Ketika ini penyokong Manchester
United boleh dikatakan terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok mahukan Ole
Gunnar Solskjaer terus menerajui pasukan dan satu lagi kelompok pula aktif
melancarkan kempen #OleOut di media-media sosial. Bagaimanapun jika bercakap
tentang Jesse Lingard, dua kelompok ini akan senada dan sepakat iaitu mereka
mahukan Lingard segera dijual. Jika dua atau tiga musim sebelum itu Lingard
antara pemain yang cukup menyerlah dalam kem United, kini prestasi pemain berusia
27 tahun itu menjadi bahan candaan penyokong-penyokong United sendiri.
Sembilan tahun yang lalu,
Lingard sering sahaja dicanangkan antara pemain muda United yang memiliki
potensi besar untuk menyerlah suatu hari nanti. Tiada salahnya untuk melabel beliau
sebagai `bintang masa depan’ United, kerana potensi Lingard sangat besar pada
masa itu, terutamanya selepas beliau muncul antara pemain muda paling menyerlah
di sebalik kejayaan skuad remaja United menjulang trofi FA Youth Cup bagi musim 2010/11. Bagaimanapun
malangnya potensi Lingard yang berapi-api ketika zaman remajanya kini kian
malap seiring dengan peningkatan usianya.
Pada usia 27 tahun, Lingard
sepatutnya sedang menikmati zaman kemuncak sebagai pemain. Tetapi malangnya,
ketika pemain yang lebih muda dari beliau seperti Mason Greenwood, Scott
McTominay, Daniel James dan Marcus Rashford semakin menyerlah dari hari ke
hari, Lingard pula rupa-rupanya tidak menjaringkan sebarang gol dan tidak
menyumbang sebarang bantuan gol selama lebih setahun dalam saingan liga. Kemuncak
kemarahan dan kebencian penyokong-penyokong United terhadap Lingard berlaku
ketika aksi menentang Watford pada 22 Disember tahun lalu.
United tewas (0-2) dalam
perlawanan yang dilangsungkan di Vicarage Road itu, manakala Solskjaer pula
melabel persembahan para pemainnya sebagai yang terburuk pernah beliau saksikan
sejak ketibaannya di Old Trafford pada Disember 2018. Paling mencuri tumpuan
sudah tentu aksi Lingard yang mencetuskan api kemarahan penyokong-penyokong
United. Dalam situasi berdepan satu lawan satu dengan Ben Foster, dan ruang
yang sudahpun terbuka lebar, Lingard pula sebaliknya memilih melakukan chip
yang akhirnya menyaksikan bola melambung melepasi palang gol.
Kian Tersisih
Statistik Lingard dalam tempoh
setahun sepatutnya mula menyedarkan Solskjaer bahawa sudah tiba masanya untuk
beliau merehatkan pemain itu dari kesebelasan utamanya. Posisi Lingard dalam
skuad kebangsaan juga sudah lama hilang kerana Gareth Southgate memiliki
pilihan yang lebih baik menerusi kehadiran James Maddison, Jack Grealish dan
Mason Mount. Berbanding situasi beliau bersama skuad kebangsaan, di peringkat
kelab Lingard pula nampaknya masih menerima sokongan penuh dari Solskjaer.
“Kami ingin dia kembali seperti
sebelumnya iaitu menjaringkan gol dan melakukan assist. Dia memang
memiliki karakter yang ceria dan lincah, malah pemicu yang hebat ketika kami
berada dalam tekanan. Lagipun aktiviti dia di media sosial tidak lagi serancak
dahulu. Saya kenal dia selama bertahun-tahun dan sekarang inilah Jesse Lingard
sebenar yang saya kenal”, kata Solskjaer dalam sidang media sebelum aksi
pusingan pertama separuh akhir Piala Liga menentang Manchester City. Selaku
pengurus memang wajar Solskjaer melindungi pemainnya, jadi apa yang beliau
katakan tentang Lingard bukanlah sesuatu yang terlalu pelik.
Pemain yang memiliki mobiliti
tinggi seperti Lingard sebenarnya sangat sesuai dalam melaksanakan pendekatan
permainan Solskjaer yang menuntut para pemainnya untuk banyak berlari dan
bergerak. Bagaimanapun untuk mengatakan bahawa Lingard memainkan peranan
penting dalam skema permainan Solskjaer hanya disebabkan mobiliti tinggi beliau
adalah agak tidak adil untuk pemain lain. Sebagai pemain yang beraksi di
barisan hadapan, kreativiti dan visi permainan Lingard dituntut agar lebih
tajam. Tetapi lihatlah statistik dan sumbangan beliau dalam saingan liga
sepanjang tempoh lebih setahun…tiada jaringan dan tiada bantuan gol.
Idea Mengarut
Empat tahun lalu, Lingard
adalah antara pemain United paling menyerlah, baik ketika kelab dikendalikan
oleh Louis Van Gaal atau Jose Mourinho. Dan empat tahun lalu juga pastinya
Lingard tidak akan pernah menyangka bahawa kini beliau mula di rumours-kan
bakal dilepaskan ke Leicester City pada penghujung musim nanti. Dan pastinya
juga Lingard tidak akan menyangka bahawa dirinya akan dijadikan sebahagian dari
kesepakatan pertukaran untuk United mendapatkan tandatangan James Maddison.
Jika empat tahun lalu idea
untuk menjual Lingard kepada kelab seperti Leicester City muncul, pastinya
ramai penyokong-penyokong United menganggap ia sebagai idea yang sungguh
mengarut. Bagaimanapun idea tersebut muncul selepas empat tahun, dan jika benar
rumours perpindahan Lingard ini menjadi kenyataan, penyokong-penyokong
United pastinya akan bersorak gembira melihat pemain yang sering dijadikan bahan
jenaka itu pergi meninggalkan kelab.
Detik Sukar
Tiada mana-mana kelab selain
United yang masih memberikan peluang kepada seorang pemain di barisan hadapan
terus bermain, meskipun dia gagal menjaringkan sebarang gol dan menyumbang
sebarang bantuan gol selama lebih setahun. Kali terakhir Lingard menyumbangkan
gol untuk United dalam saingan liga ialah pada 23 Disember 2018. Ketika itu
beliau menjaringkan dua gol ke gawang Cardiff City dalam aksi yang
dilangsungkan di gelanggang lawan.
Sepanjang aksi liga pada bulan
Disember 2018, Lingard antara pemain hadapan United paling cemerlang menerusi
empat gol yang diledak beliau ke gawang lawan. Satu gol dijaringkan beliau ke
gawang Arsenal dan Liverpool manakala dua lagi gol diledak beliau ke gawang
Cardiff City. Pada Disember 2018, Lingard memang jelas berada dalam kelas
tersendiri, hingga menyebabkan timbulnya khabar angin tentang minat Real Madrid
untuk membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu.
Dikaitkan dengan projek
Galatico baharu di Bernabeu tentunya merupakan satu dimensi baharu dalam karier
Lingard. Bukan calang-calang pemain berpeluang dikaitkan dengan perpindahan ke
Real Madrid, jadi rumour yang bertiup kencang ketika itu saya anggap
satu penghormatan untuk beliau. Bagaimanapun selepas itu prestasi Lingard jatuh
merudum. Dari seorang pemain yang dicanangkan bakal bergandingan bersama Eden
Hazard di Santiago Bernabeu, Lingard pula kini umpama penumpang dalam
kesebelasan United.
Penutup
Sudah lebih setahun saya tidak
melihat tarian-tarian Lingard setiap kali beliau meraikan jaringannya ke gawang
lawan. Daripada seorang prospek terhangat suatu masa dahulu, Lingard berubah
secara drastik kepada pemain `yang tidak ingin lagi dilihat’ aksinya oleh
penyokong-penyokong United. Dahulu Lingard bukan sahaja pemain yang serba
lincah di atas padang, tetapi `kelincahan’ beliau turut dikongsikan bersama
pengikut-pengikutnya di media sosial.
Selain memiliki bakat sebagai
pemain, Lingard juga boleh dikatakan agak hebat sebagai `penghibur’. Dibantu
dengan sifat beliau yang sangat ceria, media sosial menjadi medan untuk Lingard
menghiburkan pengikutnya menerusi nyanyian dan tarian-tarian baharu yang
diciptanya. Tetapi malangnya di atas padang pula, Lingard tidak lagi mampu
menghiburkan kita menerusi kelincahan dan kreativiti permainan yang pernah
dimilikinya suatu ketika dahulu.
Sejak kali terakhir beliau
menjaringkan gol untuk United ketika berdepan Astana dalam saingan Liga Europa
pada November tahun lalu, Lingard akhirnya kembali menemui sentuhan golnya.
Lingard menjaringkan gol ketiga ketika United menewaskan Tranmere Rovers dalam
saingan Piala FA pada 26 Januari lalu. Gol ini juga akhirnya menamatkan kemarau
59 hari beliau tanpa sebarang gol. Statistik beliau sepanjang perlawanan pula
mencatatkan, Lingard melakukan 6 percubaan, 37 hantaran di kawasan pertahanan
lawan dan mencipta tiga peluang jaringan gol.
Sumbangan beliau sepanjang aksi
90 minit di Prenton Park itu juga membolehkan Lingard dinobatkan selaku pemain
terbaik perlawanan. Gol itu boleh menjadi pencetus kebangkitan semula Lingard,
tetapi gol itu juga bukanlah terlalu istimewa, kerana ia dihasilkan beliau ke
gawang kelab yang cuma beraksi dalam kasta keempat liga bolasepak Inggeris. Apa
yang kita nantikan selama ini ialah Lingard kembali mencatatkan namanya sebagai
penjaring gol dalam saingan Liga Perdana, sesuatu yang tidak pernah beliau
lakukan selama tempoh lebih setahun.
Sejak dua gol yang beliau ledak
ke gawang Cardiff City pada 23 Disember 2018, kita tidak lagi melihat Lingard
menari lincah ketika meraikan gol-gol jaringannya di pentas Liga Perdana. Entah
bilakah agaknya kita akan melihat Lingard yang dahulu, seorang pemain lincah
yang mampu membelah pertahanan lawan dengan mudah menerusi kepantasan yang
dimilikinya. Atau menjaringkan gol-gol yang terlihat mudah, hanya menerusi
kombinasi sentuhan satu dua dengan rakan sepasukan yang lain.
Jika boleh saya mahu melihat
Lingard terus menari setiap kali beliau berjaya menjaringkan gol. Tetapi buat
masa ini tarian Lingard seperti sudah terhenti, kerana sudah lebih setahun sebenarnya
beliau berhenti dari menjaringkan gol untuk United di Liga Perdana. Dari
seorang prospek hangat, Lingard kini bertukar kepada bahan jenaka
penyokong-penyokong sendiri akibat dari ketumpulan kreativiti serta kemarau gol
yang dialaminya. Ayuhlah `Lingardinho’…kembalilah menari untuk kami. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan