Pesona Cristiano Ronaldo usah
disangkal…auranya sebagai pemain masih kuat dan perlu juga diakui bahawa beliau
masih lagi figura utama bolasepak dunia selain Lionel Messi. Musim panas tahun
lalu, Ronaldo kembali semula ke Old Trafford selepas 12 tahun meninggalkan
kelab, meskipun pada awalnya ada `rumour’ mengatakan bahawa beliau bakal
menyertai Manchester City. Berita kepulangan semula Ronaldo itu menyebabkan
dunia maya bergegar seketika akibat dari keterujaan penyokong-penyokong United
menyambut kepulangan semula `cinta hati’ mereka itu.
Ronaldo kembali menyertai
United pada usia 36 tahun, tetapi ketika itu kita tidak terlalu khuatir dengan
angka tersebut kerana `instinct’ pembunuh Ronaldo seperti tidak pernah pudar ditelan
waktu. Di Kejohanan Euro 2020, Ronaldo membuktikan kepada para pemuja dan
pengkritiknya bahawa usia hanyalah angka. Lima gol yang beliau ledak sepanjang
kejohanan meletakkan Ronaldo selaku penjaring terbanyak bersama Patrick Schick,
mengatasi penyerang yang jauh lebh muda berbanding beliau seperti Romelu
Lukaku, Harry Kane atau Karim Benzema.
Musim lalu boleh dilabel
sebagai antara musim terburuk United, tetapi Ronaldo masih mampu menyinar. Pada
usia 36 tahun, beliau masih mampu meletakkan dirinya di posisi ketiga dalam
senarai penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang Mo Salah dan Son
Heung-Min. Adakalanya beliau juga seperti berseorangan memimpin jentera hadapan
menerusi hatrik yang diledaknya ketika United menewaskan Tottenham Hotspurs dan
Norwich City. Di pentas Liga Juara-Juara pula, Ronaldo tetap berbisa menerusi enam
gol yang diledak beliau dari tujuh penampilan.
Satu Kesilapan?
Ada pendapat yang mengatakan
bahawa United melakukan kesilapan besar ketika mereka menandatangani Ronaldo
musim lalu, kerana dengan adanya Mason Greenwood, Marcus Rashford, Edinson
Cavani dan Anthony Martial, kelab sebenarnya tidak memerlukan tambahan seorang
lagi penyerang baharu. Segalanya bermula dengan sangat positif di awal musim, malah
sebelum Ronaldo meletakkan tandatangan beliau di atas dokumen kontrak,
Greenwood sudah meledak tiga gol dalam tiga aksi permulaan liga musim lalu.
Tetapi apa yang sudah berlaku
sepanjang tempoh setahun Ronaldo berada dikelab? Greenwood berdepan masalah
luar padang yang mengakibatkan karier bintang masa depan Inggeris itu musnah,
Cavani yang sentiasa dijadikan `Plan B’ ketika era Ole Gunnar Solskjaer dan
Ralf Rangnick berhijrah ke Sepanyol, Martial menjalani tempoh pinjaman selama
setengah musim di Sevilla dan Bruno Fernandes bukan lagi pemain yang efektif
sepertimana sebelumnya, kerana kelab terlalu bergantung kepada keberadaan
Ronaldo.
Untuk berlaku adil kepada
beliau, kita perlu mengakui bahawa Ronaldo adalah pemain penting untuk United
musim lalu, kerana tanpa gol-gol yang dijaringkannya, kelab tidak akan mampu
menamatkan saingan liga di tangga keenam. Ronaldo adalah `clutch player’ untuk
United, kerana gol-gol penting yang dijaringkannya seringkali mengubah
keputusan perlawanan. Contoh terbaik lihat sahaja gol kemenangan yang
dijaringkannya ketika berdepan Villareal dan gol penyamaan ketika berdepan
Atalanta di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Intensiti Menurun
Bagaimanapun bolasepak bukanlah
tentang sumbangan seorang pemain semata-mata, tetapi bolasepak adalah permainan
berpasukan. Ketika kelab mengumumkan kejayaan mereka menandatangani Ronaldo
tahun lalu, timbul persoalan tentang kemampuan tubuhnya untuk beradaptasi dengan
falsafah bolasepak moden yang berintensiti tinggi. Bolasepak moden bukan
tentang penguasaan bola semata-mata, tetapi juga seberapa pantas sesebuah
pasukan mampu menguasai semula bola selepas mereka kehilangannya menerusi
tekanan yang diberikan kepada lawan.
`Pressing’ perlukan kerjasama
sepasukan dan menurut catatan FBRef, terdapat tiga pemain hadapan United yang
mencatatkan lebih seribu minit permainan selepas 20 perlawanan liga musim lalu
berlangsung. Mereka ialah Bruno (1,606 minit), Greenwood (1,150 minit) dan
Ronaldo (1,300 minit). Secara puratanya Ronaldo melakukan 2.91 tekanan di zon
`final third’ lawan per perlawanan. Berbanding Ronaldo, intensiti Bruno dan
Greenwood jauh lebih tinggi apabila masing-masing melakukan purata 5.61 dan 4.36
tekanan kepada lawan dalam setiap perlawanan.
Musim ini, statistik jaringan
Ronaldo juga menurun secara drastik kerana dari sepuluh penampilan liga, beliau
cuma mampu menjaringkan satu gol (berbanding empat pada musim lalu). Di pentas
Eropah pula, Ronaldo meledak enam gol sepanjang saingan peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara, manakala pada musim ini di saingan Liga Europa, cuma dua kali
beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Agak malang melihat bagaimana seorang
pemain bergelar `GOAT’ seperti beliau bergelut ketika berdepan lawan kerdil
seperti AC Omonia dan Sheriff Tiraspol.
Usia
Tahun ini usia Ronaldo sudah
pun menjangkau 37 tahun, meskipun fizikal luarannya seperti tidak terusik oleh
perjalanan masa, kudrat beliau tidak lagi sekuat dahulu. Pergerakannya tidak lagi
lincah, kepantasan lariannya sudah menurun dan `instinct’ pembunuhnya tidak
lagi menggerunkan. Yang tinggal kini cumalah reputasi beliau selaku antara
pemain terbaik di dunia pernah dilihat dan dilahirkan. Usia bukan sahaja
memamah kudrat Ronaldo tetapi juga ketajamannya dalam menyudahkan peluang di
hadapan gawang lawan.
Statistik jaringan Ronaldo sebenarnya
mula menurun dari musim ke musim. Meskipun 18 gol yang dihasilkannya dalam
saingan liga musim lalu satu catatan yang boleh dianggap fantastis jika
mengambilkira usia beliau, tetapi jumlah itu juga adalah catatan terendah dalam
tempoh 12 tahun kariernya di peringkat kelab. Musim lalu catatan `expected
goal’ (xG) Ronaldo menurun berbanding dua musim sebelumnya. Musim lalu catatan
xG Ronaldo ialah 17.9 berbanding 28.6 pada musim 2019/20 dan 27.7 pada musim
2020/21.
Penutup
Musim ini Ronaldo melakukan 18
penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Dari jumlah tersebut,
beliau cuma diturunkan dalam kesebelasan utama United sebanyak sepuluh kali.
Imej-imej Ronaldo di bangku simpanan adalah metafora kepada fasa pengakhiran
dari era keemasan seorang legenda bolasepak dunia. Meskipun kudratnya tidak
lagi segagah dulu, ego Ronaldo tetap tinggi. Bagi Ronaldo, adalah satu
penghinaan kepada dirinya untuk sekadar melihat aksi rakan sepasukan dari
bangku simpanan.
Bagi seorang pemain yang sudah
bertaraf `GOAT’, aksi dan pertarungan menentang pemain lawan di atas padang
adalah medan sebenar untuk legenda seperti beliau. Meskipun tak lagi muda, Ronaldo
masih bernafsu untuk bertarung, masih ketagih untuk menggelecek dan masih
kerinduan untuk menjaringkan gol. Bagi Ronaldo, adrenalin dalam tubuhnya akan
hanya memuncak ketika beliau berjaya menewaskan penjaga gol lawan dan
kemudiannya merayakan jaringan tersebut menerusi selebrasi `Siu’ yang sangat
ikonik itu.
Kedatangan nakhoda baharu
mengubah nasib Ronaldo. Meskipun Ten Hag masih menurunkan beliau dalam
kesebelasan utama, Ronaldo bergelut dalam usahanya untuk beradaptasi dalam lingkungan
bolasepak berintensiti tinggi. Ten Hag mahukan para pemainnya melakukan `high
pressing’ ketika hilang penguasaan bola, agresif dan sentiasa bergerak serta
bertukar-tukar peranan. Gaya bolasepak seperti itulah yang mendera tubuh
Ronaldo dan membuatkan beliau sukar bernafas kerana faktor usia yang
membataskan kudratnya.
Kelmarin, kita dikejutkan lagi
dengan cerita tentang Ronaldo. Dunia maya bergegar lagi bila beliau meluahkan
kenyataan-kenyataan kontroversi dan provokatif dalam satu wawancara bersama
Piers Morgan. Wawancara itu membuatkan cerita tentang gol sensasi Alejandro
Garnacho ke gawang Fulham tenggelam. Wawancara itu seperti bom jangka, yang seolah-olah
sudah begitu lama ingin dilepaskan Ronaldo. Bagaimanapun jika anda memerhati
gerak-geri beliau sejak kebelakangan ini, apa yang dilakukan Ronaldo bukanlah
hal yang terlalu mengejutkan.
Apa yang dilakukan Ronaldo memang
tidak boleh diterima dan umpama satu tindakan bunuh diri, kerana kelab tidak
akan berdiam diri, dan Ten Hag yang dijadikan sasaran amarahnya juga tidak akan
berpeluk tubuh. Ronaldo pasti akan pergi meninggalkan kelab, kerana di sini
tiada lagi tempat untuknya. Agak malang untuk seorang legenda dan ikon seperti
beliau pergi dengan cara begini, kerana Ronaldo sepatutnya boleh memilih cara
yang lebih indah untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada
penyokong-penyokong United yang memujanya.
Daripada memilih cara yang lebih romantis untuk mengucapkan selamat tinggal, Ronaldo sebaliknya memilih cara yang agak tragis. Dan bagi penyokong United yang memuja beliau, pastinya amat menyakitkan melihat `cinta hati’ mereka itu pergi buat kali kedua. Tetapi itulah perjalanan hidup, kerana adakalanya ia berakhir tidak sepertimana yang kita dambakan. Jadi biarkan sahaja ia berjalan mengikut rencanaNya…kerana memang sudah takdirnya begitu. Terima kasih Ronaldo untuk segalanya…Glory Glory Manchester United!!!