24 Disember 2009

Diouf Perolehi Permit Kerja

http://fotball.adressa.no/multimedia/archive/00071/diouf_71825d.jpg
Bahagian serangan Manchester United akan diperkuatkan menjelang tahun baru dengan kehadiran penggempur muda dari Senegal, Mame Biram Diouf. Diouf yang dibeli United dari kelab Norway, FK Molde musim panas lalu telah memperolehi permit kerja dan dijangka akan menyertai pasukan pada Januari hadapan. Ironinya United juga pernah mendapatkan khidmat Ole Gunnar Solskjaer dari kelab Norway itu. Walaupun telah menandatangani Diouf pertengahan tahun ini, United terpaksa menanti khidmat penyerang Senegal itu selama enam bulan kerana masalah permit kerja. Sepanjang tempoh itu, Diouf dipinjamkan kepada kelab asalnya dan sempat menjaringkan 34 gol dari 75 perlawanan untuk Molde. "Kami menerima khabar gembira kerana Diouf telah memperolehi permit kerja dan kami akan menggunakan khidmatnya menjelang tahun baru nanti. Ketika ini dia begitu bersemangat dan telah mula menjalani latihan bersama kami", kata Sir Alex Ferguson. Ferguson menilai Diouf sebagai penyerang yang cukup matang meskipun baru berusia 22 tahun. "Jika anda mahu memperkatakan mengenai penyerang berbakat, anda perlu lihat kepada pemain muda kami, Diouf", tambah Ferguson lagi.

23 Disember 2009

Neville: Chelsea, Berhentilah Mengeluh

http://images.teamtalk.com/09/07/800x600/Gary-Neville-new-shirt_2338469.jpg
Kapten Manchester United, Gary Neville menjangka bahawa Chelsea tidak akan terjejas dengan kehilangan empat pemain utama mereka yang akan mewakili negara masing-masing dalam Kejohanan Piala Negara Afrika bulan depan. Chelsea akan kehilangan khidmat Didier Drogba, Salomon Kalou, Michael Essein dan John Obi Mikel kerana mewakili Ivory Coast, Ghana dan Nigeria dalam kejohanan itu. Menurut Neville, ketiadaan keempat-empat pemain itu tidak akan menjejaskan kekuatan skuad The Blues, jadi dia mahu agar Chelsea segera berhenti mengeluh. Empatbelas pasukan dalam Liga Perdana Inggeris termasuk Chelsea akan kehilangan khidmat pemain dari Afrika menjelang Januari hadapan kerana mewakili negara masing-masing dalam kejohanan tersebut yang akan bermula pada 10 Januari 2010. Chelsea agak keberatan melepaskan keempat-empat pemainnya itu memandangkan saingan merebut kejuaraan liga semakin sengit dan prestasi tidak menentu pasukan itu sejak kebelakangan ini tambah meresahkan pihak pengurusan di Stamford Bridge. Mereka khuatir jika ketiadaan empat pemainnya itu akan menjejaskan kedudukan mereka di tangga teratas liga.

Walaupun mempunyai kelebihan empat mata di tangga teratas, Chelsea dilihat bergelut dengan prestasi mereka sendiri dan hanya meraih empat mata dari empat perlawanan terakhir mereka. Minggu lalu, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu memerlukan jaringan penalti kontroversi dari Frank Lampard untuk sekadar seri 1-1 dengan West Ham di Boleyn Ground. Neville berpendapat Chelsea sepatutnya telah bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika mereka mengambil pemain dari luar. "Chelsea tahu ketika mereka mendapatkan khidmat beberapa pemain dari Afrika, mereka akan berdepan kemungkinan kehilangan khidmat pemain dari benua itu ketika Piala Negara Afrika berlangsung, jadi saya berharap mereka segera berhenti mengeluh", kata Neville. "Chelsea akan kehilangan pemain seperti Drogba dan Essien, tetapi saya rasa mereka tidak akan terjejas dengan perkara ini. Mereka hanya kehilangan pemain-pemain ini selama tiga atau empat minggu sahaja manakala kami pula sudah kehilangan tujuh pemain pertahanan bulan ini", tambah Neville lagi.

16 Disember 2009

United Kembali Di Landasan Kemenangan

Michael Mancienne of Wolverhampton Wanderers challenges Wayne Rooney of Manchester United
Manchester United kembali dilandasan kemenangan selepas berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-0 di Old Trafford awal pagi tadi. United kini berkongsi mata bersama pendahulu, Chelsea dengan 37 mata tetapi skuad The Blues itu mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan. Chelsea bagaimanapun berpeluang menjarakkan pungutan mata apabila menerima kunjungan Portsmouth di Stamford Bridge awal pagi esok. Wolves yang dibimbing Mick McCarthy gagal melakukan kejutan seperti yang mereka lakukan di White Hart Lane minggu lalu apabila diasak sejak awal permainan lagi. United yang tewas kepada Aston Villa tiga hari lalu turun dengan misi mencari tiga mata bagi memberikan tekanan kepada Chelsea dan hampir mendahului menerusi Wayne Rooney tetapi percubaan dalam kotak penalti berjaya ditampan Marcus Hahnemann. Diminit ke 26, United sekali lagi terlepas peluang keemasan apabila tendangan Nemanja Vidic berhampiran pintu gol sekadar melewati palang.

Selepas berjaya bertahan selama setengah jam, kubu Wolves akhirnya bocor apabila United dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Wayne Rooney. Steve Bennet tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada United selepas Ronald Zubar menyentuh bola dengan tangan dari sepakan sudut Darron Gibson. Kubu Wolves runtuh lagi diminit ke 44 apabila tandukan Nemanja Vidic hasil sepakan sudut Darron Gibson gagal diselamatkan Hahnemann. Beberapa minit selepas itu Gabriel Obertan hampir meletakkan United mendahului 3-0 tetapi percubaannya dari sebelah kiri berjaya ditepis keluar Hahnemann. Memasuki babak kedua permainan, United dilihat memperlahankan tempo permainan, tetapi tetap berjaya beberapa kali mencemaskan benteng pelawat melalui gerakan Obertan dan Rooney. Akhirnya Luis Antonio Valencia berjaya menjaringkan gol ketiga United diminit ke 66 melalui gerakan bersama Dimitar Berbatov dan kedudukan kekal hingga tamat permainan.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Sunderland (0) lwn Aston Villa (2)
Birmingham City (2) lwn Blackburn Rovers (1)
Bolton Wanderers (3) lwn West Ham (1)

15 Disember 2009

Vidic: United Dulu, Piala Dunia Kemudian

http://images.teamtalk.com/09/10/800x600/Nemanja-Vidic_2375918.jpg
Tonggak pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic mahu memberikan sepenuh perhatian kepada kempen United musim ini sebelum memikirkan Kejohanan Piala Dunia di Afrika Selatan, Oktober tahun hadapan. Berbeza dengan pemain-pemain lain yang begitu teruja menanti tibanya detik kejohanan paling ulung bola sepak dunia itu, Vidic menegaskan bahawa fokus utamanya ketika ini hanyalah membantu United mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut dan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi selepas dikecewakan Barcelona musim lalu. "Masih banyak waktu untuk Piala Dunia, jadi ketika ini saya hanya mahu menumpukan pada perlawanan-perlawanan besar yang bakal dilalui bersama Manchester United", kata Vidic. Vidic yang diturunkan ketika United tewas kepada Aston Villa hujung minggu lalu selepas pulih dari selesema akan menjadi sandaran utama Sir Alex Ferguson ketika menanti kunjungan Wolverhampton awal pagi nanti.

Walaupun lawan berada di kelompok bawahan, United harus berhati-hati menangani ancaman anak-anak buah Mick McCarthy, terutama selepas mereka mengejutkan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane minggu lalu. Vidic juga mahukan agar rakan-rakan sepasukannya menampilkan semula perwatakan sebenar mereka dan segera melupakan kekalahan kepada Villa. "Ini merupakan peluang terbaik kami untuk memulihkan semula keyakinan. Amat penting selepas tewas anda beraksi secepat mungkin agar anda boleh bermain dengan lebih baik dan memperbaiki kesilapan", tambahnya lagi. Sepertimana minggu lalu, Ferguson pastinya akan meletakkan Patrice Evra, Nemanja Vidic, Wes Brown dan Darren Fletcher di benteng manakala Paul Scholes, Luis Antonio Valencia, Park Ji Sung dan Michael Carrick dijangka menguatkan bahagian tengah sementara Wayne Rooney bersama Dimitar Berbatov selaku penggempur. Tiada keputusan lain selain kemenangan perlu dicapai oleh United dalam perlawanan ini bagi meneruskan tekanan mereka terhadap Chelsea yang mendahului takhta liga.

14 Disember 2009

Giggs Dipilih Sebagai Personaliti Sukan BBC 2009

Ryan Giggs won the BBC Sports Personality of the Year award
Ryan Giggs dipilih sebagai Personaliti Sukan Tahun 2009 BBC menewaskan juara dunia Formula 1, Jenson Button dan atlet heptathlon, Jessica Enis. "Saya berterima kasih kepada BBC dan anda semua yang telah memilih saya. Ianya sukar untuk dipercayai, saya terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa", kata Giggs selepas diumumkan sebagai pemenang. Menurut Giggs dia tidak terfikir sama sekali akan memenangi anugerah itu. "Adalah sesuatu yang luarbiasa apabila saya berada dalam acara seperti ini dan ianya sukar untuk dipercayai", tambah Giggs lagi. Ini merupakan anugerah kedua yang diterimanya tahun ini kerana sebelum ini pemain yang mencipta rekod penampilan sebanyak 821 kali untuk United juga telah dipilih sebagai Olahragawan Wales. Dalam ucapannya, Giggs turut merakamkan penghargaan buat Sir Alex Ferguson, individu yang telah banyak memainkan peranan penting dalam kariernya. "Saya antara yang paling beruntung kerana telah memenangi banyak kejuaraan sepanjang karier saya. Saya juga amat beruntung kerana bermain di bawah tunjuk ajar seorang jurulatih terhebat dalam sejarah dan berada di kelab yang hebat", kata Giggs lagi.

13 Disember 2009

Kejutan Villa

Gabriel Agbonlahor of Aston Villa scores the opening goal
Manchester United gagal mengambil kesempatan atas keputusan seri yang dicatat Chelsea apabila tewas kepada Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi. United berpeluang merampas kedudukan teratas liga dari skuad The Blues jika menang di Old Trafford tetapi gol Gabriel Agbonlahor diminit ke 21 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan. Ferguson memulakan permainan dengan formasi 4-4-1-1 selepas Wes Brown dan Nemanja Vidic kembali memperkuatkan benteng dan Michael Carrick diletakkan semula ke bahagian tengah. Tampil ditempat sendiri, United mula mengasak kubu Villa sejak awal permainan tetapi kesungguhan anak-anak buah Matin O'Niell menyekat gerakan-gerakan United wajar diberikan pujian. Gerakan-gerakan United ke pintu gol lawan sering berjaya dipatahkan benteng Villa yang diterajui David Dunne. United akhirnya dikejutkan pelawat diminit ke 21 apabila Agbonlahor berjaya menanduk masuk hantaran Ashley Young dari sebelah kanan untuk mudah menewaskan Tomasz Kuszczak di gawang.
Stephen Warnock of Aston Villa tackles Antonio Valencia of Manchester United
Selepas ketinggalan, United menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan diminit ke 31 Wayne Rooney hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatan dari jarak dekatnya sekadar singgah di palang gol. Peluang untuk menyamakan kedudukan kembali hadir diminit ke 38 melalui Ryan Giggs tetapi sepakan pemain veteran itu yang menerima umpanan Darren Fletcher tersasar di sebelah kanan gawang lawan. Memasuki babak kedua permainan, United terus menekan kubu Villa dan Rooney sekali lagi memperolehi peluang keemasan di minit ke 49, tetapi rembatan lemahnya berjaya diselamatkan Brad Friedel. Menyedari pasukannya perlukan gol, Ferguson menggunakan tiga penyerang sepanjang 30 minit terakhir permainan dengan memasukkan Michael Owen dan Dimitar Berbatov tetapi jentera serangan United terus buntu menemui sasaran. Corak permainan bertahan Villa yang adakalanya meletakkan hampir kesemua pemain mereka di kawasan sendiri tambah menyukarkan tugas United mencari gol penyamaan dan kedudukan kekal memihak lawan sehingga tamat permainan.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Stoke City (2) lwn Wigan Athletic (2)
Birmingham City (1) lwn West Ham United (0)
Bolton Wanderers (3) lwn Manchester City (3)
Burnley (1) lwn Fulham (1)
Chelsea (3) lwn Everton (3)
Hull City (0) lwn Blackburn (0)
Sunderland (1) lwn Portsmouth (1)
Tottenham Hotspurs (0) lwn Wolverhampton (1)

12 Disember 2009

Vidic Kembali Perkuatkan United

http://www.independent.co.uk/multimedia/archive/00256/6_256993t.jpg
Nemanja Vidic kembali memperkuatkan benteng United selepas diketepikan dari dua perlawanan akibat selesema. Vidic tidak diturunkan ketika United menentang West Ham dan Wolfsburg minggu lalu yang menyaksikan posisinya diisi pemain tengah, Michael Carrick. Kehadiran semula Vidic pastinya melegakan Sir Alex Ferguson yang kehilangan deretan pemain di bahagian pertahanan akibat kecederaan. Walaupun dengan kehadiran semula Vidic, ketiadaan Rio Ferdinand, Gary Neville, John O'Shea dan Jonny Evans memaksa Ferguson meletakkan Carrick di benteng andainya Wes Brown yang mengalami kecederaan buku lali di Boleyn Ground minggu lalu tidak sempat pulih. Kehadiran semula Vidic memang dinantikan bagi memperkuatkan benteng pertahanan menjelang kunjungan Aston Villa ke Old Trafford awal pagi nanti. Skuad Martin O'Niell yang kini menghuni tangga kelima carta liga mampu menjadi penghalang Red Devils dalam usaha mereka mengejar pendahulu Chelsea ketika ini. Musim lalu United memerlukan jaringan minit akhir Federico Macheda untuk menang tipis di Old Trafford.
http://d.yimg.com/a/p/rids/20091205/i/r1082328705.jpg
Prestasi hebat Michael Owen ketika menentang Wolsfburg dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah pasti menjadikannya pilihan Ferguson untuk diletakkan di sisi Wayne Rooney, itupun jika penyerang England itu sudah pulih dari kecederaan hamstring. Bahagian tengah pula akan dibarisi Anderson, Ryan Giggs, Luis Antonio Valencia dan Darron Gibson manakala Darren Fletcher mungkin ditarik ke bawah sekiranya Fabio atau Rafael da Silva masih belum boleh bermain. Selain dari itu, Ferguson mungkin memilih formasi 4-5-1 dengan meletakkan Paul Scholes sebagai defensive midfielder dan membiarkan Owen berseorangan di hadapan sambil dibantu Giggs. Meskipun dibelenggu krisis kecederaan sejak kebelakangan ini, United masih mampu memberi tekanan kepada Chelsea dan hanya dipisahkan dengan dua mata sahaja. Walau bagaimanapun United perlu berhati-hati menangani ancaman Villa terutamanya dari penyerang mereka, Gabriel Agbonlahor dan John Carew.

Barisan Kemungkinan:

Tomasz Kusczack, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Darren Fletcher, Ryan Giggs, Anderson, Darron Gibson, Luis Antonio Valencia, Michael Owen dan Wayne Rooney.