17 Januari 2010

UNITED TERUS EKORI CHELSEA

Dimitar Berbatov of Manchester United scores the first goal
Trio penyerang Manchester United masing-masing menghasilkan satu gol untuk membolehkan Red Devils meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Burnley 3-0 malam tadi. Dimitar Berbatov, Wayne Rooney dan penyerang yang baru dibeli Mame Biram Diouf meletakkan United kembali ke landasan kemenangan selepas diikat Birmingham City minggu lalu. Kemenangan ini juga membolehkan United terus mengekori rapat Chelsea selaku pendahulu ketika ini dengan perbezaan satu mata. Selepas disingkir Leeds United dari saingan Piala FA dan diikat Birmingham, anak-anak buah Sir Alex Ferguson mahu menjadikan kunjungan Burnley sebagai medan kebangkitan semula mereka disamping menebus semula kekalahan mereka di Turf Moor Ogos lalu. Walau bagaimanapun United dilihat sukar menembusi benteng pelawat sepanjang babak pertama apabila barisan bimbingan Brian Laws mengamalkan permainan secara defensif. United mula menguji gawang pelawat melalui Wayne Rooney diminit ke 5 namun rembatan penyerang antarabangsa England itu berjaya ditampan Brian Jensen. Tiga minit kemudian Jensen sekali lagi menghampakan barisan penggempur United apabila bertindak cemerlang menghalang percubaan Dimitar Berbatov. Di penghujung separuh masa pertama, United hampir menembusi gawang pelawat namun sepakan gunting Nani sedikit tersasar kesebelah kanan gawang.
Wayne Rooney of Manchester United scores the second goal against Burnley
Memulakan aksi separuh masa kedua, United terus mendominasi permainan dan gawang pelawat hampir ditembusi hasil gerakan Dimitar Berbatov diminit ke 56 tetapi rembatan jarak dekatnya sedikit tersasar dari gawang. Ketika rancak melancarkan serangan, benteng United cemas seketika hasil serangan balas pantas pelawat diminit ke 60 namun tolakan David Nugent yang hanya berhadapan dengan Edwin Van Der Sar tidak menepati sasaran. Selepas puas mencuba akhirnya benteng pelawat roboh juga diminit ke 64 hasil jaringan Berbatov. Gol berpunca dari lorongan cantik Rooney yang kemudiannya mudah disempurnakan penyerang antarabangsa Bulgaria itu untuk menewaskan Jensen. Selepas ketinggalan, pelawat kembali membuka permainan dan selang lima minit kemudian giliran Rooney pula meletakkan namanya dalam senarai penjaring. Percubaan Berbatov berjaya ditampan Jensen tetapi Rooney bijak melakukan tindakan susulan hasil bola muntah dengan merembat ke sebelah kanan gawang untuk meletakkan United mendahului 2-0. Selepas selesa mendahului, Ferguson membawa masuk Michael Owen dan Mame Biram Diouf untuk menggantikan Berbatov dan Rooney. Diouf yang dibeli dari kelab Norway, Molde FK membuktikan ketajamannya apabila menutup tirai jaringan United dimasa kecederaan. Pemain muda Senegal itu berjaya melepasi perangkap offside dan mudah menanduk masuk hantaran Antonio Valencia. Ini juga merupakan gol pertamanya dalam dua penampilan bersama United.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Stoke City (1) - Liverpool (1)
Chelsea (7) - Sunderland (2)
Tottenham Hotspurs (0) - Hull City (0)
Wolverhampton (0) - Wigan Athletic (2)
Everton (2) - Manchester City (0)

16 Januari 2010

LATIHAN DI DOHA SEMARAKKAN UNITED


Manchester United kembali dari latihan pusat mereka di Doha, Qatar semalam dengan harapan misi mempertahankan galaran Liga Perdana Inggeris buat musim keempat berturut-turut kembali menyala. United mengalami dua kekalahan dan satu seri dalam enam aksi terakhir mereka dan kunjungan Burnley ke Old Trafford malam ini diharap Ferguson sebagai medan permulaan buat pasukannya kembali bangkit. United terpaksa menjalani latihan di negara Timur Tengah itu sebagai persediaan menghadapi Burnley hari ini akibat cuaca sejuk melampau yang dialami Britain. Latihan selama empat hari di sana juga turut disertai penjaga gol berpengalaman mereka Edwin Van Der Sar yang menyertai semula pasukan selepas menemani isterinya yang diserang strok di Belanda. Jika diturunkan malam ini, ia merupakan penampilan pertama Van Der Sar selepas diberi cuti selama beberapa minggu oleh Ferguson. Kembalinya Van Der Sar ke dalam pasukan turut melegakan Ferguson dan menganggap kepulangan penjaga golnya itu akan membuatkanbarisan United kembali mantap. "Van Der Sar telah kembali berlatih bersama kami selepas direhatkan selama beberapa minggu. Saya sangat gembira dengan kepulangannya kerana dia merupakan salah seorang pemain yang cukup penting buat kami", kata Ferguson.

Sementara itu, pertahanan United, Patrice Evra yakin perebutan trofi Liga Perdana Inggeris yang sengit musim ini akan memihak kepada United akhirnya. Walaupun dilanda krisis kecederaan terutama dibahagian pertahanan ia tidak akan menghalang United dari mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris. "Kami pasti akan berada dipuncak takhta tanpa masalah", kata Evra. Musim ini, United dilanda krisis kecederaan serius pemain-pemain pertahanannya hingga pada satu ketika memaksa Ferguson menurunkan Darren Fletcher dan Michael Carrick dibenteng pertahanan. Walaupun kehilangan sebahagian besar pemain utama, United masih mampu muncul antara pencabar serius dalam perebutan takhta liga dan selepas mengharungi 21 perlawanan, anak-anak buah Ferguson berada di tangga kedua liga. United hanya dibezakan satu mata dari pendahulu ketika ini, Chelsea meskipun skuad The Blues itu mempunyai kelebihan satu perlawanan. Bersandarkan hakikat itu, Evra melihat United sebenarnya memiliki kekuatan luar biasa dan pertahanan antarabangsa Perancis itu yakin, Red Devils hanya menunggu masa untuk menyingkirkan Chelsea dari takhta liga. "Saya yakin kami akan mempertahankan gelaran Liga Perdana musim ini. Sebutkan kepada saya pasukan mana yang sebelum ini kehilangan sembilan pemain utamanya tetapi masih berada dikelompok teratas dan hanya dibezakan dengan satu mata dari pendahulu liga", tambah Evra lagi.

11 Januari 2010

VAN DER SAR KEMBALI, FOSTER MUNGKIN AKAN DIJUAL

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/07/07/article-1198098-03B65919000005DC-16_468x381.jpg
Manchester United diberitakan akan menjual penjaga gol gantian mereka, Ben Foster tatkala Edwin Van Der Sar sudah kembali semula ke Old Trafford selepas menemani isterinya yang diserang strok. Foster yang bertelagah dengan Sir Alex Ferguson di bilik persalinan ketika United diikat 2-2 oleh Sunderland 3 Oktober lalu terus diketepikan Ferguson selepas itu dan tempatnya sebagai penjaga gol kedua United diambil alih oleh Tomasz Kuszczak. Prestasi hebat yang dipamerkan Kuszczak sepanjang ketiadaan Van Der Sar seakan-akan menutup terus peluang Foster untuk mendapatkan kembali tempatnya dalam skuad utama United. Foster yang sebelum ini dikatakan bakal mengisi tempat sebagai penjaga gol utama jika Van Der Sar mengambil keputusan mahu bersara hujung musim ini gagal menyakinkan Ferguson menerusi beberapa siri kesilapan yang dilakukannya. Kesilapan paling diingati ialah apabila dia memberikan ruang buat Carlos Tevez merampas bola dari jangkauannya sebelum pemain Argentina itu mengumpan kepada Gareth Barry untuk gol penyamaan City. Daily Mail melaporkan bahawa Ferguson telah bersedia mengeluarkan dana sebanyak 6 juta Pound bagi mendapatkan Valon Behrami (gambar) dari West Ham United.
http://mobile.premierleague.com/javaImages/4f/c4/0,,12306~5424207,00.jpg
Pihak pengurusan United mensasarkan untuk menjual Foster dengan nilai sekitar 4 juta Pound dan jika itu berlaku, United tidak keberatan menyediakan baki 2 juta Pound lagi untuk mendapatkan Behrami. Bukan hanya Foster malah Nani dan Anderson juga diberitakan akan dijual akhir musim ini kepada kelab yang berminat menawarkan harga berpatutan buat kedua-dua pemain itu. Ferguson merancang, hasil yang diperolehi dari penjualan Nani dan Anderson akan digunakan untuk mendapatkan Karim Benzema dari Real Madrid. Seorang agen di Brazil juga mengatakan bahawa Ferguson sedang menyediakan peruntukan bagi mendapatkan khidmat pertahanan Sao Paola, Joao Miranda. Untuk perancangan masa depan pasukannya, Ferguson mahukan Miranda menggantikan tempat Nemanja Vidic jika pertahanan antarabangsa Serbia itu mengambil keputusan berpindah ke Madrid. Pemain lain yang diberitakan akan dijual ialah Dimitar Berbatov, tetapi bekas pemain Tottenham Hotspurs itu tidak akan dijual dengan harga yang murah. Foster yang dikatakan bakal mengisi posisi selaku penjaga gol utama England suatu hari nanti pasti mendapati statusnya itu akan terjejas jika perpindahannya menjadi kenyataan. Rentetan kesilapan yang dilakukannya ketika menggantikan Van Der Sar menyebabkan Ferguson tidak lagi menganggapnya sebagai aset pasukan.

10 Januari 2010

SEKADAR SERI DI ST ANDREWS

Stephen Carr of Birmingham City wins a header from Wayne Rooney of Manchester United
Manchester United hanya mampu meraih satu mata selepas diikat Birmingham City di St Andrews awal pagi tadi. United patut berterima kasih kepada Scott Dann kerana jaringan sendiri pemain pertahanan Birmingham itu membolehkan United meraih satu mata untuk kekal di tangga kedua carta liga. Chelsea yang jadual perlawanan mereka terpaksa ditunda kerana cuaca buruk berpeluang menjarakkan kelebihan kepada empat mata jika menang ke atas Hull City. Menyedari tugas sukar yang terpaksa mereka tempuhi di gelanggang lawan, United bermain dengan baik dan menguasai permainan sejak awal namun tiada gerakan-gerakan menarik yang mampu dihasilkan kedua-dua pasukan. Barisan penggempur United yang diketuai Wayne Rooney dilihat sukar memecah benteng lawan dalam keadaan cuaca sejuk dan sepanjang 25 minit permainan hanya sekali peluang terbaik mampu dijelmakan anak-anak buah Ferguson. Rooney yang berjaya melepasi perangkap off side lawan sekadar melihat percubaannya ditampan Joe Hart meskipun hanya berdepan dengan penjaga gol simpanan England itu. Ketika United buntu mencipta gol, tuan rumah mengejutkan barisan Red Devils diminit ke 38 apabila Cameron Jerome menjaringkan gol pembukaan tuan rumah hasil kesilapan Jonny Evans yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan pintu gol.
Cameron Jerome of Birmingham City shoots and scores
Meskipun sudah mendahului, tuan rumah dilihat tidak berminat untuk melakukan serangan sebaliknya lebih cenderung bermain secara defensif dan kedudukan kekal hingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, tempo permainan tidak banyak berubah seperti di babak pertama dengan United terus menguasai permainan dan barisan bimbingan Alex McLeish terus mengamalkan taktik bertahan. Ketika United terus mencari ilham bagaimana mahu menembusi gawang Joe Hart, benteng mereka kembali cemas melalui rembatan Christian Benitez diminit ke 48. Bagaimanapun percubaan tepat penyerang tuan rumah itu berjaya ditampan Tomasz Kuszczak. Selepas berterusan memberikan tekanan kepada benteng tuan rumah, United akhirnya berjaya juga menebusi gawang lawan diminit ke 62. Gol penyamaan itu berpunca dari rembatan Patrice Evra di sebelah kiri yang tertampan ke gawang sendiri oleh Scott Dann. Meskipun benteng mereka terus diasak, Birmingham sempat mencemaskan kubu pelawat melalui dua percubaan bahaya Benitez, tetapi Kuszczak tampak sudah bersedia menggantikan tempat Edwin Van Der Sar melalui prestasi hebat yang ditunjukkannya sejak kebelakangan ini. Tempo permainan United sedikit terganggu apabila Darren Fletcher diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua diminit ke 83 dan kedudukan kekal hingga tamat permainan.

08 Januari 2010

LUPAKAN PIALA FA, GIGGS SASARKAN TIGA PIALA

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2009/10/2/1254489794965/Ryan-Giggs-playing-for-Ma-001.jpg
Bintang tengah Manchester United, Ryan Giggs mahu segera melupakan kekalahan pasukannya di pusingan ketiga Piala FA kepada Leeds United Ahad lalu. Giggs sebaliknya percaya United masih berada di landasan tempat untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut selain mengekalkan trofi Piala Carling. Giggs juga berazam membantu United merampas semula trofi Liga Juara-Juara yang terlepas kepada Barcelona musim lalu. United kini menduduki tangga kedua liga di belakang Chelsea selain sudah menempatkan diri di peringkat separuh akhir Piala Carling dan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Melihat itu semua, Giggs menilai bahawa kekalahan kepada Leeds sudah menjadi sejarah dan tidak lagi perlu dikenangkan. Giggs berharap agar rakan-rakan sepasukan kembali fokus dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. "Di sini situasi adalah sama seperti sebelumnya di mana kekalahan dianggap bencana kepada pasukan. Itu tidak pernah berubah sejak dulu tetapi kami tidak lagi mahu mengingatinya, sama sepertimana kami tidak akan terbawa-bawa jika mencatatkan 10 kemenangan", kata Giggs selepas menerima anugerah Freedom of Salford, semalam.

"Itu bergantung kepada kerja keras kami selepas ini untuk kami kembali ke landasan kemenangan. Posisi kami di liga masih kukuh dan kami juga sudah layak ke peringkat pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Bermulanya tahun baru, penampilan kami akan lebih baik. Kami punya pasukan yang hebat dan saya percaya masih banyak kemenangan yang akan menanti kami", tambah Giggs lagi. Giggs merupakan antara tiga pemain yang masih kekal dari pasukan yang menjuarai kejuaraan treble pada tahun 1999 selain Paul Scholes dan Gary Neville. Bezanya ketika itu mereka memenangi Piala FA tetapi tewas kepada Tottenham Hotspurs di peringkat suku akhir Piala Carling. Esok skuad Red Devils akan berkunjung ke St Andrews dan anak-anak buah Sir Alex Ferguson perlu mempamerkan aksi jauh lebih baik dari apa yang mereka pamerkan Ahad lalu, itupun jika mereka mahu terus memberi tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu liga ketika ini. Birmingham City mempamerkan aksi berkualiti sejak kebelakangan ini dan Ferguson perlu mencari strategi terbaik bagi membawa pulang mata maksimum, atau terus melihat pasukannya tergelincir dari saingan yang semakin sengit.

04 Januari 2010

LEEDS SINGKIR UNITED

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2010/1/3/1262560234139/Leeds-Uniteds-Neil-Kilken-001.jpg
Manchester United tersingkir dipusingan ketiga Piala FA selepas tewas ditangan seteru lama mereka Leeds United di Old Trafford semalam. Gol tunggal perlawanan hasil jaringan Jermaine Beckford diminit ke 19 sudah cukup untuk membawa Leeds bertemu Tottenham Hotspurs di pusingan keempat kejohanan kalah mati tertua di dunia itu. Walaupun menguasai perlawanan barisan Red Devils dilihat buntu menembusi gawang lawan yang dikawal Casper Ankergen. Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya bermain dengan buruk dan gagal bangkit selepas ketinggalan. Walau bagaimanapun Ferguson tetap mengakui Leeds mempamerkan aksi lebih baik untuk keluar sebagai pemenang. "Persiapan kami sebelum perlawanan sangat bagus tetapi saya sangat terkejut dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemain. Kami tidak memulakan perlawanan dengan baik dan Leeds sebenarnya mengawal permainan. Mereka mendapatkan gol dan memiliki sesuatu untuk mempertahankannya. Leeds bermain seperti singa dan ini benar-benar mengecewakan kami", kata Ferguson.

Ferguson kini mahu mengalihkan tumpuan kepada perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Carling menentang seteru setempat mereka Manchester City, Rabu ini. Selepas sebelum ini menegaskan dia akan memberikan pendedahan kepada pemain muda dalam perlawanan itu, nada Ferguson sebaliknya berubah selepas pasukannya disingkir Leeds. Ferguson berkata dia mahu menurunkan pasukan terkuatnya ketika menanti kunjungan City nanti bagi menebus kegagalan layak kepusingan keempat Piala FA. "Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting Rabu ini dan sebahagian pemain yang diturunkan malam ini akan bermain. Saya tidak pasti ada pemain yang akan mengatakan bahawa mereka bermain dengan baik malam ini kecuali Antonio Valencia. Bagi saya hanya Valencia sahaja yang layak mengatakan bahawa dia bermain dengan baik malam ini. Kami harus segera melupakan keputusan buruk malam ini dan kembali bersedia untuk perlawanan Rabu nanti", tambah Ferguson lagi.

03 Januari 2010

SEJARAH HANGATKAN PERTEMBUNGAN UNITED/LEEDS

http://images.encarta.msn.com/xrefmedia/sharemed/targets/images/pho/t242/T242520A.jpg
Pertembungan pusingan ketiga Piala FA antara Manchester United dan Leeds United di Old Trafford malam ini, kembali menghangatkan perseteruan lama antara kedua-dua pasukan. Hampir setiap dekad United dan Leeds bersaing sengit tetapi walaupun kini lawan berada dalam kelas berbeza, Sir Alex Ferguson tetap berwaspada dan tidak mahu memandang rendah keupayaan semasa lawan. Leeds kini beraksi di Liga Satu (Divisyen 3) selepas dilanda masalah kewangan serius manakala United kekal sebagai antara kelab elit dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Saingan antara United dan Leeds mula tercetus pada tahun 1960 an yang mana turut membabitkan dua pemain bersaudara mewakili dua pasukan berbeza, Bobby Charlton untuk United manakala Jack Charlton mewakili Leeds. Antara bintang silam yang turut terbabit dalam perseteruan ketika itu ialah George Best, Dennis Law (United), Billy Bremner dan John Giles (Leeds). Persaingan United-Leeds terus berlanjutan hingga ke era 1980 an yang menyaksikan generasi baru mengambil alih saingan. United ketika itu ditunjangi pula oleh pemain-pemain seperti Mark Hughes, Brian McClair, Steve Bruce dan Brian Robson, manakala Leeds pula berbangga dengan kelibat Lee Chapman.

Era 1990 an merupakan kemuncak kepada perseteruan antara kedua-dua pasukan. United yang ketika itu melahirkan pemain dari "Class of 92", seperti Paul Scholes, David Beckham, Nicky Butt dan adik beradik Neville berhadapan pula dengan pemain yang menjadi lagenda di Old Trafford selepas itu, Eric Cantona, Jimmy Floyd Hasselbaink, Lee Bowyer, Jonathan Woodgate dan Rio Ferdinand. Dengan sejarah pertembungan yang panjang, Sir Alex Ferguson tentunya punya kenangan tersendiri terhadap persaingan antara kedua-dua pasukan dan mahukan agar United tidak memandang rendah keupayaan lawan. "Saya tidak perlu menyebut betapa pentingnya perlawanan dengan Leeds nanti. Saya mahu menikmatinya kerana mereka merupakan pasukan yang cukup fantastik, selalu memberikan saingan sengit dan kami harus bermain dengan sebaik mungkin", kata Ferguson. "Saya ada mengingatkan kepada pemain agar bersikap profesional dan tidak melakukan provokasi ke atas penyokong lawan. Ketika kami bersaing di Liga Perdana, perlawanan antara kedua-dua pasukan sangat kompetitif tetapi keadaan sekarang sudah berbeza. Walau bagaimanapun pemain harus bermain seperti biasa", tambah Ferguson lagi.