Ryan Giggs dipilih sebagai Personaliti Sukan Tahun 2009 BBC menewaskan juara dunia Formula 1, Jenson Button dan atlet heptathlon, Jessica Enis. "Saya berterima kasih kepada BBC dan anda semua yang telah memilih saya. Ianya sukar untuk dipercayai, saya terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa", kata Giggs selepas diumumkan sebagai pemenang. Menurut Giggs dia tidak terfikir sama sekali akan memenangi anugerah itu. "Adalah sesuatu yang luarbiasa apabila saya berada dalam acara seperti ini dan ianya sukar untuk dipercayai", tambah Giggs lagi. Ini merupakan anugerah kedua yang diterimanya tahun ini kerana sebelum ini pemain yang mencipta rekod penampilan sebanyak 821 kali untuk United juga telah dipilih sebagai Olahragawan Wales. Dalam ucapannya, Giggs turut merakamkan penghargaan buat Sir Alex Ferguson, individu yang telah banyak memainkan peranan penting dalam kariernya. "Saya antara yang paling beruntung kerana telah memenangi banyak kejuaraan sepanjang karier saya. Saya juga amat beruntung kerana bermain di bawah tunjuk ajar seorang jurulatih terhebat dalam sejarah dan berada di kelab yang hebat", kata Giggs lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan