Harry Maguire mungkin kisah
tentang `pembaziran paling epik’ dalam sejarah Manchester United. Tiba di Old
Trafford dengan status sebagai pertahanan termahal dunia, sempat memberikan
impak signifikan kepada benteng pertahanan `The Red Devils’ tetapi akhirnya
menjadi bahan jenaka saban minggu, bukan sahaja oleh penyokong lawan tetapi
juga penyokong United sendiri. Sejak musim 2021/22 lagi, kelibat Maguire
sentiasa mencetuskan kebimbangan penyokong-penyokong United kerana kesilapan-kesilapan
mudah yang sering dilakukannya di benteng pertahanan.
Keberadaan Maguire di
`backline’ United sering disebut sebagai titik lemah serta masalah yang tidak
mampu diselesaikan mereka dalam tempoh dua musim terakhir. Pada musim panas
2019, kelab memecahkan rekod dunia bagi seorang pemain pertahanan ketika mereka
menandatangani Maguire dari Leicester City. Ketika itu timbul persoalan, apa
kelebihan yang dimiliki Maguire hinggakan kelab sanggup membayar sehingga £80
juta demi mendapatkan khidmatnya. Sudah tentu dengan harga semahal itu,
ekspektasi terhadap Maguire juga setinggi langit.
Rio Ferdinand 2.0
Apa yang penyokong-penyokong
United dambakan ketika itu ialah kelab sudah memiliki pasangan pertahanan
tengah ampuh yang sukar ditembusi persis kombinasi Rio Ferdinand/Nemanja Vidic
menerusi gandingan Maguire dan Victor Lindelof. Musim pertama (2019/20)
gandingan Maguire dan Lindelof beraksi bersama, penampilan pasangan ini boleh dikategorikan
sebagai cukup baik. Pada musim inilah, pintu gol United cuma dibolosi 36 kali
berbanding musim sebelumnya (54 kali). Malah ketika Maguire dan Lindelof
beraksi bersama dalam 34 penampilan liga, mereka berjaya memastikan pintu gol
United tidak dibolosi sebanyak 12 kali.
Dua musim pertama keberadaan
Maguire di Old Trafford adalah jawapan mengapa Ole Gunnar Solskjaer berjaya
memaksa kelab mengeluarkan belanja begitu besar untuk mendapatkan khidmatnya.
Di Leicester, Maguire merupakan figura pertahanan tengah dengan kualiti kawalan
bola yang baik. Atau lebih tepatnya dalam istilah bolasepak moden, beliau
merupakan seorang `ball playing defender’ yang sering diburu kelab-kelab besar
sekitar Eropah. Imaginasi kita ketika itu sangat jelas, iaitu Maguire mampu
menjadi watak penting kepada pendekatan permainan `build from the back’ selain
kualiti defensifnya.
Umpama Bek Amatur
Dua musim pertama adalah tempoh
yang memberangsangkan buat Maguire di Old Trafford. Tetapi selepas itu bencana
mula datang hinggakan beliau dilabel sebagai `jenaka paling mahal’ abad ini.
Kegembiraan penyokong-penyokong United ketika menyambut kedatangan beliau mula
lebur menerusi beberapa siri kesilapan mudah yang dilakukannya persis
pertahanan yang beraksi di liga amatur. Bayangkan bagaimana mudahnya Junior
Stanislas melakukan `nutmeg’ ke atas seorang pertahanan termahal dunia ketika
United berdepan Bournemouth pada Julai 2020.
`Marking’ yang dilakukannya ke
atas Aaron Wan-Bissaka hingga membuka ruang buat Michael Obafemi menjaringkan
gol penyamaan Southampton di penghujung perlawanan, `back kick’ yang
dilakukannya hingga mengakibatkan Paul Pogba mengalami kecederaan serta
bagaimana mudahnya Seydouba Soumah melepasi kawalan beliau ketika United
berdepan Partizan Belgrade antara beberapa siri `blunder’ dilakukan Maguire
hingga menghancurkan reputasinya. Akhirnya dari seorang pemain yang pada
awalnya diramal mampu menjadi tonggak pasukan, Maguire bertukar kepada `badut’
di benteng pertahanan United.
Potensi Besar
Maguire sebenarnya bukanlah
pemain pertahanan sebarangan. Di Bramall Lane, beliau merupakan pertahanan muda
yang mengujakan dengan potensi yang cukup besar. Ketika menyaksikan
penampilannya bersama skuad remaja Sheffield United pada 2011, Sir Alex
Ferguson mengatakan bahawa Maguire memiliki semua ciri diperlukan untuk menjadi
pemain hebat suatu hari nanti. Empat atau lima tahun yang lalu, anda mungkin
bersetuju dengan pujian yang dilemparkan Fergie bila melihat penampilan Maguire
bersama Leicester City.
Semua ciri-ciri pertahanan
kelas dunia terlihat kepada susuk tubuh Maguire ketika itu. Postur tubuh yang
tegap, sangat kuat ketika melakukan duel bola tinggi serta kualiti
hantaran-hantaran yang dilakukannya menjadikan beliau antara pertahanan tengah
paling dominan di Liga Perdana. Bagaimanapun Maguire juga punya kelemahan.
Susuk tubuhnya yang besar mengurangkan kelajuan beliau, dan kelemahan inilah
yang menjadi liabiliti kepada United. Apa yang berlaku adalah United sering
terdedah kepada bahaya serang balas pantas lawan ketika mereka bermain dengan
garis pertahanan tinggi.
Tersisih
Di era Erik Ten Hag, Maguire
bukan lagi pilihan pertama untuk mengisi slot di posisi pertahanan tengah
United. Prestasi buruk yang dipamerkan Maguire ketika berdepan Brentford pada
perlawanan kedua liga musim lalu menyaksikan beliau hilang tempat dalam
kesebelasan utama. Apa yang berlaku selepas itu? Benteng pertahanan United beraksi
lebih baik tanpa beliau menerusi kombinasi Lisandro Martinez dan Raphael Varane
selaku dua bek tengah. Malah ketika Varane diketepikan akibat kecederaan, Ten
Hag lebih memilih meletakkan Luke Shaw sebagai rakan gandingan `Licha’
berbanding menurunkan Maguire.
Pada musim baharu nanti, anda
tidak akan melihat lagi lilitan ketua pasukan berada di lengan Maguire. Keputusan
yang diambil Ten Hag bukanlah satu keputusan yang mengejutkan jika diambilkira
prestasi yang dipamerkan Maguire dalam tempoh dua musim terakhir.
Kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukannya selain sistem permainan baharu yang
diterapkan Ten Hag menjadi sebab utama mengapa Maguire kian dilupakan
penyokong-penyokong United. Sepanjang musim lalu, beliau cuma mencatatkan 767
minit permainan menerusi 16 penampilan dalam saingan liga. Jadi anda boleh
bayangkan apa yang bakal berlaku pada musim baharu nanti.
Penutup
Sukar untuk membayangkan bahawa
Maguire akan kekal bersama kelab musim ini. Dilucutkan jawatan sebagai ketua
pasukan, hilang tempat dalam kesebelasan utama, sekadar pilihan nombor lima
untuk posisi bek tengah dan pemain yang paling tidak ingin dilihat berada di
atas padang oleh penyokong antara penyebab yang boleh mendorong beliau untuk
berhijrah ke kelab lain. Meskipun begitu dalam skuad kebangsaan England,
Maguire masih lagi antara pemain penting untuk Gareth Southgate
sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan terakhir.
Nilai Maguire di pasaran
menurun secara drastik, dan suka atau tidak kelab harus menerima kenyataan
bahawa pembelian Maguire pada 2019 merupakan satu pelaburan yang gagal. Di Old
Trafford, Maguire gagal mencetuskan impak setinggi ekspektasi yang penyokong-penyokong
United berikan pada awal kemunculannya empat tahun lalu. Apa yang perlu
dilakukan Maguire ialah mencari kelab baharu dan membina karier serta keyakinan
dirinya semula. Chelsea, Aston Villa dan West Ham antara kelab yang dikhabarkan
berminat mendapatkan khidmatnya.
Maguire akan sentiasa dikenang,
bukan kerana cemerlangnya beliau mengemudi benteng pertahanan United, tetapi antara
kegagalan terbesar kelab dalam bursa perpindahan pemain. Beban berat yang
dipikulnya sebagai ketua pasukan serta ekspektasi tinggi akhirnya membunuh
karier Maguire di Old Trafford. Tiada jalan kembali untuk Maguire tersenarai dalam
kesebelasan utama Ten Hag, malah memilih untuk terus kekal bersama kelab juga
bukan satu keputusan yang bijak. Terimalah kenyataan bahawa hari-hari terakhir
anda di Old Trafford sudah hampir tiba. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan