Bahagian serangan Manchester United akan diperkuatkan menjelang tahun baru dengan kehadiran penggempur muda dari Senegal, Mame Biram Diouf. Diouf yang dibeli United dari kelab Norway, FK Molde musim panas lalu telah memperolehi permit kerja dan dijangka akan menyertai pasukan pada Januari hadapan. Ironinya United juga pernah mendapatkan khidmat Ole Gunnar Solskjaer dari kelab Norway itu. Walaupun telah menandatangani Diouf pertengahan tahun ini, United terpaksa menanti khidmat penyerang Senegal itu selama enam bulan kerana masalah permit kerja. Sepanjang tempoh itu, Diouf dipinjamkan kepada kelab asalnya dan sempat menjaringkan 34 gol dari 75 perlawanan untuk Molde. "Kami menerima khabar gembira kerana Diouf telah memperolehi permit kerja dan kami akan menggunakan khidmatnya menjelang tahun baru nanti. Ketika ini dia begitu bersemangat dan telah mula menjalani latihan bersama kami", kata Sir Alex Ferguson. Ferguson menilai Diouf sebagai penyerang yang cukup matang meskipun baru berusia 22 tahun. "Jika anda mahu memperkatakan mengenai penyerang berbakat, anda perlu lihat kepada pemain muda kami, Diouf", tambah Ferguson lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan