Sir Alex Ferguson melakukan perjudian besar ketika kunjungan pasukannya ke Volskwagen Arena dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Liga Juara-Juara menentang Vfl Wolfsburg awal pagi tadi. United turun dengan skuad serba pincang ekoran kecederaan sebahagian besar pemain terutamanya di benteng pertahanan. Ferguson memulakan perlawanan dengan formasi 3-5-2, satu pertaruhan besar dengan hanya meletakkan tiga pemain dibenteng pertahanan ketika lawan memerlukan kemenangan untuk layak kepusingan kalah mati. Seperti diramalkan Michael Carrick memikul tugas selaku tonggak benteng tengah United diapit Darren Fletcher di sebelah kanan dan Patrice Evra di sebelah kiri manakala Paul Scholes pula tampil selaku pemain tengah bertahan, membantu benteng ketika lawan melakukan serangan. Dengan senarai barisan pemain yang diturunkan, United tampak akan menjadi mangsa juara Jerman itu selepas terpaksa mengenepikan Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Wes Brown, Jonny Evans, John O' Shea, Gary Neville, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, kembar da Silva dan Edwin Van Der Sar akibat kecederaan. "Mengubah sistem permainan merupakan langkah yang cukup berisiko, apalagi Wolfsburg mempunyai dua penyerang berbahaya, Edin Dzeko dan Grafite. Saya fikir menggunakan tiga pemain pertahanan merupakan pilihan yang baik", kata Ferguson. Formasi yang digunakan Ferguson ini sebenarnya cukup memeranjatkan, malah cukup pelik apabila melihat Micheal Carrick dan Darren Fletcher yang sebelum ini bermain di bahagian tengah ditugaskan selaku pemain pertahanan membantu Patrice Evra.
Tetapi itulah yang terpaksa dilakukan Ferguson akibat krisis kecederaan yang begitu meruncing menimpa pasukannya. Untuk menguasai bahagian tengah, Ferguson menurunkan Anderson, Park Ji Sung, Paul Scholes, Nani dan Darron Gibson manakala di bahagian serangan United mempertaruhkan ketajaman Michael Owen dan darah muda Danny Welbeck. Formasi yang sebelum ini sering digunakan kelab-kelab Jerman hampir menjerat United tetapi benteng pertahanan yang diterajui Carrick cemerlang menahan asakan lawan. Lawan akhirnya tersentak dengan gol pembukaan dari Michael Owen, seminit sebelum rehat. Owen bijak menyudahkan hantaran Nani untuk mudah menanduk masuk ke sebelah kiri gawang lawan. Edin Dzeko kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi tandukan diminit ke 55 untuk mengikat kedudukan 1-1. Permainan seimbang selepas itu dengan tuan rumah yang dilihat semakin terdesak cuba mengatur serangan. Keghairahan lawan akhirnya dihukum apabila Owen sekali lagi meletakkan United di hadapan diminit ke 83. Gol berpunca dari gerakan menarik Gabriel Obertan yang menewaskan tiga pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran lintang buat Owen menyudahkan gerakan. Penyerang veteran itu merakamkan hatrik dalam perlawanan ini diminit ke 90 apabila dia yang menerima hantaran Paul Scholes melakukan larian menarik untuk menewaskan Andrea Barzagli buat kali ketiga. Dengan kekalahan ini, Wolfsburg gagal melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas CSKA Moscow menewaskan Besiktas di Istanbul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan