31 Mac 2021

ADAKAH `HURRIKANE' MAMPU BERTAHAN JIKA KEMARAU KEJUARAAN SPURS TERUS BERPANJANGAN?

 


Kelibat Sergio Aguero sah tidak akan dapat anda saksikan lagi dengan jersi biru Manchester City musim depan. Kemana destinasi beliau selepas ini pastinya menarik untuk kita nantikan kerana di luar sana sudah menanti beberapa kelab besar yang mahukan khidmatnya untuk diletakkan di jentera serangan mereka musim depan. Kini tinggal seorang lagi penyerang yang masa depannya masih menjadi teka teki dan sentiasa menjadi topik menarik untuk dibincangkan.

 

Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Harry Kane. Kehandalan Kane selaku `pemain nombor 9’ memang tidak perlu dipertikaikan. Ketajaman beliau dalam menyempurnakan peluang menyaksikan Kane sudah memenangi anugerah `Golden Boot’ di Liga Perdana sebanyak dua kali (2015/16 & 2016/17). Di pentas dunia pula, Kane merupakan penjaring terbanyak pada kejohanan Piala Dunia 2018 menerusi enam gol yang dihasilkannya di bumi Russia.

 

Itu pengiktirafan individu, tetapi bagaimana pula dengan pencapaian beliau dalam membantu Tottenham Hotspurs memenangi kejuaraan? Jawapannya…TIADA. Pencapaian paling tinggi yang pernah dilakar beliau dalam kariernya bersama Spurs ialah dua medal `runner up’ untuk kejohanan Piala Liga (2014/15) dan Liga Juara-Juara (2018/19). Sangat menyedihkan untuk seorang penyerang tengah yang dilabel antara yang terbaik di Eropah, Kane masih belum memenangi sebarang trofi kejuaraan pada usia beliau yang sudah mencecah 27 tahun.

 

Tidak dinafikan bahawa trofi antara penanda aras penting dalam karier seseorang pemain. Tidak kira sebagus manapun mereka, tanpa trofi kejuaraan tiada apa yang mampu untuk mereka banggakan selepas bersara nanti. Dan Kane tidak terkecuali meskipun beliau antara penyerang tengah yang memiliki reputasi hebat dalam dunia bolasepak ketika ini. Bukan mahu menidakkan kemampuan Spurs, tetapi secara peribadi sukar membayangkan bahawa Kane mampu memenangi medal kejuaraan `major’ bersama kelab yang sudah kemarau kejuaraan selama 13 tahun.

 

Ketika kali terakhir Spurs berada di podium kejuaraan ialah menerusi kejayaan mereka menewaskan Chelsea di pentas final Piala Liga edisi 2008. Ketika Ledley King menjulang trofi tersebut kira-kira 13 tahun lalu, Kane pula cumalah seorang remaja yang sedang bergelut membuktikan kemampuan dirinya bersama skuad U-16 Spurs. Selepas itu tiada lagi mana-mana kapten Spurs yang diberikan penghormatan untuk menjulang trofi kejuaraan meskipun kini mereka memiliki penggempur sehebat Kane yang sudah meledak 215 gol dari 327 penampilannya.

 

Mungkin saranan Jermain Defoe, antara tonggak yang membantu Spurs menjulang kejuaraan Piala Liga pada 2008 wajar diberikan perhatian oleh Kane. “Jika anda bertanyakan hal ini kepada saya beberapa tahun lalu, maka saya akan katakan bahawa dia (Kane) sepatutnya kekal bersama Spurs. Melihat sumbangannya selama ini untuk kelab, dia adalah legenda. Bagaimanapun anda perlu memenangi kejuaraan, kerana selain dari itu anda akan dinilai tidak cukup bagus”.

 

“Anda akan merasakan sesuatu yang luar biasa jika memenangi kejuaraan. Saya harap jika dia mahukannya (memenangi kejuaraan), dia patut melakukan lebih awal. Jika Kane mahu memenangi trofi, dia patut pergi dari sana”, kata Defoe kepada Talksport. Ketika ini Kane hangat dikaitkan dengan perpindahan dari kota London, dan di England, dua kelab dari Manchester antara disebut-sebut prospek kesebelasan yang bakal disertai Kane musim depan.

 

Jika anda tanyakan kepada saya, sudah tentu saya mahukan penyerang yang memiliki reputasi dan kualiti sebagus Kane menyertai United musim depan. Selain daripada itu, peluang bekerjasama semula dengan Mauricio Pochettino atau menyertai kesebelasan seperti Real Madrid juga antara tarikan yang mungkin boleh membawa Kane keluar dari tanah Inggeris buat pertama kali dalam kariernya. Kelab mana yang tidak mahukan penyerang tengah seperti Kane, bakat istimewa England yang muncul selepas berakhirnya era Wayne Rooney.

 

Sejak berusia 20 tahun lagi, Kane sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliaulah bakal calon penggempur utama England suatu hari nanti. Pada musim pertama Pochettino bersama Spurs, Kane meledak 31 gol dari 51 penampilan dalam semua peringkat kejohanan. Bukan jumlah gol yang mengagumkan saya, tetapi lebih kepada faktor bagaimana beliau mampu menjelma menjadi penyerang handalan Spurs meskipun terpaksa bersaing dengan Roberto Soldado dan Emmanuel Adebayor yang jauh lebih berpengalaman.

 

Jika dilihat kepada penampilan Kane tujuh tahun lalu, anda mungkin akan terkejut berbanding dengan apa yang dilakukannya sepanjang menjalani tempoh pinjaman bersama Leyton Orient, Milwall, Norwich City dan Leicester City. Bersama Leicester, kelab terakhir yang menggunakan khidmatnya sebelum beliau pulang ke pangkuan Spurs, Kane cuma meledak dua gol dari 15 penampilan.  Untuk rekod pada musim 2012/13, Leicester beraksi di Liga Kejuaraan.

 

Meskipun statistik jaringan beliau pada usia remaja tidak sebagus mana, tetapi jurulatih-jurulatih di akademi Spurs menyedari potensi besar yang dimiliki Kane. Pernah dilabel `tidak memiliki tubuh seorang atlit’, kekuatan utama Kane dari kacamata Les Ferdinand ialah keyakinan dirinya yang cukup tinggi. “Bagi saya, kualiti yang menjadikan dia pemain muda berbakat adalah keyakinan dirinya yang tinggi. Dia pemain yang sangat individual dan tahu meletakkan dirinya di posisi yang tepat”, kata Ferdinand kepada Telegraph pada 2014.

 

Sebagai penyerang tengah, Kane berjaya beradaptasi dengan baik dalam era bolasepak moden. Beliau bukanlah tipikal penyerang tengah yang cuma menanti hantaran rakan di dalam petak penalti lawan. Bersama Spurs, Kane kerap turun jauh ke bawah bagi mendapatkan bola, bergerak ke sebelah sisi kanan dan kiri, mencipta dan mendapatkan ruang untuk dirinya menembusi benteng pertahanan lawan. Menurut David Pleat pula, Kane penyerang yang istimewa kerana  memiliki sepasang kaki yang kuat.

 

“Satu hal yang istimewa tentang Harry Kane ialah dia memiliki sepasang kaki yang kuat. Dia tidak bergantung kepada hanya satu kaki untuk menjaringkan gol. Beritahu saya berapa ramai penyerang yang mahir menggunakan kedua-dua kakinya. Kane boleh menjaringkan gol dengan kaki kanan mahupun kiri. Begitu juga dengan kamampuan dia melakukan hantaran. Dia akan bergerak dari zon yang lebih dalam kerana dia memiliki kelajuan untuk melakukannya. Ia sesuatu yang dia belajar dari jurulatihnya dan dia melakukannya dengan sangat baik”, kata Pleat.


Musim ini Spurs berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan selepas skuad kendalian Jose Mourinho itu mara kefinal Piala Liga menerusi kejayaan mereka menundukkan Brentford di separuh akhir. Piala Liga adalah satu-satunya jalan yang tinggal dalam percubaan terakhir Spurs mengekalkan Kane di Utara London. Atau aksi final Piala Liga kali ini bakal menjadi `upacara’ perpisahan paling tepat jika Kane mengintai peluang menyertai kelab lebih besar, yang mampu menawarkan beliau untuk memenangi kejuaraan lebih besar berbanding Piala Liga?

 

Beliau masih belum mencapai puncak kariernya sebagai pemain, tetapi sudah menjaringkan 264 gol sepanjang karier profesionalnya setakat ini. Kane mungkin mampu menjaringkan sehingga 500 gol untuk Spurs jika beliau kekal bersama The Lilywhites sepanjang kariernya, tetapi sepuluh tahun dari sekarang Kane akan lebih dikenang sebagai pemain yang lebih hebat jika ada trofi kejuaraan yang mampu beliau menangi. Adakah Spurs boleh merealisasikan impian Kane? Jika jawapannya tidak, maka beliau harus pergi…Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan