Kenapa terlalu awal? Itu antara
perkataan yang terlintas difikiran selepas selesai undian `playoff’ bagi
menentukan kesebelasan mana layak beraksi di pusingan kalah mati 16 pasukan. Ada
lapan pertembungan membabitkan 16 pasukan di pusingan `playoff’ kali ini, lapan
pasukan `runner up’ peringkat kumpulan Liga Europa dan lapan lagi pasukan yang tersingkir
dari persaingan Liga Juara-Juara. Dari lapan aksi yang bakal berlangsung pada
Februari tahun hadapan, pertembungan membabitkan Manchester United dan
Barcelona pastinya mencuri tumpuan.
Barcelona tetaplah Barcelona, kesebelasan
yang masih dicemburui, masih lagi digeruni dan masih lagi diletakkan statusnya
sebagai gergasi bolasepak dunia walau apapun situasi terkini yang dihadapi
mereka. `Final awal’ ini akan menjadi sangat menarik mengingatkan kedua-dua
kelab masih dalam fasa transisi bersama pengendali baharu mereka. Xavi
Hernandez kembali ke Camp Nou pada November tahun lalu bagi menggantikan tempat
Ronald Koeman, manakala di Old Trafford pula, ini adalah musim pertama Erik Ten
Hag selaku pengendali United.
Selepas selesai undian, Xavi
berkata, “Ini adalah cabaran besar bagi kami. United adalah kelab yang memiliki
sejarah dan mereka juga mahu menang. Para pemain kami memiliki motivasi tinggi
ketika berdepan lawan yang kuat, dan kami mesti bersaing menentang pasukan seperti
itu. Mereka (United) juga semakin berkembang di bawah Ten Hag, memiliki
individu-individu hebat dalam pasukan. Kami tidak bernasib baik”. Jika Xavi merasakan
pasukannya tidak bernasib baik dalam undian ini, begitu juga dengan United.
Kenapa begitu?
Rekod Buruk
Barca adalah `bayang-bayang hitam’
United di pentas Eropah, kerana rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan
jelas milik gergasi dari Catalan itu. Dari 13 pertemuan menentang Barca, United
cuma menang tiga kali, mencatatkan empat keputusan seri dan selebihnya adalah
kekalahan. Dari tiga kemenangan yang dilakar United ke atas Barca, mereka
melakukannya di Old Trafford iaitu pada 1984 dan 2008. Masih ingatkah lagi
dengan jaringan indah Paul Scholes ke gawang Barca yang akhirnya membawa United
ke pentas final Liga Juara-Juara edisi 2008?
Ya…gol tunggal perlawanan yang
diledak Scholes ke gawang Victor Valdes pada tanggal 29 April 2008 itu kekal
hingga kini sebagai kemenangan terakhir yang dilakar United ke atas Barca.
Selepas itu, empat pertemuan terakhir menyaksikan dominasi Barca ke atas United,
termasuk dua pertembungan di pentas final Liga Juara-Juara. Lebih malang, Wayne
Rooney masih lagi menjadi satu-satunya pemain United yang berjaya menembusi
pintu gol Barca dari empat pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan.
Selain kelibat Barca yang sering
menganggu perjalanan United di pentas Eropah, barisan `The Red Devils’ juga
memiliki rekod yang agak buruk setiap kali mereka berdepan wakil dari Sepanyol.
Untuk rekod, dari 68 penampilan mereka ketika berdepan kelab dari Sepanyol di semua
kejohanan peringkat Eropah, United cuma menang 19 kali, 25 keputusan seri dan
24 kekalahan. Contoh terbaharu, lihat sahaja bagaimana bergelutnya United
ketika mereka berdepan Real Sociedad dalam dua aksi timbal balik di peringkat
kumpulan Liga Europa.
`Game Changer’?
Anda boleh katakan apa sahaja
tentang Cristiano Ronaldo. Beliau sudah berada di penghujung karier, prestasinya
semakin menurun malah ada pertanyaan tentang naluri pembunuhnya yang kelihatan
sudah semakin tumpul. Pada Februari nanti, usia Ronaldo bakal mencecah angka 38
tahun, tempoh di mana kebanyakkan pemain seangkatannya sudah tidak mampu lagi
beraksi di `level’ tertinggi. Jika selepas Januari nanti Ronaldo kekal bersama
kelab, beliau ada aset yang tidak dimiliki mana-mana pemain di barisan hadapan
United, iaitu pengalamannya berdepan Barca.
Sepanjang karier beliau,
Ronaldo sudah berdepan Barca sebanyak 34 kali. Dari jumlah tersebut, beliau
berjaya menjaringkan 20 gol, membantu pasukannya menewaskan Barca sepuluh kali
dan meraih sembilan keputusan seri. Menurut Xavi, Ronaldo masih lagi nama
besar, masih lagi antara yang terbaik dan pemain yang mampu memberikan
perbezaan dalam perlawanan itu nanti. “Bagi saya, dia (Ronaldo) adalah pemain
hebat. Dia meletakkan eranya sebagai tanda aras dalam dunia bolasepak dan
pemain yang boleh memberikan perbezaan”, kata Xavi.
Penutup
Masih ada tempoh
sekurang-kurangnya lebih tiga bulan sebelum pertembungan antara United dan
Barca berlangsung. Meskipun kali ini bukan lagi di pentas Liga Juara-Juara,
tiket beraksi di pusingan 16 terbaik Liga Europa tetap ganjaran yang
menggiurkan untuk dilepaskan. Sudah lima musim United kemarau kejuaraan dan
melihat kepada situasi terkini, trofi Liga Europa adalah sasaran realistik untuk
mereka menangi di bawah regim baharu kendalian Ten Hag. Tetapi sebelum ini,
tolonglah United, singkirkan Barca terlebih dahulu. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan