03 Februari 2020

JANGAN BAZIRKAN POTENSI FERNANDES



Berita tentang kejayaan kelab menandatangani Bruno Fernandes akhirnya menamatkan penantian selama lebih enam bulan penyokong-penyokong Manchester United yang mahu melihat pemain tengah Portugal itu mengepalai jentera tengah skuad The Red Devils. Tatkala tempoh bursa perpindahan pemain pertengahan musim kian menuju kepenghujungnya, ketibaan Fernandes di Carrington turut menamatkan keresahan penyokong United yang sekian lama menanti kesahihan berita tentang perpindahan pemain itu dari Estadio Jose Alvalade ke Old Trafford.

Berita pengumuman Fernandes sebagai anggota terbaru The Red Devils pada 29 Januari lalu akhirnya mengatasi berita sensasi serangan flare yang dilakukan penyokong-penyokong United di hadapan rumah Ed Woodward akibat dari rasa tidak puashati mereka terhadap kerja-kerja yang dilakukan beliau sepanjang menjawat tugasnya sebagai CEO kelab. Ternyata suhu amarah penyokong-penyokong United yang memuncak terhadap Woodward berjaya diturunkan sedikit sebaik sahaja kelab mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Fernandes dari Sporting Lisbon.

Fernandes merupakan pemain keempat dari Sporting Lisbon yang ditandatangani United selepas Cristiano Ronaldo, Luis Nani dan Marcos Rojo. Selain daripada itu, beliau juga merupakan warga Portugal keenam yang menyertai United selepas Ronaldo, Nani, Bebe, Joel Perreira dan Diogo Dalot. Dari lima pemain tersebut, Ronaldo muncul pemain Portugal paling berjaya di Old Trafford sepanjang enam musim beliau menyarung jersi United. Sudah tentu juga pencapaian Ronaldo menjadi penanda aras tertinggi untuk dilepasi oleh mana-mana pemain Portugal di Old Trafford.

Perpindahan Ideal

Sejujurnya saya sendiri tidak percaya bahawa kelab akhirnya berjaya juga mendapatkan tandatangan Fernandes. Apatah lagi sebelum itu timbul pula perkhabaran tentang minat Barcelona yang mahu membawa pemain itu beraksi di Nou Camp. Melihatkan kepada betapa perlahannya manuever kelab dalam setiap bursa perpindahan di bawah regim Woodward, berita tentang Fernandes yang berada dalam radar buruan United sering sahaja menjadi bahan jenaka bukan sahaja oleh penyokong sendiri tetapi juga dari kelompok penyokong lawan.

Harga yang diletakkan Sporting juga antara penyebab mengapa urusan perpindahan Fernandes tidak berjalan dengan lancar. Akhirnya menerusi nilai perpindahan sebanyak £47 juta, Sporting bersetuju melepaskan playmaker mereka itu menyertai United dengan ikatan kontrak selama empat tahun setengah. Bagaimanapun terdapat terma dalam kontrak pemain itu yang membolehkan Sporting menerima jumlah sehingga £67 juta dari United, bergantung kepada prestasi kelab dan pencapaian Fernandes sepanjang beliau berada di Old Trafford.

Keputusan United mendapatkan khidmat Fernandes dilakukan kerana dalam skuad Solskjaer, cuma Juan Mata dan Paul Pogba sahaja yang boleh berperanan sebagai seorang playmaker. Bagaimanapun Pogba berdepan krisis kecederaan yang menyaksikan bintang Perancis itu terlepas banyak aksi sejak penghujung September tahun lalu. Manakala Mata pula dalam tempoh beberapa musim terakhir nampaknya lebih kerap diplotkan untuk beroperasi di sisi kanan berbanding mengalas peranan selaku pemain nombor 10.

Sepertimana yang anda tahu, United musim ini terpaksa berdepan dengan isu kreativiti di bahagian tengah. Kerana hal inilah mereka sering dilihat berdepan kesukaran ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan permainan bertahan. Lihat sahajalah aksi mereka ketika berdepan lawan seperti Burnley, Watford, West Ham atau Newcastle United. Isu tumpulnya kreativiti di bahagian tengah merupakan masalah terbesar yang perlu diselesaikan Solskjaer dalam misinya membawa United kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Statistik

Keputusan United mendapatkan khidmat Fernandes ini mungkin sedikit terlewat tetapi masih belum terlambat untuk menyelamatkan kempen mereka musim ini. United sepatutnya menandatangani Fernandes lebih awal, ketika gosip tentang minat kelab terhadap beliau sudah bertiup kencang sejak Jun tahun lalu lagi. Masih terlalu awal untuk meletakkan status Fernandes sebagai `penyelamat’ United, tetapi jika dilihat kepada statistik beliau sepanjang menyarung jersi Sporting, pemain berusia 25 tahun itu sepatutnya mampu memberikan kreativiti tambahan di sektor tengah sepertimana diperlukan Solskjaer.

Sejak menyertai Sporting dari Sampdoria pada 2017, Fernandes sudah memperlihatkan kemampuan beliau sebagai penggerak jentera tengah untuk skuad bergelar LeƵes itu. Sepanjang dua setengah musim sejak kembali ke Portugal, Fernandes menjaringkan 64 gol dan mencipta 52 bantuan gol dari 137 aksi Primeira Liga untuk Sporting. Musim lalu, beliau menjaringkan 33 gol dan mencipta 18 bantuan gol dari 53 penampilan untuk Sporting dalam semua peringkat kejohanan, satu jumlah yang cukup banyak untuk seorang pemain yang bukan berada di posisi penyerang.

Statistik jaringan dan bantuan gol yang dilakukan Fernandes menunjukkan betapa bahayanya beliau ketika berada di dalam kawasan lawan. Kecenderungan beliau untuk berada sejajar dengan posisi penyerang-penyerang Sporting ketika mereka melakukan serangan antara faktor penyumbang utama mengapa Fernandes begitu produktif dalam menghasilkan gol atau mencipta peluang jaringan buat rakan sepasukan yang lain. Selain itu, kemampuan beliau untuk bermain lebih dari satu posisi pula sebenarnya merupakan satu bonus tambahan untuk mana-mana pasukan yang diwakilinya.

Apa Ada Pada Fernandes?

Ketika keperluan untuk mendapatkan seorang pemain tengah kreatif menjadi keutamaan nombor satu, United akhirnya tidak melepaskan peluang terbuka apabila mereka menggunakan kesempatan pada bursa perpindahan pemain pertengahan musim dengan menandatangani Fernandes. Mereka sudah rasmi mendapatkan khidmat Fernandes dan pemain tersebut sudahpun melakukan penampilan pertamanya ketika berdepan Wolverhampton Wanderers. Apa yang bakal diperhatikan selepas ini ialah kemampuan Solskjaer untuk memaksimakan kemampuan pemain tengah itu sesuai dengan keperluan pasukan.

Banyak analisis sebelum ini hanya difokuskan kepada kemampuan Fernandes. Adakah beliau sesuai memainkan peranan selaku pemain nombor 8 dalam formasi 4-3-3, atau berperanan sebagai pemain nombor 10 dalam formasi 4-2-3-1. Bagaimanapun akhirnya kita juga perlu mengakui bahawa kemampuan seorang pemain akan lebih terserlah jika dia disokong oleh sistem permainan yang bagus. Kelebihan yang ada pada Fernandes ialah kepekaan beliau ketika melihat pergerakan rakan-rakan sepasukannya sebelum melepaskan hantaran, dan itulah yang dilakukan beliau semasa di Sporting Lisbon.

Di samping itu juga, beliau bijak mencipta ruang agar setiap hantaran yang dilakukannya lebih tepat menemui sasaran. Akhirnya kunci kepada setiap hantaran yang sempurna tetap bergantung kepada bagaimana bijaknya rakan-rakan sepasukan yang lain melakukan pergerakan untuk menerima umpanan-umpanan kunci (key passes) dari beliau. Jika koordinasi itu tidak berlaku, maka percayalah bahawa kemampuan sebenar Fernandes selaku seorang playmaker seperti yang anda dambakan tidak akan terlihat di atas padang.

Secara purata, Fernandes melepaskan 50.54 hantaran dalam setiap perlawanan. Dari jumlah tersebut, sebanyak purata 16.49 adalah merupakan hantaran-hantaran vertical. Sporting adakalanya mengubah sistem permainan mereka dari 4-3-3 kepada 4-2-3-1. Ketika pertukaran ini berlaku, Fernandes akan ditolak ketengah untuk berperanan sebagai pemain nombor 10, dan di sinilah beliau menjadi titik kepada setiap gerakan-gerakan yang dilakukan Sporting. Jadi tidak hairanlah mengapa begitu banyak catatan key passes Sporting datangnya dari sepasang kaki Fernandes.

Paling menarik, Fernandes melakukan purata lima hantaran vertical yang masuk ke petak penalti lawan dalam setiap perlawanan dengan peratus ketepatan hantaran ini mencapai 49.5%. Satu-satunya pemain yang paling hampir dengan catatan Fernandes ini ialah Daniel James. Pemain muda United ini melakukan purata 3.21 hantaran (vertical) ke dalam petak penalti lawan dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 41.8%. Apa yang sudah dipamerkan beliau di Sporting menunjukkan bahawa Fernandes adalah pemain tengah yang diperlukan United.

Penutup

Misi mendapatkan tandatangan Fernandes sudah diselesaikan, kini tugas untuk memanfaatkan kemampuan sebenar pemain tengah itu akan menjadi tugas besar yang perlu dilaksanakan Solskjaer. 52 bantuan gol yang dilakukan beliau di Sporting menunjukkan betapa tingginya kefahaman bekas rakan-rakan sepasukan beliau dengan corak permainan Fernandes. Akhirnya dalam masa yang sama kita juga terpaksa mengakui bahawa isu kreativiti United tidak akan selesai dengan kedatangan Fernandes jika dilihat kepada aksi mereka menentang Wolves tempohari.

Tugas seterusnya yang perlu dilakukan Solskjaer ialah memastikan pemain-pemain lain dapat berkolaborasi sepenuhnya di atas padang dengan kualiti yang ada dalam permainan Fernandes, terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan seperti Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood. Playmaker seperti Fernandes perlukan rakan-rakan sepasukan yang faham dengan corak hantaran serta cara beliau bermain, dan atas sebab itulah mengapa beliau sangat berjaya semasa di Lisbon.

Meskipun beliau gagal membantu United meraih tiga mata penuh pada penampilan pertamanya ketika berdepan Wolves, Fernandes sekurang-kurangnya sudah `mengajar’ rakan-rakan sepasukannya cara bermain bolasepak yang betul. Mobiliti beliau di atas padang, sama ada dengan atau tanpa bola sewajarnya diperhatikan dengan penuh teliti oleh rakan-rakan sepasukan yang lain. Sepanjang tempoh 90 minit, Fernandes muncul pemain United paling banyak melepaskan percubaan ke arah pintu gol lawan, iaitu sebanyak lima kali dengan tiga daripadanya merupakan percubaan tepat.

Menerusi sentuhan bola sebanyak 111 kali yang dilakukannya, serta melepaskan 92 hantaran dengan 88 daripadanya adalah hantaran tepat, Fernandes seperti yang dapat anda lihat kerap terlibat dalam setiap gerakan serangan yang dilakukan United. Pembelian Fernandes hanyalah langkah permulaan United untuk mengatasi isu kreativiti jentera tengah mereka, tetapi memanfaatkan potensi beliau adalah hal terpenting yang perlu dilakukan Solskjaer selepas ini. Jika Solskjaer gagal melakukannya, maka janganlah hairan kerana Fernandes nanti tiada bezanya dengan Jesse Lingard.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan