17 Januari 2010

UNITED TERUS EKORI CHELSEA

Dimitar Berbatov of Manchester United scores the first goal
Trio penyerang Manchester United masing-masing menghasilkan satu gol untuk membolehkan Red Devils meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Burnley 3-0 malam tadi. Dimitar Berbatov, Wayne Rooney dan penyerang yang baru dibeli Mame Biram Diouf meletakkan United kembali ke landasan kemenangan selepas diikat Birmingham City minggu lalu. Kemenangan ini juga membolehkan United terus mengekori rapat Chelsea selaku pendahulu ketika ini dengan perbezaan satu mata. Selepas disingkir Leeds United dari saingan Piala FA dan diikat Birmingham, anak-anak buah Sir Alex Ferguson mahu menjadikan kunjungan Burnley sebagai medan kebangkitan semula mereka disamping menebus semula kekalahan mereka di Turf Moor Ogos lalu. Walau bagaimanapun United dilihat sukar menembusi benteng pelawat sepanjang babak pertama apabila barisan bimbingan Brian Laws mengamalkan permainan secara defensif. United mula menguji gawang pelawat melalui Wayne Rooney diminit ke 5 namun rembatan penyerang antarabangsa England itu berjaya ditampan Brian Jensen. Tiga minit kemudian Jensen sekali lagi menghampakan barisan penggempur United apabila bertindak cemerlang menghalang percubaan Dimitar Berbatov. Di penghujung separuh masa pertama, United hampir menembusi gawang pelawat namun sepakan gunting Nani sedikit tersasar kesebelah kanan gawang.
Wayne Rooney of Manchester United scores the second goal against Burnley
Memulakan aksi separuh masa kedua, United terus mendominasi permainan dan gawang pelawat hampir ditembusi hasil gerakan Dimitar Berbatov diminit ke 56 tetapi rembatan jarak dekatnya sedikit tersasar dari gawang. Ketika rancak melancarkan serangan, benteng United cemas seketika hasil serangan balas pantas pelawat diminit ke 60 namun tolakan David Nugent yang hanya berhadapan dengan Edwin Van Der Sar tidak menepati sasaran. Selepas puas mencuba akhirnya benteng pelawat roboh juga diminit ke 64 hasil jaringan Berbatov. Gol berpunca dari lorongan cantik Rooney yang kemudiannya mudah disempurnakan penyerang antarabangsa Bulgaria itu untuk menewaskan Jensen. Selepas ketinggalan, pelawat kembali membuka permainan dan selang lima minit kemudian giliran Rooney pula meletakkan namanya dalam senarai penjaring. Percubaan Berbatov berjaya ditampan Jensen tetapi Rooney bijak melakukan tindakan susulan hasil bola muntah dengan merembat ke sebelah kanan gawang untuk meletakkan United mendahului 2-0. Selepas selesa mendahului, Ferguson membawa masuk Michael Owen dan Mame Biram Diouf untuk menggantikan Berbatov dan Rooney. Diouf yang dibeli dari kelab Norway, Molde FK membuktikan ketajamannya apabila menutup tirai jaringan United dimasa kecederaan. Pemain muda Senegal itu berjaya melepasi perangkap offside dan mudah menanduk masuk hantaran Antonio Valencia. Ini juga merupakan gol pertamanya dalam dua penampilan bersama United.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Stoke City (1) - Liverpool (1)
Chelsea (7) - Sunderland (2)
Tottenham Hotspurs (0) - Hull City (0)
Wolverhampton (0) - Wigan Athletic (2)
Everton (2) - Manchester City (0)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan