10 Januari 2010

SEKADAR SERI DI ST ANDREWS

Stephen Carr of Birmingham City wins a header from Wayne Rooney of Manchester United
Manchester United hanya mampu meraih satu mata selepas diikat Birmingham City di St Andrews awal pagi tadi. United patut berterima kasih kepada Scott Dann kerana jaringan sendiri pemain pertahanan Birmingham itu membolehkan United meraih satu mata untuk kekal di tangga kedua carta liga. Chelsea yang jadual perlawanan mereka terpaksa ditunda kerana cuaca buruk berpeluang menjarakkan kelebihan kepada empat mata jika menang ke atas Hull City. Menyedari tugas sukar yang terpaksa mereka tempuhi di gelanggang lawan, United bermain dengan baik dan menguasai permainan sejak awal namun tiada gerakan-gerakan menarik yang mampu dihasilkan kedua-dua pasukan. Barisan penggempur United yang diketuai Wayne Rooney dilihat sukar memecah benteng lawan dalam keadaan cuaca sejuk dan sepanjang 25 minit permainan hanya sekali peluang terbaik mampu dijelmakan anak-anak buah Ferguson. Rooney yang berjaya melepasi perangkap off side lawan sekadar melihat percubaannya ditampan Joe Hart meskipun hanya berdepan dengan penjaga gol simpanan England itu. Ketika United buntu mencipta gol, tuan rumah mengejutkan barisan Red Devils diminit ke 38 apabila Cameron Jerome menjaringkan gol pembukaan tuan rumah hasil kesilapan Jonny Evans yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan pintu gol.
Cameron Jerome of Birmingham City shoots and scores
Meskipun sudah mendahului, tuan rumah dilihat tidak berminat untuk melakukan serangan sebaliknya lebih cenderung bermain secara defensif dan kedudukan kekal hingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, tempo permainan tidak banyak berubah seperti di babak pertama dengan United terus menguasai permainan dan barisan bimbingan Alex McLeish terus mengamalkan taktik bertahan. Ketika United terus mencari ilham bagaimana mahu menembusi gawang Joe Hart, benteng mereka kembali cemas melalui rembatan Christian Benitez diminit ke 48. Bagaimanapun percubaan tepat penyerang tuan rumah itu berjaya ditampan Tomasz Kuszczak. Selepas berterusan memberikan tekanan kepada benteng tuan rumah, United akhirnya berjaya juga menebusi gawang lawan diminit ke 62. Gol penyamaan itu berpunca dari rembatan Patrice Evra di sebelah kiri yang tertampan ke gawang sendiri oleh Scott Dann. Meskipun benteng mereka terus diasak, Birmingham sempat mencemaskan kubu pelawat melalui dua percubaan bahaya Benitez, tetapi Kuszczak tampak sudah bersedia menggantikan tempat Edwin Van Der Sar melalui prestasi hebat yang ditunjukkannya sejak kebelakangan ini. Tempo permainan United sedikit terganggu apabila Darren Fletcher diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua diminit ke 83 dan kedudukan kekal hingga tamat permainan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan