkan dengan teknik permainan yang bagus.
Bagaimanapun
apa yang sedikit membimbangkan ketika ini ialah tentang isu konsistensi pemain
itu. Menurut Neil Warnock yang juga merupakan bekas pengendali Crystal Palace
dan Cardiff City, Ighalo bukanlah pemain yang tepat untuk United bawa masuk
bagi menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan mereka. Dari sumber
Goal, Warnock berpendapat United sepatutnya menandatangani Danny Ings
berbanding Ighalo. “Dia (Ighalo) tidak konsisten dan bukan pemain yang tepat.
Mereka perlukan pemain lebih muda jadi mengapa mereka tidak dapatkan Danny
Ings?”, kata Warnock
Penutup
Apapun
alasannya dan apapun pandangan pelbagai pihak tentang keputusan kelab
mendapatkan khidmat Ighalo, sebagai penyokong saya cuma berharap kehadiran
pemain ini mampu memberikan `nafas baharu’ kepada jentera serangan United serta
cabaran buat Martial untuk memperbaiki prestasinya. Adakah Ighalo mampu
memberikan impak sepertimana yang pernah diberikan Eric Cantona dahulu? Saya
fikir pandangan dari Mark Bosnich ini agak berlebihan.
Cantona
adalah pemain istimewa dan impak yang diberikan beliau selepas kehadirannya
dari Leeds United pada 1992 satu fenomena yang sangat luar biasa ketika itu.
Saya tidak fikir Ighalo mampu menjadi seperti Cantona, tetapi cukuplah sekadar
jika beliau mampu memberikan impak sepertimana yang pernah diberikan Henrik
Larsson sepanjang tempoh 3 bulan legenda Sweden itu mengabdi diri selaku pemain
pinjaman di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan