Kapten Manchester United, Gary Neville menjangka bahawa Chelsea tidak akan terjejas dengan kehilangan empat pemain utama mereka yang akan mewakili negara masing-masing dalam Kejohanan Piala Negara Afrika bulan depan. Chelsea akan kehilangan khidmat Didier Drogba, Salomon Kalou, Michael Essein dan John Obi Mikel kerana mewakili Ivory Coast, Ghana dan Nigeria dalam kejohanan itu. Menurut Neville, ketiadaan keempat-empat pemain itu tidak akan menjejaskan kekuatan skuad The Blues, jadi dia mahu agar Chelsea segera berhenti mengeluh. Empatbelas pasukan dalam Liga Perdana Inggeris termasuk Chelsea akan kehilangan khidmat pemain dari Afrika menjelang Januari hadapan kerana mewakili negara masing-masing dalam kejohanan tersebut yang akan bermula pada 10 Januari 2010. Chelsea agak keberatan melepaskan keempat-empat pemainnya itu memandangkan saingan merebut kejuaraan liga semakin sengit dan prestasi tidak menentu pasukan itu sejak kebelakangan ini tambah meresahkan pihak pengurusan di Stamford Bridge. Mereka khuatir jika ketiadaan empat pemainnya itu akan menjejaskan kedudukan mereka di tangga teratas liga.
Walaupun mempunyai kelebihan empat mata di tangga teratas, Chelsea dilihat bergelut dengan prestasi mereka sendiri dan hanya meraih empat mata dari empat perlawanan terakhir mereka. Minggu lalu, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu memerlukan jaringan penalti kontroversi dari Frank Lampard untuk sekadar seri 1-1 dengan West Ham di Boleyn Ground. Neville berpendapat Chelsea sepatutnya telah bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika mereka mengambil pemain dari luar. "Chelsea tahu ketika mereka mendapatkan khidmat beberapa pemain dari Afrika, mereka akan berdepan kemungkinan kehilangan khidmat pemain dari benua itu ketika Piala Negara Afrika berlangsung, jadi saya berharap mereka segera berhenti mengeluh", kata Neville. "Chelsea akan kehilangan pemain seperti Drogba dan Essien, tetapi saya rasa mereka tidak akan terjejas dengan perkara ini. Mereka hanya kehilangan pemain-pemain ini selama tiga atau empat minggu sahaja manakala kami pula sudah kehilangan tujuh pemain pertahanan bulan ini", tambah Neville lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan