16 November 2022

SUDAH TAKDIRNYA BEGITU

 


Pesona Cristiano Ronaldo usah disangkal…auranya sebagai pemain masih kuat dan perlu juga diakui bahawa beliau masih lagi figura utama bolasepak dunia selain Lionel Messi. Musim panas tahun lalu, Ronaldo kembali semula ke Old Trafford selepas 12 tahun meninggalkan kelab, meskipun pada awalnya ada `rumour’ mengatakan bahawa beliau bakal menyertai Manchester City. Berita kepulangan semula Ronaldo itu menyebabkan dunia maya bergegar seketika akibat dari keterujaan penyokong-penyokong United menyambut kepulangan semula `cinta hati’ mereka itu.

 

Ronaldo kembali menyertai United pada usia 36 tahun, tetapi ketika itu kita tidak terlalu khuatir dengan angka tersebut kerana `instinct’ pembunuh Ronaldo seperti tidak pernah pudar ditelan waktu. Di Kejohanan Euro 2020, Ronaldo membuktikan kepada para pemuja dan pengkritiknya bahawa usia hanyalah angka. Lima gol yang beliau ledak sepanjang kejohanan meletakkan Ronaldo selaku penjaring terbanyak bersama Patrick Schick, mengatasi penyerang yang jauh lebh muda berbanding beliau seperti Romelu Lukaku, Harry Kane atau Karim Benzema.

 

Musim lalu boleh dilabel sebagai antara musim terburuk United, tetapi Ronaldo masih mampu menyinar. Pada usia 36 tahun, beliau masih mampu meletakkan dirinya di posisi ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang Mo Salah dan Son Heung-Min. Adakalanya beliau juga seperti berseorangan memimpin jentera hadapan menerusi hatrik yang diledaknya ketika United menewaskan Tottenham Hotspurs dan Norwich City. Di pentas Liga Juara-Juara pula, Ronaldo tetap berbisa menerusi enam gol yang diledak beliau dari tujuh penampilan.

 

Satu Kesilapan?

 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa United melakukan kesilapan besar ketika mereka menandatangani Ronaldo musim lalu, kerana dengan adanya Mason Greenwood, Marcus Rashford, Edinson Cavani dan Anthony Martial, kelab sebenarnya tidak memerlukan tambahan seorang lagi penyerang baharu. Segalanya bermula dengan sangat positif di awal musim, malah sebelum Ronaldo meletakkan tandatangan beliau di atas dokumen kontrak, Greenwood sudah meledak tiga gol dalam tiga aksi permulaan liga musim lalu.

 

Tetapi apa yang sudah berlaku sepanjang tempoh setahun Ronaldo berada dikelab? Greenwood berdepan masalah luar padang yang mengakibatkan karier bintang masa depan Inggeris itu musnah, Cavani yang sentiasa dijadikan `Plan B’ ketika era Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick berhijrah ke Sepanyol, Martial menjalani tempoh pinjaman selama setengah musim di Sevilla dan Bruno Fernandes bukan lagi pemain yang efektif sepertimana sebelumnya, kerana kelab terlalu bergantung kepada keberadaan Ronaldo.  

 

Untuk berlaku adil kepada beliau, kita perlu mengakui bahawa Ronaldo adalah pemain penting untuk United musim lalu, kerana tanpa gol-gol yang dijaringkannya, kelab tidak akan mampu menamatkan saingan liga di tangga keenam. Ronaldo adalah `clutch player’ untuk United, kerana gol-gol penting yang dijaringkannya seringkali mengubah keputusan perlawanan. Contoh terbaik lihat sahaja gol kemenangan yang dijaringkannya ketika berdepan Villareal dan gol penyamaan ketika berdepan Atalanta di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  

 

Intensiti Menurun

  

Bagaimanapun bolasepak bukanlah tentang sumbangan seorang pemain semata-mata, tetapi bolasepak adalah permainan berpasukan. Ketika kelab mengumumkan kejayaan mereka menandatangani Ronaldo tahun lalu, timbul persoalan tentang kemampuan tubuhnya untuk beradaptasi dengan falsafah bolasepak moden yang berintensiti tinggi. Bolasepak moden bukan tentang penguasaan bola semata-mata, tetapi juga seberapa pantas sesebuah pasukan mampu menguasai semula bola selepas mereka kehilangannya menerusi tekanan yang diberikan kepada lawan.

 

`Pressing’ perlukan kerjasama sepasukan dan menurut catatan FBRef, terdapat tiga pemain hadapan United yang mencatatkan lebih seribu minit permainan selepas 20 perlawanan liga musim lalu berlangsung. Mereka ialah Bruno (1,606 minit), Greenwood (1,150 minit) dan Ronaldo (1,300 minit). Secara puratanya Ronaldo melakukan 2.91 tekanan di zon `final third’ lawan per perlawanan. Berbanding Ronaldo, intensiti Bruno dan Greenwood jauh lebih tinggi apabila masing-masing melakukan purata 5.61 dan 4.36 tekanan kepada lawan dalam setiap perlawanan.

 

Musim ini, statistik jaringan Ronaldo juga menurun secara drastik kerana dari sepuluh penampilan liga, beliau cuma mampu menjaringkan satu gol (berbanding empat pada musim lalu). Di pentas Eropah pula, Ronaldo meledak enam gol sepanjang saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, manakala pada musim ini di saingan Liga Europa, cuma dua kali beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Agak malang melihat bagaimana seorang pemain bergelar `GOAT’ seperti beliau bergelut ketika berdepan lawan kerdil seperti AC Omonia dan Sheriff Tiraspol.

 

Usia

 

Tahun ini usia Ronaldo sudah pun menjangkau 37 tahun, meskipun fizikal luarannya seperti tidak terusik oleh perjalanan masa, kudrat beliau tidak lagi sekuat dahulu. Pergerakannya tidak lagi lincah, kepantasan lariannya sudah menurun dan `instinct’ pembunuhnya tidak lagi menggerunkan. Yang tinggal kini cumalah reputasi beliau selaku antara pemain terbaik di dunia pernah dilihat dan dilahirkan. Usia bukan sahaja memamah kudrat Ronaldo tetapi juga ketajamannya dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.

 

Statistik jaringan Ronaldo sebenarnya mula menurun dari musim ke musim. Meskipun 18 gol yang dihasilkannya dalam saingan liga musim lalu satu catatan yang boleh dianggap fantastis jika mengambilkira usia beliau, tetapi jumlah itu juga adalah catatan terendah dalam tempoh 12 tahun kariernya di peringkat kelab. Musim lalu catatan `expected goal’ (xG) Ronaldo menurun berbanding dua musim sebelumnya. Musim lalu catatan xG Ronaldo ialah 17.9 berbanding 28.6 pada musim 2019/20 dan 27.7 pada musim 2020/21.

 

Penutup

 

Musim ini Ronaldo melakukan 18 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Dari jumlah tersebut, beliau cuma diturunkan dalam kesebelasan utama United sebanyak sepuluh kali. Imej-imej Ronaldo di bangku simpanan adalah metafora kepada fasa pengakhiran dari era keemasan seorang legenda bolasepak dunia. Meskipun kudratnya tidak lagi segagah dulu, ego Ronaldo tetap tinggi. Bagi Ronaldo, adalah satu penghinaan kepada dirinya untuk sekadar melihat aksi rakan sepasukan dari bangku simpanan.

 

Bagi seorang pemain yang sudah bertaraf `GOAT’, aksi dan pertarungan menentang pemain lawan di atas padang adalah medan sebenar untuk legenda seperti beliau. Meskipun tak lagi muda, Ronaldo masih bernafsu untuk bertarung, masih ketagih untuk menggelecek dan masih kerinduan untuk menjaringkan gol. Bagi Ronaldo, adrenalin dalam tubuhnya akan hanya memuncak ketika beliau berjaya menewaskan penjaga gol lawan dan kemudiannya merayakan jaringan tersebut menerusi selebrasi `Siu’ yang sangat ikonik itu.

 

Kedatangan nakhoda baharu mengubah nasib Ronaldo. Meskipun Ten Hag masih menurunkan beliau dalam kesebelasan utama, Ronaldo bergelut dalam usahanya untuk beradaptasi dalam lingkungan bolasepak berintensiti tinggi. Ten Hag mahukan para pemainnya melakukan `high pressing’ ketika hilang penguasaan bola, agresif dan sentiasa bergerak serta bertukar-tukar peranan. Gaya bolasepak seperti itulah yang mendera tubuh Ronaldo dan membuatkan beliau sukar bernafas kerana faktor usia yang membataskan kudratnya.

 

Kelmarin, kita dikejutkan lagi dengan cerita tentang Ronaldo. Dunia maya bergegar lagi bila beliau meluahkan kenyataan-kenyataan kontroversi dan provokatif dalam satu wawancara bersama Piers Morgan. Wawancara itu membuatkan cerita tentang gol sensasi Alejandro Garnacho ke gawang Fulham tenggelam. Wawancara itu seperti bom jangka, yang seolah-olah sudah begitu lama ingin dilepaskan Ronaldo. Bagaimanapun jika anda memerhati gerak-geri beliau sejak kebelakangan ini, apa yang dilakukan Ronaldo bukanlah hal yang terlalu mengejutkan.

 

Apa yang dilakukan Ronaldo memang tidak boleh diterima dan umpama satu tindakan bunuh diri, kerana kelab tidak akan berdiam diri, dan Ten Hag yang dijadikan sasaran amarahnya juga tidak akan berpeluk tubuh. Ronaldo pasti akan pergi meninggalkan kelab, kerana di sini tiada lagi tempat untuknya. Agak malang untuk seorang legenda dan ikon seperti beliau pergi dengan cara begini, kerana Ronaldo sepatutnya boleh memilih cara yang lebih indah untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong United yang memujanya.

 

Daripada memilih cara yang lebih romantis untuk mengucapkan selamat tinggal, Ronaldo sebaliknya memilih cara yang agak tragis. Dan bagi penyokong United yang memuja beliau, pastinya amat menyakitkan melihat `cinta hati’ mereka itu pergi buat kali kedua. Tetapi itulah perjalanan hidup, kerana adakalanya ia berakhir tidak sepertimana yang kita dambakan. Jadi biarkan sahaja ia berjalan mengikut rencanaNya…kerana memang sudah takdirnya begitu. Terima kasih Ronaldo untuk segalanya…Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan