Mason Mount jelas menjadi
sasaran paling `hangat’ yang ingin diburu Manchester United pada bursa
perpindahan pemain musim panas ini, tetapi polemik perpindahan pemain berusia
24 tahun itu ke Old Trafford tampaknya seperti tiada kesudahan. Tiga tawaran
yang dikemukakan United ditolak Chelsea, jadi timbul persoalan adakah Erik Ten
Hag masih bernafsu meletakkan Mount sebagai salah seorang trio bersama Bruno
Fernandes dan Casemiro sebagai penggerak jentera tengah skuadnya musim hadapan?
Sejak musim 2019/20, Mount
menjadi antara pemain terpenting di Stamford Bridge. Malah pada 2021, Jose
Mourinho menyifat pemain itu sebagai `pemain tengah sempurna untuk mana-mana
pasukan yang diwakilinya’. “Mount seorang pemain tengah yang bijak. Dia sangat
memahami tentang strategi dan taktikal permainan. Dia bukan sahaja boleh
bergerak di sebelah sisi tetapi juga berperanan sebagai pemain nombor 10. Saya
percaya dia akan muncul sebagai `superstar’ suatu hari nanti”, kata Mourinho
kepada The Times.
Serba Boleh
Ya, seperti yang dikatakan
Mourinho dua tahun lalu, Mount merupakan pemain tengah serba boleh. Beliau bukan sahaja boleh beroperasi di sisi
kanan atau kiri, berperanan sebagai pemain nombor 10 tetapi juga ada kalanya
digunakan Chelsea sebagai `false nine’ mereka. Melihat kepada kerja-kerja yang
dilakukannya bersama Chelsea, tampak seperti Mount akan digunakan Ten Hag sebagai
salah seorang dari tiga pemain yang beroperasi di belakang penyerang tengah
(jika United berjaya mendapatkan khidmatnya).
Bagaimanapun United sudah ada pemain-pemain
seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho, Antony dan Jadon
Sancho. Jadi apa yang boleh anda bayangkan ialah, Mount akan diletakkan Ten Hag
pada posisi yang lebih ke belakang, meskipun beliau sebenarnya seorang pemain tengah
yang memiliki lebih naluri menyerang berbanding bertahan. Untuk itu, Mount akan
beroperasi bersama Casemiro sebagai dua pemain tengah yang mampu melakukan
hantaran-hantaran progresif dari `defensive zone’.
Pengganti Eriksen
Musim lalu, peranan ini
sebenarnya dipikul oleh Christian Eriksen atau Marcel Sabitzer. Bagaimanapun
dengan usia Eriksen yang bakal menjangkau 32 tahun, manakala Sabitzer pula
kembali menyertai Bayern Munich selepas tempoh pinjaman selama enam bulannya
tamat, Ten Hag melihat Mount sebagai pemain yang mampu meningkatkan kualiti
jentera tengah United selain faktor umur dan fleksibiliti dalam permainannya. Musim
2022/23 merupakan musim terburuk Chelsea, yang bukan sahaja menjejaskan
penampilan Mount tetapi juga keseluruhan skuad.
Tetapi sebelum itu cuba anda
lihat statistik beliau pada musim sebelumnya (2021/22). Sepanjang kempen musim
2021/22, Mount mencatatkan lebih 2000 minit permainan untuk Chelsea, dan dari
jumlah tersebut beliau mencatatkan purata 6.25 hantaran progresif, 2.21 `key
passes’, 0.26 `expected assist’ dan 4.53 `shot creating actions’ per
perlawanan. Dalam peranan yang lebih ofensif pada formasi 3-4-2-1 yang
digunakan Thomas Tuchel, Mount menjaringkan 13 gol dan mencipta 16 bantuan gol
dari 53 penampilan keseluruhan beliau pada musim 2021/22.
Dalam peranan sebagai pemain
nombor 8 yang digalas Eriksen sebelum ini, kehadiran Mount mampu menjadikan
jentera tengah United lebih dinamik menerusi kualiti kawalan bola yang beliau
miliki, jarak hantaran dan visi beliau dalam mengawal tempo permainan. Jika
Eriksen sangat dikenali kerana kepakaran beliau sebagai seorang `playmaker’ dan
`set-pieces’nya, Mount pula seorang pemain tengah yang sangat dikenali kerana
intensiti tinggi dalam permainannya, `work rate’ dan kualiti kerja-kerja
bertahan yang dilakukannya.
Peranan Defensif dan Ofensif
Jika beliau diberikan peranan
yang lebih ofensif pula, Mount bukanlah tipikal pemain nombor 10 Inggeris yang
sering anda lihat. Kemahiran beliau ketika mengawal bola sering membingungkan
pemain lawan, tambahan pula Mount memiliki kekuatan pada kedua-dua belah
kakinya. Di sisi kiri mahupun kanan ketika beliau bergerak, Mount merupakan
perancang yang sangat berbahaya di zon `final third’, sama ada menerusi
hantaran yang dilakukannya atau ketika beliau memecah pertahanan lawan menerusi
pergerakan dengan bola atau tanpa bolanya.
Jika Chelsea akhirnya menyerah
dengan melepaskan Mount berpindah ke Old Trafford, apa yang boleh anda
bayangkan ialah beliau akan membentuk gandingan bersama Casemiro dengan peranan
yang lebih defensif, manakala Bruno Fernandes pula beroperasi sebagai pemain
nombor 10. Musim lalu, United bermain dengan gaya dan pendekatan yang berbeza.
Adakalanya mereka bermain bolasepak menyerang, dan adakalanya juga mereka
bermain dengan pendekatan yang agak pragmatik, imej yang sangat kontras dengan
gaya bolasepak Ten Hag.
Musim depan Ten Hag mahu
melakukan perubahan total kerana bagi beliau, United mesti bermain bolasepak
berorientasikan penguasaan bola. Jadi atas sebab itulah mengapa pemain tengah
dengan profil seperti Mount perlu ada dalam skuad United musim hadapan. Peranan
dan fleksibiliti permainan Mount memberikan Ten Hag pilihan taktikal yang lebih
luas, kerana pemain England itu bukan sahaja boleh beroperasi bersama Casemiro,
tetapi juga mampu memberikan keseimbangan ketika menyerang bersama Fernandes.
Penutup
Di Chelsea, Mount merupakan
pemain tengah yang mampu melakukan kerja-kerja defensif sama baik dengan
kerja-kerja ofensifnya. Anda boleh labelkan beliau sebagai antara `virus’ yang
menyebabkan Thomas Tuchel dipecat, tetapi menurut Lampard, Mount memiliki
ambisi untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. “Ambisinya ialah untuk
menjadi pemain terbaik dunia suatu hari nanti. Di atas padang dia pemain penting
kami dan ketika sesi latihan, dia akan berlatih seolah-olah ini adalah sesi
latihan terakhirnya”, kata Lampard kepada The Athletic.
Bagi Lampard, Mount merupakan pemain
penting untuk Chelsea, begitu juga dengan Gareth Southgate ketika pemain itu
melapor diri untuk tugasan bersama skuad kebangsaan England. Sama ada ketika
menyarung jersi biru Chelsea atau ketika bersama skuad `The Three Lions’, Mount
adalah definisi tentang kestabilan di bahagian tengah mereka menerusi kemampuan
menyerang dan bertahan yang dimilikinya. Atas sebab itu jugalah mengapa beliau
menjadi sasaran nombor satu Ten Hag. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan