Manchester United melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Carling selepas berjaya menundukkan Tottenham Hotspurs 2-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Terima kasih atas dua jaringan yang dihasilkan pemain muda mereka, Darron Gibson di separuh masa pertama. United menurunkan barisan kedua mereka dalam perlawanan ini dengan mempertaruhkan empat pemain muda dalam kesebelasan utama. Ritchie de Laet, Danny Welbeck, Darron Gibson dan Gabriel Obertan nyata tidak menghampakan apabila mempamerkan persembahan bertenaga untuk memukau skuad kendalian Harry Redknapp yang jelas gagal menyaingi kepantasan tempo permainan United. Gibson yang menerima hantaran Anderson meletakkan tuan rumah di depan diminit ke 16 apabila rembatannya dari jarak 27 meter gagal diselamatkan Huerelho Gomes. Selepas ketinggalan, pelawat cuba mengancam kubu United melalui gandingan Jermaine Jenas, Jermain Defoe dan David Bentley tetapi Nemanja Vidic nyata berada dalam kelas tersendiri ketika mengetuai benteng United. Peluang terbaik pelawat hadir diminit ke 30 melalui Robbie Keane tetapi gerakan kapten Spurs itu yang berjaya dihalang Vidic dihadapan gawang.
Selepas agak leka mengatur serangan, pelawat mendapati gawang mereka bocor lagi diminit ke 38. Gibson yang bertukar hantaran dengan Welbeck melepaskan rembatan dari jarak 25 meter ke sebelah kiri gawang untuk sekali lagi menewaskan Gomes. Selepas mendahului dengan dua gol, pemain-pemain United dilihat mengendurkan tempo permainan dengan bertukar-tukar hantaran pendek sesama sendiri. Bersambung di babak kedua, Spurs mula menggandakan asakan untuk mengurangkan defisit jaringan manakala United dilihat agak sukar menguasai bahagian tengah padang. Mereka akhirnya menukar taktik dengan melakukan hantaran-hantaran jauh buat Dimitar Berbatov dan Welbeck dibahagian depan tetapi gagal menambah jaringan. Dengan kemenangan itu, Ferguson membuktikan bahawa langkahnya memberi pendedahan kepada pemain muda akhirnya membuahkan hasil. Bagi Gary Neville pula pemain-pemain muda United telah membuktikan kualiti mereka dalam perlawanan ini dan hanya menunggu masa mengetuk pintu dalam skuad utama. "Ada antara mereka telah bermain untuk negara masing-masing dan mereka memang layak berada di sini. Mereka memiliki kualiti dan saya lihat mereka terus berkembang", kata Neville.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan