10 Disember 2009

Fergie Tak Kisah Siapa Lawan United

http://d.yimg.com/a/p/ap/20091208/capt.0f9c76d70e974a37af8540d92291a178.germany_soccer_champions_league_wob106.jpg
Selepas melayakkan diri ke peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah, Sir Alex Ferguson tidak mahu terlalu memikirkan siapa lawan United dalam pusingan kalah mati nanti. United layak selepas muncul juara Kumpulan B dan akan diundi menentang kelab yang menduduki tangga kedua dari tujuh kumpulan yang lain. United berdepan prospek menentang kelab-kelab ternama Eropah lain seperti AC Milan, Inter Milan, Porto dan Bayern Munich yang masing-masing menduduki tempat kedua peringkat kumpulan. Bagaimanapun situasi ini tidak sedikitpun meresahkan Ferguson malah pengendali dari Scotland itu menyatakan United sudah bersedia menentang mana-mana pasukan. "Siapapun lawan yang akan diundi menentang kami nanti, kami sudah bersedia. Rekod kami ditempat lawan sejak tiga tahun kebelakangan ini cukup memberangsangkan, jadi saya berharap perkara ini akan membantu kami", kata Ferguson. "Di peringkat seperti ini anda terpaksa menghadapi siapapun lawan anda dan anda harus percaya kualiti pemain yang anda miliki. Kami mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam pertandingan ini dan ramai pemain saya yang masih muda. Saya memiliki pasukan yang hebat", tambah Ferguson lagi.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20091208/capt.a303936859f24d4b92a64fd06faba0f5.germany_soccer_champions_league_jwol103.jpg
Sementara itu, Ferguson memberikan pujian buat Michael Owen yang menghasilkan hatrik pertamanya dalam tempoh empat tahun. Owen membuktikan sentuhan pemusnahnya masih tajam apabila merakamkan hatrik di Volskwagen Arena, Wolfsburg untuk meletakkan United sebagai juara Kumpulan B. Owen seolah-olah memberikan isyarat kepada Fabio Capello agar menyenaraikannya dalam skuad England ke Piala Dunia Afrika Selatan tahun hadapan. Dengan prestasi yang ditunjukkan Owen, dia sepatutunya berada dalam senarai Capello. "Michael membuktikan bahawa dia merupakan salah seorang penyerang terbaik England ketika ini", kata Ferguson. Owen bermain sebanyak lapan kali buat skuad United musim ini dan prestasi yang ditunjukkannya mampu menempatkan dirinya dalam skuad utama England. "Michael membuktikannya di atas padang dan dia memberikan prestasi terbaiknya malam ini (kelmarin). Dari segi pergerakan di dalam kawasan gol lawan dia masih merupakan antara yang terbaik dan kualiti penyudahnya juga hebat. Dia menunjukkan peningkatan ketika sesi latihan dan saya gembira dengan prestasinya" tambah Ferguson.

09 Disember 2009

Perjudian Fergie Berhasil

Manchester United's Michael Owen celebrates after scoring ...
Sir Alex Ferguson melakukan perjudian besar ketika kunjungan pasukannya ke Volskwagen Arena dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Liga Juara-Juara menentang Vfl Wolfsburg awal pagi tadi. United turun dengan skuad serba pincang ekoran kecederaan sebahagian besar pemain terutamanya di benteng pertahanan. Ferguson memulakan perlawanan dengan formasi 3-5-2, satu pertaruhan besar dengan hanya meletakkan tiga pemain dibenteng pertahanan ketika lawan memerlukan kemenangan untuk layak kepusingan kalah mati. Seperti diramalkan Michael Carrick memikul tugas selaku tonggak benteng tengah United diapit Darren Fletcher di sebelah kanan dan Patrice Evra di sebelah kiri manakala Paul Scholes pula tampil selaku pemain tengah bertahan, membantu benteng ketika lawan melakukan serangan. Dengan senarai barisan pemain yang diturunkan, United tampak akan menjadi mangsa juara Jerman itu selepas terpaksa mengenepikan Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Wes Brown, Jonny Evans, John O' Shea, Gary Neville, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, kembar da Silva dan Edwin Van Der Sar akibat kecederaan. "Mengubah sistem permainan merupakan langkah yang cukup berisiko, apalagi Wolfsburg mempunyai dua penyerang berbahaya, Edin Dzeko dan Grafite. Saya fikir menggunakan tiga pemain pertahanan merupakan pilihan yang baik", kata Ferguson. Formasi yang digunakan Ferguson ini sebenarnya cukup memeranjatkan, malah cukup pelik apabila melihat Micheal Carrick dan Darren Fletcher yang sebelum ini bermain di bahagian tengah ditugaskan selaku pemain pertahanan membantu Patrice Evra.
Manchester United's Patrice Evra and Wolfsburg's striker ...
Tetapi itulah yang terpaksa dilakukan Ferguson akibat krisis kecederaan yang begitu meruncing menimpa pasukannya. Untuk menguasai bahagian tengah, Ferguson menurunkan Anderson, Park Ji Sung, Paul Scholes, Nani dan Darron Gibson manakala di bahagian serangan United mempertaruhkan ketajaman Michael Owen dan darah muda Danny Welbeck. Formasi yang sebelum ini sering digunakan kelab-kelab Jerman hampir menjerat United tetapi benteng pertahanan yang diterajui Carrick cemerlang menahan asakan lawan. Lawan akhirnya tersentak dengan gol pembukaan dari Michael Owen, seminit sebelum rehat. Owen bijak menyudahkan hantaran Nani untuk mudah menanduk masuk ke sebelah kiri gawang lawan. Edin Dzeko kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi tandukan diminit ke 55 untuk mengikat kedudukan 1-1. Permainan seimbang selepas itu dengan tuan rumah yang dilihat semakin terdesak cuba mengatur serangan. Keghairahan lawan akhirnya dihukum apabila Owen sekali lagi meletakkan United di hadapan diminit ke 83. Gol berpunca dari gerakan menarik Gabriel Obertan yang menewaskan tiga pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran lintang buat Owen menyudahkan gerakan. Penyerang veteran itu merakamkan hatrik dalam perlawanan ini diminit ke 90 apabila dia yang menerima hantaran Paul Scholes melakukan larian menarik untuk menewaskan Andrea Barzagli buat kali ketiga. Dengan kekalahan ini, Wolfsburg gagal melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas CSKA Moscow menewaskan Besiktas di Istanbul.

08 Disember 2009

Krisis Kecederaan Pemain Pertahanan

http://d.yimg.com/a/p/ap/20091128/capt.31257bd5252246909cee490f9a766cce.britain_soccer_premier_league_llp109.jpg
Manchester United dilanda krisis kecederaan serius barisan pertahanannya menjelang pertembungan peringkat kumpulan, Liga Juara-Juara awal pagi nanti. United akan berkunjung ke Wolfsburg dengan misi mengekalkan kedudukan mereka sebagai peneraju Kumpulan B. Semua pemain pertahanan United kecuali Patrice Evra mengalami kecederaan bermula dengan Rio Ferdinand, Jonny Evans, John O'Shea, Nemanja Vidic, Gary Neville dan Wes Brown. Tambah memburukkan keadaan kecergasan Wayne Rooney juga diragui akibat kecederaan hamstring ketika pertemuan dengan West Ham hujung minggu lalu manakala Dimitar Berbatov mengalami kecederaan lutut. United telah memastikan tempat ke pusingan kalah mati manakala Wolfsburg memerlukan tiga mata berharga untuk layak bersama United. Sebarang keputusan selain dari kemenangan dan jika CSKA Moscow menang ke atas Besiktas, bermakna juara Jerman itu akan tersingkir dari 16 pasukan terbaik.
http://newsimg.bbc.co.uk/media/images/46796000/jpg/_46796535_carrick282.jpg
Ferguson dijangka memberi penampilan pertama buat pertahanan berusia 19 tahun, Oliver Gill dalam perlawanan ini namun pemain muda itu dilihat masih terlalu cetek pengalaman untuk beraksi di peringkat Eropah. Michael Carrick pastinya menjadi pilihan Ferguson untuk menampung kekosongan dibenteng pertahanan tengah sepertimana yang dilakukannya ketika pertemuan dengan West Ham minggu lalu dan Carrick dilihat melaksanakan tugasnya dengan berkesan selaku benteng tengah United bersama Patrice Evra dalam perlawanan itu. "Tiada berita baik dari senarai pemain yang cedera. Kami kehilangan ramai pemain dan harus mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. John O'Shea dan Jonny Evans tidak akan bermain sehingga Januari hadapan manakalan Fabio dan Rafael da Silva tidak akan bermain sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu. Yang mampu kami harapkan agar Wes Brown segera sembuh", kata Ferguson.

07 Disember 2009

Fergie Hairan Dengan Kemenangan United

Paul Scholes of Manchester United celebrates after putting his side in front against West Ham
Sir Alex Ferguson hairan melihat Manchester United mampu menjaringkan 4 gol di Boleyn Ground meskipun mereka sebenarnya tidak berada pada prestasi terbaik. Setakat ini United telah menjaringkan 11 gol dari tiga perlawanan terakhir mereka. Sebelum ini United menewaskan Everton 3-0 di Old Trafford dan kemudiannya membenam cabaran Portsmouth 4-1 di Fratton Park. United dilihat serba pincang ketika kunjungan mereka ke Boleyn Ground tanpa khidmat Nemanja Vidic, Jonny Evans dan Rio Ferdinand akibat kecederaan. Wes Brown yang digandingkan bersama Gary Neville dalam perlawanan itu juga sebenarnya masih belum pulih dari kecederaan. Tambah memburukkan keadaan, Ferguson terpaksa menarik keluar Gary Neville diminit ke 34 yang tercedera dan meletakkan Michael Carrick di benteng pertahanan tengah bersama Patrice Evra. Bagi menangani masalah kecederaan benteng pertahanan pasukannya, Ferguson turun dengan formasi 4-5-1 dan ternyata taktik ini cukup berkesan apabila United memperolehi gol pembukaan melalui Paul Scholes diminit ke 45. Ferguson menghamburkan pujian buat Patrice Evra yang begitu rajin membantu serangan dan kemudiannya pantas kembali bertahan ketika lawan kembali menyerang. Nyata, corak permainan Evra berjaya menganggu rentak The Hammers sehingga membolehkan barisan tengah dan serangan United terus mengancam kubu lawan.
Patrice Evra of Manchester United moves in on Jack Collison of West Ham United
United menambah gol kedua menerusi pemain muda mereka, Darron Gibson diminit ke 61 melalui rembatan kencang dari jarak 25 meter. Gol itu mirip kepada dua gol yang dihasilkan Gibson ketika United menang ke atas Tottenham Hotspurs di peringkat suku akhir Piala Carling minggu lalu. Luis Antonio Valencia terus meletakkan United selesa di hadapan apabila memanfaatkan hantaran lintang Anderson diminit ke 70. Bintang Ecuador itu mudah menolak masuk dari jarak dekat untuk menewaskan Robert Green buat kali ketiga. Seminit selepas itu giliran Wayne Rooney pula mencatat nama sebagai penjaring apabila kali ini dalam situasi yang sama dia menyudahkan hantaran lintang Valencia dari sebelah kanan untuk mudah menewaskan Green. "Krisis kecederaan pemain pertahanan membuatkan saya sakit kepala. Carrick yang mengantikan Neville bermain dengan cukup cemerlang. Dia memiliki ketenangan mengawal benteng dan kami bermain dengan cukup baik diseparuh masa kedua. Kami menggunakan sepenuhnya pengalaman kami", kata Ferguson. "Evra mungkin merupakan pemain pertahanan tengah paling kecil di dunia namun dia mampu membaca permainan dengan baik. Dia pantas dan bertenaga", tambah Ferguson lagi. Dengan kemenangan ini, United kini hanya dibezakan dua mata dari peneraju liga, Chelsea selepas skuad Carlo Ancelotti itu tewas 1-2 ditangan Manchester City di Eastlands.

04 Disember 2009

Isyarat Fabiano

http://www.elpais.com/recorte/20071209elpepudep_16/LCO340/Ies/Luis_Fabiano.jpg
Penyerang Sevilla, Luis Fabiano melahirkan kekagumannya terhadap kemampuan Sir Alex Ferguson membimbing Manchester United selama 22 tahun pengurus itu berada di Old Trafford. Fabiano juga amat tertarik dengan prestasi United di bawah pengurusan Ferguson. Perkara ini menimbulkan spekulasi bahawa Fabiano akan memilih Old Trafford sebagai destinasi terbaru jika dia berhasrat berhijrah dari Sevilla menjelang musim permindahan Januari depan. Kelibat Fabiano turut menjadi minat AC Milan yang berharap dapat membawa pemain itu ke San Siro. Khabar ini tentunya menjadi berita buruk buat Milan yang menjadikan Fabiano sebagai sasaran utama mereka menjelang Januari ini. Untuk rekod, Milan pernah cuba mendapatkan Fabiano musim lalu tetapi penyerang antarabangsa Brazil itu memilih untuk kekal di Sevilla. Diberitakan, Milan sudah bersedia menjual penyerang mereka, Klaas-Jan Huntelaar semata-mata untuk mendapatkan khidmat Fabiano sebagai ganti.

Kenyataan yang dikeluarkan Fabiano ini juga merupakan isyarat buat Milan bahawa dirinya tidak akan berhijrah ke San Siro. Fabiano menganggap United sebagai sebuah kelab yang besar dan pasukan yang cukup sempurna. Fabiano juga mengakui bahawa corak permainannya lebih serasi dengan United dan yakin mampu menyesuaikan diri dengan karakter pasukan itu. "Saya melihat Manchester United sebagai sebuah pasukan yang mempunyai gaya permainan sangat menarik terutama melalui corak hantaran yang mereka lakukan. Saya fikir adalah lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan seperti Manchester United", kata Fabiano. Fabiano turut melahirkan rasa kagumnya dengan corak permainan yang diterapkan Ferguson. "Saya sangat mengagumi Sir Alex Ferguson. Dia sudah lama melatih United dan banyak kejuaraan yang telah dimenanginya", tambah Fabiano lagi. Fabiano mula menjadi perhatian kelab-kelab utama Eropah selepas muncul penjaring terbanyak dalam Kejohanan Piala Konfederasi, Mei lalu.

02 Disember 2009

Gibson Bawa United ke Separuh Akhir

http://d.yimg.com/a/p/ap/20091201/capt.e3104dc59e4a43e1814dd65eacffca8d.britain_soccer_league_cup_mjs113.jpg
Manchester United melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Carling selepas berjaya menundukkan Tottenham Hotspurs 2-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Terima kasih atas dua jaringan yang dihasilkan pemain muda mereka, Darron Gibson di separuh masa pertama. United menurunkan barisan kedua mereka dalam perlawanan ini dengan mempertaruhkan empat pemain muda dalam kesebelasan utama. Ritchie de Laet, Danny Welbeck, Darron Gibson dan Gabriel Obertan nyata tidak menghampakan apabila mempamerkan persembahan bertenaga untuk memukau skuad kendalian Harry Redknapp yang jelas gagal menyaingi kepantasan tempo permainan United. Gibson yang menerima hantaran Anderson meletakkan tuan rumah di depan diminit ke 16 apabila rembatannya dari jarak 27 meter gagal diselamatkan Huerelho Gomes. Selepas ketinggalan, pelawat cuba mengancam kubu United melalui gandingan Jermaine Jenas, Jermain Defoe dan David Bentley tetapi Nemanja Vidic nyata berada dalam kelas tersendiri ketika mengetuai benteng United. Peluang terbaik pelawat hadir diminit ke 30 melalui Robbie Keane tetapi gerakan kapten Spurs itu yang berjaya dihalang Vidic dihadapan gawang.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20091201/capt.5b31817f0aad4cc2b31035e36b0e8015.britain_soccer_league_cup_mjs111.jpg
Selepas agak leka mengatur serangan, pelawat mendapati gawang mereka bocor lagi diminit ke 38. Gibson yang bertukar hantaran dengan Welbeck melepaskan rembatan dari jarak 25 meter ke sebelah kiri gawang untuk sekali lagi menewaskan Gomes. Selepas mendahului dengan dua gol, pemain-pemain United dilihat mengendurkan tempo permainan dengan bertukar-tukar hantaran pendek sesama sendiri. Bersambung di babak kedua, Spurs mula menggandakan asakan untuk mengurangkan defisit jaringan manakala United dilihat agak sukar menguasai bahagian tengah padang. Mereka akhirnya menukar taktik dengan melakukan hantaran-hantaran jauh buat Dimitar Berbatov dan Welbeck dibahagian depan tetapi gagal menambah jaringan. Dengan kemenangan itu, Ferguson membuktikan bahawa langkahnya memberi pendedahan kepada pemain muda akhirnya membuahkan hasil. Bagi Gary Neville pula pemain-pemain muda United telah membuktikan kualiti mereka dalam perlawanan ini dan hanya menunggu masa mengetuk pintu dalam skuad utama. "Ada antara mereka telah bermain untuk negara masing-masing dan mereka memang layak berada di sini. Mereka memiliki kualiti dan saya lihat mereka terus berkembang", kata Neville.

01 Disember 2009

Fergie Sekadar Turunkan Skuad Kedua