Menjadi norma buat kanak-kanak
di Sepanyol mengimpikan agar suatu hari nanti mereka diterima masuk ke akademi La
Fábrica atau La Masia, kerana di sanalah mereka menyedari, jika mereka memang
benar-benar berbakat, jalan untuk muncul sebagai bintang besar dunia lebih
mudah dan terbentang luas. Raul Gonzalez, Iker Cassilas, Xavi Hernandez serta Lionel Messi akan sentiasa dikenang
sebagai alumni dari La Fábrica dan La Masia yang sangat terkenal, tetapi
bolasepak Sepanyol bukan tentang Real Madrid dan Barcelona semata-mata.
Jika Raul serta Messi pernah
menjadi produk kebanggaan Real dan Barca, apa kurangnya dengan kemampuan
Atletico Madrid melahirkan pemain-pemain kelas dunia. Di sanalah bakat hebat
seperti Fernando Torres serta David De Gea dilahirkan, dan jangan lupakan fakta
bahawa Raul juga sebenarnya bermula di sana. Pada 2015, pintu akademi Atletico
dibuka untuk seorang lagi anak muda berbakat besar, yang impiannya agar suatu
hari nanti beliau mampu menjadi bintang besar bolasepak dunia. Tentunya anak
muda yang saya maksudkan ialah Alejandro Garnacho.
Seorang pemain yang memiliki
kemampuan teknikal tinggi umpama `candu’ yang sangat ditagih oleh pencinta bolasepak
Sepanyol, dan di tanah matador itulah Garnacho mula membina karakter
permainannya. Bakat seperti Garnacho bukannya selalu dapat anda lihat, dan
bukan selalu juga mampu dilahirkan. Ketika bakat dan potensi beliau mula
tersebar luas, keinginan untuk berpindah ke kelab lebih elit juga sukar dibendung,
jadi adalah satu perkara yang mustahil untuk Atletico terus `menyimpan’
Garnacho di akademi mereka.
Fasa Baharu
Pada Oktober 2020, Garnacho berhijrah
dari kota Madrid ke Old Trafford, lantas mengulangi semula jejak Cristiano
Ronaldo yang juga merupakan idolanya ketika beliau menyertai United pada 2003. Musim
lalu, nama Garnacho kurang diberikan tumpuan kerana fokus lebih terarah kepada
Anthony Elanga yang melakukan 21 penampilan bersama skuad utama di Liga
Perdana. Bagaimanapun di penghujung musim, nama Garnacho mula menjadi sebutan
apabila Ralf Rangnick memberikan beliau penampilan ketika aksi menentang
Chelsea dan Crystal Palace.
Secara keseluruhannya, Garnacho
cuma diberikan peluang tampil selama 13 minit dalam saingan Liga Perdana musim
lalu, tetapi penampilan beliau ketika membantu skuad remaja United menjulang
kejuaraan `FA Youth Cup’ benar-benar mencuri tumpuan. Dalam aksi final menentang
skuad U-18 Nottingham Forest itu, Garnacho jelas berada dalam kelas tersendiri
berbanding rakan-rakan seusianya. Malah dua gol yang beliau jaringkan di pentas
final itu turut meletakkan Garnacho selaku penjaring terbanyak menerusi tujuh
gol yang dihasilkannya sepanjang kejohanan.
Garnacho sekali lagi mencuri
tumpuan kerana buat pertama kalinya beliau diturunkan dalam kesebelasan
permulaan United ketika mereka berdepan Sheriff Tiraspol dalam saingan
peringkat kumpulan Liga Europa. Tiada kelibat Jadon Sancho dalam perlawanan
ini, tetapi Erik Ten Hag sebaliknya menurunkan Garnacho di sisi sayap kiri
skuadnya. Menyaksikan `rising star’ ini beraksi selama 79 minit antara momen
menarik yang dapat anda lihat dalam perlawanan itu, selain kejayaan Cristiano
Ronaldo dan Marcus Rashford menjaringkan gol ke 701 dan ke 99 mereka di
peringkat kelab.
Bukan Sekadar Tempelan
Menyaksikan aksi Garnacho sepanjang
79 minit di atas padang, satu kesimpulan yang boleh anda buat ialah, ini
bukanlah `debut’ yang `sekadar cukup syarat’ dari seorang pemain muda. Beliau
tidak menjaringkan gol atau menyumbang bantuan gol, tetapi Garnacho kerap
memberikan tekanan kepada Renan Guedes di sisi kanan pertahanan lawan. Beliau
sangat unggul melakukan `dribble’ dalam situasi satu lawan satu, dan catatan
tiga `dribble’ yang dilakukannya meletakkan Garnacho selaku pemain paling
banyak melakukan aksi tersebut dalam perlawanan itu.
`Level’ Liga Europa bukanlah
sepertimana perlawanan peringkat umur, jadi pada mulanya memang terdapat
kebimbangan adakah Garnacho mampu memberikan impak pada `debut’ beliau dalam
kesebelasan permulaan United. Bagaimanapun segala keraguan akhirnya terjawab kerana
sepanjang aksinya di atas padang, statistik mencatatkan Garnacho melakukan 9
sentuhan di dalam petak penalti lawan, menang tujuh `duel’, sukses melakukan
tiga `dribble’, melepaskan dua percubaan manakala ketepatan hantaran yang
dilakukannya mencapai angka 90%.
Bintang Dalam Pembikinan
Selepas penampilan mempesona
beliau ketika berdepan Sheriff Tiraspol, nama Garnacho terus menjadi sebutan
penyokong United. Di Basque, beliau menjaringkan gol tunggal perlawanan yang
menyaksikan United menewaskan Real Sociedad dalam perlawanan terakhir peringkat
kumpulan Liga Europa. Gol itu bukan sekadar gol sulung Garnacho bersama skuad
senior, tetapi gol itu turut meletakkan beliau selaku pemain bukan Inggeris
termuda United yang berjaya menjaringkan gol di pentas Eropah. Lantas memadam
rekod selama 58 tahun yang dipegang George Best.
Gol yang menewaskan Alex Remiro
itu sangat signifikan dan istimewa buat Garnacho. Signifikan kerana ia adalah
gol pertamanya untuk skuad senior dan istimewa kerana gol itu terhasil menerusi
bantuan gol yang dilakukan Ronaldo, figura yang sangat digilai beliau ketika
zaman kanak-kanaknya. Berlatih dan bermain bersama Ronaldo dalam satu pasukan
adalah impian selama bertahun-tahun yang dipendam Garnacho, tetapi menjaringkan
gol menerusi `assist’ dari idola beliau dan pemain bertaraf GOAT umpama narasi
dalam sebuah kisah dongeng yang akhirnya bertukar menjadi realiti.
Garnacho sekali lagi membuatkan
kita kagum melihat penampilannya, dan kali ini beliau memilih aksi menentang
Aston Villa dalam saingan Piala Liga sebagai pentas untuknya menunjukkan kenapa
orang-orang di luar sana melabelkan dirinya sebagai `Jelmaan Cristiano
Ronaldo’. Masuk sebagai pemain gantian ketika United ketinggalan 1-2 kepada
Villa, Garnacho sekali lagi memberikan impak yang sangat signifikan kepada barisan
hadapan United menerusi dua `assist’nya yang berjaya disempurnakan Bruno
Fernandes dan Scott McTominay.
Hanya dalam tempoh seminggu,
satu lagi rekod baharu dicipta Garnacho, kerana dua `assist’ sumbangannya
ketika berdepan Villa meletakkan beliau selaku pemain termuda dalam sejarah
kelab yang berjaya menyumbang dua `assist’ dalam satu perlawanan. `Assist’
kedua dari beliau dalam perlawanan ini menarik perhatian Micky Gray, yang juga
merupakan `pundit’ Talksport. “Erik Ten Hag meletakkan dia di pentas yang
besar. Dan kemudiannya dia datang memberikan impak dari bangku simpanan.
`Assist’ itu adalah gaya Beckham, tapi dari posisi berbeza”, kata Gray.
Penutup
Bukan mudah buat Garnacho
meraih kepercayaan Ten Hag untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama United. Kondisi
beliau yang masih belum mencapai tahap untuk beraksi dalam perlawanan
kompetitif selain isu `sikap’ antara sebab utama mengapa Garnacho tersisih
sebelum ini. Menurut laporan `The Athletic’, ada satu momen di mana Garnacho
meninggalkan padang latihan dengan tali `boot’ tidak diikat. Itu mungkin satu
isu yang remeh bagi sesetengah pihak, tetapi tidak dalam lingkaran tahap
profesionalisme tinggi yang diterapkan Ten Hag di kem United.
Bagaimanapun akhirnya Garnacho
sedar, kerana jika beliau mahu menjadi sehebat Ronaldo, beliau perlu berubah.
Tatkala Jadon Sancho masih dibelenggu dengan isu konsistensi serta kecergasan,
Garnacho muncul menawarkan solusi kepada Ten Hag. Kehadiran beliau dalam skuad
utama memberikan dimensi baharu kepada permainan United terutamanya di sisi
kiri. Persis Ronaldo ketika muda, Garnacho juga memiliki teknik permainan,
`skill’ kawalan bola yang bagus, kelajuan, naluri pembunuh serta sangat
berkeyakinan ketika berdepan dengan pertahanan lawan.
Ketika era keemasan Ronaldo
semakin tiba di garis akhir, akan lahir generasi baharu mengisi kekosongan yang
ditinggalkan beliau. Kini lembaran baharu sudah dibuka, sejarah baharu sedang
ditulis dan pentas sudah tersedia untuk seorang anak muda mempamerkan potensinya
kepada dunia. Mimpi budak itu untuk bermain bersama Ronaldo sudah menjadi realiti,
kini dunia sedang memerhati, adakah budak itu mampu menjadikan dirinya sehebat
Ronaldo? “Perkenalkan kepada dunia…budak itu bernama Alejandro Garnacho”. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan